Category Archives: DEMI SYAQIQAH

Demi Syaqiqah – P73

Jalal tergesa bangun dari kerusi memandang Amy di hadapannya. “Sayang?”
Amy tersengih menyembunyikan debaran hatinya tadi. “Surprised tak papa?”
Jalal mengangguk, memandang pada Pisau yang menyembunyikan wajah dari Amy. “Kau boleh keluar, ada apa nanti lapor”.
Amy sebolehnya mahu melihat wajah lelaki itu, tapi dia mengelak dari memandang Amy. “Siapa tu papa?”
Jalal tersenyum. “Pembantu. Amy datang dengan siapa?”
Pintu pejabatnya terbuka dan Amnah masuk dengan senyuman manis. “Abang”.
Jalal ketawa kecil. Tidak menyangka Amy berjaya memujuk isteri kesayangannya itu datang ke pejabat. “Berjaya Amy pujuk mama ya?” dia memimpin Amnah duduk di sofa.
Amnah ketawa kecil. “Jom, mama dah lapar ni” memandang Amy yang kelihatan terleka seketika.
Jalal mengangguk dan mencapai kunci kereta bersama kotnya. “Amy”.
Amy tersedar dari lamunan. Wajah papanya dipandang, siapa dia yang dikatakan papa dalam perbualan tadi? Dia menarik nafas dalam, cuba menyembunyikan rasa yang bersarang di hati. Tidak mungkin, tidak mungkin. Segera fikirannya dicampak dan diusir jauh-jauh.

###################

Imran memandang Syaqiqah yang lena tidur di hadapannya. Dia benar-benar merasa kasihan dengan ‘kakak’nya itu. Dia benar-benar tidak faham mengapa Syaqiqah berada di situ. Sudahlah orangnya baik, tidak melawan bahkan tidak pernah sekalipun Imran mendengar dia mengeluh atas apa yang dia hadapi saat ini.
Pintu ditolak dari luar mengejutkan Imran sekaligus menyedarkan Syaqiqah. Beberapa lelaki masuk dan Imran segera berdiri melindungi Syaqiqah. “Ada apa ni bang?”
Seutas tali dilempar pada Imran, “Ambil ni, ikat kakak kau tu”.
Imran terdiam, mahu bertanya dia takut. Tapi dia juga bimbang apa yang akan dilakukan terhadap Syaqiqah. Segera dia menuruti. Syaqiqah dipimpin perlahan menuju ke kerusi yang terdapat di hujung bilik. Perlahan Imran berbisik pada Syaqiqah yang wajahnya kebimbangan, “Akak jangan risau. Im akan lindungi akak”.
Tali yang diberikan diikat pada tubuh badan, kaki dan tangan Syaqiqah. Dia diberi sehelai kain hitam untuk menyumbat mulut Syaqiqah.
“Ketatkan lagi ikatan tu!” seorang dari mereka menjerkah Imran.
Ikatan diketatkan hingga Syaqiqah akhirnya tidak selesa barulah mereka berpuas hati. Terkumat-kamit mulut Imran memohon maaf pada Syaqiqah sedari tadi. Benar-benar rasa bersalah memperlakukan Syaqiqah sedemikian rupa. Jauh di hatinya benar-benar berharap mereka tidak akan mengapa-apakan Syaqiqah.
Seorang lelaki datang menolak Imran ke tepi dan datang dua orang lelaki memegangnya. Imran mula meronta bila dipegang begitu.
“Diam! Kalau kau bising, lagi teruk perempuan ni kena”.
Imran menahan diri, tapi muka jelas menahan rasa. Bertambah berat perasaannya bila melihat Syaqiqah mula mengeluarkan air mata kerana terlalu takut.
Lelaki yang maju ke arah Syaqiqah memandangnya. “Sorry ye, aku ni ikut arahan. Jadi hari ni, rosak sikitlah muka comel kau ni”.
Pang!! Sebuah penampar singgah di pipi Syaqiqah.
“Jangan!!” jerit Imran sekuat hati. Dia tahu betapa sakitnya tamparan itu. Apatah lagi melihat darah yang mula mengalir dari bibir Syaqiqah.
Lelaki yang memegangnya mengetuk kepala Imran. “Diamlah kalau kau tak nak dia kena lagi teruk”.
Imran terdiam. Dia yang sememangnya masih kanak-kanak itu langsung mengalir air mata bila Syaqiqah ditampar lagi bertalu-talu hingga akhirnya kepala Syaqiqah terkulai layu dengan wajah dipenuhi lebam dan darah.
Lelaki itu mengeluarkan telefon pintarnya dan mula menangkap gambar. Video diambil beberapa minit dan mereka semua meninggalkan Imran dan Syaqiqah. Imran menggenggam penumbuknya, jadi Syaqiqah teruk dipukul hanya untuk diambil gambar dan videonya? “Bodoh! Bodoh!” dia mengulanginya berulang kali sambil memandang wajah Syaqiqah yang luka sana-sini.
Tangan menggenggam menunduk lantas dia duduk berlutut di hadapan Syaqiqah. “Im minta maaf kak. Im minta maaf.. Im yang tak jaga kakak elok-elok”.

##################

Suhu biliknya terasa panas sekalipun dia membuka alat penghawa dingin juga kipas. Sesekali Amy meraup wajah dan melepaskan keluhan.
Apakah rasa hatinya benar? Sudah beberapa hari dia tidak boleh tidur memikirkan perbualan papa dengan pembantunya tempoh hari. Tidak tahu mengapa. Tapi dia benar-benar merasakan dia itu adalah.. dia. Tapi Amy sendiri tidak yakin jika papanya benar-benar melakukan hal sebegitu.
Namun sejujurnya, dia juga pernah bertindak sedemikian kerana terlalu geram,marah dan benci pada tunangan Adib itu. Jika benar papa melakukannya, apa motif papa? Bukankah keluarga Adib terlalu banyak berjasa pada keluarga mereka? Amy tidak yakin papa ada masalah peribadi dengan Syaqiqah sendiri kecuali.. kerana dia?
Amy terduduk. Bagaimana dia mahu mencari bukti tanpa papa mengesyaki apa-apa? Pada siapa harus dia meminta pertolongan? Atau lebih baik dia mengupah penyiasat peribadi?
“Ingat! Pastikan budak kau jaga dia betul-betul. Dah habis guna, aku bagi green light. Kau dengan budak kau nak apa.. up to you.” Ayat itu benar-benar menakutkannya. Apa aku nak buat ni? Lamunannya terhenti bila mama masuk ke bilik setelah lama mengetuk tetapi tiada jawapan dari dalam.

######################

Adib menegangkan badan setelah selesai menandatangani dokumen yang disediakan. Penat rasanya menyelesaikan kerja yang tertangguh selama seminggu akibat dia terlalu memikirkan Syaqiqah. Tapi kerja tetap kena dibuat. Adib tidak mahu orang lain susah kerananya. Tambahan pula kesihatan Tun Adib Nasir semakin merosot sejak kehilangan Syaqiqah.
Telefon pintarnya dicapai saat mendengar mesej masuk. Penumbuknya digenggam melihat gambar yang dihantar nombor tidak dikenali. Menitis air mata lelakinya melihat Adibahnya teruk dibelasah sebegitu rupa. “Tak guna!”
Segera nombor itu dihubungi namun tiada jawapan. Laju tangannya menaip mesej.’Apa kau nak?’
Satu saja jawapannya, lima juta dan bila Adib membalasnya sudah tiada jawapan darinya. Adib segera menghantar nombor itu pada DSP.Ghazali dan meminta untuk bertemu. Saat itu masuk panggilan dari Harraz.
“Kau dapat apa yang aku dapat,Dib?”
“Gambar Dibah?”
“Ya, aku tak tahu nak tunjuk kat Dian dengan ibu macam mana?”
Adib mengerutkan dahi. Jadi Harraz juga mendapatkan gambar dan video yang sama? Sebelum ini hanya daddy yang mendapatkannya, tapi kali ini dia juga mendapatkannya dan dihantar juga pada Harraz.. ertinya pasti daddy turut mendapat maklumat yang sama?
“Dia cakap tak dia nak apa?”
Terdengar Harraz mengeluh. “Aku reply tapi tak ada jawapan apa-apa. Bila kau nak jumpa Uncle Zali? Kalau ibu dah sihat, aku ingat nak bawa ibu dengan Dian sekali”.
“Jangan! Aku tak nak ibu susah hati. Kau tunjuk kat Dian dulu, tengok nanti dia cakap apa. Uncle Zali cakap esok pagi dia datang rumah nak discuss. Kau jaga ibu dengan Dian buat sementara ni. Kalau tak ada hal, aku rasa kau tak yah turun KL kut”.
Harraz mengangguk sekalipun dia tahu Adib tidak melihat. Panggilan dimatikan tidak beberapa lama kemudian. Adib langsung mengemas meja dan melangkah keluar dari pejabatnya. Dia mahu segera menemui daddy.

