Demi Syaqiqah – P70

Songkok yang terletak kemas di atas kepala dibuka lalu diletakkan di sisinya. Jam dinding dilihat, baru jam 6.14 pagi. Telefon bimbit yang berada di atas meja lampu tidur Adib capai. “Ya Allah, walau apa pun yang berlaku. Kau jauhkanlah Dibah dari segala ancaman yang boleh membahayakan nyawanya” doa Adib perlahan.
Gambar Syaqiqah yang bertimbun di dalam galeri gambar telefon pintarnya diperhati satu demi satu. “Dibah.. abang rindu”.
Mengapa mereka masih belum mendapat sebarang petunjuk yang membawa pada penemuan Syaqiqah? Adib bertanya diri sendiri. Pihak penculik pula jelasnya sengaja melengah-lengahkan masa dengan cara berdiam diri. Jarang sekali menghantar sesuatu, itu yang lebih menyukarkan pihak polis menemukan hasil. Dia mengeluh, apakah perlu dia menemui Amy lagi? Tidak tahu mengapa, tapi rasa hati Adib benar-benar kuat mengatakan ia ada kaitan dengan Amy. Bukanlah dia bermaksud Amy adalah penculiknya tetapi… mungkin Amy ada sumber yang boleh membantu mereka? Tapi.. dia sendiri rasa bersalah mahu menemui Amy lagi. Hari itu saja, hampir Harraz dengan Amy bertikam lidah. Adib tahu Amy sangat terasa hati padanya, tapi apa yang boleh dia lakukan memandangkan dia benar-benar menganggap Amy hanya sebagai adik perempuannya saja?
Adib benar-benar tidak tahu siapa yang memusuhi daddynya, kerana Adib tahu benar sikap Tun Adib Nasir yang suka mengalah dan lebih gemar mengelak dari mencari fasal. Lalu bukti atau info yang dimahukan DSP.Ghazali, bagaimana akan dia menemuinya?
Telefon pintarnya berbunyi menandakan ada panggilan masuk. Panggilan dari Harraz itu segera dijawab, “Assalamualaikum Raz”.
“Waalaikumussalam, Dib. Kau jadi tak nak ikut aku pergi Melaka?”
Adib menepuk dahinya, lupa pula dia Harraz mengajaknya pergi ke Melaka hari ini. “Jadilah.. pukul berapa kau nak ambil aku ni?”
“Lapan pagi insya-Allah.. Tapi Raz, kau rasa Dian terkejut tak dengan permintaa aku nanti?”
Adib gelak yang dibuat-buat. Teringat hari itu dia ada memberitahu Dian bahawa Harraz ada kejutan tergemoar buatnya. “Aku rasa ibu setuju je.. Kalau nak tunggu aku dengan Dibah, silap hari bulan ada orang kebas kau punya Dian tu”.
“Maksud kau?”
“Masa aku jumpa Dian hari tu, ada mamat tengah mengurat dia.. bukanlah mengurat, Dian kata dia nak hantarkan Dian balik. Tapi Dian tak pernah setuju pun, cuma biasalah kita ni kalau dah suka tu.. jenis yang jual mahal tu lagilah nak kejar”.
Harraz diam tiada berjawapan. Ya, Diannya memang sangat menarik. Dian punya satu aura yang membuatkan kaum Adam mudah tertarik padanya. Mujurlah Adib bercerita, sekurangnya dia lebih yakin saat ini.

############

“Ibu! Ayam ni semua nak goreng ke?” Dian menjerit pada ibu yang berada di ruang tamu.
Hannan yang baru selesai menyiapkan meja makan melangkah ke dapur. “Akak.. tak payah jerit pun ibu dengarlah. Dah nak jadi isteri orang pun..”
Dian senyum menampakkan barisan giginya. “Betul ke nak goreng semua ni? Macam banyak je..”
“Ada tetamu nak datang. Goreng je semua tu”.
Dian memandang ibu setelah menghidupkan api dapur. “Siapa? Ibu tak cakap pun..”
Hannan hanya menghadiahkan senyuman buat puterinya itu. Nampaknya baik Adib dan Harraz keduanya tidak memberitahu apa-apa pada Dian.

