Monthly Archives: August 2018

Demi Syaqiqah – P71

Jus durian belanda di hadapannya dicapai dan diminum perlahan. “Kau nak bagitahu Uncle Nasir tak?”
Adib membalas pandangan Harraz. Dia sendiri pun tidak tahu apa yang perlu dia katakan pada Tun Adib Nasir. Hasil pertemuan dengan DSP.Ghazali tadi menyimpulkan Jalal sebagai salah seorang yang disyaki. Buat masa ini, pihak polis akan mengawasi tindak-tanduk Jalal bagi mendapatkan petunjuk untuk kes penculikan Syaqiqah. “Aku ingat nak bagitahu, tapi… aku fikir daddy mesti sedih kalau aku cakap fasal Uncle Jalal. Bukan kau tak tahu, saaayangnya daddy kat Uncle Jalal tu..”
“Kalau macam tu, kau serah je lah kat Uncle Zali. Mesti dia tahu nak buat apa”.
Adib mengangguk memberi persetujuan. Pada Adib sendiri pun, dia bukanlah percaya Jalal merupakan dalang sebenar semua ini. Cuma walau apa pun risikonya, dia harus cuba. Mana tahu mungkin ia merupakan satu petunjuk dalam menyelesaikan kes ini. “Tapi Raz, kau percaya Uncle Jalal ada kaitan dengan semua ni?”
“Manusia ni tak diduga.. macam aku. Siapa sangka ada orang boleh jinakkan aku macam Dian tu? Mama aku sendiri pun tak percaya, tu yang cinta mati dengan Dian tu, minat sangat” Harraz ketawa kecil manakala Adib menjeling. KIta tanya lain, lain pula yang dijawabnya. Dan Harraz menyambung lagi, “Samalah macam Uncle Jalal. KIta report kat Uncle Zali sebab mungkin pada Uncle Jalal ada klunya. Tapi siapa tahu? Kalau-kalau dia nak balas dendam kat kau ke, asyik je bagi anak dara dia menangis?”
Adib tersenyum. “Mustahillah kalau itu sebabnya, tapi aku yakin Uncle Jalal tak ada kaitan dengan semua ni. Cuma…”
“Hanya Allah yang tahu.. insya-Allah semua ni akan selesai”.

##############

Pintu bilik yang terbuka tiba-tiba mengejutkan Syaqiqah yang baru selesai menunaikan solat Isya’. “Akak” Im berlari ke arah Syaqiqah dan menghalangnya daripada bergerak.
“Kenapa ni?” Syaqiqah menyoal penuh debaran, bersembunyi di sebalik Im. Namun dia tidak memahami situasi sebenar.
Pintu bilik disepak dari luar dan muncul tiga orang lelaki yang belum pernah dilihat Syaqiqah. Salah seorangnya menjerit sekuat hati. “Im! Ke tepi!”
“Akak duduk belakang Im, jangan pergi tempat lain”.
“Aku cakap ke tepilah!” lelaki yang bersinglet dan berseluar pendek mengheret tubuh Im dan menumbuknya di muka. Im yang masih berdaya, bangun dan mendekati Syaqiqah yang masih bingung dengan apa yang sedang berlaku. “Akak, Im minta maaf siap-siap kalau tak dapat selamatkan akak malam ni”.
“Ya Allah.. Im cakap apa? Akak tak faham…” Syaqiqah sudah menangis kerana ketakutan.
“Im, aku cakap ke tepi. Abang nak perempuan tu” tubuh Im ditarik lagi, kali ini dia dibelasah hingga kehabisan daya. Tiada lagi tenaga yang tinggal untuk melindungi Syaqiqah. Tapi Im sedaya upaya cuba bangun lagi dan mendekati Syaqiqah. Tepat di hadapan Syaqiqah, dia rebah.
“Im bangun! Im!!” Syaqiqah yang masih bertelekung menggerakkan tubuh Im yang sudah terbujur kaku. “Korang nak buat apa?” dia bertanya pada tiga lelaki di hadapannya dengan suara teresak-esak.
“Sila abang” lelaki yang lebih pendek itu memandang lelaki yang berada di tengah.
Syaqiqah menjauhkan diri. Lelaki berbaju hitam yang digelar abang itu mengejar dengan sengihan. “Kau berdua, tunggu kat luar. Jaga pintu, aku nak selesaikan minah ni sebelum bos datang. Kalau bos tahu, matilah aku”.
“Jangan risau bang, Fendi kata bos tak balik malam ni” ujar lelaki bersinglet tadi dan menarik kawannya keluar.
“Jangan!” Syaqiqah menjerit bila telekungnya ditarik dari belakang.
‘Abang’ terus menarik telekung Syaqiqah hingga ia terbuka memperlihatkan tudungnya. Syaqiqah memang sentiasa bertudung di situ kerana dia yakin auratnya tidak akan terjaga di situ, seperti yang dikatakan Im.. dia tidak akan selamat selagi masih berada di situ.
“Kau nak lari mana, malam ni aku akan pastikan kau jadi hak aku. Kalau kau nak tahu, dari awal kau datang aku dah syok kat kau. Tapi bos asyik ulang, cakap tak boleh usik kau, nanti Tuan marah. Tapi malam ni aku tak tahan dah, jadi aku nak kerjakan kau sebelum bos balik” ‘abang’ terus-menerus mengejar Syaqiqah.
Namun Syaqiqah tidak bernasib baik, dia tersadung memakai kain sembahyang yang masih belum dibuka. Dia terjatuh, benar-benar separuh badannya berada di atas sofa lama yang berada di bilik tinggal itu. ‘Abang’ sudah tersengih-sengih melangkah ke arahnya. Syaqiqah cuba bangun namun ‘abang’ yang sudah tiba menolaknya hingga terbaring sepenuhnya di atas sofa. “Kau tak boleh lari lagi. Here I come!”
Wajah Syaqiqah sudah basah dengan air mata. ‘Ya Allah, selamatkanlah aku!’ Mata dipejam dengan suara esakan yang makin kuat. Dia dapat merasakan tubuh lelaki jahat itu sudah berada di atasnya. Sebolehnya dia menyembunyikan wajahnya.
Pang!
Bunyi pintu yang dibuka kasar disambung dengan bunyi tembakan menarik perhatian. “Bodoh! Kan aku dah cakap jangan usik dia!”
“Bos” ‘abang’ segera bangun dari tempatnya dan melutut di hadapan Pisau. “Bos, aku minta ma..”
Sekali lagi tembakan dilepaskan, tepat mengenai lutut ‘abang’. “Diam. Aku dah cakap banyak kali jangan usik dia, kau ni tak faham bahasa ke?” sebuah tumbukan dilepaskan pada lelaki itu hingga dia rebah.
“Bos, aku minta maaf. Lepas ni aku tak buat lagi”.
“Jack, Botak, Din.. korang dengar sini. Jangan usik budak perempuan tu, kalau ada lagi benda macam ni berlaku.. aku tak jamin nyawa kau orang” Pisau membulatkan mata memandang dua lelaki yang bersama ‘abang’ tadi dan Botak.
Syaqiqah membuka mata, segera dia duduk memeluk lutut dan memerhati ‘tayangan’ di hadapannya. Dalam hatinya dia berharap agar Im segera sedar.
“Kau” Pisau memijak kaki ‘abang’ yang terbaring.
“Bos, tolong..”
“Selagi kau ada, kau mesti menyusahkan aku. Jadi..” dan tembakan dilepaskan dua kali, tepat mengenai dada dan kepala.
Syaqiqah benar-benar terkejut dengan tindakan Pisau yang langsung tidak beriak, seolah membunuh adalah perkara yang dia lakukan hari-hari. Tangisannya menjadi kembali, namun hanya air mata yang mengalir. Dia sebolehnya cuba untuk tidak mengeluarkan suara, bimbang Pisau akan lebih marah. Namun dia benar-benar takut dengan kejadian malam ini.
“Jack, Din, ambil mayat ni pergi buang kat hutan belakang tu. Botak, kau kejut Im tu. Malam ni jangan ada yang kacau Syaqiqah lagi. Kalau tak, kau orang.. satu, dua, tiga.. aku cari dulu”.
Syaqiqah melepas nafas lega bila semua manusia bernama lelaki itu keluar dari bilik. Dia benar-benar terkejut akan apa yang berlaku. Dan dia melepaskan tangisan semahunya. Menangis hingga bengkak kedua belah matanya. “Abang.. Dibah nak balik!”