Demi Syaqiqah – P72

Syaqiqah terjaga. Terpisat-pisat dia bangun dari sofa tua itu. Tangannya mencapai jam tangan dari bawah bantal. Jam 3 pagi. Nafas berat dilepaskan, kepalanya terasa berat kerana terlalu banyak menangis sebelum tidur. ‘Ya Allah.. apa lagi yang akan terjadi padanya selama dia di sini?’ detik hati kecilnya.
Tangan menggenggam erat jam tangan pemberian Im itu. Mujur saja ada pemuda itu. Jika tidak boleh gila dia memikirkan masa dan waktu. Itu pun setelah Im melihat betapa sukarnya dia mengetahui waktu solat bila ketiadaan jam. Keberadaan Im benar-benar banyak membantu.
Im masih belum menemuinya sejak keluar. Dia sendiri tidak tahu apa khabarnya dia. Apakah kecederaanya parah? Apakah Im tidak menemuinya kerana cedera parah atau merasa bersalah? Dia tidak tahu. Tetapi dia sendiri tidak menyalahkan Im atas apa yang berlaku. Dia sendiri tidak tahu mengapa dia terkurung, dikurung di sini? Inikan pula mahu menyalahkan seorang bawahan yang hanya ditugaskan menjaga dirinya?
Tangannya memicit kuat dahi yang terasa berat, sesekali mengurut mata yang keletihan. Dia rindukan semua, semua keayangannya. Ibu, kakak.. Apa agaknya khabar mereka? Bagaimana pula dengan Adib dan keluarganya? ‘Tuhan…!’
Mata dipejam lama. Air mata yang sedia bertakung dibiarkan mengalir perlahan. Dia tidak boleh begini. Dia harus kuat. Bukan, dia mesti kuat. Kena kuat. Ya, dia harus berdoa, bermunajat kepada Yang Maha Esa. Moga-moga dia diberikan kekuatan untuk menempuh semua ini. Bukankah waktu sepertiga malam begini, pintu langit dibuka seluasnya?

###################

Selesai menunaikan solat Subuh, Adib mencapai telefon pintarnya dan menghubungi Harraz. Ucapan salam disusuli usikan malam pengantin baru kepada sang teman.
Harraz ketawa besar. “Malam pertama sangat! Dian tidur dengan ibulah. Malam tadi ibu mimpi ngeri, menjerit-jerit suruh Syaqiqah selamatkan diri. Aku rasa tak sedap hatilah, Dib”.
“Kalau kau nak tahu, daripada awal Dibah hilang aku dah tak sedap hati. Kau nak suruh aku fikir macam mana lagi? Sana sini jalan mati. Rasa nak meletup kepala aku. Pihak polis pun tak dapat cari penculiknya siapa. Apalagi yang aku boleh buat? Kalau aku upah penyiasat peribadi pun, betul ke boleh jumpa Dibah? Nanti membazir duit beribu, tapi tak ada hasil. Aku sendiri pun lagi yakin dengan pihak polis daripada orang entah mana-mana. Ya pihak polis lambat tapi kita ada kuasa apa Raz? Tak ada pilihan lain selain tunggu. Doa banyak-banyak. Pasrah je yang aku boleh buat. Redha je.. Kau tahu jantung aku ni macam nak meletup kalau teringat Dibah? Rasa nak pecah, hati aku ni sakit tengok video Dibah tu. Sakit.. tapi aku tengok sebagai semangat aku kena selamatkan dia. Kalau aku tak semangat, siapa lagi? Dian dengan ibu harap kat aku Raz…” kata-kata Adib terhenti dihujungi dengan esak perlahan.
Harraz mengeluh. Panjang benar ‘bebelan’ temannya itu pagi-pagi begini. Tapi Harraz tidak mahu mencelah. Dia tahu Adib memikul beban yang amat berat setelah kehilangan Syaqiqah. Dia juga sudah melakukan apa yang termampu. Namun hanya setakat itu sahaja.. paling tidak menjadi pendengar yang baik buat Adib cukup membantu sahabatnya itu. “Dib..”
“Tak apalah Raz. Aku rasa macam banyak sangat cakap pagi ni. Aku letak dulu, aku perlukan masa, aku dah jumpa jalan mati, bagi aku masa nak fikir balik semua ni. Assalamualaikum”.
Harraz memandang telefonnya. Kemas menggenggam sambil mata terpejam rapat.
“Ada masalah?”
Senyum lemah dikuntum. Tangan menyambut secawan teh o pemberian isteri. “Adib..”
“Awak cerita ibu mimpi ngeri?”
Harraz mengangguk. “Saya tak nak Adib rasa dia buat semua ni seorang. Nanti akhirnya dia akan penat. Tapi saya nak dia rasa kita semua ada dengan dia. Saya tahu dia takut kalau hilang Syaqiqah lagi..”
Dian tersenyum. Tangannya menggenggam erat tangan Harraz. “Terima kasih sebab buat saya tahu saya tak salah pilih teman hidup..”
Harraz mengusap pipi Dian kesayangannya. Namun hatinya lebih risau memikirkan Adib yang berada jauh di mata.

#################

Berita yang diberikan Pisau itu benar-benar menyakitkan hatinya. “Baguslah kau dah hapuskan dia. Cantik sangat ke budak tu sampai tak tahan melampau?”
“Bos..”
“Apa lagi?”
“Bos nak aku buat apa dengan budak tu?”
“Sebelum ni aku tak terfikir nak apa-apakan dia. Tapi sekarang.. dia pun dah jadi satu-satunya saksi yang nampak apa yang kau buat dekat kereta tu. Jadi aku takkan lepaskan dia..”
Pisau mengangguk memahami. “Habiskan dia?”
Jalal menggeleng. “Belum lagi. Banyak lagi aku nak tengok dia orang menderita.. Yang paling penting, aku nak anak dia tahu akibat tak pilih anak aku. Yang anak aku tu.. seribu kali ganda lebih bagus dari anak driver tu!”
“Bos nak aku send benda lain?”
Jalal ketawa. “Cuba kau minta sejuta.. Eh, dua juta.. No.. lima juta. Aku nak tengok sikit apa yang dia sanggup bagi untuk budak tu… Lagi banyak dia sanggup bagi, lagi berguna budak tu untuk kita..”
Pisau mengangguk lagi. Dan Jalal menyambung, “Ingat! Pastikan budak kau jaga dia betul-betul. Dah habis guna, aku bagi green light. Kau dengan budak kau nak apa.. up to you” dan Jalal ketawa besar.
“Papa!”

#####################

“Mama cepatlah sikit!!”
Amnah tergesa-gesa keluar dari rumah. Anak daranya yang satu ini benar-benar tidak sabar. Teruja sungguh dengan rancangannya mahu memberi kejutan kepada suami merangkap bapa puterinya.
“Ya.. mama dah siaplah”.
Amy ketawa kecil sambil menekan pedal minyak kereta sesudah Amnah memasuki kereta. “Suami mama tu busy.. nanti kita sampai office, silap hari bulan papa dah tak ada..”
Mereka tiba di syarikat tidak lama kemudian. Amy memaut erat tangan mamanya, gembira benar mahu mengajak papanya makan tengah hari bersama. Iyalah, pasti papanya tidak menyangka mama mahu keluar rumah. Jika tidak, selalunya papa yang akan pulang makan tengah hari di rumah.. tetapi hari ini lain pula. Surprise!!
“Sayang, fon mama tak ada dalam beg”.
Amy membuat muka, “Mama tinggal ke?”
Amnah cuba mengingat kembali. Seingatnya, dia memegangnya di dalam kereta. “Mama rasa tinggal dalam kereta. Mama pergi tengok, Amy pergilah jumpa papa dulu”.
Amy mengangguk setuju. Kunci kereta diserahkan pada Amnah dan mereka berpisah. Dia melangkah laju ke pejabat papanya. Pintu dibuka perlahan mahu memberi kejutan. Tapi menyedari papanya sedang membuat pertemuan Amy menahan langkah. Menunggu papanya selesai berkata-kata.
“Ingat! Pastikan budak kau jaga dia betul-betul. Dah habis guna, aku bagi green light. Kau dengan budak kau nak apa.. up to you.”
Amy menekup mulut. Apa maksud kata-kata papanya itu? Patutkah dia terus menegur atau pun mendengar dahulu perbualan mereka? Tapi ketawa papanya begitu menakutkan membuatkan Amy tidak mahu membenarkan rasa hatinya. Tidak mungkin papanya yang teramat baik itu mempunyai sisi lain yang dia dan mama tidak kenal. “Papa!!”
Jalal terkejut. “Amy!”
“Surprise!!!”

Demi Syaqiqah – P71

Jus durian belanda di hadapannya dicapai dan diminum perlahan. “Kau nak bagitahu Uncle Nasir tak?”
Adib membalas pandangan Harraz. Dia sendiri pun tidak tahu apa yang perlu dia katakan pada Tun Adib Nasir. Hasil pertemuan dengan DSP.Ghazali tadi menyimpulkan Jalal sebagai salah seorang yang disyaki. Buat masa ini, pihak polis akan mengawasi tindak-tanduk Jalal bagi mendapatkan petunjuk untuk kes penculikan Syaqiqah. “Aku ingat nak bagitahu, tapi… aku fikir daddy mesti sedih kalau aku cakap fasal Uncle Jalal. Bukan kau tak tahu, saaayangnya daddy kat Uncle Jalal tu..”
“Kalau macam tu, kau serah je lah kat Uncle Zali. Mesti dia tahu nak buat apa”.
Adib mengangguk memberi persetujuan. Pada Adib sendiri pun, dia bukanlah percaya Jalal merupakan dalang sebenar semua ini. Cuma walau apa pun risikonya, dia harus cuba. Mana tahu mungkin ia merupakan satu petunjuk dalam menyelesaikan kes ini. “Tapi Raz, kau percaya Uncle Jalal ada kaitan dengan semua ni?”
“Manusia ni tak diduga.. macam aku. Siapa sangka ada orang boleh jinakkan aku macam Dian tu? Mama aku sendiri pun tak percaya, tu yang cinta mati dengan Dian tu, minat sangat” Harraz ketawa kecil manakala Adib menjeling. KIta tanya lain, lain pula yang dijawabnya. Dan Harraz menyambung lagi, “Samalah macam Uncle Jalal. KIta report kat Uncle Zali sebab mungkin pada Uncle Jalal ada klunya. Tapi siapa tahu? Kalau-kalau dia nak balas dendam kat kau ke, asyik je bagi anak dara dia menangis?”
Adib tersenyum. “Mustahillah kalau itu sebabnya, tapi aku yakin Uncle Jalal tak ada kaitan dengan semua ni. Cuma…”
“Hanya Allah yang tahu.. insya-Allah semua ni akan selesai”.

