Demi Syaqiqah – P64

Matanya terbuka perlahan memerhati suasana sekeliling. Ruangan itu kosong dari manusia. Hanya ada dia saja namun ia dipenuhi denga kayu-kayan yang entah dari mana.
Tangannya terasa lenguh yang amat namun Syaqiqah baru menyedari ia diikat. Nafas dilepas perlahan. Tangan diikat? Dia cuba menjerit namun suaranya tidak terkeluar kerana mulutnya ditutup dengan pita pelekat.
Syaqiqah cuba menenangkan diri. Tadi dia keluar, ya pakaiannya masih sama tiada yang berbeza. Dia ditegur oleh seorang lelaki yang tiba-tiba menekup mulutnya dengan sapu tangan berbau ubat pelali dan setelah itu, Syaqiqah tidak ingat apa-apa lagi.
Dahinya berkerut memikirkan, ertinya sekarang dia diculik?
Nafasnya turun naik tiba-tiba. Hati tidak putus beristighfar agar dia terselamat dari musibah ini. Dia juga risaukan kakak dan ibu di rumah. Rumah? Syaqiqah melepas nafasnya. Dia tidak tahu apakah saat ini dia masih di Melaka atau tidak?
Dia tidak tahu mengapa dia diculik? Dia tidak bermusuh dengan sesiapa. Hanya Adib yang mempunyai musuh. Takkanlah musuh Adib yang menculiknya? Mereka pasti tidak mengenali dirinya.
Syaqiqah terdengar bunyi tapak kaki berjalan dari belakang lantas dia menoleh. Lelaki yang menegurnya di hadapan rumah tadi memandang kosong. “Cik dah bangun?” dia mendekati Syaqiqah dan mencabut pita pelekat di mulutnya. “Bos kata cik ni baru pandai cakap.. jadi boleh buka sebab tak cakap banyak”.
Syaqiqah diam. Bos? Bererti lelaki ini adalah orang suruhan. Apa lelaki yang dipanggil bos itu mahu darinya?
“Kat sini ada lima orang, semua lelaki. Jadi kalau-kalau cik cuba nak lari, cik faham-faham je lah.. Saya kena jaga cik, yang lain ada kat luar. Kalau nak apa-apa, cik boleh minta dengan saya” lelaki itu membebel sambil memandang Syaqiqah.
Syaqiqah mengangguk perlahan. Apa yang dia mahu dia pun tidak tahu. Yang pasti dia bukanlah Dian yang sudah tentu akan melawan dan mencuba sehabis daya untuk lari dari situ. Hatinya tiba-tiba sayu teringat kakak kesayangan.
“Cik boleh panggil saya Im” lelaki itu mengenalkan diri, namun sambil itu tangannya memegang kain yang memperlihatkan sepucuk pistol di dalamnya. Membuatkan Syaqiqah langsung kelu untuk bersuara.
Im tersenyum memandang Syaqiqah. Kain diletakkan di atas meja dan telefon pintarnya dikeluarkan. Bosan melayani tebusan yang jelasnya tidak melawan walau sedikit.
“Im” Syaqiqah memanggil.
Im memandang. Syaqiqah menelan liur, mengumpul keberanian. “Bos awak nak apa dari saya?”
“Bukan bos, tuan yang nak. Tapi kami pun tak pernah jumpa tuan, selalu bos yang buat urusan” Im memberitahu sekadar yang boleh.
Ada bos, ada tuan juga? Jika benar yang menculiknya adalah tuan seperti yag diberitahu Im, apa yang tuan itu mahu darinya?