##############

Seterika yang dibawa Dian tiba-tiba terlepas dari tangannya. Dan jatuh tepat di atas kaki Hannan. Dan keduanya menyebut serentak, “Adik!”
“Ibu” Dian mendekati Hannan, mengambil kembali seterika itu dan meletakkan ia sedikit jauh dari mereka. Dia berlari anak pada laci dan mengambil minyak gamat untuk disapu pada kaki ibu yang luka kecil.
“Ibu tak sakit pun. Akak pun teringat adik juga?” Hannan menyentuh pipi Dian.
Dian melepas nafas. Botol minyak gamat ditutup kemas dan diletak ke tepi. Dia meletakkan kepala pada ribaan Hannan. “Tak tahulah kenapa, ibu. Tadi… akak rasa akak terdengar adik menangis. Akak risaulah ibu”.
Hannan senyum nipis. Wajah Dian kesayangannya diusap. “Kita sama-sama risau dengan adik. Tapi akak kena ingat, esok akak nikah.. jadi ibu tak nak buat cerita sedih, kacau-bilau malam ni. Kalau tak, terkejut Harraz esok tengok mata akak jadi mata panda”.
“Ibu ni.. Tak sangka macam ni keadaan akak nak nikah” Dian menjongket kening pada ibu.
“Dah.. nanti Harraz ingat dia salah pilih pengantin pulak. Pergi iron baju kamu tu” Hannan menggesa, tidak mahu mereka bersedih-sedihan lama-lama. Tapi di suatu sudut hatinya, dia sangat merisaukan puteri bongsunya. Jika Dian mendengar suara adiknya menangis, dia pula terlihat anak bongsunya itu menangis memeluk lutut. ‘Ya Allah, walau apa pun yang berlaku.. Kau selamatkanlah nyawa puteriku’.

#############

Majlis pernikahan pagi itu nampaknya berjalan lancar, hanya dengan sekali lafaz Harraz sah bergelar suami Dian. Keluarga Harraz nampaknya sangat menyukai dan meraikan Dian yang merupakan menantu sulung keluarga itu. Adib yang sibuk melayani tetamu yang tidak berapa ramai itu tetap juga memikirkan Syaqiqah tiap kali ada masa dan peluangnya. Dia benar-benar berharap Syaqiqah tidak ditimpa bahaya apa-apa.
Menjelang tengah hari, kebanyakan tetamu pun meminta diri. Keluarga Harraz tinggal sementara di hotel berdekatan, kata mereka mahu tinggal di Melaka untuk dua tiga hari. Boleh berkenalan rapat dengan keluarga Dian dan mengambil peluang untuk berjalan-jalan di bandar bersejarah itu.
“Dian, ada orang cari kau”.
Dian memandang, memberi senyuman pada Sukainah yang merupakah anak Mak Senah yang tinggal selang beberapa buah rumah darinya. “Terima kasih Su”.
“Aku sambung kerja ye” Sukainah berlalu, menyambung kerja mengemasnya yang belum selesai.
Dian maju beberapa langkah dan melihat Amy yang lengkap berbaju kurung bersama selendang yang menutupi separuh kepalanya. “Assalamualaikum”.
“Waalaikumussalam. Selamat pengantin baru” Amy menghulurkan tangan, ingin berjabat.
Dian menyambut dengan senyuman, gelaran kau-aku yang biasa mereka gunakan semasa zaman belajar dahulu ditukar menjadi saya-awak. “Awak datang seorang?”
Amy mengangguk. “Sebenarnya masa Harraz jemput hari tu, saya tak terfikir nak datang pun tapi… ada urusan kat Melaka ni, jadi singgahlah”.
“Terima kasih Amy” Dian janggal, tidak tahu apa yang mahu dicakapkan kepada gadis itu.
“Jap” Amy melangkah ke arah keretanya dan mengeluarkan dua buah kotak yang dibungkus daripadanya. Lalu hadiah itu diberikan pada Dian. “Untuk kau dan Harraz. Satu dari aku, satu dari Amelia”.
Dian mengangguk. Ertinya Amy masih lagi berhubungan dengan Amelia. “Terima kasih. Awak nak masuk dulu? Makan?”
“Tak apalah. Saya dah makan. Kirim salam Harraz dengan Adib. Saya balik dululah..”
Dian menguntum senyum, hanya melihat Amy membuka pintu keretanya. Namun Amy menoleh ke arahnya, dan berpatah balik. Dahi Dian berkerut sendiri.
“Dian..” tubuh itu dipeluk Amy, namun tidak rapat kerana ada hadiah yang menghalang. Entah mengapa, dia terasa sebak pula. “Saya.. saya minta maaf atas semuanya. Atas apa yang saya dah buat pada awak, dan Syaqiqah..”
Dian menolak tubuh Amy perlahan, melepaskan pelukan. “Saya dengan Iqah tak pernah salahkan awak. Saya faham apa yang awak buat tu sebab awak tak nak kehilangan Adib..”
“Saya minta maaf” tangan Dian digenggam.
Dian tersenyum. “Saya.. dengan Iqah dah lama maafkan. Awak jangan risau”.
Amy mengangguk. Dia melambai sebagai tanda selamat tinggal namun Dian memanggil, “Amy!”
“Ya”.
“Saya rasa… awak lagi cantik bila bertudung”.
“Terima kasih” dan mereka sama-sama tersenyum lebar.