##############

Pintu bilik yang terbuka tiba-tiba mengejutkan Syaqiqah yang baru selesai menunaikan solat Isya’. “Akak” Im berlari ke arah Syaqiqah dan menghalangnya daripada bergerak.
“Kenapa ni?” Syaqiqah menyoal penuh debaran, bersembunyi di sebalik Im. Namun dia tidak memahami situasi sebenar.
Pintu bilik disepak dari luar dan muncul tiga orang lelaki yang belum pernah dilihat Syaqiqah. Salah seorangnya menjerit sekuat hati. “Im! Ke tepi!”
“Akak duduk belakang Im, jangan pergi tempat lain”.
“Aku cakap ke tepilah!” lelaki yang bersinglet dan berseluar pendek mengheret tubuh Im dan menumbuknya di muka. Im yang masih berdaya, bangun dan mendekati Syaqiqah yang masih bingung dengan apa yang sedang berlaku. “Akak, Im minta maaf siap-siap kalau tak dapat selamatkan akak malam ni”.
“Ya Allah.. Im cakap apa? Akak tak faham…” Syaqiqah sudah menangis kerana ketakutan.
“Im, aku cakap ke tepi. Abang nak perempuan tu” tubuh Im ditarik lagi, kali ini dia dibelasah hingga kehabisan daya. Tiada lagi tenaga yang tinggal untuk melindungi Syaqiqah. Tapi Im sedaya upaya cuba bangun lagi dan mendekati Syaqiqah. Tepat di hadapan Syaqiqah, dia rebah.
“Im bangun! Im!!” Syaqiqah yang masih bertelekung menggerakkan tubuh Im yang sudah terbujur kaku. “Korang nak buat apa?” dia bertanya pada tiga lelaki di hadapannya dengan suara teresak-esak.
“Sila abang” lelaki yang lebih pendek itu memandang lelaki yang berada di tengah.
Syaqiqah menjauhkan diri. Lelaki berbaju hitam yang digelar abang itu mengejar dengan sengihan. “Kau berdua, tunggu kat luar. Jaga pintu, aku nak selesaikan minah ni sebelum bos datang. Kalau bos tahu, matilah aku”.
“Jangan risau bang, Fendi kata bos tak balik malam ni” ujar lelaki bersinglet tadi dan menarik kawannya keluar.
“Jangan!” Syaqiqah menjerit bila telekungnya ditarik dari belakang.
‘Abang’ terus menarik telekung Syaqiqah hingga ia terbuka memperlihatkan tudungnya. Syaqiqah memang sentiasa bertudung di situ kerana dia yakin auratnya tidak akan terjaga di situ, seperti yang dikatakan Im.. dia tidak akan selamat selagi masih berada di situ.
“Kau nak lari mana, malam ni aku akan pastikan kau jadi hak aku. Kalau kau nak tahu, dari awal kau datang aku dah syok kat kau. Tapi bos asyik ulang, cakap tak boleh usik kau, nanti Tuan marah. Tapi malam ni aku tak tahan dah, jadi aku nak kerjakan kau sebelum bos balik” ‘abang’ terus-menerus mengejar Syaqiqah.
Namun Syaqiqah tidak bernasib baik, dia tersadung memakai kain sembahyang yang masih belum dibuka. Dia terjatuh, benar-benar separuh badannya berada di atas sofa lama yang berada di bilik tinggal itu. ‘Abang’ sudah tersengih-sengih melangkah ke arahnya. Syaqiqah cuba bangun namun ‘abang’ yang sudah tiba menolaknya hingga terbaring sepenuhnya di atas sofa. “Kau tak boleh lari lagi. Here I come!”
Wajah Syaqiqah sudah basah dengan air mata. ‘Ya Allah, selamatkanlah aku!’ Mata dipejam dengan suara esakan yang makin kuat. Dia dapat merasakan tubuh lelaki jahat itu sudah berada di atasnya. Sebolehnya dia menyembunyikan wajahnya.
Pang!
Bunyi pintu yang dibuka kasar disambung dengan bunyi tembakan menarik perhatian. “Bodoh! Kan aku dah cakap jangan usik dia!”
“Bos” ‘abang’ segera bangun dari tempatnya dan melutut di hadapan Pisau. “Bos, aku minta ma..”
Sekali lagi tembakan dilepaskan, tepat mengenai lutut ‘abang’. “Diam. Aku dah cakap banyak kali jangan usik dia, kau ni tak faham bahasa ke?” sebuah tumbukan dilepaskan pada lelaki itu hingga dia rebah.
“Bos, aku minta maaf. Lepas ni aku tak buat lagi”.
“Jack, Botak, Din.. korang dengar sini. Jangan usik budak perempuan tu, kalau ada lagi benda macam ni berlaku.. aku tak jamin nyawa kau orang” Pisau membulatkan mata memandang dua lelaki yang bersama ‘abang’ tadi dan Botak.
Syaqiqah membuka mata, segera dia duduk memeluk lutut dan memerhati ‘tayangan’ di hadapannya. Dalam hatinya dia berharap agar Im segera sedar.
“Kau” Pisau memijak kaki ‘abang’ yang terbaring.
“Bos, tolong..”
“Selagi kau ada, kau mesti menyusahkan aku. Jadi..” dan tembakan dilepaskan dua kali, tepat mengenai dada dan kepala.
Syaqiqah benar-benar terkejut dengan tindakan Pisau yang langsung tidak beriak, seolah membunuh adalah perkara yang dia lakukan hari-hari. Tangisannya menjadi kembali, namun hanya air mata yang mengalir. Dia sebolehnya cuba untuk tidak mengeluarkan suara, bimbang Pisau akan lebih marah. Namun dia benar-benar takut dengan kejadian malam ini.
“Jack, Din, ambil mayat ni pergi buang kat hutan belakang tu. Botak, kau kejut Im tu. Malam ni jangan ada yang kacau Syaqiqah lagi. Kalau tak, kau orang.. satu, dua, tiga.. aku cari dulu”.
Syaqiqah melepas nafas lega bila semua manusia bernama lelaki itu keluar dari bilik. Dia benar-benar terkejut akan apa yang berlaku. Dan dia melepaskan tangisan semahunya. Menangis hingga bengkak kedua belah matanya. “Abang.. Dibah nak balik!”

##############

Seterika yang dibawa Dian tiba-tiba terlepas dari tangannya. Dan jatuh tepat di atas kaki Hannan. Dan keduanya menyebut serentak, “Adik!”
“Ibu” Dian mendekati Hannan, mengambil kembali seterika itu dan meletakkan ia sedikit jauh dari mereka. Dia berlari anak pada laci dan mengambil minyak gamat untuk disapu pada kaki ibu yang luka kecil.
“Ibu tak sakit pun. Akak pun teringat adik juga?” Hannan menyentuh pipi Dian.
Dian melepas nafas. Botol minyak gamat ditutup kemas dan diletak ke tepi. Dia meletakkan kepala pada ribaan Hannan. “Tak tahulah kenapa, ibu. Tadi… akak rasa akak terdengar adik menangis. Akak risaulah ibu”.
Hannan senyum nipis. Wajah Dian kesayangannya diusap. “Kita sama-sama risau dengan adik. Tapi akak kena ingat, esok akak nikah.. jadi ibu tak nak buat cerita sedih, kacau-bilau malam ni. Kalau tak, terkejut Harraz esok tengok mata akak jadi mata panda”.
“Ibu ni.. Tak sangka macam ni keadaan akak nak nikah” Dian menjongket kening pada ibu.
“Dah.. nanti Harraz ingat dia salah pilih pengantin pulak. Pergi iron baju kamu tu” Hannan menggesa, tidak mahu mereka bersedih-sedihan lama-lama. Tapi di suatu sudut hatinya, dia sangat merisaukan puteri bongsunya. Jika Dian mendengar suara adiknya menangis, dia pula terlihat anak bongsunya itu menangis memeluk lutut. ‘Ya Allah, walau apa pun yang berlaku.. Kau selamatkanlah nyawa puteriku’.

