Monthly Archives: February 2020

Demi Syaqiqah – P72

Syaqiqah terjaga. Terpisat-pisat dia bangun dari sofa tua itu. Tangannya mencapai jam tangan dari bawah bantal. Jam 3 pagi. Nafas berat dilepaskan, kepalanya terasa berat kerana terlalu banyak menangis sebelum tidur. ‘Ya Allah.. apa lagi yang akan terjadi padanya selama dia di sini?’ detik hati kecilnya.
Tangan menggenggam erat jam tangan pemberian Im itu. Mujur saja ada pemuda itu. Jika tidak boleh gila dia memikirkan masa dan waktu. Itu pun setelah Im melihat betapa sukarnya dia mengetahui waktu solat bila ketiadaan jam. Keberadaan Im benar-benar banyak membantu.
Im masih belum menemuinya sejak keluar. Dia sendiri tidak tahu apa khabarnya dia. Apakah kecederaanya parah? Apakah Im tidak menemuinya kerana cedera parah atau merasa bersalah? Dia tidak tahu. Tetapi dia sendiri tidak menyalahkan Im atas apa yang berlaku. Dia sendiri tidak tahu mengapa dia terkurung, dikurung di sini? Inikan pula mahu menyalahkan seorang bawahan yang hanya ditugaskan menjaga dirinya?
Tangannya memicit kuat dahi yang terasa berat, sesekali mengurut mata yang keletihan. Dia rindukan semua, semua keayangannya. Ibu, kakak.. Apa agaknya khabar mereka? Bagaimana pula dengan Adib dan keluarganya? ‘Tuhan…!’
Mata dipejam lama. Air mata yang sedia bertakung dibiarkan mengalir perlahan. Dia tidak boleh begini. Dia harus kuat. Bukan, dia mesti kuat. Kena kuat. Ya, dia harus berdoa, bermunajat kepada Yang Maha Esa. Moga-moga dia diberikan kekuatan untuk menempuh semua ini. Bukankah waktu sepertiga malam begini, pintu langit dibuka seluasnya?

###################

Selesai menunaikan solat Subuh, Adib mencapai telefon pintarnya dan menghubungi Harraz. Ucapan salam disusuli usikan malam pengantin baru kepada sang teman.
Harraz ketawa besar. “Malam pertama sangat! Dian tidur dengan ibulah. Malam tadi ibu mimpi ngeri, menjerit-jerit suruh Syaqiqah selamatkan diri. Aku rasa tak sedap hatilah, Dib”.
“Kalau kau nak tahu, daripada awal Dibah hilang aku dah tak sedap hati. Kau nak suruh aku fikir macam mana lagi? Sana sini jalan mati. Rasa nak meletup kepala aku. Pihak polis pun tak dapat cari penculiknya siapa. Apalagi yang aku boleh buat? Kalau aku upah penyiasat peribadi pun, betul ke boleh jumpa Dibah? Nanti membazir duit beribu, tapi tak ada hasil. Aku sendiri pun lagi yakin dengan pihak polis daripada orang entah mana-mana. Ya pihak polis lambat tapi kita ada kuasa apa Raz? Tak ada pilihan lain selain tunggu. Doa banyak-banyak. Pasrah je yang aku boleh buat. Redha je.. Kau tahu jantung aku ni macam nak meletup kalau teringat Dibah? Rasa nak pecah, hati aku ni sakit tengok video Dibah tu. Sakit.. tapi aku tengok sebagai semangat aku kena selamatkan dia. Kalau aku tak semangat, siapa lagi? Dian dengan ibu harap kat aku Raz…” kata-kata Adib terhenti dihujungi dengan esak perlahan.
Harraz mengeluh. Panjang benar ‘bebelan’ temannya itu pagi-pagi begini. Tapi Harraz tidak mahu mencelah. Dia tahu Adib memikul beban yang amat berat setelah kehilangan Syaqiqah. Dia juga sudah melakukan apa yang termampu. Namun hanya setakat itu sahaja.. paling tidak menjadi pendengar yang baik buat Adib cukup membantu sahabatnya itu. “Dib..”
“Tak apalah Raz. Aku rasa macam banyak sangat cakap pagi ni. Aku letak dulu, aku perlukan masa, aku dah jumpa jalan mati, bagi aku masa nak fikir balik semua ni. Assalamualaikum”.
Harraz memandang telefonnya. Kemas menggenggam sambil mata terpejam rapat.
“Ada masalah?”
Senyum lemah dikuntum. Tangan menyambut secawan teh o pemberian isteri. “Adib..”
“Awak cerita ibu mimpi ngeri?”
Harraz mengangguk. “Saya tak nak Adib rasa dia buat semua ni seorang. Nanti akhirnya dia akan penat. Tapi saya nak dia rasa kita semua ada dengan dia. Saya tahu dia takut kalau hilang Syaqiqah lagi..”
Dian tersenyum. Tangannya menggenggam erat tangan Harraz. “Terima kasih sebab buat saya tahu saya tak salah pilih teman hidup..”
Harraz mengusap pipi Dian kesayangannya. Namun hatinya lebih risau memikirkan Adib yang berada jauh di mata.