Demi Syaqiqah – P70

Songkok yang terletak kemas di atas kepala dibuka lalu diletakkan di sisinya. Jam dinding dilihat, baru jam 6.14 pagi. Telefon bimbit yang berada di atas meja lampu tidur Adib capai. “Ya Allah, walau apa pun yang berlaku. Kau jauhkanlah Dibah dari segala ancaman yang boleh membahayakan nyawanya” doa Adib perlahan.
Gambar Syaqiqah yang bertimbun di dalam galeri gambar telefon pintarnya diperhati satu demi satu. “Dibah.. abang rindu”.
Mengapa mereka masih belum mendapat sebarang petunjuk yang membawa pada penemuan Syaqiqah? Adib bertanya diri sendiri. Pihak penculik pula jelasnya sengaja melengah-lengahkan masa dengan cara berdiam diri. Jarang sekali menghantar sesuatu, itu yang lebih menyukarkan pihak polis menemukan hasil. Dia mengeluh, apakah perlu dia menemui Amy lagi? Tidak tahu mengapa, tapi rasa hati Adib benar-benar kuat mengatakan ia ada kaitan dengan Amy. Bukanlah dia bermaksud Amy adalah penculiknya tetapi… mungkin Amy ada sumber yang boleh membantu mereka? Tapi.. dia sendiri rasa bersalah mahu menemui Amy lagi. Hari itu saja, hampir Harraz dengan Amy bertikam lidah. Adib tahu Amy sangat terasa hati padanya, tapi apa yang boleh dia lakukan memandangkan dia benar-benar menganggap Amy hanya sebagai adik perempuannya saja?
Adib benar-benar tidak tahu siapa yang memusuhi daddynya, kerana Adib tahu benar sikap Tun Adib Nasir yang suka mengalah dan lebih gemar mengelak dari mencari fasal. Lalu bukti atau info yang dimahukan DSP.Ghazali, bagaimana akan dia menemuinya?
Telefon pintarnya berbunyi menandakan ada panggilan masuk. Panggilan dari Harraz itu segera dijawab, “Assalamualaikum Raz”.
“Waalaikumussalam, Dib. Kau jadi tak nak ikut aku pergi Melaka?”
Adib menepuk dahinya, lupa pula dia Harraz mengajaknya pergi ke Melaka hari ini. “Jadilah.. pukul berapa kau nak ambil aku ni?”
“Lapan pagi insya-Allah.. Tapi Raz, kau rasa Dian terkejut tak dengan permintaa aku nanti?”
Adib gelak yang dibuat-buat. Teringat hari itu dia ada memberitahu Dian bahawa Harraz ada kejutan tergemoar buatnya. “Aku rasa ibu setuju je.. Kalau nak tunggu aku dengan Dibah, silap hari bulan ada orang kebas kau punya Dian tu”.
“Maksud kau?”
“Masa aku jumpa Dian hari tu, ada mamat tengah mengurat dia.. bukanlah mengurat, Dian kata dia nak hantarkan Dian balik. Tapi Dian tak pernah setuju pun, cuma biasalah kita ni kalau dah suka tu.. jenis yang jual mahal tu lagilah nak kejar”.
Harraz diam tiada berjawapan. Ya, Diannya memang sangat menarik. Dian punya satu aura yang membuatkan kaum Adam mudah tertarik padanya. Mujurlah Adib bercerita, sekurangnya dia lebih yakin saat ini.

############

“Ibu! Ayam ni semua nak goreng ke?” Dian menjerit pada ibu yang berada di ruang tamu.
Hannan yang baru selesai menyiapkan meja makan melangkah ke dapur. “Akak.. tak payah jerit pun ibu dengarlah. Dah nak jadi isteri orang pun..”
Dian senyum menampakkan barisan giginya. “Betul ke nak goreng semua ni? Macam banyak je..”
“Ada tetamu nak datang. Goreng je semua tu”.
Dian memandang ibu setelah menghidupkan api dapur. “Siapa? Ibu tak cakap pun..”
Hannan hanya menghadiahkan senyuman buat puterinya itu. Nampaknya baik Adib dan Harraz keduanya tidak memberitahu apa-apa pada Dian.

#############

Tun Adib Nasir melangkah masuk ke biliknya perlahan. Ada Enon yang sedang melayani isterinya bersarapan. “Enon…”
“Abang dah balik?” Tun Maryamul Azra menyapa dengan senyuman.
“Tak pe, biar saya buat” Tun Adib Nasir menghulur tangan meminta pinggan dari Enon.
“Yam…” Tun Adib Nasir memandang pinggan setelah Enon menutup pintu bilik. “Kan doktor pesan Yam tak boleh makan makanan bersantan buat masa ni.. kenapa nasi lemak pula?”
Tun Maryamul Azra senyum mengetap bibir. “Yam teringinlah, tu yang Yam minta Jah masakkan. Abang tak marah kan?”
Tun Adib Nasir melepas nafas mendengar jawpan si isteri. Dia terus menyuap nasi lemak itu ke dalam mulut Tun Maryamul Azra. Tun Adib Nasir tahu bahawa keadaan kesihatan isterinya semakin merosot lantaran kehilangan Syaqiqah yang tiada khabar, dia juga tidak memberitahu apa-apa pada Tun Maryamul Azra kerana bimbang keadaan kesihatan isterinya itu akan lebih merosot. “Abang minta maaf… sekarang ni susah betul nak balik rumah, banyak sangat kerja sebab Adib sibuk cari Dibah. Kerja-kerja kat office yang menimbun tu pun tak selesai-selesai. Sekarang ni banyak abang minta Jalal yang uruskan. Itu pun nasib baik, kadang-kadang Adib datang juga buat apa yang patut..”
Tun Maryamul Azra tersenyum sambil tangannya diletakkan pada pipi suami. “Yam yang kena minta maaf sebab tak dapat tolong abang apa-apa. Nak bangun sendiri pun tak boleh..”
Tun Adib Nasir menguntum senyum lagi. “Abang janji, nanti kalau dah selesai semuanya.. abang nak bawa Yam pergi Mekah, buat haji”.
“Yam faham.. abang tak payah janjilah, ada rezeki ada.. kalau tak ada nak buat macam mana kan? Tapi abang..”
“Ya?”
“Tak ada berita fasal Dibah ke? Memang tak ada langsung?”
“DSP pun buntu, katanya bila penculik tu terlalu diam,tak ada tindakan.. pihak polis sendiri susah nak cari bukti. Sebab tak ada petunjuk apa-apa. Penculik tu seolah-olah menculik sebab suka-suka, tu yang tak minta apa-apa. Cuma sekarang ni pihak polis memang tengah usaha sehabis baik untuk kesan Dibah”.