#############

Majlis pernikahan pagi itu nampaknya berjalan lancar, hanya dengan sekali lafaz Harraz sah bergelar suami Dian. Keluarga Harraz nampaknya sangat menyukai dan meraikan Dian yang merupakan menantu sulung keluarga itu. Adib yang sibuk melayani tetamu yang tidak berapa ramai itu tetap juga memikirkan Syaqiqah tiap kali ada masa dan peluangnya. Dia benar-benar berharap Syaqiqah tidak ditimpa bahaya apa-apa.
Menjelang tengah hari, kebanyakan tetamu pun meminta diri. Keluarga Harraz tinggal sementara di hotel berdekatan, kata mereka mahu tinggal di Melaka untuk dua tiga hari. Boleh berkenalan rapat dengan keluarga Dian dan mengambil peluang untuk berjalan-jalan di bandar bersejarah itu.
“Dian, ada orang cari kau”.
Dian memandang, memberi senyuman pada Sukainah yang merupakah anak Mak Senah yang tinggal selang beberapa buah rumah darinya. “Terima kasih Su”.
“Aku sambung kerja ye” Sukainah berlalu, menyambung kerja mengemasnya yang belum selesai.
Dian maju beberapa langkah dan melihat Amy yang lengkap berbaju kurung bersama selendang yang menutupi separuh kepalanya. “Assalamualaikum”.
“Waalaikumussalam. Selamat pengantin baru” Amy menghulurkan tangan, ingin berjabat.
Dian menyambut dengan senyuman, gelaran kau-aku yang biasa mereka gunakan semasa zaman belajar dahulu ditukar menjadi saya-awak. “Awak datang seorang?”
Amy mengangguk. “Sebenarnya masa Harraz jemput hari tu, saya tak terfikir nak datang pun tapi… ada urusan kat Melaka ni, jadi singgahlah”.
“Terima kasih Amy” Dian janggal, tidak tahu apa yang mahu dicakapkan kepada gadis itu.
“Jap” Amy melangkah ke arah keretanya dan mengeluarkan dua buah kotak yang dibungkus daripadanya. Lalu hadiah itu diberikan pada Dian. “Untuk kau dan Harraz. Satu dari aku, satu dari Amelia”.
Dian mengangguk. Ertinya Amy masih lagi berhubungan dengan Amelia. “Terima kasih. Awak nak masuk dulu? Makan?”
“Tak apalah. Saya dah makan. Kirim salam Harraz dengan Adib. Saya balik dululah..”
Dian menguntum senyum, hanya melihat Amy membuka pintu keretanya. Namun Amy menoleh ke arahnya, dan berpatah balik. Dahi Dian berkerut sendiri.
“Dian..” tubuh itu dipeluk Amy, namun tidak rapat kerana ada hadiah yang menghalang. Entah mengapa, dia terasa sebak pula. “Saya.. saya minta maaf atas semuanya. Atas apa yang saya dah buat pada awak, dan Syaqiqah..”
Dian menolak tubuh Amy perlahan, melepaskan pelukan. “Saya dengan Iqah tak pernah salahkan awak. Saya faham apa yang awak buat tu sebab awak tak nak kehilangan Adib..”
“Saya minta maaf” tangan Dian digenggam.
Dian tersenyum. “Saya.. dengan Iqah dah lama maafkan. Awak jangan risau”.
Amy mengangguk. Dia melambai sebagai tanda selamat tinggal namun Dian memanggil, “Amy!”
“Ya”.
“Saya rasa… awak lagi cantik bila bertudung”.
“Terima kasih” dan mereka sama-sama tersenyum lebar.

Demi Syaqiqah – P70

Songkok yang terletak kemas di atas kepala dibuka lalu diletakkan di sisinya. Jam dinding dilihat, baru jam 6.14 pagi. Telefon bimbit yang berada di atas meja lampu tidur Adib capai. “Ya Allah, walau apa pun yang berlaku. Kau jauhkanlah Dibah dari segala ancaman yang boleh membahayakan nyawanya” doa Adib perlahan.
Gambar Syaqiqah yang bertimbun di dalam galeri gambar telefon pintarnya diperhati satu demi satu. “Dibah.. abang rindu”.
Mengapa mereka masih belum mendapat sebarang petunjuk yang membawa pada penemuan Syaqiqah? Adib bertanya diri sendiri. Pihak penculik pula jelasnya sengaja melengah-lengahkan masa dengan cara berdiam diri. Jarang sekali menghantar sesuatu, itu yang lebih menyukarkan pihak polis menemukan hasil. Dia mengeluh, apakah perlu dia menemui Amy lagi? Tidak tahu mengapa, tapi rasa hati Adib benar-benar kuat mengatakan ia ada kaitan dengan Amy. Bukanlah dia bermaksud Amy adalah penculiknya tetapi… mungkin Amy ada sumber yang boleh membantu mereka? Tapi.. dia sendiri rasa bersalah mahu menemui Amy lagi. Hari itu saja, hampir Harraz dengan Amy bertikam lidah. Adib tahu Amy sangat terasa hati padanya, tapi apa yang boleh dia lakukan memandangkan dia benar-benar menganggap Amy hanya sebagai adik perempuannya saja?
Adib benar-benar tidak tahu siapa yang memusuhi daddynya, kerana Adib tahu benar sikap Tun Adib Nasir yang suka mengalah dan lebih gemar mengelak dari mencari fasal. Lalu bukti atau info yang dimahukan DSP.Ghazali, bagaimana akan dia menemuinya?
Telefon pintarnya berbunyi menandakan ada panggilan masuk. Panggilan dari Harraz itu segera dijawab, “Assalamualaikum Raz”.
“Waalaikumussalam, Dib. Kau jadi tak nak ikut aku pergi Melaka?”
Adib menepuk dahinya, lupa pula dia Harraz mengajaknya pergi ke Melaka hari ini. “Jadilah.. pukul berapa kau nak ambil aku ni?”
“Lapan pagi insya-Allah.. Tapi Raz, kau rasa Dian terkejut tak dengan permintaa aku nanti?”
Adib gelak yang dibuat-buat. Teringat hari itu dia ada memberitahu Dian bahawa Harraz ada kejutan tergemoar buatnya. “Aku rasa ibu setuju je.. Kalau nak tunggu aku dengan Dibah, silap hari bulan ada orang kebas kau punya Dian tu”.
“Maksud kau?”
“Masa aku jumpa Dian hari tu, ada mamat tengah mengurat dia.. bukanlah mengurat, Dian kata dia nak hantarkan Dian balik. Tapi Dian tak pernah setuju pun, cuma biasalah kita ni kalau dah suka tu.. jenis yang jual mahal tu lagilah nak kejar”.
Harraz diam tiada berjawapan. Ya, Diannya memang sangat menarik. Dian punya satu aura yang membuatkan kaum Adam mudah tertarik padanya. Mujurlah Adib bercerita, sekurangnya dia lebih yakin saat ini.

############

“Ibu! Ayam ni semua nak goreng ke?” Dian menjerit pada ibu yang berada di ruang tamu.
Hannan yang baru selesai menyiapkan meja makan melangkah ke dapur. “Akak.. tak payah jerit pun ibu dengarlah. Dah nak jadi isteri orang pun..”
Dian senyum menampakkan barisan giginya. “Betul ke nak goreng semua ni? Macam banyak je..”
“Ada tetamu nak datang. Goreng je semua tu”.
Dian memandang ibu setelah menghidupkan api dapur. “Siapa? Ibu tak cakap pun..”
Hannan hanya menghadiahkan senyuman buat puterinya itu. Nampaknya baik Adib dan Harraz keduanya tidak memberitahu apa-apa pada Dian.

#############

Tun Adib Nasir melangkah masuk ke biliknya perlahan. Ada Enon yang sedang melayani isterinya bersarapan. “Enon…”
“Abang dah balik?” Tun Maryamul Azra menyapa dengan senyuman.
“Tak pe, biar saya buat” Tun Adib Nasir menghulur tangan meminta pinggan dari Enon.
“Yam…” Tun Adib Nasir memandang pinggan setelah Enon menutup pintu bilik. “Kan doktor pesan Yam tak boleh makan makanan bersantan buat masa ni.. kenapa nasi lemak pula?”
Tun Maryamul Azra senyum mengetap bibir. “Yam teringinlah, tu yang Yam minta Jah masakkan. Abang tak marah kan?”
Tun Adib Nasir melepas nafas mendengar jawpan si isteri. Dia terus menyuap nasi lemak itu ke dalam mulut Tun Maryamul Azra. Tun Adib Nasir tahu bahawa keadaan kesihatan isterinya semakin merosot lantaran kehilangan Syaqiqah yang tiada khabar, dia juga tidak memberitahu apa-apa pada Tun Maryamul Azra kerana bimbang keadaan kesihatan isterinya itu akan lebih merosot. “Abang minta maaf… sekarang ni susah betul nak balik rumah, banyak sangat kerja sebab Adib sibuk cari Dibah. Kerja-kerja kat office yang menimbun tu pun tak selesai-selesai. Sekarang ni banyak abang minta Jalal yang uruskan. Itu pun nasib baik, kadang-kadang Adib datang juga buat apa yang patut..”
Tun Maryamul Azra tersenyum sambil tangannya diletakkan pada pipi suami. “Yam yang kena minta maaf sebab tak dapat tolong abang apa-apa. Nak bangun sendiri pun tak boleh..”
Tun Adib Nasir menguntum senyum lagi. “Abang janji, nanti kalau dah selesai semuanya.. abang nak bawa Yam pergi Mekah, buat haji”.
“Yam faham.. abang tak payah janjilah, ada rezeki ada.. kalau tak ada nak buat macam mana kan? Tapi abang..”
“Ya?”
“Tak ada berita fasal Dibah ke? Memang tak ada langsung?”
“DSP pun buntu, katanya bila penculik tu terlalu diam,tak ada tindakan.. pihak polis sendiri susah nak cari bukti. Sebab tak ada petunjuk apa-apa. Penculik tu seolah-olah menculik sebab suka-suka, tu yang tak minta apa-apa. Cuma sekarang ni pihak polis memang tengah usaha sehabis baik untuk kesan Dibah”.