#############

Tun Adib Nasir melangkah masuk ke biliknya perlahan. Ada Enon yang sedang melayani isterinya bersarapan. “Enon…”
“Abang dah balik?” Tun Maryamul Azra menyapa dengan senyuman.
“Tak pe, biar saya buat” Tun Adib Nasir menghulur tangan meminta pinggan dari Enon.
“Yam…” Tun Adib Nasir memandang pinggan setelah Enon menutup pintu bilik. “Kan doktor pesan Yam tak boleh makan makanan bersantan buat masa ni.. kenapa nasi lemak pula?”
Tun Maryamul Azra senyum mengetap bibir. “Yam teringinlah, tu yang Yam minta Jah masakkan. Abang tak marah kan?”
Tun Adib Nasir melepas nafas mendengar jawpan si isteri. Dia terus menyuap nasi lemak itu ke dalam mulut Tun Maryamul Azra. Tun Adib Nasir tahu bahawa keadaan kesihatan isterinya semakin merosot lantaran kehilangan Syaqiqah yang tiada khabar, dia juga tidak memberitahu apa-apa pada Tun Maryamul Azra kerana bimbang keadaan kesihatan isterinya itu akan lebih merosot. “Abang minta maaf… sekarang ni susah betul nak balik rumah, banyak sangat kerja sebab Adib sibuk cari Dibah. Kerja-kerja kat office yang menimbun tu pun tak selesai-selesai. Sekarang ni banyak abang minta Jalal yang uruskan. Itu pun nasib baik, kadang-kadang Adib datang juga buat apa yang patut..”
Tun Maryamul Azra tersenyum sambil tangannya diletakkan pada pipi suami. “Yam yang kena minta maaf sebab tak dapat tolong abang apa-apa. Nak bangun sendiri pun tak boleh..”
Tun Adib Nasir menguntum senyum lagi. “Abang janji, nanti kalau dah selesai semuanya.. abang nak bawa Yam pergi Mekah, buat haji”.
“Yam faham.. abang tak payah janjilah, ada rezeki ada.. kalau tak ada nak buat macam mana kan? Tapi abang..”
“Ya?”
“Tak ada berita fasal Dibah ke? Memang tak ada langsung?”
“DSP pun buntu, katanya bila penculik tu terlalu diam,tak ada tindakan.. pihak polis sendiri susah nak cari bukti. Sebab tak ada petunjuk apa-apa. Penculik tu seolah-olah menculik sebab suka-suka, tu yang tak minta apa-apa. Cuma sekarang ni pihak polis memang tengah usaha sehabis baik untuk kesan Dibah”.

############

Syaiqah memandang Im yang menatang pingan makan tengah hari buatnya. “Lamb chop? Western food?”
Im mengangguk. “Ke akak tak makan western food?”
Syaqiqah menyambut dengan senyuman. Dia menanti Im mengambil tempat sebelum mula makan tengah hari. “Kadang-kadang, akak tak rasa macam kena culik tapi macam duduk dalam penjara. Sebab Im jaga akak baik sangat.. bahu ni dah sihat dah”.
Im senyum kelat. “Im tak faham kenapa bos culik akak. Lepas tu beribu kali pesan jangan bagi akak sakit bla bla bla…”
“Bos Im nak apa dengan akak?”
Im memandang, sejujurnya dia sendiri tidak tahu apa-apa kerana mereka yang lain tidak mahu bercerita padanya. Katanya Im budak baru, hanya menurut arahan tidak boleh banyak tanya. “Im tak tahu, kak. Tapi macam mana pun, akak tetap tak selamat kat sini”.
Syaqiqah senyum lemah, untuk apa dia diculik sebenarnya? Dan dia diculik oleh siapa? Apa yang mereka mahu darinya? Atau dari orang sekelilingnya? Apa motif penculikan ini sebenarnya? Jika dia mahu diapa-apakan mengapa mereka menjaganya dengan baik sekali? Dengan erti kata lain, dia bukannya diculik tapi lebih pada dikurung, dilarang menemui sesiapa. “Tapi.. kenapa Im kasi western food hari ni?”
“Saja… Im nak hiburkan akak. Akak tu tebusan yang membosankan.. baik sangat. Jerit tak, nangis tak, cuba nak lari pun tak, melawan pun tak.. tu yang akak makin gemuk, apa Im bagi semua akak makan. Tu yang Im tak faham kenapa bos culik akak, punyalah baik macam ni..” Im bercerita dengan tawanya.
Syaqiqah melepas nafas, mengeluh. Iyalah, apa yang dia dapat jika melakukan itu semua? Silap hari bulan, nyawa pun sudah melayang. Bukanlah dia hebat sangat untuk cuba melarikan diri dari situ tanpa ditangkap kembali. Untuk apa dia menangis dan menjerit bila dia tahu tiada siapa yang boleh menolongnya, baik dia ikutkan saja permainan aneh ini. Tapi… Syaqiqah benar-benar berharap agar dia dapat keluar dari situ sesegera mungkin. Rindunya pada ibu dan kakak sudah tidak terbendung lagi.