############

Syaiqah memandang Im yang menatang pingan makan tengah hari buatnya. “Lamb chop? Western food?”
Im mengangguk. “Ke akak tak makan western food?”
Syaqiqah menyambut dengan senyuman. Dia menanti Im mengambil tempat sebelum mula makan tengah hari. “Kadang-kadang, akak tak rasa macam kena culik tapi macam duduk dalam penjara. Sebab Im jaga akak baik sangat.. bahu ni dah sihat dah”.
Im senyum kelat. “Im tak faham kenapa bos culik akak. Lepas tu beribu kali pesan jangan bagi akak sakit bla bla bla…”
“Bos Im nak apa dengan akak?”
Im memandang, sejujurnya dia sendiri tidak tahu apa-apa kerana mereka yang lain tidak mahu bercerita padanya. Katanya Im budak baru, hanya menurut arahan tidak boleh banyak tanya. “Im tak tahu, kak. Tapi macam mana pun, akak tetap tak selamat kat sini”.
Syaqiqah senyum lemah, untuk apa dia diculik sebenarnya? Dan dia diculik oleh siapa? Apa yang mereka mahu darinya? Atau dari orang sekelilingnya? Apa motif penculikan ini sebenarnya? Jika dia mahu diapa-apakan mengapa mereka menjaganya dengan baik sekali? Dengan erti kata lain, dia bukannya diculik tapi lebih pada dikurung, dilarang menemui sesiapa. “Tapi.. kenapa Im kasi western food hari ni?”
“Saja… Im nak hiburkan akak. Akak tu tebusan yang membosankan.. baik sangat. Jerit tak, nangis tak, cuba nak lari pun tak, melawan pun tak.. tu yang akak makin gemuk, apa Im bagi semua akak makan. Tu yang Im tak faham kenapa bos culik akak, punyalah baik macam ni..” Im bercerita dengan tawanya.
Syaqiqah melepas nafas, mengeluh. Iyalah, apa yang dia dapat jika melakukan itu semua? Silap hari bulan, nyawa pun sudah melayang. Bukanlah dia hebat sangat untuk cuba melarikan diri dari situ tanpa ditangkap kembali. Untuk apa dia menangis dan menjerit bila dia tahu tiada siapa yang boleh menolongnya, baik dia ikutkan saja permainan aneh ini. Tapi… Syaqiqah benar-benar berharap agar dia dapat keluar dari situ sesegera mungkin. Rindunya pada ibu dan kakak sudah tidak terbendung lagi.

############

Bunyi hon kereta mengejutkan Dian yang baru selesai menunaikan solat Zohor. Niat untuk membuka telekung dibatalkan kerana hatinya lebih ingin tahu siapa tetamu yang ibu maksudkan. Segera Dian mengintai dari tingkap. “Harraz?” Dian mengerutkan dahi, tapi Harraz tidak memberitahunya dia mahu datang? Oh… baru Dian teringat, hari itu Adib ada memaklumkan kedatangan mereka. Katanya Harraz ada kejutan, kejutan apalah itu agaknya?
Hannan menyambut kedua bakal menantunya dengan senyuman. “Masuklah.. Dian kat bilik lagi..”
“Ibu sihat?” keduanya menyoal serentak membuatkan Hannan tersenyum. “Alhamdulillah.. macam nilah keadaannya. Adib tak ada berita apa-apa fasal Iqah?”
Adib mengangguk, dia memang berniat untuk menunjukkan video itu hari ini. “Ada ni..” serentak Adib menghulurkan telefon pintar, Dian keluar dari bilik sekaligus mematikan kata-katanya.
“Ibu”.
“Jomlah makan dulu, nanti sejuk lauk pauk tu. Susah payah ibu masak. Fasal Iqah nanti ye Adib, ibu takut ibu hilang selera makan pulak” Hannan berlalu ke dapur dan Adib mengikut, memberi ruang pada Harraz dan Dian bertegur sapa.
Harraz memandang Dian yang cantik bertudung bawal bersama abaya merah. “Awak apa khabar?”
“Alhamdulillah, macam biasa. Awak pun nampak macam sihat.. kat rumah semua sihat?” Dian bertanya soal keluarga Harraz.
“Alhamdulillah.. jom” Harraz langsung berlalu ke dapur, segan. Dian melepas nafas, apalah agaknya kejutan yang mahu Harraz berikan padanya.
Suasana makan tengah hari itu bermula seperti biasa. Dian hanya mendiamkan diri, mendengar kedua pemuda itu berbual dengan ibunya. Bertanya khabar itu dan ini, bercerita itu dan ini. Setakat ini masih belum juga Dian temui tanda-tanda kejutan Harraz.
“Ha Harraz… kata ada benda penting nak bincang dengan ibu, apa dia?”
Dian mengerutkan dahi, wajahnya diangkat memandang Hannan. Harraz memandang Adib buat beberapa ketika sebelum Adib memberi anggukan. Nafas ditarik sedalam mungkin sebelum dia membuka suara. “Raz nak minta percepatkan nikah Raz dengan Dian”.
Dian segera mencapai gelas di hadapannya, tersedak dia mendengar permintaan Harraz. Hannan dan Adib memandang Dian kemudian sama-sama tersenyum. “Surprised tak?” Adib sengaja mengusik.
“Raz faham ibu dengan Dian sama-sama tengah susah hati fasal Syaqiqah. Cuma Raz fikir kalau dah nikah.. Raz boleh jaga ibu, boleh jaga Dian. Tak adalah ibu dengan Dian tinggal berdua kat rumah ni. Terus-terang Raz cakap, bila Iqah kena culik. Raz lagi risaukan Dian, risaukan ibu.. Raz fikir penculik tu bukan orang lain tapi orang dekat. Lagipun..”
Hannan ketawa kecil. “Harraz tak payah jelaskan panjang lebar, ibu faham. Dan ibu tak ada masalah. Kita buat nikah dulu, kenduri buat sekali dengan Adib. Boleh kan?”
Harraz mengangguk, nafas lega dilepas. Fikirnya ibu akan sedih dan marah dengannya dengan alasan dia tidak memahami situasi mereka, rupanya.. alhamdulillah. Dia mencuri pandang ke arah Dian, nampaknya tunangannya itu sedari tadi menunduk menyembunyikan wajah.
“Keluarga Harraz ok? Setuju?”
“Alhamdulillah semua ok”.
“Baguslah.. Kalau macam tu, Harraz kena tanya tuan punya badan pula ye.. Nanti ada orang merajuk cakap dia macam tak wujud pula..” dan Hannan dan Adib ketawa kecil.

