Demi Syaqiqah – P73

Jalal tergesa bangun dari kerusi memandang Amy di hadapannya. “Sayang?”
Amy tersengih menyembunyikan debaran hatinya tadi. “Surprised tak papa?”
Jalal mengangguk, memandang pada Pisau yang menyembunyikan wajah dari Amy. “Kau boleh keluar, ada apa nanti lapor”.
Amy sebolehnya mahu melihat wajah lelaki itu, tapi dia mengelak dari memandang Amy. “Siapa tu papa?”
Jalal tersenyum. “Pembantu. Amy datang dengan siapa?”
Pintu pejabatnya terbuka dan Amnah masuk dengan senyuman manis. “Abang”.
Jalal ketawa kecil. Tidak menyangka Amy berjaya memujuk isteri kesayangannya itu datang ke pejabat. “Berjaya Amy pujuk mama ya?” dia memimpin Amnah duduk di sofa.
Amnah ketawa kecil. “Jom, mama dah lapar ni” memandang Amy yang kelihatan terleka seketika.
Jalal mengangguk dan mencapai kunci kereta bersama kotnya. “Amy”.
Amy tersedar dari lamunan. Wajah papanya dipandang, siapa dia yang dikatakan papa dalam perbualan tadi? Dia menarik nafas dalam, cuba menyembunyikan rasa yang bersarang di hati. Tidak mungkin, tidak mungkin. Segera fikirannya dicampak dan diusir jauh-jauh.

###################

Imran memandang Syaqiqah yang lena tidur di hadapannya. Dia benar-benar merasa kasihan dengan ‘kakak’nya itu. Dia benar-benar tidak faham mengapa Syaqiqah berada di situ. Sudahlah orangnya baik, tidak melawan bahkan tidak pernah sekalipun Imran mendengar dia mengeluh atas apa yang dia hadapi saat ini.
Pintu ditolak dari luar mengejutkan Imran sekaligus menyedarkan Syaqiqah. Beberapa lelaki masuk dan Imran segera berdiri melindungi Syaqiqah. “Ada apa ni bang?”
Seutas tali dilempar pada Imran, “Ambil ni, ikat kakak kau tu”.
Imran terdiam, mahu bertanya dia takut. Tapi dia juga bimbang apa yang akan dilakukan terhadap Syaqiqah. Segera dia menuruti. Syaqiqah dipimpin perlahan menuju ke kerusi yang terdapat di hujung bilik. Perlahan Imran berbisik pada Syaqiqah yang wajahnya kebimbangan, “Akak jangan risau. Im akan lindungi akak”.
Tali yang diberikan diikat pada tubuh badan, kaki dan tangan Syaqiqah. Dia diberi sehelai kain hitam untuk menyumbat mulut Syaqiqah.
“Ketatkan lagi ikatan tu!” seorang dari mereka menjerkah Imran.
Ikatan diketatkan hingga Syaqiqah akhirnya tidak selesa barulah mereka berpuas hati. Terkumat-kamit mulut Imran memohon maaf pada Syaqiqah sedari tadi. Benar-benar rasa bersalah memperlakukan Syaqiqah sedemikian rupa. Jauh di hatinya benar-benar berharap mereka tidak akan mengapa-apakan Syaqiqah.
Seorang lelaki datang menolak Imran ke tepi dan datang dua orang lelaki memegangnya. Imran mula meronta bila dipegang begitu.
“Diam! Kalau kau bising, lagi teruk perempuan ni kena”.
Imran menahan diri, tapi muka jelas menahan rasa. Bertambah berat perasaannya bila melihat Syaqiqah mula mengeluarkan air mata kerana terlalu takut.
Lelaki yang maju ke arah Syaqiqah memandangnya. “Sorry ye, aku ni ikut arahan. Jadi hari ni, rosak sikitlah muka comel kau ni”.
Pang!! Sebuah penampar singgah di pipi Syaqiqah.
“Jangan!!” jerit Imran sekuat hati. Dia tahu betapa sakitnya tamparan itu. Apatah lagi melihat darah yang mula mengalir dari bibir Syaqiqah.
Lelaki yang memegangnya mengetuk kepala Imran. “Diamlah kalau kau tak nak dia kena lagi teruk”.
Imran terdiam. Dia yang sememangnya masih kanak-kanak itu langsung mengalir air mata bila Syaqiqah ditampar lagi bertalu-talu hingga akhirnya kepala Syaqiqah terkulai layu dengan wajah dipenuhi lebam dan darah.
Lelaki itu mengeluarkan telefon pintarnya dan mula menangkap gambar. Video diambil beberapa minit dan mereka semua meninggalkan Imran dan Syaqiqah. Imran menggenggam penumbuknya, jadi Syaqiqah teruk dipukul hanya untuk diambil gambar dan videonya? “Bodoh! Bodoh!” dia mengulanginya berulang kali sambil memandang wajah Syaqiqah yang luka sana-sini.
Tangan menggenggam menunduk lantas dia duduk berlutut di hadapan Syaqiqah. “Im minta maaf kak. Im minta maaf.. Im yang tak jaga kakak elok-elok”.

