Demi Syaqiqah – P68

Jalal menutup pintu kereta kasar dan langsung melepaskan sebuah tumbukan pada pipi Pisau yang berdiri tepat di hadapannya. Pisau mendiamkan diri, tahu sangat bosnya sedang marah mengenangkan berita yang dia sampaikan tadi.
“Kau cakap dengan aku, macam mana kau buat kerja?” Pisau ditengking, kerana geram tubuh itu disepak sekuat hati.
Pisau mendiamkan diri. Dia sedar itu adalah salahnya sendiri. Tapi memang dia tidak tahu gadis kecil itu memerhatikannya! Kalaulah dia tahu, awal-awal lagi gadis itu tidak akan dibenarkan hidup hingga menyusahkan hidupnya sekarang. “Bos..”
Jalal menenangkan diri, nafas ditarik. Syaqiqah tidak boleh dibunuh sekarang, gadis itu masih berguna untuknya. Tapi habislah dia jika Syaqiqah dapat diselamatkan. Namun siapa yang mahu menyelamatkan gadis itu? Tiada! Jalal ketawa suka hati.
“Macam ni lah.. Pisau, kalau kau nak dapatkan kembali kepercayaan aku.. aku ada kerja untuk kau”.

#############

Syaqiqah memandang lelaki berparut itu. Im ada memberitahunya itu adalah Pisau, ketua mereka. Pistol yang dipegang Pisau dipandang. “Hai. Lama tak jumpa.. pandai kau jaga dia Im. Tak ada luka, macam dah makin gemuk. Nampaknya selera makan kau hidup lagi”.
Syaqiqah memandang Im. Baru dia perasan ada sebuah kotak kecemasan yang dibawa masuk bersama Pisau tadi, dan sekarang ianya berada pada Im. Mata pemuda itu dicari. Nampaknya Im sengaja ‘menolak’ pandangannya. Apa yang berlaku?
Pisau memandang Im. “Cepatlah buka kotak tu! Aku nak kau sediakan barang terus. Tuan tak nak kena jangkitanlah, melaratlah, apalah.. Perempuan… ! Badan lembik!” sergahan itu dialih pada Syaqiqah.
Dahinya berkerut. Apa yang berlaku? Atau.. akan berlaku? Namun dia tidak berani membuka suara. Melihat Pisau saja sudah membuat akalnya menghalang. Silap hari bulan, nyawanya boleh melayang di tangan lelaki itu.
Im menurut arahan. Sungguh dia tidak sampai hati, namun dia tidak punya kuasa untuk menghalang. Dettol dikeluarkan dan dibuka lalu diletakkan di dalam dulang. Kemudian diambil gunting dan kain anduh. Di dalam sebuah mangkuk besi, terdapat pengepit yang direndam. Jag kecil berisi air putih yang dihulurkan temannya turut diletakkan di dalam dulang. Akhir sekali, sarung tangan getah dipakai. “Dah siap, bos” ujarnya perlahan.
Pisau menjeling dengan ketawa kecil. “Kau ni lembut jiwa sangat. Baru jaga perempuan ni sebulan, kau dah sayang dia? Bukan aku tak nampak tangan kau tergetar-getar”.
Syaqiqah tiba-tiba cemas. Dia berdoa sebanyak-banyaknya di dalam hati. Apakah alatan yang disediakan Im itu untuk merawatnya? Pisau mahu menembaknya? Dan Im harus merawatnya? Syaqiqah bingung, jika dia ditembak mengapa dia perlu dirawat? Bukankah lebih baik dia dibunuh saja? Apa perlunya dia dikurung sebegini? Atau mereka mahu menuntut wang tebusan dari daddy?
“Bos.. saya tak sayang.. tapi”
“Dah!” kata-kata Im dipotong. “Aku yang buat, bukan kau. Kalau aku tahu kau lembik macam ni.. dari awal aku tak ambil kau. Tapi tak pe, sebab kau baru lagi. Dah lama nanti kau biasalah.. Atau kau nak cuba? Kali pertama?” Pisau menghulurkan pistol yang dipegangnya pada Im.
Im menggeleng. Dan dia diketawakan temannya yang berada bersama. “Aku tak suruh korang gelakkan dia!!” jerit Pisau marah. Langsung keduanya terdiam. Lelaki yang botak dan bersinglet dipandang Pisau. “Botak, rakam. Aku nak mula ni”.
Botak mengangguk. Dia ke depan berada di sebelah Pisau. Telefon pintar dikeluarkan dan dia membuka kamera. Pisau mengangguk dan pistol diacu pada Syaqiqah. Air mata Syaqiqah sudah menitis kerana ketakutan. Namun tiada esakan suara yang terkeluar kerana dia tahu, Pisau bukan berniat utntuk membunuhnya. Mata menangkap Im yang sudah mengetap bibir. Pandangan Im juga dialih. Syaqiqah memejam mata mendengar picu pistol ditarik.