############

Syaiqah memandang Im yang menatang pingan makan tengah hari buatnya. “Lamb chop? Western food?”
Im mengangguk. “Ke akak tak makan western food?”
Syaqiqah menyambut dengan senyuman. Dia menanti Im mengambil tempat sebelum mula makan tengah hari. “Kadang-kadang, akak tak rasa macam kena culik tapi macam duduk dalam penjara. Sebab Im jaga akak baik sangat.. bahu ni dah sihat dah”.
Im senyum kelat. “Im tak faham kenapa bos culik akak. Lepas tu beribu kali pesan jangan bagi akak sakit bla bla bla…”
“Bos Im nak apa dengan akak?”
Im memandang, sejujurnya dia sendiri tidak tahu apa-apa kerana mereka yang lain tidak mahu bercerita padanya. Katanya Im budak baru, hanya menurut arahan tidak boleh banyak tanya. “Im tak tahu, kak. Tapi macam mana pun, akak tetap tak selamat kat sini”.
Syaqiqah senyum lemah, untuk apa dia diculik sebenarnya? Dan dia diculik oleh siapa? Apa yang mereka mahu darinya? Atau dari orang sekelilingnya? Apa motif penculikan ini sebenarnya? Jika dia mahu diapa-apakan mengapa mereka menjaganya dengan baik sekali? Dengan erti kata lain, dia bukannya diculik tapi lebih pada dikurung, dilarang menemui sesiapa. “Tapi.. kenapa Im kasi western food hari ni?”
“Saja… Im nak hiburkan akak. Akak tu tebusan yang membosankan.. baik sangat. Jerit tak, nangis tak, cuba nak lari pun tak, melawan pun tak.. tu yang akak makin gemuk, apa Im bagi semua akak makan. Tu yang Im tak faham kenapa bos culik akak, punyalah baik macam ni..” Im bercerita dengan tawanya.
Syaqiqah melepas nafas, mengeluh. Iyalah, apa yang dia dapat jika melakukan itu semua? Silap hari bulan, nyawa pun sudah melayang. Bukanlah dia hebat sangat untuk cuba melarikan diri dari situ tanpa ditangkap kembali. Untuk apa dia menangis dan menjerit bila dia tahu tiada siapa yang boleh menolongnya, baik dia ikutkan saja permainan aneh ini. Tapi… Syaqiqah benar-benar berharap agar dia dapat keluar dari situ sesegera mungkin. Rindunya pada ibu dan kakak sudah tidak terbendung lagi.

############

Bunyi hon kereta mengejutkan Dian yang baru selesai menunaikan solat Zohor. Niat untuk membuka telekung dibatalkan kerana hatinya lebih ingin tahu siapa tetamu yang ibu maksudkan. Segera Dian mengintai dari tingkap. “Harraz?” Dian mengerutkan dahi, tapi Harraz tidak memberitahunya dia mahu datang? Oh… baru Dian teringat, hari itu Adib ada memaklumkan kedatangan mereka. Katanya Harraz ada kejutan, kejutan apalah itu agaknya?
Hannan menyambut kedua bakal menantunya dengan senyuman. “Masuklah.. Dian kat bilik lagi..”
“Ibu sihat?” keduanya menyoal serentak membuatkan Hannan tersenyum. “Alhamdulillah.. macam nilah keadaannya. Adib tak ada berita apa-apa fasal Iqah?”
Adib mengangguk, dia memang berniat untuk menunjukkan video itu hari ini. “Ada ni..” serentak Adib menghulurkan telefon pintar, Dian keluar dari bilik sekaligus mematikan kata-katanya.
“Ibu”.
“Jomlah makan dulu, nanti sejuk lauk pauk tu. Susah payah ibu masak. Fasal Iqah nanti ye Adib, ibu takut ibu hilang selera makan pulak” Hannan berlalu ke dapur dan Adib mengikut, memberi ruang pada Harraz dan Dian bertegur sapa.
Harraz memandang Dian yang cantik bertudung bawal bersama abaya merah. “Awak apa khabar?”
“Alhamdulillah, macam biasa. Awak pun nampak macam sihat.. kat rumah semua sihat?” Dian bertanya soal keluarga Harraz.
“Alhamdulillah.. jom” Harraz langsung berlalu ke dapur, segan. Dian melepas nafas, apalah agaknya kejutan yang mahu Harraz berikan padanya.
Suasana makan tengah hari itu bermula seperti biasa. Dian hanya mendiamkan diri, mendengar kedua pemuda itu berbual dengan ibunya. Bertanya khabar itu dan ini, bercerita itu dan ini. Setakat ini masih belum juga Dian temui tanda-tanda kejutan Harraz.
“Ha Harraz… kata ada benda penting nak bincang dengan ibu, apa dia?”
Dian mengerutkan dahi, wajahnya diangkat memandang Hannan. Harraz memandang Adib buat beberapa ketika sebelum Adib memberi anggukan. Nafas ditarik sedalam mungkin sebelum dia membuka suara. “Raz nak minta percepatkan nikah Raz dengan Dian”.
Dian segera mencapai gelas di hadapannya, tersedak dia mendengar permintaan Harraz. Hannan dan Adib memandang Dian kemudian sama-sama tersenyum. “Surprised tak?” Adib sengaja mengusik.
“Raz faham ibu dengan Dian sama-sama tengah susah hati fasal Syaqiqah. Cuma Raz fikir kalau dah nikah.. Raz boleh jaga ibu, boleh jaga Dian. Tak adalah ibu dengan Dian tinggal berdua kat rumah ni. Terus-terang Raz cakap, bila Iqah kena culik. Raz lagi risaukan Dian, risaukan ibu.. Raz fikir penculik tu bukan orang lain tapi orang dekat. Lagipun..”
Hannan ketawa kecil. “Harraz tak payah jelaskan panjang lebar, ibu faham. Dan ibu tak ada masalah. Kita buat nikah dulu, kenduri buat sekali dengan Adib. Boleh kan?”
Harraz mengangguk, nafas lega dilepas. Fikirnya ibu akan sedih dan marah dengannya dengan alasan dia tidak memahami situasi mereka, rupanya.. alhamdulillah. Dia mencuri pandang ke arah Dian, nampaknya tunangannya itu sedari tadi menunduk menyembunyikan wajah.
“Keluarga Harraz ok? Setuju?”
“Alhamdulillah semua ok”.
“Baguslah.. Kalau macam tu, Harraz kena tanya tuan punya badan pula ye.. Nanti ada orang merajuk cakap dia macam tak wujud pula..” dan Hannan dan Adib ketawa kecil.

#################

“Cik Amy”.
Amy yang baru keluar dari bilik air membuka pintu biliknya bila diketuk pembantu rumah. “Kenapa?”
“En.Adib dan En.Harraz datang, katanya nak jumpa Cik Amy”.
Amy mengerutkan dahi. “Nanti saya turun”. Pintu bilik ditutup. Mengapa pula Adib dan Harraz datang ke rumahnya? Tidak mungkinlah mereka mahu bertanya tentang Syaqiqah lagi. Segera Amy berpakaian lengkap, t-shirt bersama seluar jeans dan turun ke bawah. “Apa khabar?” Amy terlebih dahulu menyapa Adib dan HArraz yang menanti di ruang tamu.
“Khabar baik.. Amy sihat?” Adib menguntum senyum.
Amy sekadar mengangguk, memberi jawapan. “Datang nak apa?”
“Aku nak jemput kau datang majlis nikah aku dengan Dian”.
Amy memandang Harraz dengan senyuman kelat. “Tahniah.. aku ingat kau nak tunggu Adib sekali”.
“Nikah je dulu, resepsi sekali dengan Adib nanti”.
“Bila nikahnya? Kat mana? Tak ada kad?”
Harraz mengangguk. “Aku dengan Dian sama-sama tak nak buat sebab nak jemput orang dekat je.. Minggu depan, hari Sabtu. Kat Melaka, rumah Dian kau tahu kan?”
Amy mengangguk. Alamat itu ada pada kad jemputan Adib dan Syaqiqah. Tiba-tiba dia teringatkan Amelia. Pasti gadis itu meroyan jika tahu akhirnya Dian tetap menjadi pilihan hati Harraz. “Kalau tak ada apa-apa, insya-Allah aku datang. Tapi… aku orang dekat ke?”
Harraz memandang Adib dan Adib memandang Harraz. Harraz menarik nafas panjang, dia sudah menjangkakan pertanyaan Amy itu. “Entah. aku rasa aku.. kena jemput kau. Samada kau nak datang ataupun tak, itu hak kau. Yang penting, aku dah jemput”.
Amy senyum nipis, tidak tahu mahu gembira atau sedih dengan kenyataan Harraz. “By the way, Syaqiqah macam mana?”
“Masih tak dapat dikesan” ringkas jawapan Adib.
“Dah cuba kesan dari nombor telefon orang yang hantar video tu?”
Harraz dan Adib sama-sama mengerut dahi. Video? “Video apa?”
“Video.. yang.. video.. Syaqiqah.. kena tembak” ujar Amy lambat-lambat.
Adib berdebar tiba-tiba. Daddynya memberitahu video itu hanya dimiliki oleh dia dan daddy. Bagaimana pula Amy boleh mengetahui tentang kewujudan video itu? “Mana Amy tengok video tu?’
“Fon pa. Pa cakap Uncle Nasir send”.
Adib menyepak perlahan kaki Harraz tanda mengajaknya pulang. Harraz yang memahami segera bangun dan meminta diri. “So kami balik dulu, aku harap kau sudilah datang majlis aku nanti”.
Masuk saja ke dalam kereta, Adib langsung saja menghubungi Tun Adib Nasir untuk menyoal tentang video itu. Dan jawapan yang diterima dari Tun Adib Nasir sangat mengejutkannya. “Raz. Daddy cakap dia tak pernah send video tu kat sesiapa selain aku”.
“Call Uncle Zali, cakap kita on the way. Aku yakin Uncle Jalal ada kaitan dengan semua ni”.