##################

Suhu biliknya terasa panas sekalipun dia membuka alat penghawa dingin juga kipas. Sesekali Amy meraup wajah dan melepaskan keluhan.
Apakah rasa hatinya benar? Sudah beberapa hari dia tidak boleh tidur memikirkan perbualan papa dengan pembantunya tempoh hari. Tidak tahu mengapa. Tapi dia benar-benar merasakan dia itu adalah.. dia. Tapi Amy sendiri tidak yakin jika papanya benar-benar melakukan hal sebegitu.
Namun sejujurnya, dia juga pernah bertindak sedemikian kerana terlalu geram,marah dan benci pada tunangan Adib itu. Jika benar papa melakukannya, apa motif papa? Bukankah keluarga Adib terlalu banyak berjasa pada keluarga mereka? Amy tidak yakin papa ada masalah peribadi dengan Syaqiqah sendiri kecuali.. kerana dia?
Amy terduduk. Bagaimana dia mahu mencari bukti tanpa papa mengesyaki apa-apa? Pada siapa harus dia meminta pertolongan? Atau lebih baik dia mengupah penyiasat peribadi?
“Ingat! Pastikan budak kau jaga dia betul-betul. Dah habis guna, aku bagi green light. Kau dengan budak kau nak apa.. up to you.” Ayat itu benar-benar menakutkannya. Apa aku nak buat ni? Lamunannya terhenti bila mama masuk ke bilik setelah lama mengetuk tetapi tiada jawapan dari dalam.

######################

Adib menegangkan badan setelah selesai menandatangani dokumen yang disediakan. Penat rasanya menyelesaikan kerja yang tertangguh selama seminggu akibat dia terlalu memikirkan Syaqiqah. Tapi kerja tetap kena dibuat. Adib tidak mahu orang lain susah kerananya. Tambahan pula kesihatan Tun Adib Nasir semakin merosot sejak kehilangan Syaqiqah.
Telefon pintarnya dicapai saat mendengar mesej masuk. Penumbuknya digenggam melihat gambar yang dihantar nombor tidak dikenali. Menitis air mata lelakinya melihat Adibahnya teruk dibelasah sebegitu rupa. “Tak guna!”
Segera nombor itu dihubungi namun tiada jawapan. Laju tangannya menaip mesej.’Apa kau nak?’
Satu saja jawapannya, lima juta dan bila Adib membalasnya sudah tiada jawapan darinya. Adib segera menghantar nombor itu pada DSP.Ghazali dan meminta untuk bertemu. Saat itu masuk panggilan dari Harraz.
“Kau dapat apa yang aku dapat,Dib?”
“Gambar Dibah?”
“Ya, aku tak tahu nak tunjuk kat Dian dengan ibu macam mana?”
Adib mengerutkan dahi. Jadi Harraz juga mendapatkan gambar dan video yang sama? Sebelum ini hanya daddy yang mendapatkannya, tapi kali ini dia juga mendapatkannya dan dihantar juga pada Harraz.. ertinya pasti daddy turut mendapat maklumat yang sama?
“Dia cakap tak dia nak apa?”
Terdengar Harraz mengeluh. “Aku reply tapi tak ada jawapan apa-apa. Bila kau nak jumpa Uncle Zali? Kalau ibu dah sihat, aku ingat nak bawa ibu dengan Dian sekali”.
“Jangan! Aku tak nak ibu susah hati. Kau tunjuk kat Dian dulu, tengok nanti dia cakap apa. Uncle Zali cakap esok pagi dia datang rumah nak discuss. Kau jaga ibu dengan Dian buat sementara ni. Kalau tak ada hal, aku rasa kau tak yah turun KL kut”.
Harraz mengangguk sekalipun dia tahu Adib tidak melihat. Panggilan dimatikan tidak beberapa lama kemudian. Adib langsung mengemas meja dan melangkah keluar dari pejabatnya. Dia mahu segera menemui daddy.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s