#################

Berita yang diberikan Pisau itu benar-benar menyakitkan hatinya. “Baguslah kau dah hapuskan dia. Cantik sangat ke budak tu sampai tak tahan melampau?”
“Bos..”
“Apa lagi?”
“Bos nak aku buat apa dengan budak tu?”
“Sebelum ni aku tak terfikir nak apa-apakan dia. Tapi sekarang.. dia pun dah jadi satu-satunya saksi yang nampak apa yang kau buat dekat kereta tu. Jadi aku takkan lepaskan dia..”
Pisau mengangguk memahami. “Habiskan dia?”
Jalal menggeleng. “Belum lagi. Banyak lagi aku nak tengok dia orang menderita.. Yang paling penting, aku nak anak dia tahu akibat tak pilih anak aku. Yang anak aku tu.. seribu kali ganda lebih bagus dari anak driver tu!”
“Bos nak aku send benda lain?”
Jalal ketawa. “Cuba kau minta sejuta.. Eh, dua juta.. No.. lima juta. Aku nak tengok sikit apa yang dia sanggup bagi untuk budak tu… Lagi banyak dia sanggup bagi, lagi berguna budak tu untuk kita..”
Pisau mengangguk lagi. Dan Jalal menyambung, “Ingat! Pastikan budak kau jaga dia betul-betul. Dah habis guna, aku bagi green light. Kau dengan budak kau nak apa.. up to you” dan Jalal ketawa besar.
“Papa!”

#####################

“Mama cepatlah sikit!!”
Amnah tergesa-gesa keluar dari rumah. Anak daranya yang satu ini benar-benar tidak sabar. Teruja sungguh dengan rancangannya mahu memberi kejutan kepada suami merangkap bapa puterinya.
“Ya.. mama dah siaplah”.
Amy ketawa kecil sambil menekan pedal minyak kereta sesudah Amnah memasuki kereta. “Suami mama tu busy.. nanti kita sampai office, silap hari bulan papa dah tak ada..”
Mereka tiba di syarikat tidak lama kemudian. Amy memaut erat tangan mamanya, gembira benar mahu mengajak papanya makan tengah hari bersama. Iyalah, pasti papanya tidak menyangka mama mahu keluar rumah. Jika tidak, selalunya papa yang akan pulang makan tengah hari di rumah.. tetapi hari ini lain pula. Surprise!!
“Sayang, fon mama tak ada dalam beg”.
Amy membuat muka, “Mama tinggal ke?”
Amnah cuba mengingat kembali. Seingatnya, dia memegangnya di dalam kereta. “Mama rasa tinggal dalam kereta. Mama pergi tengok, Amy pergilah jumpa papa dulu”.
Amy mengangguk setuju. Kunci kereta diserahkan pada Amnah dan mereka berpisah. Dia melangkah laju ke pejabat papanya. Pintu dibuka perlahan mahu memberi kejutan. Tapi menyedari papanya sedang membuat pertemuan Amy menahan langkah. Menunggu papanya selesai berkata-kata.
“Ingat! Pastikan budak kau jaga dia betul-betul. Dah habis guna, aku bagi green light. Kau dengan budak kau nak apa.. up to you.”
Amy menekup mulut. Apa maksud kata-kata papanya itu? Patutkah dia terus menegur atau pun mendengar dahulu perbualan mereka? Tapi ketawa papanya begitu menakutkan membuatkan Amy tidak mahu membenarkan rasa hatinya. Tidak mungkin papanya yang teramat baik itu mempunyai sisi lain yang dia dan mama tidak kenal. “Papa!!”
Jalal terkejut. “Amy!”
“Surprise!!!”