#################

“Cik Amy”.
Amy yang baru keluar dari bilik air membuka pintu biliknya bila diketuk pembantu rumah. “Kenapa?”
“En.Adib dan En.Harraz datang, katanya nak jumpa Cik Amy”.
Amy mengerutkan dahi. “Nanti saya turun”. Pintu bilik ditutup. Mengapa pula Adib dan Harraz datang ke rumahnya? Tidak mungkinlah mereka mahu bertanya tentang Syaqiqah lagi. Segera Amy berpakaian lengkap, t-shirt bersama seluar jeans dan turun ke bawah. “Apa khabar?” Amy terlebih dahulu menyapa Adib dan HArraz yang menanti di ruang tamu.
“Khabar baik.. Amy sihat?” Adib menguntum senyum.
Amy sekadar mengangguk, memberi jawapan. “Datang nak apa?”
“Aku nak jemput kau datang majlis nikah aku dengan Dian”.
Amy memandang Harraz dengan senyuman kelat. “Tahniah.. aku ingat kau nak tunggu Adib sekali”.
“Nikah je dulu, resepsi sekali dengan Adib nanti”.
“Bila nikahnya? Kat mana? Tak ada kad?”
Harraz mengangguk. “Aku dengan Dian sama-sama tak nak buat sebab nak jemput orang dekat je.. Minggu depan, hari Sabtu. Kat Melaka, rumah Dian kau tahu kan?”
Amy mengangguk. Alamat itu ada pada kad jemputan Adib dan Syaqiqah. Tiba-tiba dia teringatkan Amelia. Pasti gadis itu meroyan jika tahu akhirnya Dian tetap menjadi pilihan hati Harraz. “Kalau tak ada apa-apa, insya-Allah aku datang. Tapi… aku orang dekat ke?”
Harraz memandang Adib dan Adib memandang Harraz. Harraz menarik nafas panjang, dia sudah menjangkakan pertanyaan Amy itu. “Entah. aku rasa aku.. kena jemput kau. Samada kau nak datang ataupun tak, itu hak kau. Yang penting, aku dah jemput”.
Amy senyum nipis, tidak tahu mahu gembira atau sedih dengan kenyataan Harraz. “By the way, Syaqiqah macam mana?”
“Masih tak dapat dikesan” ringkas jawapan Adib.
“Dah cuba kesan dari nombor telefon orang yang hantar video tu?”
Harraz dan Adib sama-sama mengerut dahi. Video? “Video apa?”
“Video.. yang.. video.. Syaqiqah.. kena tembak” ujar Amy lambat-lambat.
Adib berdebar tiba-tiba. Daddynya memberitahu video itu hanya dimiliki oleh dia dan daddy. Bagaimana pula Amy boleh mengetahui tentang kewujudan video itu? “Mana Amy tengok video tu?’
“Fon pa. Pa cakap Uncle Nasir send”.
Adib menyepak perlahan kaki Harraz tanda mengajaknya pulang. Harraz yang memahami segera bangun dan meminta diri. “So kami balik dulu, aku harap kau sudilah datang majlis aku nanti”.
Masuk saja ke dalam kereta, Adib langsung saja menghubungi Tun Adib Nasir untuk menyoal tentang video itu. Dan jawapan yang diterima dari Tun Adib Nasir sangat mengejutkannya. “Raz. Daddy cakap dia tak pernah send video tu kat sesiapa selain aku”.
“Call Uncle Zali, cakap kita on the way. Aku yakin Uncle Jalal ada kaitan dengan semua ni”.

Demi Syaqiqah – P69

Senyuman manis dia berikan pada setiausaha Tun Adib Nasir yang benar-benar setia itu. “Silakan Dato’. Tun dah tunggu”.
Jalal melangkah masuk. Dia duduk di sudut tetamu yang disediakan.
Tun Adib Nasir tersenyum. “Kejap ye Jalal”. Sambil itu, Tun Adib Nasir mencapai dua buah fail yang diperlukan untuk pertemuan mereka berdua sebelum mesyuarat bersama ahli lembaga pengarah sebentar lagi. Telefon bimbit yang terletak di sisi komputer ribanya dipandang bila mendengar bunyi mesej masuk. Dahi berkerut melihat mesej ‘What’s App’ daripada nombor tak dikenali. Tiada salam, tiada sapaan. Hanya video yang sedang dimuat turun.
Kakinya lemah menonton video itu. Terasa bagai mahu tumbang saat melihat gadis kesayangannya ditembak sebegitu.
“Daddy!” Adib yang baru masuk segera memapah daddynya yang hampir rebah. Telefon pintar yang sudah terlepas dari pegangan Tun Adib Nasir diambil dan dia memandang Tun Adib Nasir yang sudah duduk di sofa. “Kenapa daddy?”
Tun Adib Nasir melepas nafas, menenangkan diri. Jalal dipandang, “Jalal, awak masuk meeting dulu. Saya lambat sikit”.
Jalal bangun dan mengangguk. Dia melangkah keluar menuju ke bilik mesyuarat. Senyuman sinis yang cuba disembunyikan nampaknya tidak berjaya kerana Adib terperasankannya.
“Cuba Adib cek fon, ada tak mesej masuk?” Tun Adib Nasir menyoal Adib. Dalam masa yang sama, jari-jemari ligat menaip mesej pada DSP.Ghazali. Memohon untuk berjumpa serta-merta.
Kepalanya digeleng. Memang ada mesej tapi tiada yang luar biasa. Semuanya mesej yang biasa-biasa. “Tak ada apa pun, daddy” Adib mengambil tempat di hadapan Tun Adib Nasir sambil tangan menghulur telefon pintarnya.
Tun Adib Nasir mengerutkan dahi. Jadi hanya dia yang mendapat mesej itu..? Tapi mengapa? Apa niat si penghantar mesej dan apa pula kaitannya dengan si penculik lalu apa pula niat mereka menghantar video itu padanya dan bukan pada Adib? “Tengok ni”.
Mata Adib membulat melihat darah yang memercik keluar daripada tubuh Syaqiqah. “Dibah!” matanya langsung merah menahan air mata. Nafas turun naik menahan marah juga menahan debaran. Dia bangun dari duduknya. Adib sudah hilang arah. Nombor si penghantar mesej beberapa kali dihubungi tapi tiada jawapan. Dan beberapa kali terakhir operator memaklumkan nombor itu tiada dalam rekod. Telefon pintar daddynya digenggam bersama air mata yang makin galak mengalir. Kepalanya serabut memeikirkan apakah Syaqiqah sudah ok atau belum? Lukanya apakah ada yang merawat atau tidak? Atau peluru masih berada pada bahunya? Serabut lagi memikirkan sang penculik yang langsung tidak berhati perut hingga sanggup bermain dengan nyawa tunangannya. Segala persolan dan perasaan bersatu membuatkan wajahnya basah dengan air mata.
Tun Adib Nasir menepuk bahu Adib. Jika tadi dia hampir pengsan, anaknya kini lebih teruk. Perlahan telefon pintarnya diambil daripada Adib untuk memeriksa mesej dari DSP.Ghazali.
“Adib takkan maafkan orang yang buat semua ni!!” Adib mengesat air matanya. Tun Adib Nasir dipandang. “Tapi daddy.. kenapa dia tak hantar video tu kat Adib je?”
“Adib kena tenang. Daddy dah buat temu janji dengan DSP. Apa-apa hal, bincang dengan dia. Daddy kena masuk meeting” bahu Adib ditepuk dan dia keluar dari bilik.
Adib menarik nafas panjang. Nombor Harraz dicari untuk dihubungi, namun panggilan dari Harraz lebih dahulu diterimanya. “Assalamualaikum Adib. Aku kat office kau ni..”
Adib berdiri. Langkah laju menuju keluar dari pejabat Tun Adib Nasir. “Kita bincang nanti, sekarang aku nak ajak kau pergi jumpa Uncle Zali. Segera!”