#########

Tubuh ibu yang terhinjut-hinjut menangis diusap penuh kasih. “Ibu.. sudahlah tu” Dian terus memujuk.
Hannan menggeleng kepalanya. “Mana ibu tak risau akak. Dah lewat ni.. mana adik?”
Adib melepas nafas. Dari tadi Syaqiqah tidak dapat dikesan. Hinggalah jam sudah menunjukkan pukul satu pagi Syaqiqah masih tidak dapat dikesan. Hati ibu pastinya risau. Ya, sedangkan mommy di hotel pun tidak boleh tidur memikirkan Adibahnya yang hilang.
Dian melepas nafas. Dia yakin adiknya tidak akan membuat onar lari dari rumah begini, tapi ke mana pula dia? Diculik? Atau sudah dibunuh dan ditinggalkan tepi jalan? Dian langsung beristighfar, mintalah dijauhkan itu semua.
Mahu membuat laporan polis pun tidak boleh kerana masih belum mencukupi dua puluh empat jam. Apatah lagi Syaqiqah sudah melewati usia dewasa. Ibu dari tadi menangis membuatkan Dian sedikit pening dengan keadaan.
“Macam nilah mak cik. Mak cik dengan Dian rehat dulu, saya dengan Adib akan cuba cari. Kalau tak jumpa, esok kita buat laporan polis” Harraz bersuara memecah kesunyian yang dihiasi tangisan Hannan.
Dian mengangguk tanda bersetuju. “Kita tidur dulu ye ibu.. Nanti akak cakap dengan orang kampung yang esok tak yah datang. Tahulah akak macam mana nak buat” Dian memujuk.
Hannan memandang Dian. “Macam mana kalau orang kampung fikir adik lari sebab tak nak kahwin?”
Dian ketawa kecil. Namun senyumnya mengendur melihat wajah serius Hannan. Ya, memang tidak mustahil itu akan berlaku. Biarlah, bukan mudah menjaga mulut orang.
“Tapi kita sendiri tahu tu tak betul kan ibu?”
Hannan mengangguk. Hakikatnya dia sendiri sudah terlalu mengantuk dan tidak dapat berfikir dengan jelas. “Tak pelah akak, ibu masuk tidur dulu lah..” Hannan langsung beredar dari ruang tamu.
Dian melepas nafas berat. Adik.. adik.. Lepas satu, satu. Ada saja peristiwa. Adib dan Harraz dipandang. “Kau orang baliklah dulu. Apa-apa hal nanti aku kasitau”.
Harraz mengangguk. Dia menarik Adib keluar. Temannya itu sedari tadi mendiamkan diri, entah apalah yang difikirkan. “Awak jaga diri, kunci pintu tau”.
Dian mengangguk dengan senyuman. Sebaik kereta Adib keluar dari perkarangan rumah, Dian langsung mengunci pintu. Tudung yang tersarung di kepala ditanggalkan. Ke manalah adiknya menghilang? Jenuh Dian memikirkan hingga dia akhirnya terlelap di atas kusyen itu.

##########

“Dengan ini termeterailah perjanjian antara Adib Legacy dan Empayar Bumi” lelaki berkot putih itu menunjuk pada Tun Adib Nasir dan lelaki berwajah kacukan India-Melayu di sebelahnya.
Beberapa orang di dalam bilik mesyuarat itu bertepuk tangan. Begitu juga dengan Jalal yang turut serta dalam mesyuarat penting Adib Legacy.
Tun Adib Nasir dan rakan kongsi barunya berjabat tangan. Setelah itu, terdapat beberapa orang dari media yang sibuk mengambil gambar dan menemu ramah dua orang itu.
Jalal melihat telefon pintarnya yang bergetar memandakan ada panggilan masuk. Dia tersenyum melihat nombor pembantu yang paling dipercayai menghubungi.
“Ya Pisau?”
“Bos, aku dah dapat budak tu” suara dari talian memberitahu.
Jalal senyum sinis. Bertambah senyumnya melihat Tun Adib Nasir yang ketawa berbual dengan pengarah urusan Empayar Bumi. Dia mengangguk puas. “Bagus, jaga budak tu elok-elok. Esok aku balik Malaysia”.
Dan talian dimatikan. Dia tidak sabar-sabar mahu pulang, tidak sabar rasanya menemui puteri tunggal Syam dan Fika yang dibunuhnya beberapa tahun lalu. Dan kini… anak itu pula bakal menyusul.
‘Rasakan, Nasir. Nilah akibatnya sakitkan anak aku!’

##########

Telekung dilipat kemas dan diletakkan di atas katil. Dia langsung tidak boleh tidur memikirkan puteri bongsu yang keberadaannya entah di mana.
Hannan masuk ke bilik Dian dan melihat puterinya itu baru keluar dari bilik air. Pasti Dian juga tidak boleh tidur malam tadi, “Akak dah bangun?”
Dian senyum melihat ibu yang mengambil tempat di hujung katil. “Tak tidur pun ibu, akak teringat adik”.
Hannan melepas nafas. Saat Dian mendekati ibu, telefon pintarnya berdering. Melihat nama Adib yang tertera, segera panggilan itu dijawab. “Assalamualaikum”.
“Waalaikumussalam. Dian, aku on the way ni”.
Dian mengerutkan dahi. Cuaca masih gelap.. “Awalnya?”
“Dah ada petunjuk. Nanti aku sampai”.
Talian dimatikan, Dian memandang Hannan. “Ibu, Adib dah tahu adik kat mana”.
Hannan melepas nafas perlahan. “Alhamdulillah…” walau dia tidak tahu apakah puterinya selamat atau tidak, sekurangnya dia sudah punya petunjuk di mana keberadaan puterinya.