Demi Syaqiqah – P69

Senyuman manis dia berikan pada setiausaha Tun Adib Nasir yang benar-benar setia itu. “Silakan Dato’. Tun dah tunggu”.
Jalal melangkah masuk. Dia duduk di sudut tetamu yang disediakan.
Tun Adib Nasir tersenyum. “Kejap ye Jalal”. Sambil itu, Tun Adib Nasir mencapai dua buah fail yang diperlukan untuk pertemuan mereka berdua sebelum mesyuarat bersama ahli lembaga pengarah sebentar lagi. Telefon bimbit yang terletak di sisi komputer ribanya dipandang bila mendengar bunyi mesej masuk. Dahi berkerut melihat mesej ‘What’s App’ daripada nombor tak dikenali. Tiada salam, tiada sapaan. Hanya video yang sedang dimuat turun.
Kakinya lemah menonton video itu. Terasa bagai mahu tumbang saat melihat gadis kesayangannya ditembak sebegitu.
“Daddy!” Adib yang baru masuk segera memapah daddynya yang hampir rebah. Telefon pintar yang sudah terlepas dari pegangan Tun Adib Nasir diambil dan dia memandang Tun Adib Nasir yang sudah duduk di sofa. “Kenapa daddy?”
Tun Adib Nasir melepas nafas, menenangkan diri. Jalal dipandang, “Jalal, awak masuk meeting dulu. Saya lambat sikit”.
Jalal bangun dan mengangguk. Dia melangkah keluar menuju ke bilik mesyuarat. Senyuman sinis yang cuba disembunyikan nampaknya tidak berjaya kerana Adib terperasankannya.
“Cuba Adib cek fon, ada tak mesej masuk?” Tun Adib Nasir menyoal Adib. Dalam masa yang sama, jari-jemari ligat menaip mesej pada DSP.Ghazali. Memohon untuk berjumpa serta-merta.
Kepalanya digeleng. Memang ada mesej tapi tiada yang luar biasa. Semuanya mesej yang biasa-biasa. “Tak ada apa pun, daddy” Adib mengambil tempat di hadapan Tun Adib Nasir sambil tangan menghulur telefon pintarnya.
Tun Adib Nasir mengerutkan dahi. Jadi hanya dia yang mendapat mesej itu..? Tapi mengapa? Apa niat si penghantar mesej dan apa pula kaitannya dengan si penculik lalu apa pula niat mereka menghantar video itu padanya dan bukan pada Adib? “Tengok ni”.
Mata Adib membulat melihat darah yang memercik keluar daripada tubuh Syaqiqah. “Dibah!” matanya langsung merah menahan air mata. Nafas turun naik menahan marah juga menahan debaran. Dia bangun dari duduknya. Adib sudah hilang arah. Nombor si penghantar mesej beberapa kali dihubungi tapi tiada jawapan. Dan beberapa kali terakhir operator memaklumkan nombor itu tiada dalam rekod. Telefon pintar daddynya digenggam bersama air mata yang makin galak mengalir. Kepalanya serabut memeikirkan apakah Syaqiqah sudah ok atau belum? Lukanya apakah ada yang merawat atau tidak? Atau peluru masih berada pada bahunya? Serabut lagi memikirkan sang penculik yang langsung tidak berhati perut hingga sanggup bermain dengan nyawa tunangannya. Segala persolan dan perasaan bersatu membuatkan wajahnya basah dengan air mata.
Tun Adib Nasir menepuk bahu Adib. Jika tadi dia hampir pengsan, anaknya kini lebih teruk. Perlahan telefon pintarnya diambil daripada Adib untuk memeriksa mesej dari DSP.Ghazali.
“Adib takkan maafkan orang yang buat semua ni!!” Adib mengesat air matanya. Tun Adib Nasir dipandang. “Tapi daddy.. kenapa dia tak hantar video tu kat Adib je?”
“Adib kena tenang. Daddy dah buat temu janji dengan DSP. Apa-apa hal, bincang dengan dia. Daddy kena masuk meeting” bahu Adib ditepuk dan dia keluar dari bilik.
Adib menarik nafas panjang. Nombor Harraz dicari untuk dihubungi, namun panggilan dari Harraz lebih dahulu diterimanya. “Assalamualaikum Adib. Aku kat office kau ni..”
Adib berdiri. Langkah laju menuju keluar dari pejabat Tun Adib Nasir. “Kita bincang nanti, sekarang aku nak ajak kau pergi jumpa Uncle Zali. Segera!”

#############

Seluruh anggota tubuhnya bagai terhenti seketika melihat fail yang berterabur di atas lantai. Dia bingung bagaimana fail-fail itu boleh jatuh dengan tiba-tiba. Namun Hannan disedarkan oleh pelajarnya yang datang membantu.
“Cikgu, cikgu ok tak ni?”
Hannan tersenyum melihat pelajarnya. “Cikgu ok. Terima kasi Salwa, Devi”.
“Tak pelah cikgu, fail-fail ni kami tolong bawa”.
“Kalau macam tu, Salwa tolong hantar ke bilik guru. Letak je atas meja cikgu”.
Hannan melihat dua sahabat berlainan agama dan bangsa itu. Dia tiba-tiba terasa tidak sedap hati. Fail yang tiba-tiba jatuh berterabur sudah cukup untuk membuatkan hatinya tidak tenang. Apakah ada apa-apa yang menimpa kedua puterinya? Segera Hannan menghubungi puteri sulungnya yang baru memulakan kerja dua hari lepas.

#############

Keluhan dilepaskan mereka berempat yang duduk di meja itu. Semua buntu dengan kes yang tidak ditemui asal-usul dan sebab-musababnya. DSP.Ghazali mengerut dahinya. Adib dipandang. “Tapi ada satu perkara yang uncle pasti”.
“Maksud uncle?” Adib dan Harraz menyoal serentak.
Nafas dilepas, “Penculik ni belum berniat nak bunuh Cik Syaqiqah, sebab tembakan dilepaskan pada tempat yang tak mendatangkan bahaya. Dan target yang sebenar bukan Adib, tapi Tun Adib Nasir”.
“Daddy?”
Harraz memandang Adib dan Adib memandang Harraz. Kemudian keduanya serentak memandang DSP.Ghazali dan pembantunya. Adib mengangguk,”Sebab tulah video tu daddy je yang dapat?”
“Sekarang ni pihak kami dah cuba kesan nombor telefon tu, tapi nombor tu didaftar dengan kad pengenalan palsu. Dan nombor tu sendiri pun tak dapat dikesan”.
“Tapi uncle.. kalaulah orang tu berniat jahat dengan Uncle Nasir kenapa tak culik Adib je? Atau Aunty Yam? Kenapa kena culik Syaqiqah?”
“Itu yang uncle pelik, dan itu yang pihak kami tengah cuba selesaikan. Sekarang ni motif penculikan pun tak jelas. Tapi dia bukan penculik biasa-biasa sebab dia memang tak minta wang tebusan atau apa-apa cagaran. Sekarang ni, antara motifnya mungkin dendam, atau mungkin juga nak ugut untuk dapatkan projek atau apa-apa. Tapi yang pasti targetnya adalah Tun Adib Nasir. Kita kena tengok balik semua rekod orang yang pernah buat kes dengan Tun Adib Nasir, atau Adib dengan Harraz ada apa-apa info? Musuh, bekas musuh, orang yang sakit hati, orang yang pernah ada sejarah buruk.. atau orang yang ada kaitan dengan orang yang pernah sakit hati.. sekitar macam tulah.. Sekarang ni uncle nak semua info berkaitan”.
Adib mengangguk, begitu juga Harraz. Bersetuju untuk memberikan kerjasama sepenuhnya. “Uncle..” Adib teringat, DSP.Ghazali dipanggil. “Tadi uncle kata, dia tak ada niat nak bunuh Dibah.. jadi kita boleh legalah kan?”
“Tak boleh cuai,tak boleh leka. Uncle cakap belum, bukan tak ada. Mungkin sekarang, dia masih berguna untuk dia orang. Sebelum dia jadi tak berguna.. kita kena cari Cik Syaqiqah!”