#############

Seluruh anggota tubuhnya bagai terhenti seketika melihat fail yang berterabur di atas lantai. Dia bingung bagaimana fail-fail itu boleh jatuh dengan tiba-tiba. Namun Hannan disedarkan oleh pelajarnya yang datang membantu.
“Cikgu, cikgu ok tak ni?”
Hannan tersenyum melihat pelajarnya. “Cikgu ok. Terima kasi Salwa, Devi”.
“Tak pelah cikgu, fail-fail ni kami tolong bawa”.
“Kalau macam tu, Salwa tolong hantar ke bilik guru. Letak je atas meja cikgu”.
Hannan melihat dua sahabat berlainan agama dan bangsa itu. Dia tiba-tiba terasa tidak sedap hati. Fail yang tiba-tiba jatuh berterabur sudah cukup untuk membuatkan hatinya tidak tenang. Apakah ada apa-apa yang menimpa kedua puterinya? Segera Hannan menghubungi puteri sulungnya yang baru memulakan kerja dua hari lepas.

#############

Keluhan dilepaskan mereka berempat yang duduk di meja itu. Semua buntu dengan kes yang tidak ditemui asal-usul dan sebab-musababnya. DSP.Ghazali mengerut dahinya. Adib dipandang. “Tapi ada satu perkara yang uncle pasti”.
“Maksud uncle?” Adib dan Harraz menyoal serentak.
Nafas dilepas, “Penculik ni belum berniat nak bunuh Cik Syaqiqah, sebab tembakan dilepaskan pada tempat yang tak mendatangkan bahaya. Dan target yang sebenar bukan Adib, tapi Tun Adib Nasir”.
“Daddy?”
Harraz memandang Adib dan Adib memandang Harraz. Kemudian keduanya serentak memandang DSP.Ghazali dan pembantunya. Adib mengangguk,”Sebab tulah video tu daddy je yang dapat?”
“Sekarang ni pihak kami dah cuba kesan nombor telefon tu, tapi nombor tu didaftar dengan kad pengenalan palsu. Dan nombor tu sendiri pun tak dapat dikesan”.
“Tapi uncle.. kalaulah orang tu berniat jahat dengan Uncle Nasir kenapa tak culik Adib je? Atau Aunty Yam? Kenapa kena culik Syaqiqah?”
“Itu yang uncle pelik, dan itu yang pihak kami tengah cuba selesaikan. Sekarang ni motif penculikan pun tak jelas. Tapi dia bukan penculik biasa-biasa sebab dia memang tak minta wang tebusan atau apa-apa cagaran. Sekarang ni, antara motifnya mungkin dendam, atau mungkin juga nak ugut untuk dapatkan projek atau apa-apa. Tapi yang pasti targetnya adalah Tun Adib Nasir. Kita kena tengok balik semua rekod orang yang pernah buat kes dengan Tun Adib Nasir, atau Adib dengan Harraz ada apa-apa info? Musuh, bekas musuh, orang yang sakit hati, orang yang pernah ada sejarah buruk.. atau orang yang ada kaitan dengan orang yang pernah sakit hati.. sekitar macam tulah.. Sekarang ni uncle nak semua info berkaitan”.
Adib mengangguk, begitu juga Harraz. Bersetuju untuk memberikan kerjasama sepenuhnya. “Uncle..” Adib teringat, DSP.Ghazali dipanggil. “Tadi uncle kata, dia tak ada niat nak bunuh Dibah.. jadi kita boleh legalah kan?”
“Tak boleh cuai,tak boleh leka. Uncle cakap belum, bukan tak ada. Mungkin sekarang, dia masih berguna untuk dia orang. Sebelum dia jadi tak berguna.. kita kena cari Cik Syaqiqah!”

###########

Langkahnya dilajukan agar dapat menjauhkan diri dari lelaki ini. Mengapalah lelaki ini tak faham-faham bahasa? Bukankah sudah dia katakan dia tidak mahu dihantar lelaki itu?
“Diana, biar saya hantarkan awak balik rumah..”
“Encik Hamdi, tolonglah. Saya boleh balik sendiri” Dian menegaskan.
“Tak pe, saya boleh hantarkan. Lagipun dalam kereta ada adik saya tengah tunggu”.
Dian mendengus perlahan. Kalau di zaman belajarnya dulu, sudah lama manusia tidak faham bahasa sebegini ditengkingnya seperti yang ditempuh Harraz dan Adib. “Encik Hamdi…” kata-katanya tergantung bila tiba-tiba sebuah kereta berhenti di sebelahnya. Adib?
“Dian, apa yang tak kena?”
Dian melepas nafas lega. Hamdi dipandang. “Adik saya dah datang. Adib, kenalkan ni rakan sekerja akak.. Encik Hamdi”.
Adib tersengih mendengar gelaran yang digunakan Dian. Adik? Atau bakal adik ipar lebih tepat lagi? Dia menghulurkan tangan bersalaman dengan pemuda yang bersama Dian. “Adib”.
“Hamdi.. seronok dapat kenal adik Diana” Hamdi menyambut huluran Adib.
Diana? Adib ketawa kecil mendengar nama itu sebelum tawa kecilnya dimatikan oleh jegilan mata Dian. “Encik Hamdi bolehlah balik.. biar Adib hantar ‘kakak’ balik”.
Hamdi tergesa-gesa melangkah meninggalkan mereka berdua, barangkali malu dan segan diperlakukan begitu. Adib membuat muka memandanag Dian. “Kau ni cantik sangat ke? Dah ada tunang pun ada orang nak mengurat lagi?”
“Adib!” Dian meninggikan suara, tidak suka diusik sebegitu. “Macam mana kau tahu tempat kerja aku? Ada urusan apa kau datang Melaka? Datang dengan siapa?”
“Ibulah kasi alamat. Urusannya nak jumpa kaulah”.
“Kau.. ada maklumat fasal Iqah ke?” mata Dian langsung membulat.
Adib melepas nafas. Mereka terus melangkah menuju ke perhentian bas. “Aku tak tahu nak cakap macam mana. Kau tengoklah sendiri…” telefon pintarnya dihulurkan pada Dian dan Dian menyambutnya. Video dimainkan, terlepas telefon pintar itu dari pegangan Dian saat melihat adik kesayangannya ditembak. “Mana kau dapat ni?” suara Dian tersekat-sekat dalam air mata.
“Ada orang hantar kat daddy. Aku ingat nak send je tapi bila fikir balik, baik aku jumpa kau. Tapi pihak polis cakap tembakan tu tak kena pada organ penting, jadi insya-Allah adik kau, tunang aku selamat”.
Dian melepaskan tangisannya. “Patutlah ibu call pagi tadi.. ibu cakap ibu tak sedap hati. Adik…”
“Dian.. kau nak bagitahu ibu ke?”
“Sampai sekarang tak ada perkembangan lagi ke? Tak dapat kesan lagi Iqah kat mana?” Dian menyoal dengan mata merahnya.
Adib melepas nafas. “At least.. kita tahu Dibah masih hidup. Pihak polis buat yang terbaik aku yakin.. kita serah jelah pada Allah… Kau nak bagitahu ibu ke?”
Nafas dilepaskan Dian pula. “Aku.. Kau rasa? Tapi aku tak nak bagitahu, aku tak nak ibu susah hati. Tapi… bila ingat balik kejadian Amy tu… aku tak mampu nak ingat macam mana marahnya ibu sebab aku dengan Iqah rahsiakan hal tu. Jadi aku pun tak tahu aku patut bagitahu ke tak..”
Adib senyum kosong. “Ke kau nak aku bagitahu?”
Dian tersenyum lemah, anggukan diberikan. Matanya memandang sekeliling. Mereka sudah tiba di perhentian bas. “Kau berapa hari kat Melaka ni?”
Adib tiba-tiba tersengih. “Balik KL terus, akak kirim salam ibu tau.”
Dian menjuih bibir. “Banyaklah kau punya akak. Dah nikah baru boleh panggil aku akak tau.. Kau datang dari KL semata-mata nak jumpa aku je?”
Adib mengangguk. “Aku ingat nak tengok ibu sekali.. tapi aku kena balik KL cepat.”
Dian mengangguk. “Tak pelah.. Ibu tak marah punya..”
“Tapi” Adib mengecilkan matanya, membuat muka memandang Dian. “Insya-Allah, minggu depan aku datang lagi. Harraz ada surprise…!! untuk bakal bini dia”.
Dian ketawa kecil dengan cara Adib bercakap. “Dahlah, bas dah datang tu. Apa-apa hal, kau mesej aku. Kalau ada benda yang kau tak bagitahu aku..”
“Kau nak buat apa?” Adib memotong.
“Iqah balik nanti, aku tak bagi kau orang kahwin. Iqah tu adik taat tau..” dan Dian berlari menuju pada bas yang sudah tiba. Lambaian bersama senyuman diberikan pada Adib namun sebaik saja duduk di dalam bas, matanya bergenang lagi mengingat video yang baru ditonton tadi. Dan air mata tumpah lagi untuk entah ke berapa kali mengenangkan Syaqiqah Sulaiman kesayangannya.

