Demi Syaqiqah – P69

Senyuman manis dia berikan pada setiausaha Tun Adib Nasir yang benar-benar setia itu. “Silakan Dato’. Tun dah tunggu”.
Jalal melangkah masuk. Dia duduk di sudut tetamu yang disediakan.
Tun Adib Nasir tersenyum. “Kejap ye Jalal”. Sambil itu, Tun Adib Nasir mencapai dua buah fail yang diperlukan untuk pertemuan mereka berdua sebelum mesyuarat bersama ahli lembaga pengarah sebentar lagi. Telefon bimbit yang terletak di sisi komputer ribanya dipandang bila mendengar bunyi mesej masuk. Dahi berkerut melihat mesej ‘What’s App’ daripada nombor tak dikenali. Tiada salam, tiada sapaan. Hanya video yang sedang dimuat turun.
Kakinya lemah menonton video itu. Terasa bagai mahu tumbang saat melihat gadis kesayangannya ditembak sebegitu.
“Daddy!” Adib yang baru masuk segera memapah daddynya yang hampir rebah. Telefon pintar yang sudah terlepas dari pegangan Tun Adib Nasir diambil dan dia memandang Tun Adib Nasir yang sudah duduk di sofa. “Kenapa daddy?”
Tun Adib Nasir melepas nafas, menenangkan diri. Jalal dipandang, “Jalal, awak masuk meeting dulu. Saya lambat sikit”.
Jalal bangun dan mengangguk. Dia melangkah keluar menuju ke bilik mesyuarat. Senyuman sinis yang cuba disembunyikan nampaknya tidak berjaya kerana Adib terperasankannya.
“Cuba Adib cek fon, ada tak mesej masuk?” Tun Adib Nasir menyoal Adib. Dalam masa yang sama, jari-jemari ligat menaip mesej pada DSP.Ghazali. Memohon untuk berjumpa serta-merta.
Kepalanya digeleng. Memang ada mesej tapi tiada yang luar biasa. Semuanya mesej yang biasa-biasa. “Tak ada apa pun, daddy” Adib mengambil tempat di hadapan Tun Adib Nasir sambil tangan menghulur telefon pintarnya.
Tun Adib Nasir mengerutkan dahi. Jadi hanya dia yang mendapat mesej itu..? Tapi mengapa? Apa niat si penghantar mesej dan apa pula kaitannya dengan si penculik lalu apa pula niat mereka menghantar video itu padanya dan bukan pada Adib? “Tengok ni”.
Mata Adib membulat melihat darah yang memercik keluar daripada tubuh Syaqiqah. “Dibah!” matanya langsung merah menahan air mata. Nafas turun naik menahan marah juga menahan debaran. Dia bangun dari duduknya. Adib sudah hilang arah. Nombor si penghantar mesej beberapa kali dihubungi tapi tiada jawapan. Dan beberapa kali terakhir operator memaklumkan nombor itu tiada dalam rekod. Telefon pintar daddynya digenggam bersama air mata yang makin galak mengalir. Kepalanya serabut memeikirkan apakah Syaqiqah sudah ok atau belum? Lukanya apakah ada yang merawat atau tidak? Atau peluru masih berada pada bahunya? Serabut lagi memikirkan sang penculik yang langsung tidak berhati perut hingga sanggup bermain dengan nyawa tunangannya. Segala persolan dan perasaan bersatu membuatkan wajahnya basah dengan air mata.
Tun Adib Nasir menepuk bahu Adib. Jika tadi dia hampir pengsan, anaknya kini lebih teruk. Perlahan telefon pintarnya diambil daripada Adib untuk memeriksa mesej dari DSP.Ghazali.
“Adib takkan maafkan orang yang buat semua ni!!” Adib mengesat air matanya. Tun Adib Nasir dipandang. “Tapi daddy.. kenapa dia tak hantar video tu kat Adib je?”
“Adib kena tenang. Daddy dah buat temu janji dengan DSP. Apa-apa hal, bincang dengan dia. Daddy kena masuk meeting” bahu Adib ditepuk dan dia keluar dari bilik.
Adib menarik nafas panjang. Nombor Harraz dicari untuk dihubungi, namun panggilan dari Harraz lebih dahulu diterimanya. “Assalamualaikum Adib. Aku kat office kau ni..”
Adib berdiri. Langkah laju menuju keluar dari pejabat Tun Adib Nasir. “Kita bincang nanti, sekarang aku nak ajak kau pergi jumpa Uncle Zali. Segera!”