############

Bunyi hon kereta mengejutkan Dian yang baru selesai menunaikan solat Zohor. Niat untuk membuka telekung dibatalkan kerana hatinya lebih ingin tahu siapa tetamu yang ibu maksudkan. Segera Dian mengintai dari tingkap. “Harraz?” Dian mengerutkan dahi, tapi Harraz tidak memberitahunya dia mahu datang? Oh… baru Dian teringat, hari itu Adib ada memaklumkan kedatangan mereka. Katanya Harraz ada kejutan, kejutan apalah itu agaknya?
Hannan menyambut kedua bakal menantunya dengan senyuman. “Masuklah.. Dian kat bilik lagi..”
“Ibu sihat?” keduanya menyoal serentak membuatkan Hannan tersenyum. “Alhamdulillah.. macam nilah keadaannya. Adib tak ada berita apa-apa fasal Iqah?”
Adib mengangguk, dia memang berniat untuk menunjukkan video itu hari ini. “Ada ni..” serentak Adib menghulurkan telefon pintar, Dian keluar dari bilik sekaligus mematikan kata-katanya.
“Ibu”.
“Jomlah makan dulu, nanti sejuk lauk pauk tu. Susah payah ibu masak. Fasal Iqah nanti ye Adib, ibu takut ibu hilang selera makan pulak” Hannan berlalu ke dapur dan Adib mengikut, memberi ruang pada Harraz dan Dian bertegur sapa.
Harraz memandang Dian yang cantik bertudung bawal bersama abaya merah. “Awak apa khabar?”
“Alhamdulillah, macam biasa. Awak pun nampak macam sihat.. kat rumah semua sihat?” Dian bertanya soal keluarga Harraz.
“Alhamdulillah.. jom” Harraz langsung berlalu ke dapur, segan. Dian melepas nafas, apalah agaknya kejutan yang mahu Harraz berikan padanya.
Suasana makan tengah hari itu bermula seperti biasa. Dian hanya mendiamkan diri, mendengar kedua pemuda itu berbual dengan ibunya. Bertanya khabar itu dan ini, bercerita itu dan ini. Setakat ini masih belum juga Dian temui tanda-tanda kejutan Harraz.
“Ha Harraz… kata ada benda penting nak bincang dengan ibu, apa dia?”
Dian mengerutkan dahi, wajahnya diangkat memandang Hannan. Harraz memandang Adib buat beberapa ketika sebelum Adib memberi anggukan. Nafas ditarik sedalam mungkin sebelum dia membuka suara. “Raz nak minta percepatkan nikah Raz dengan Dian”.
Dian segera mencapai gelas di hadapannya, tersedak dia mendengar permintaan Harraz. Hannan dan Adib memandang Dian kemudian sama-sama tersenyum. “Surprised tak?” Adib sengaja mengusik.
“Raz faham ibu dengan Dian sama-sama tengah susah hati fasal Syaqiqah. Cuma Raz fikir kalau dah nikah.. Raz boleh jaga ibu, boleh jaga Dian. Tak adalah ibu dengan Dian tinggal berdua kat rumah ni. Terus-terang Raz cakap, bila Iqah kena culik. Raz lagi risaukan Dian, risaukan ibu.. Raz fikir penculik tu bukan orang lain tapi orang dekat. Lagipun..”
Hannan ketawa kecil. “Harraz tak payah jelaskan panjang lebar, ibu faham. Dan ibu tak ada masalah. Kita buat nikah dulu, kenduri buat sekali dengan Adib. Boleh kan?”
Harraz mengangguk, nafas lega dilepas. Fikirnya ibu akan sedih dan marah dengannya dengan alasan dia tidak memahami situasi mereka, rupanya.. alhamdulillah. Dia mencuri pandang ke arah Dian, nampaknya tunangannya itu sedari tadi menunduk menyembunyikan wajah.
“Keluarga Harraz ok? Setuju?”
“Alhamdulillah semua ok”.
“Baguslah.. Kalau macam tu, Harraz kena tanya tuan punya badan pula ye.. Nanti ada orang merajuk cakap dia macam tak wujud pula..” dan Hannan dan Adib ketawa kecil.