###########

Langkahnya dilajukan agar dapat menjauhkan diri dari lelaki ini. Mengapalah lelaki ini tak faham-faham bahasa? Bukankah sudah dia katakan dia tidak mahu dihantar lelaki itu?
“Diana, biar saya hantarkan awak balik rumah..”
“Encik Hamdi, tolonglah. Saya boleh balik sendiri” Dian menegaskan.
“Tak pe, saya boleh hantarkan. Lagipun dalam kereta ada adik saya tengah tunggu”.
Dian mendengus perlahan. Kalau di zaman belajarnya dulu, sudah lama manusia tidak faham bahasa sebegini ditengkingnya seperti yang ditempuh Harraz dan Adib. “Encik Hamdi…” kata-katanya tergantung bila tiba-tiba sebuah kereta berhenti di sebelahnya. Adib?
“Dian, apa yang tak kena?”
Dian melepas nafas lega. Hamdi dipandang. “Adik saya dah datang. Adib, kenalkan ni rakan sekerja akak.. Encik Hamdi”.
Adib tersengih mendengar gelaran yang digunakan Dian. Adik? Atau bakal adik ipar lebih tepat lagi? Dia menghulurkan tangan bersalaman dengan pemuda yang bersama Dian. “Adib”.
“Hamdi.. seronok dapat kenal adik Diana” Hamdi menyambut huluran Adib.
Diana? Adib ketawa kecil mendengar nama itu sebelum tawa kecilnya dimatikan oleh jegilan mata Dian. “Encik Hamdi bolehlah balik.. biar Adib hantar ‘kakak’ balik”.
Hamdi tergesa-gesa melangkah meninggalkan mereka berdua, barangkali malu dan segan diperlakukan begitu. Adib membuat muka memandanag Dian. “Kau ni cantik sangat ke? Dah ada tunang pun ada orang nak mengurat lagi?”
“Adib!” Dian meninggikan suara, tidak suka diusik sebegitu. “Macam mana kau tahu tempat kerja aku? Ada urusan apa kau datang Melaka? Datang dengan siapa?”
“Ibulah kasi alamat. Urusannya nak jumpa kaulah”.
“Kau.. ada maklumat fasal Iqah ke?” mata Dian langsung membulat.
Adib melepas nafas. Mereka terus melangkah menuju ke perhentian bas. “Aku tak tahu nak cakap macam mana. Kau tengoklah sendiri…” telefon pintarnya dihulurkan pada Dian dan Dian menyambutnya. Video dimainkan, terlepas telefon pintar itu dari pegangan Dian saat melihat adik kesayangannya ditembak. “Mana kau dapat ni?” suara Dian tersekat-sekat dalam air mata.
“Ada orang hantar kat daddy. Aku ingat nak send je tapi bila fikir balik, baik aku jumpa kau. Tapi pihak polis cakap tembakan tu tak kena pada organ penting, jadi insya-Allah adik kau, tunang aku selamat”.
Dian melepaskan tangisannya. “Patutlah ibu call pagi tadi.. ibu cakap ibu tak sedap hati. Adik…”
“Dian.. kau nak bagitahu ibu ke?”
“Sampai sekarang tak ada perkembangan lagi ke? Tak dapat kesan lagi Iqah kat mana?” Dian menyoal dengan mata merahnya.
Adib melepas nafas. “At least.. kita tahu Dibah masih hidup. Pihak polis buat yang terbaik aku yakin.. kita serah jelah pada Allah… Kau nak bagitahu ibu ke?”
Nafas dilepaskan Dian pula. “Aku.. Kau rasa? Tapi aku tak nak bagitahu, aku tak nak ibu susah hati. Tapi… bila ingat balik kejadian Amy tu… aku tak mampu nak ingat macam mana marahnya ibu sebab aku dengan Iqah rahsiakan hal tu. Jadi aku pun tak tahu aku patut bagitahu ke tak..”
Adib senyum kosong. “Ke kau nak aku bagitahu?”
Dian tersenyum lemah, anggukan diberikan. Matanya memandang sekeliling. Mereka sudah tiba di perhentian bas. “Kau berapa hari kat Melaka ni?”
Adib tiba-tiba tersengih. “Balik KL terus, akak kirim salam ibu tau.”
Dian menjuih bibir. “Banyaklah kau punya akak. Dah nikah baru boleh panggil aku akak tau.. Kau datang dari KL semata-mata nak jumpa aku je?”
Adib mengangguk. “Aku ingat nak tengok ibu sekali.. tapi aku kena balik KL cepat.”
Dian mengangguk. “Tak pelah.. Ibu tak marah punya..”
“Tapi” Adib mengecilkan matanya, membuat muka memandang Dian. “Insya-Allah, minggu depan aku datang lagi. Harraz ada surprise…!! untuk bakal bini dia”.
Dian ketawa kecil dengan cara Adib bercakap. “Dahlah, bas dah datang tu. Apa-apa hal, kau mesej aku. Kalau ada benda yang kau tak bagitahu aku..”
“Kau nak buat apa?” Adib memotong.
“Iqah balik nanti, aku tak bagi kau orang kahwin. Iqah tu adik taat tau..” dan Dian berlari menuju pada bas yang sudah tiba. Lambaian bersama senyuman diberikan pada Adib namun sebaik saja duduk di dalam bas, matanya bergenang lagi mengingat video yang baru ditonton tadi. Dan air mata tumpah lagi untuk entah ke berapa kali mengenangkan Syaqiqah Sulaiman kesayangannya.

#############

Jalal duduk seketika di sisi katil sementara menanti Amnah, isteri kesayangannya melipat telekung. “Abang tak solat?” lembut si isteri bertanya, sebolehnya tidak mahu menyentuh perasaan suami.
Jalal menghadiahkan senyuman seperti biasa dan amnah turut tersenyum, dalam hatinya dia berdoa agar suaminya yang sangat dihormati itu dapat bertaubat sebelum ajal memanggil. “Nah nampak fon abang?”
Amnah kelihatan berfikir sambil menyisir rapi rambutnya yang sepanjang paras pinggang. “Rasanya abang tak ada bawak masuk bilik tadi”.
Jalal mengangguk, barangkali tertinggal di meja makan semasa dia meminum air putih tadi, segera kakinya melangkah keluar dari bilik dan menuju ke dapur. “Sayang…”
Amy menoleh. Pa kesayangannya dipandang, “Pa.. ni bukan Syaqiqah ke?” Amy menunjuk video yang sedang ditonton pada telefon pintar milik Jalal.
Jalal sebolehnya cuba menguntum senyum ikhlas, tidak mahu menunjukkan tanda apa-apa pada puteri tunggalnya. “Ya”.
“Mana pa dapat video ni?”
“Uncle Nasir send. Dia cakap ada orang hantar, kesian budak tu.. sampai sekarang tak dapat kesan lagi kat mana”.
Amy diam. Nafasnya dilepas. Ya, kasihan. Benar-benar kasihan. Bagaimanalah agaknya Adib sekarang? Apakah mungkin inilah peluangnya untuk mendapatkan Adib semula? Nafas dilepas, Amy melepaskan sebuah keluhan berat. “Kalau orang dah tak nak kita, macam mana pun dia tetap tak nak kan, pa?”
Jalal memeluk Amy, tidak sukanya dia melihat Amy bersedih begitu. ‘Tak pe sayang.. bila pa dah hapuskan budak Syaqiqah tu, Adib akan menyesal sebab tak pilih anak pa’. Dalam diam, dendam Jalal pada keluarga itu bertambah. Dan.. dia juga akan lebih berhati-hati agar tidak tertinggal telefon pintarnya di mana-mana lagi, bimbang selepas ini Amy akan terbaca mesej-mesejnya pula.

Demi Syaqiqah – P68

Jalal menutup pintu kereta kasar dan langsung melepaskan sebuah tumbukan pada pipi Pisau yang berdiri tepat di hadapannya. Pisau mendiamkan diri, tahu sangat bosnya sedang marah mengenangkan berita yang dia sampaikan tadi.
“Kau cakap dengan aku, macam mana kau buat kerja?” Pisau ditengking, kerana geram tubuh itu disepak sekuat hati.
Pisau mendiamkan diri. Dia sedar itu adalah salahnya sendiri. Tapi memang dia tidak tahu gadis kecil itu memerhatikannya! Kalaulah dia tahu, awal-awal lagi gadis itu tidak akan dibenarkan hidup hingga menyusahkan hidupnya sekarang. “Bos..”
Jalal menenangkan diri, nafas ditarik. Syaqiqah tidak boleh dibunuh sekarang, gadis itu masih berguna untuknya. Tapi habislah dia jika Syaqiqah dapat diselamatkan. Namun siapa yang mahu menyelamatkan gadis itu? Tiada! Jalal ketawa suka hati.
“Macam ni lah.. Pisau, kalau kau nak dapatkan kembali kepercayaan aku.. aku ada kerja untuk kau”.