#############

Seluruh anggota tubuhnya bagai terhenti seketika melihat fail yang berterabur di atas lantai. Dia bingung bagaimana fail-fail itu boleh jatuh dengan tiba-tiba. Namun Hannan disedarkan oleh pelajarnya yang datang membantu.
“Cikgu, cikgu ok tak ni?”
Hannan tersenyum melihat pelajarnya. “Cikgu ok. Terima kasi Salwa, Devi”.
“Tak pelah cikgu, fail-fail ni kami tolong bawa”.
“Kalau macam tu, Salwa tolong hantar ke bilik guru. Letak je atas meja cikgu”.
Hannan melihat dua sahabat berlainan agama dan bangsa itu. Dia tiba-tiba terasa tidak sedap hati. Fail yang tiba-tiba jatuh berterabur sudah cukup untuk membuatkan hatinya tidak tenang. Apakah ada apa-apa yang menimpa kedua puterinya? Segera Hannan menghubungi puteri sulungnya yang baru memulakan kerja dua hari lepas.

#############

Keluhan dilepaskan mereka berempat yang duduk di meja itu. Semua buntu dengan kes yang tidak ditemui asal-usul dan sebab-musababnya. DSP.Ghazali mengerut dahinya. Adib dipandang. “Tapi ada satu perkara yang uncle pasti”.
“Maksud uncle?” Adib dan Harraz menyoal serentak.
Nafas dilepas, “Penculik ni belum berniat nak bunuh Cik Syaqiqah, sebab tembakan dilepaskan pada tempat yang tak mendatangkan bahaya. Dan target yang sebenar bukan Adib, tapi Tun Adib Nasir”.
“Daddy?”
Harraz memandang Adib dan Adib memandang Harraz. Kemudian keduanya serentak memandang DSP.Ghazali dan pembantunya. Adib mengangguk,”Sebab tulah video tu daddy je yang dapat?”
“Sekarang ni pihak kami dah cuba kesan nombor telefon tu, tapi nombor tu didaftar dengan kad pengenalan palsu. Dan nombor tu sendiri pun tak dapat dikesan”.
“Tapi uncle.. kalaulah orang tu berniat jahat dengan Uncle Nasir kenapa tak culik Adib je? Atau Aunty Yam? Kenapa kena culik Syaqiqah?”
“Itu yang uncle pelik, dan itu yang pihak kami tengah cuba selesaikan. Sekarang ni motif penculikan pun tak jelas. Tapi dia bukan penculik biasa-biasa sebab dia memang tak minta wang tebusan atau apa-apa cagaran. Sekarang ni, antara motifnya mungkin dendam, atau mungkin juga nak ugut untuk dapatkan projek atau apa-apa. Tapi yang pasti targetnya adalah Tun Adib Nasir. Kita kena tengok balik semua rekod orang yang pernah buat kes dengan Tun Adib Nasir, atau Adib dengan Harraz ada apa-apa info? Musuh, bekas musuh, orang yang sakit hati, orang yang pernah ada sejarah buruk.. atau orang yang ada kaitan dengan orang yang pernah sakit hati.. sekitar macam tulah.. Sekarang ni uncle nak semua info berkaitan”.
Adib mengangguk, begitu juga Harraz. Bersetuju untuk memberikan kerjasama sepenuhnya. “Uncle..” Adib teringat, DSP.Ghazali dipanggil. “Tadi uncle kata, dia tak ada niat nak bunuh Dibah.. jadi kita boleh legalah kan?”
“Tak boleh cuai,tak boleh leka. Uncle cakap belum, bukan tak ada. Mungkin sekarang, dia masih berguna untuk dia orang. Sebelum dia jadi tak berguna.. kita kena cari Cik Syaqiqah!”