Pang!!
Bergema satu rumah lama itu dengan bunyi tembakan bersama suara jeritan Syaqiqah. Pisau tersenyum, pistol disimpan kembali dan telefon pintar pada Botak diambil. “Bagus” bahu Botak ditepuk. Nampaknya video yang diambil Botak sangat jelas dan nyata. Pasti bos sangat berpuas hati dengannya. Dia mengambil tempat pada sofa yang terdapat di penjuru bilik.
Im bergegas melangkah pada Syaqiqah. “Cik, tahan sikit” dia menenangkan Syaqiqah yang mengerang. Lengan baju Syaqiqah digunting separuh kerana tembakan itu dilepaskan hampir pada siku. Segera Im memberi rawatan dan peluru dikeluarkan. Dalam hatinya menyumpah seranah Pisau yang langsung tidak menunjukkan belas kasihan. Setelah pendarahan berhenti dan rawatan selesai, tangan itu dibalut.
“Aku nak keluar, kau jaga dia elok-elok. Kita tengok esok dia demam tak, kalau tak demam.. maknanya betullah kau pernah jadi nurse sebelum ni. Ingat.. tuan tak nak apa-apa jadi kat dia” Pisau keluar bersama Botak dan seorang lagi.
Im memejam mata. Nafas lega dilepas. Sarung tangan dibuka dan dia menyelesaikan tugasnya yang belum selesai. Sambil menyimpan semula alatan itu. Syaqiqah dipandang. “Cik… cik ok?”
“Im panggil akaklah” Syaqiqah membetulkan. Sebulan bersama Im, dia yakin jiwa Im masih bersih. Tapi bagaimana pula dia boleh berada di sini?
Im menutup kotak kecemasan itu, masih membelakangkan Syaqiqah. “Saya bukan sayang akak. Tapi…”
“Tak pe akak faham. Bos Im cakap, Im budak baru..”
Im memandang. Jaketnya dibuka dan diletakkan pada tubuh Syaqiqah. Dia tahu Syaqiqah tidak selesa dengan keadaan pakaian yang sudah koyak rabak. “Nanti saya minta dia orang belikan akak baju. Akak mesti nak telekung kan?”
Syaqiqah mengangguk. Tidak diikat seperti awal dia diculik pun sudah cukup bersyukur. Dia dibenarkan bebas didalam bilik kecil itu, tidaklah susah mahu ke bilik air dan sebagainya. “Im”.
Im mendekati Syaqiqah. Dia mengambil tempat di depan wanita itu. Bersamanya dipegang sebiji cawan. “Tapi akak power juga kan? Setakat jerit nangis je.. tak delah pengsan meroyan macam selalu Im tengok..”
Syaqiqah senyum nipis. Nampaknya Im benar-benar pakar merawat luka. Dia sendiri tidak terasa begitu sakit sudah, namun kebas dan lenguh itu tidak juga hilang. “Im.. apa yang bos Im buat sebenarnya?”
“Akak kena rehatkan tangan tu dua tiga hari kalau nak sihat cepat. Nah.. akak minumlah, Im takut akak kurang darah”.
Syaqiqah tersenyum, menyambut huluran Im. “Im tak nak jawab soalan akak?”
Im mengeluh. Dia ketawa kecil. “Akak ni keras kepala kan? Kalau akak nak tahu, sepuluh kali akak tanya. Im tak tahu.. Bos datang, cakap tuan suruh. Im pun tak tahu nak cakap apa. Tapi tuan memang tak nak bunuh akak kut, kalau tak kenapa bos asyik suruh Im jaga akak elok-elok?”
“Im tak jahat.. kenapa Im kat sini?” Syaqiqah memberanikan diri bertanya lagi. Sebelum ini dia sudah pernah memberi soalan itu tapi Im mengamuk sebaik saja dia tanya. Manalah tahu kali ini nasib menyebelahinya.
Im memandang. “Baik akak tak yah tahulah. Im ni bukannya baik. Cuma akak belum nampak jahat Im tu kat mana” Im bangun dari duduknya, melangkah ke pintu. Sebelum melangkah keluar, dia menoleh pada Syaqiqah. “Im memang belum sayangkan akak, tapi nak sayang akak bukannya susah”.
Syaqiqah sedikit terperanjat dengan bunyi pintu yang sengaja ditutup dengan kuat. ‘Nak sayang akak bukannya susah?’ Apa maksud kata-kata Im itu? Dia sayangkan dirinya? Sebagai… sebagai apa? Nafas dilepas, sudahlah Syaqiqah malas mahu memikirkannya. Dia mahu tidur, terasa penat sekali hari ini.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s