#############

Jalal duduk seketika di sisi katil sementara menanti Amnah, isteri kesayangannya melipat telekung. “Abang tak solat?” lembut si isteri bertanya, sebolehnya tidak mahu menyentuh perasaan suami.
Jalal menghadiahkan senyuman seperti biasa dan amnah turut tersenyum, dalam hatinya dia berdoa agar suaminya yang sangat dihormati itu dapat bertaubat sebelum ajal memanggil. “Nah nampak fon abang?”
Amnah kelihatan berfikir sambil menyisir rapi rambutnya yang sepanjang paras pinggang. “Rasanya abang tak ada bawak masuk bilik tadi”.
Jalal mengangguk, barangkali tertinggal di meja makan semasa dia meminum air putih tadi, segera kakinya melangkah keluar dari bilik dan menuju ke dapur. “Sayang…”
Amy menoleh. Pa kesayangannya dipandang, “Pa.. ni bukan Syaqiqah ke?” Amy menunjuk video yang sedang ditonton pada telefon pintar milik Jalal.
Jalal sebolehnya cuba menguntum senyum ikhlas, tidak mahu menunjukkan tanda apa-apa pada puteri tunggalnya. “Ya”.
“Mana pa dapat video ni?”
“Uncle Nasir send. Dia cakap ada orang hantar, kesian budak tu.. sampai sekarang tak dapat kesan lagi kat mana”.
Amy diam. Nafasnya dilepas. Ya, kasihan. Benar-benar kasihan. Bagaimanalah agaknya Adib sekarang? Apakah mungkin inilah peluangnya untuk mendapatkan Adib semula? Nafas dilepas, Amy melepaskan sebuah keluhan berat. “Kalau orang dah tak nak kita, macam mana pun dia tetap tak nak kan, pa?”
Jalal memeluk Amy, tidak sukanya dia melihat Amy bersedih begitu. ‘Tak pe sayang.. bila pa dah hapuskan budak Syaqiqah tu, Adib akan menyesal sebab tak pilih anak pa’. Dalam diam, dendam Jalal pada keluarga itu bertambah. Dan.. dia juga akan lebih berhati-hati agar tidak tertinggal telefon pintarnya di mana-mana lagi, bimbang selepas ini Amy akan terbaca mesej-mesejnya pula.

Demi Syaqiqah – P68

Jalal menutup pintu kereta kasar dan langsung melepaskan sebuah tumbukan pada pipi Pisau yang berdiri tepat di hadapannya. Pisau mendiamkan diri, tahu sangat bosnya sedang marah mengenangkan berita yang dia sampaikan tadi.
“Kau cakap dengan aku, macam mana kau buat kerja?” Pisau ditengking, kerana geram tubuh itu disepak sekuat hati.
Pisau mendiamkan diri. Dia sedar itu adalah salahnya sendiri. Tapi memang dia tidak tahu gadis kecil itu memerhatikannya! Kalaulah dia tahu, awal-awal lagi gadis itu tidak akan dibenarkan hidup hingga menyusahkan hidupnya sekarang. “Bos..”
Jalal menenangkan diri, nafas ditarik. Syaqiqah tidak boleh dibunuh sekarang, gadis itu masih berguna untuknya. Tapi habislah dia jika Syaqiqah dapat diselamatkan. Namun siapa yang mahu menyelamatkan gadis itu? Tiada! Jalal ketawa suka hati.
“Macam ni lah.. Pisau, kalau kau nak dapatkan kembali kepercayaan aku.. aku ada kerja untuk kau”.