###########

Langkahnya dilajukan agar dapat menjauhkan diri dari lelaki ini. Mengapalah lelaki ini tak faham-faham bahasa? Bukankah sudah dia katakan dia tidak mahu dihantar lelaki itu?
“Diana, biar saya hantarkan awak balik rumah..”
“Encik Hamdi, tolonglah. Saya boleh balik sendiri” Dian menegaskan.
“Tak pe, saya boleh hantarkan. Lagipun dalam kereta ada adik saya tengah tunggu”.
Dian mendengus perlahan. Kalau di zaman belajarnya dulu, sudah lama manusia tidak faham bahasa sebegini ditengkingnya seperti yang ditempuh Harraz dan Adib. “Encik Hamdi…” kata-katanya tergantung bila tiba-tiba sebuah kereta berhenti di sebelahnya. Adib?
“Dian, apa yang tak kena?”
Dian melepas nafas lega. Hamdi dipandang. “Adik saya dah datang. Adib, kenalkan ni rakan sekerja akak.. Encik Hamdi”.
Adib tersengih mendengar gelaran yang digunakan Dian. Adik? Atau bakal adik ipar lebih tepat lagi? Dia menghulurkan tangan bersalaman dengan pemuda yang bersama Dian. “Adib”.
“Hamdi.. seronok dapat kenal adik Diana” Hamdi menyambut huluran Adib.
Diana? Adib ketawa kecil mendengar nama itu sebelum tawa kecilnya dimatikan oleh jegilan mata Dian. “Encik Hamdi bolehlah balik.. biar Adib hantar ‘kakak’ balik”.
Hamdi tergesa-gesa melangkah meninggalkan mereka berdua, barangkali malu dan segan diperlakukan begitu. Adib membuat muka memandanag Dian. “Kau ni cantik sangat ke? Dah ada tunang pun ada orang nak mengurat lagi?”
“Adib!” Dian meninggikan suara, tidak suka diusik sebegitu. “Macam mana kau tahu tempat kerja aku? Ada urusan apa kau datang Melaka? Datang dengan siapa?”
“Ibulah kasi alamat. Urusannya nak jumpa kaulah”.
“Kau.. ada maklumat fasal Iqah ke?” mata Dian langsung membulat.
Adib melepas nafas. Mereka terus melangkah menuju ke perhentian bas. “Aku tak tahu nak cakap macam mana. Kau tengoklah sendiri…” telefon pintarnya dihulurkan pada Dian dan Dian menyambutnya. Video dimainkan, terlepas telefon pintar itu dari pegangan Dian saat melihat adik kesayangannya ditembak. “Mana kau dapat ni?” suara Dian tersekat-sekat dalam air mata.
“Ada orang hantar kat daddy. Aku ingat nak send je tapi bila fikir balik, baik aku jumpa kau. Tapi pihak polis cakap tembakan tu tak kena pada organ penting, jadi insya-Allah adik kau, tunang aku selamat”.
Dian melepaskan tangisannya. “Patutlah ibu call pagi tadi.. ibu cakap ibu tak sedap hati. Adik…”
“Dian.. kau nak bagitahu ibu ke?”
“Sampai sekarang tak ada perkembangan lagi ke? Tak dapat kesan lagi Iqah kat mana?” Dian menyoal dengan mata merahnya.
Adib melepas nafas. “At least.. kita tahu Dibah masih hidup. Pihak polis buat yang terbaik aku yakin.. kita serah jelah pada Allah… Kau nak bagitahu ibu ke?”
Nafas dilepaskan Dian pula. “Aku.. Kau rasa? Tapi aku tak nak bagitahu, aku tak nak ibu susah hati. Tapi… bila ingat balik kejadian Amy tu… aku tak mampu nak ingat macam mana marahnya ibu sebab aku dengan Iqah rahsiakan hal tu. Jadi aku pun tak tahu aku patut bagitahu ke tak..”
Adib senyum kosong. “Ke kau nak aku bagitahu?”
Dian tersenyum lemah, anggukan diberikan. Matanya memandang sekeliling. Mereka sudah tiba di perhentian bas. “Kau berapa hari kat Melaka ni?”
Adib tiba-tiba tersengih. “Balik KL terus, akak kirim salam ibu tau.”
Dian menjuih bibir. “Banyaklah kau punya akak. Dah nikah baru boleh panggil aku akak tau.. Kau datang dari KL semata-mata nak jumpa aku je?”
Adib mengangguk. “Aku ingat nak tengok ibu sekali.. tapi aku kena balik KL cepat.”
Dian mengangguk. “Tak pelah.. Ibu tak marah punya..”
“Tapi” Adib mengecilkan matanya, membuat muka memandang Dian. “Insya-Allah, minggu depan aku datang lagi. Harraz ada surprise…!! untuk bakal bini dia”.
Dian ketawa kecil dengan cara Adib bercakap. “Dahlah, bas dah datang tu. Apa-apa hal, kau mesej aku. Kalau ada benda yang kau tak bagitahu aku..”
“Kau nak buat apa?” Adib memotong.
“Iqah balik nanti, aku tak bagi kau orang kahwin. Iqah tu adik taat tau..” dan Dian berlari menuju pada bas yang sudah tiba. Lambaian bersama senyuman diberikan pada Adib namun sebaik saja duduk di dalam bas, matanya bergenang lagi mengingat video yang baru ditonton tadi. Dan air mata tumpah lagi untuk entah ke berapa kali mengenangkan Syaqiqah Sulaiman kesayangannya.