#########

“Aku nak kau tengok ni” telefon pintarnya dihulur pada Dian.
Huluran Adib disambut Dian dengan debaran. Wajah Harraz dan Tun Maryamul Azra jelasnya menandakan ada perkara buruk yang berlaku pada adiknya.
“Astaghfirullah…” Dian menutup mulut melihat gambar yang dihantar pada Adib. Hannan dipandang, “Ibu..”
Hannan mengambil telefon pintar itu dari Dian. Gambar Syaqiqah diikat dalam keadaan tertidur atas kerusi itu benar-benar merentap hatinya. “Ya Allah..!! Adik..” air matanya laju saja menitis melihat gambar itu.
Tun Maryamul Azra melepas nafas. Dia juga begitu tadinya sewaktu Adib menunjukkan gambar itu padanya. Tangan Hannan dicapai dan digenggam. “Hannan..”
Dian memulangkan semula telefon pintar itu pada Adib. “Kau dah tahu siapa yang send tu?”
Adib memandang Harraz. “Raz dah minta orang cek. Nombor ni berdaftar dengan nama orang dah mati. Aku dah try call banyak kali tak berjawab juga”.
“Kau nak lapor polis ke? Dia dah cakap jangan buat report tu.. aku risaukan Iqah” Dian meluahkan rasa risaunya.
“Aku tak buat report tapi nak minta Uncle Zali. Dia yang tengok kes umi abi dulu..”
Dian mengangguk. Wajah Hannan yang sudah membengkak dipandang. Hati ibu… rapuhnya. Siapa sangka adiknya akan diculik lagi seperti ini? Nafas dilepas perlahan. Ya Allah… lindungilah adikku.

########

Bunyi pintu dibuka kedengaran dan Syaqiqah melihat Im masuk membawa sebuah bungkusan. Pasti makanan. Dia tidak tahu sudah berapa lama dia terkurung di dalam bangunan ini.
Mungkin sehari, dua hari atau dua minggu. Yalah, bilik ini langsung tidak punya tingkap. Bagaimanalah dia mahu tahu siang atau malam? Sudahlah jam juga tiada. Ya, dia sedang menjadi tebusan.. itu semua bukanlah satu keperluan buat seorang tebusan sepertinya.
“Makan cik” Im meletakkan makanan itu di hadapan Syaqiqah. Tali di tangan Syaqiqah dibuka dan tangan kanannya dilepaskan namun tangan kirinya diikat kembali pada kerusi.
Syaqiqah memandang bekas makanan di hadapannya. Perlahan ia dibuka. Alhamdulillah, masih juga ada makanan untuk dimakannya. Dia mula menyuap setelah doa dibaca.
“Kejap lagi bos datang, segala soalan cik yang pelik tu bolehlah tanya bos kalau berani” Im berkata sambil memerhati Syaqiqah makan.
Syaqiqah tersedak. Segera air diteguk. “Bos?”
Im mengangguk. Dia senyum sinis. “Saya peliklah.. Kenapa cik langsung tak melawan?”
Syaqiqah diam. Dia tidak suka melakukan sesuatu yang sia-sia. Sudah tahu dia tidak boleh melarikan diri, duduk sajalah diam-diam. Jika tidak bukan sahaja tidak dapat lari malah tubuh badan pula yang akan menanggung sakitnya.
“Tapi bagus juga, tak adalah saya penat nak jaga” Im akhirnya memberi kata putus sebelum kembali ke tempatnya.
“Kenapa awak panggil saya cik?” Syaqiqah akhirnya mengeluarkan soalan itu.
Im mengangkat bahu. “Tak tahu nak panggil apa. Lagi pun, orang kat luar tu cakap… cik ni bakal isteri orang kaya terkenal”.
Nafas dilepas. Mungkin Im tidak tahu, tapi dari jawapan Im membuktikan penculik ini tahu dia dan Adib berhubungan. Apakah mereka meminta wang tebusan dari Adib?
Dia sangat-sangat risaukan ibu. Sangat-sangat merisaui kakak kesayangannya. Bagaimanalah keadaan mereka saat ini? Apakah mereka tahu dia di mana? Apakah mereka tahu dia menjadi seorang tebusan saat ini? Syaqiqah buntu mencari jawapan kepada persoalan yang dia sendiri tidak tahu.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s