#############

Syaqiqah memandang lelaki berparut itu. Im ada memberitahunya itu adalah Pisau, ketua mereka. Pistol yang dipegang Pisau dipandang. “Hai. Lama tak jumpa.. pandai kau jaga dia Im. Tak ada luka, macam dah makin gemuk. Nampaknya selera makan kau hidup lagi”.
Syaqiqah memandang Im. Baru dia perasan ada sebuah kotak kecemasan yang dibawa masuk bersama Pisau tadi, dan sekarang ianya berada pada Im. Mata pemuda itu dicari. Nampaknya Im sengaja ‘menolak’ pandangannya. Apa yang berlaku?
Pisau memandang Im. “Cepatlah buka kotak tu! Aku nak kau sediakan barang terus. Tuan tak nak kena jangkitanlah, melaratlah, apalah.. Perempuan… ! Badan lembik!” sergahan itu dialih pada Syaqiqah.
Dahinya berkerut. Apa yang berlaku? Atau.. akan berlaku? Namun dia tidak berani membuka suara. Melihat Pisau saja sudah membuat akalnya menghalang. Silap hari bulan, nyawanya boleh melayang di tangan lelaki itu.
Im menurut arahan. Sungguh dia tidak sampai hati, namun dia tidak punya kuasa untuk menghalang. Dettol dikeluarkan dan dibuka lalu diletakkan di dalam dulang. Kemudian diambil gunting dan kain anduh. Di dalam sebuah mangkuk besi, terdapat pengepit yang direndam. Jag kecil berisi air putih yang dihulurkan temannya turut diletakkan di dalam dulang. Akhir sekali, sarung tangan getah dipakai. “Dah siap, bos” ujarnya perlahan.
Pisau menjeling dengan ketawa kecil. “Kau ni lembut jiwa sangat. Baru jaga perempuan ni sebulan, kau dah sayang dia? Bukan aku tak nampak tangan kau tergetar-getar”.
Syaqiqah tiba-tiba cemas. Dia berdoa sebanyak-banyaknya di dalam hati. Apakah alatan yang disediakan Im itu untuk merawatnya? Pisau mahu menembaknya? Dan Im harus merawatnya? Syaqiqah bingung, jika dia ditembak mengapa dia perlu dirawat? Bukankah lebih baik dia dibunuh saja? Apa perlunya dia dikurung sebegini? Atau mereka mahu menuntut wang tebusan dari daddy?
“Bos.. saya tak sayang.. tapi”
“Dah!” kata-kata Im dipotong. “Aku yang buat, bukan kau. Kalau aku tahu kau lembik macam ni.. dari awal aku tak ambil kau. Tapi tak pe, sebab kau baru lagi. Dah lama nanti kau biasalah.. Atau kau nak cuba? Kali pertama?” Pisau menghulurkan pistol yang dipegangnya pada Im.
Im menggeleng. Dan dia diketawakan temannya yang berada bersama. “Aku tak suruh korang gelakkan dia!!” jerit Pisau marah. Langsung keduanya terdiam. Lelaki yang botak dan bersinglet dipandang Pisau. “Botak, rakam. Aku nak mula ni”.
Botak mengangguk. Dia ke depan berada di sebelah Pisau. Telefon pintar dikeluarkan dan dia membuka kamera. Pisau mengangguk dan pistol diacu pada Syaqiqah. Air mata Syaqiqah sudah menitis kerana ketakutan. Namun tiada esakan suara yang terkeluar kerana dia tahu, Pisau bukan berniat utntuk membunuhnya. Mata menangkap Im yang sudah mengetap bibir. Pandangan Im juga dialih. Syaqiqah memejam mata mendengar picu pistol ditarik.
Pang!!
Bergema satu rumah lama itu dengan bunyi tembakan bersama suara jeritan Syaqiqah. Pisau tersenyum, pistol disimpan kembali dan telefon pintar pada Botak diambil. “Bagus” bahu Botak ditepuk. Nampaknya video yang diambil Botak sangat jelas dan nyata. Pasti bos sangat berpuas hati dengannya. Dia mengambil tempat pada sofa yang terdapat di penjuru bilik.
Im bergegas melangkah pada Syaqiqah. “Cik, tahan sikit” dia menenangkan Syaqiqah yang mengerang. Lengan baju Syaqiqah digunting separuh kerana tembakan itu dilepaskan hampir pada siku. Segera Im memberi rawatan dan peluru dikeluarkan. Dalam hatinya menyumpah seranah Pisau yang langsung tidak menunjukkan belas kasihan. Setelah pendarahan berhenti dan rawatan selesai, tangan itu dibalut.
“Aku nak keluar, kau jaga dia elok-elok. Kita tengok esok dia demam tak, kalau tak demam.. maknanya betullah kau pernah jadi nurse sebelum ni. Ingat.. tuan tak nak apa-apa jadi kat dia” Pisau keluar bersama Botak dan seorang lagi.
Im memejam mata. Nafas lega dilepas. Sarung tangan dibuka dan dia menyelesaikan tugasnya yang belum selesai. Sambil menyimpan semula alatan itu. Syaqiqah dipandang. “Cik… cik ok?”
“Im panggil akaklah” Syaqiqah membetulkan. Sebulan bersama Im, dia yakin jiwa Im masih bersih. Tapi bagaimana pula dia boleh berada di sini?
Im menutup kotak kecemasan itu, masih membelakangkan Syaqiqah. “Saya bukan sayang akak. Tapi…”
“Tak pe akak faham. Bos Im cakap, Im budak baru..”
Im memandang. Jaketnya dibuka dan diletakkan pada tubuh Syaqiqah. Dia tahu Syaqiqah tidak selesa dengan keadaan pakaian yang sudah koyak rabak. “Nanti saya minta dia orang belikan akak baju. Akak mesti nak telekung kan?”
Syaqiqah mengangguk. Tidak diikat seperti awal dia diculik pun sudah cukup bersyukur. Dia dibenarkan bebas didalam bilik kecil itu, tidaklah susah mahu ke bilik air dan sebagainya. “Im”.
Im mendekati Syaqiqah. Dia mengambil tempat di depan wanita itu. Bersamanya dipegang sebiji cawan. “Tapi akak power juga kan? Setakat jerit nangis je.. tak delah pengsan meroyan macam selalu Im tengok..”
Syaqiqah senyum nipis. Nampaknya Im benar-benar pakar merawat luka. Dia sendiri tidak terasa begitu sakit sudah, namun kebas dan lenguh itu tidak juga hilang. “Im.. apa yang bos Im buat sebenarnya?”
“Akak kena rehatkan tangan tu dua tiga hari kalau nak sihat cepat. Nah.. akak minumlah, Im takut akak kurang darah”.
Syaqiqah tersenyum, menyambut huluran Im. “Im tak nak jawab soalan akak?”
Im mengeluh. Dia ketawa kecil. “Akak ni keras kepala kan? Kalau akak nak tahu, sepuluh kali akak tanya. Im tak tahu.. Bos datang, cakap tuan suruh. Im pun tak tahu nak cakap apa. Tapi tuan memang tak nak bunuh akak kut, kalau tak kenapa bos asyik suruh Im jaga akak elok-elok?”
“Im tak jahat.. kenapa Im kat sini?” Syaqiqah memberanikan diri bertanya lagi. Sebelum ini dia sudah pernah memberi soalan itu tapi Im mengamuk sebaik saja dia tanya. Manalah tahu kali ini nasib menyebelahinya.
Im memandang. “Baik akak tak yah tahulah. Im ni bukannya baik. Cuma akak belum nampak jahat Im tu kat mana” Im bangun dari duduknya, melangkah ke pintu. Sebelum melangkah keluar, dia menoleh pada Syaqiqah. “Im memang belum sayangkan akak, tapi nak sayang akak bukannya susah”.
Syaqiqah sedikit terperanjat dengan bunyi pintu yang sengaja ditutup dengan kuat. ‘Nak sayang akak bukannya susah?’ Apa maksud kata-kata Im itu? Dia sayangkan dirinya? Sebagai… sebagai apa? Nafas dilepas, sudahlah Syaqiqah malas mahu memikirkannya. Dia mahu tidur, terasa penat sekali hari ini.