#############

Jalal duduk seketika di sisi katil sementara menanti Amnah, isteri kesayangannya melipat telekung. “Abang tak solat?” lembut si isteri bertanya, sebolehnya tidak mahu menyentuh perasaan suami.
Jalal menghadiahkan senyuman seperti biasa dan amnah turut tersenyum, dalam hatinya dia berdoa agar suaminya yang sangat dihormati itu dapat bertaubat sebelum ajal memanggil. “Nah nampak fon abang?”
Amnah kelihatan berfikir sambil menyisir rapi rambutnya yang sepanjang paras pinggang. “Rasanya abang tak ada bawak masuk bilik tadi”.
Jalal mengangguk, barangkali tertinggal di meja makan semasa dia meminum air putih tadi, segera kakinya melangkah keluar dari bilik dan menuju ke dapur. “Sayang…”
Amy menoleh. Pa kesayangannya dipandang, “Pa.. ni bukan Syaqiqah ke?” Amy menunjuk video yang sedang ditonton pada telefon pintar milik Jalal.
Jalal sebolehnya cuba menguntum senyum ikhlas, tidak mahu menunjukkan tanda apa-apa pada puteri tunggalnya. “Ya”.
“Mana pa dapat video ni?”
“Uncle Nasir send. Dia cakap ada orang hantar, kesian budak tu.. sampai sekarang tak dapat kesan lagi kat mana”.
Amy diam. Nafasnya dilepas. Ya, kasihan. Benar-benar kasihan. Bagaimanalah agaknya Adib sekarang? Apakah mungkin inilah peluangnya untuk mendapatkan Adib semula? Nafas dilepas, Amy melepaskan sebuah keluhan berat. “Kalau orang dah tak nak kita, macam mana pun dia tetap tak nak kan, pa?”
Jalal memeluk Amy, tidak sukanya dia melihat Amy bersedih begitu. ‘Tak pe sayang.. bila pa dah hapuskan budak Syaqiqah tu, Adib akan menyesal sebab tak pilih anak pa’. Dalam diam, dendam Jalal pada keluarga itu bertambah. Dan.. dia juga akan lebih berhati-hati agar tidak tertinggal telefon pintarnya di mana-mana lagi, bimbang selepas ini Amy akan terbaca mesej-mesejnya pula.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s