#################

“Cik Amy”.
Amy yang baru keluar dari bilik air membuka pintu biliknya bila diketuk pembantu rumah. “Kenapa?”
“En.Adib dan En.Harraz datang, katanya nak jumpa Cik Amy”.
Amy mengerutkan dahi. “Nanti saya turun”. Pintu bilik ditutup. Mengapa pula Adib dan Harraz datang ke rumahnya? Tidak mungkinlah mereka mahu bertanya tentang Syaqiqah lagi. Segera Amy berpakaian lengkap, t-shirt bersama seluar jeans dan turun ke bawah. “Apa khabar?” Amy terlebih dahulu menyapa Adib dan HArraz yang menanti di ruang tamu.
“Khabar baik.. Amy sihat?” Adib menguntum senyum.
Amy sekadar mengangguk, memberi jawapan. “Datang nak apa?”
“Aku nak jemput kau datang majlis nikah aku dengan Dian”.
Amy memandang Harraz dengan senyuman kelat. “Tahniah.. aku ingat kau nak tunggu Adib sekali”.
“Nikah je dulu, resepsi sekali dengan Adib nanti”.
“Bila nikahnya? Kat mana? Tak ada kad?”
Harraz mengangguk. “Aku dengan Dian sama-sama tak nak buat sebab nak jemput orang dekat je.. Minggu depan, hari Sabtu. Kat Melaka, rumah Dian kau tahu kan?”
Amy mengangguk. Alamat itu ada pada kad jemputan Adib dan Syaqiqah. Tiba-tiba dia teringatkan Amelia. Pasti gadis itu meroyan jika tahu akhirnya Dian tetap menjadi pilihan hati Harraz. “Kalau tak ada apa-apa, insya-Allah aku datang. Tapi… aku orang dekat ke?”
Harraz memandang Adib dan Adib memandang Harraz. Harraz menarik nafas panjang, dia sudah menjangkakan pertanyaan Amy itu. “Entah. aku rasa aku.. kena jemput kau. Samada kau nak datang ataupun tak, itu hak kau. Yang penting, aku dah jemput”.
Amy senyum nipis, tidak tahu mahu gembira atau sedih dengan kenyataan Harraz. “By the way, Syaqiqah macam mana?”
“Masih tak dapat dikesan” ringkas jawapan Adib.
“Dah cuba kesan dari nombor telefon orang yang hantar video tu?”
Harraz dan Adib sama-sama mengerut dahi. Video? “Video apa?”
“Video.. yang.. video.. Syaqiqah.. kena tembak” ujar Amy lambat-lambat.
Adib berdebar tiba-tiba. Daddynya memberitahu video itu hanya dimiliki oleh dia dan daddy. Bagaimana pula Amy boleh mengetahui tentang kewujudan video itu? “Mana Amy tengok video tu?’
“Fon pa. Pa cakap Uncle Nasir send”.
Adib menyepak perlahan kaki Harraz tanda mengajaknya pulang. Harraz yang memahami segera bangun dan meminta diri. “So kami balik dulu, aku harap kau sudilah datang majlis aku nanti”.
Masuk saja ke dalam kereta, Adib langsung saja menghubungi Tun Adib Nasir untuk menyoal tentang video itu. Dan jawapan yang diterima dari Tun Adib Nasir sangat mengejutkannya. “Raz. Daddy cakap dia tak pernah send video tu kat sesiapa selain aku”.
“Call Uncle Zali, cakap kita on the way. Aku yakin Uncle Jalal ada kaitan dengan semua ni”.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s