#############

Syaqiqah memandang lelaki berparut itu. Im ada memberitahunya itu adalah Pisau, ketua mereka. Pistol yang dipegang Pisau dipandang. “Hai. Lama tak jumpa.. pandai kau jaga dia Im. Tak ada luka, macam dah makin gemuk. Nampaknya selera makan kau hidup lagi”.
Syaqiqah memandang Im. Baru dia perasan ada sebuah kotak kecemasan yang dibawa masuk bersama Pisau tadi, dan sekarang ianya berada pada Im. Mata pemuda itu dicari. Nampaknya Im sengaja ‘menolak’ pandangannya. Apa yang berlaku?
Pisau memandang Im. “Cepatlah buka kotak tu! Aku nak kau sediakan barang terus. Tuan tak nak kena jangkitanlah, melaratlah, apalah.. Perempuan… ! Badan lembik!” sergahan itu dialih pada Syaqiqah.
Dahinya berkerut. Apa yang berlaku? Atau.. akan berlaku? Namun dia tidak berani membuka suara. Melihat Pisau saja sudah membuat akalnya menghalang. Silap hari bulan, nyawanya boleh melayang di tangan lelaki itu.
Im menurut arahan. Sungguh dia tidak sampai hati, namun dia tidak punya kuasa untuk menghalang. Dettol dikeluarkan dan dibuka lalu diletakkan di dalam dulang. Kemudian diambil gunting dan kain anduh. Di dalam sebuah mangkuk besi, terdapat pengepit yang direndam. Jag kecil berisi air putih yang dihulurkan temannya turut diletakkan di dalam dulang. Akhir sekali, sarung tangan getah dipakai. “Dah siap, bos” ujarnya perlahan.
Pisau menjeling dengan ketawa kecil. “Kau ni lembut jiwa sangat. Baru jaga perempuan ni sebulan, kau dah sayang dia? Bukan aku tak nampak tangan kau tergetar-getar”.
Syaqiqah tiba-tiba cemas. Dia berdoa sebanyak-banyaknya di dalam hati. Apakah alatan yang disediakan Im itu untuk merawatnya? Pisau mahu menembaknya? Dan Im harus merawatnya? Syaqiqah bingung, jika dia ditembak mengapa dia perlu dirawat? Bukankah lebih baik dia dibunuh saja? Apa perlunya dia dikurung sebegini? Atau mereka mahu menuntut wang tebusan dari daddy?
“Bos.. saya tak sayang.. tapi”
“Dah!” kata-kata Im dipotong. “Aku yang buat, bukan kau. Kalau aku tahu kau lembik macam ni.. dari awal aku tak ambil kau. Tapi tak pe, sebab kau baru lagi. Dah lama nanti kau biasalah.. Atau kau nak cuba? Kali pertama?” Pisau menghulurkan pistol yang dipegangnya pada Im.
Im menggeleng. Dan dia diketawakan temannya yang berada bersama. “Aku tak suruh korang gelakkan dia!!” jerit Pisau marah. Langsung keduanya terdiam. Lelaki yang botak dan bersinglet dipandang Pisau. “Botak, rakam. Aku nak mula ni”.
Botak mengangguk. Dia ke depan berada di sebelah Pisau. Telefon pintar dikeluarkan dan dia membuka kamera. Pisau mengangguk dan pistol diacu pada Syaqiqah. Air mata Syaqiqah sudah menitis kerana ketakutan. Namun tiada esakan suara yang terkeluar kerana dia tahu, Pisau bukan berniat utntuk membunuhnya. Mata menangkap Im yang sudah mengetap bibir. Pandangan Im juga dialih. Syaqiqah memejam mata mendengar picu pistol ditarik.
Pang!!
Bergema satu rumah lama itu dengan bunyi tembakan bersama suara jeritan Syaqiqah. Pisau tersenyum, pistol disimpan kembali dan telefon pintar pada Botak diambil. “Bagus” bahu Botak ditepuk. Nampaknya video yang diambil Botak sangat jelas dan nyata. Pasti bos sangat berpuas hati dengannya. Dia mengambil tempat pada sofa yang terdapat di penjuru bilik.
Im bergegas melangkah pada Syaqiqah. “Cik, tahan sikit” dia menenangkan Syaqiqah yang mengerang. Lengan baju Syaqiqah digunting separuh kerana tembakan itu dilepaskan hampir pada siku. Segera Im memberi rawatan dan peluru dikeluarkan. Dalam hatinya menyumpah seranah Pisau yang langsung tidak menunjukkan belas kasihan. Setelah pendarahan berhenti dan rawatan selesai, tangan itu dibalut.
“Aku nak keluar, kau jaga dia elok-elok. Kita tengok esok dia demam tak, kalau tak demam.. maknanya betullah kau pernah jadi nurse sebelum ni. Ingat.. tuan tak nak apa-apa jadi kat dia” Pisau keluar bersama Botak dan seorang lagi.
Im memejam mata. Nafas lega dilepas. Sarung tangan dibuka dan dia menyelesaikan tugasnya yang belum selesai. Sambil menyimpan semula alatan itu. Syaqiqah dipandang. “Cik… cik ok?”
“Im panggil akaklah” Syaqiqah membetulkan. Sebulan bersama Im, dia yakin jiwa Im masih bersih. Tapi bagaimana pula dia boleh berada di sini?
Im menutup kotak kecemasan itu, masih membelakangkan Syaqiqah. “Saya bukan sayang akak. Tapi…”
“Tak pe akak faham. Bos Im cakap, Im budak baru..”
Im memandang. Jaketnya dibuka dan diletakkan pada tubuh Syaqiqah. Dia tahu Syaqiqah tidak selesa dengan keadaan pakaian yang sudah koyak rabak. “Nanti saya minta dia orang belikan akak baju. Akak mesti nak telekung kan?”
Syaqiqah mengangguk. Tidak diikat seperti awal dia diculik pun sudah cukup bersyukur. Dia dibenarkan bebas didalam bilik kecil itu, tidaklah susah mahu ke bilik air dan sebagainya. “Im”.
Im mendekati Syaqiqah. Dia mengambil tempat di depan wanita itu. Bersamanya dipegang sebiji cawan. “Tapi akak power juga kan? Setakat jerit nangis je.. tak delah pengsan meroyan macam selalu Im tengok..”
Syaqiqah senyum nipis. Nampaknya Im benar-benar pakar merawat luka. Dia sendiri tidak terasa begitu sakit sudah, namun kebas dan lenguh itu tidak juga hilang. “Im.. apa yang bos Im buat sebenarnya?”
“Akak kena rehatkan tangan tu dua tiga hari kalau nak sihat cepat. Nah.. akak minumlah, Im takut akak kurang darah”.
Syaqiqah tersenyum, menyambut huluran Im. “Im tak nak jawab soalan akak?”
Im mengeluh. Dia ketawa kecil. “Akak ni keras kepala kan? Kalau akak nak tahu, sepuluh kali akak tanya. Im tak tahu.. Bos datang, cakap tuan suruh. Im pun tak tahu nak cakap apa. Tapi tuan memang tak nak bunuh akak kut, kalau tak kenapa bos asyik suruh Im jaga akak elok-elok?”
“Im tak jahat.. kenapa Im kat sini?” Syaqiqah memberanikan diri bertanya lagi. Sebelum ini dia sudah pernah memberi soalan itu tapi Im mengamuk sebaik saja dia tanya. Manalah tahu kali ini nasib menyebelahinya.
Im memandang. “Baik akak tak yah tahulah. Im ni bukannya baik. Cuma akak belum nampak jahat Im tu kat mana” Im bangun dari duduknya, melangkah ke pintu. Sebelum melangkah keluar, dia menoleh pada Syaqiqah. “Im memang belum sayangkan akak, tapi nak sayang akak bukannya susah”.
Syaqiqah sedikit terperanjat dengan bunyi pintu yang sengaja ditutup dengan kuat. ‘Nak sayang akak bukannya susah?’ Apa maksud kata-kata Im itu? Dia sayangkan dirinya? Sebagai… sebagai apa? Nafas dilepas, sudahlah Syaqiqah malas mahu memikirkannya. Dia mahu tidur, terasa penat sekali hari ini.

Demi Syaqiqah – P67

Pintu biliknya ditutup rapat. Seperti biasa, Amy duduk menghadap cermin besar itu. Perlahan air matanya menitis mengingat pertemuan tadi. Sakitnya tidak mampu dikatakan.
Bagaimana Adib boleh terfikir bahawa dia menculik Syaqiqah? Pada Amy cukuplah terluka sekali. Siapa yang sanggup dilukakan bertalu-talu begitu?
Air mata dikesat perlahan. Tapi yang menghairankan… bagaimana Syaqiqah boleh menghilangkan diri. Bukankah gadis itu menjadi kesayangan ramai? Lalu siapa yang menjadi penyebab misteri kehilangan gadis itu..?
“Amy…”
Air mata dikesat mendengar suara mamanya. Lalu pandangan memandang cermin, memandang wajah mama yang memaut kepalanya. “Mama dah balik?”
“Amy menangis? Adib datang?”
Amy mengangguk. “Mana mama tahu?”
“Mama tengok ada set hidangan tetamu kat ruang tamu. Bibik baru nak kemas. Adib nak apa? Mama baru je sampai ni”.
“Dia singgah kejap je… saja nak melawat katanya” Amy malas mahu bercerita perkara sebenar.
Amnah melepas nafas. Tahu sangat puterinya menipu. Lagipun siapa lagi yang dapat membuat Amy menangis jika bukan Adib? “Mama nak masak.. Nanti papa nak balik makan. Amy turun ye?”
Amy mengangguk. Menghantar mamanya keluar dengan pandangan mata. Untungnya jika di usia tua nanti dia dapat pasangan seperti papa dan mama. Saling menyayangi.. saling menjaga. Walhal dari cerita mama, mereka dijodohkan keluarga. Bukanlah pasangan bercinta. Namun kebahagiaan antara keduanya sangat terserlah. Hingga terkadang Amy sendiri cemburu melihat layanan papa pada mama.

##########

Pintu yang terbuka dari luar menarik perhatian Syaqiqah. Dipandang wajah lelaki yang digelar bos itu. Masuk bersama beberapa lelaki lain yang sepertinya mengiringi.
“Nanti tuan akan datang. Kau pandai-pandailah buat muka comel supaya tuan tak jadi nak habiskan kau”.
“Kenapa kau culik aku? Dari hari pertama aku sampai sini, tak pernah sekali pun aku kena pukul. Untuk apa kau culik aku?” Syaqiqah bertanya sambil membuat muka, namun nada suaranya masih rendah dan lembut.
Pisau ketawa. “Perkahwinan kau… batal. Tulah tujuannya..”
Syaqiqah terdiam. Mereka menculiknya hanya kerana mahu perkahwinannya batal? “Kau siapa?”
“Adibah Syaqiqah Syamran.. aku kenal kau sejak kau belum lahir. Kau ingat dengan tukar nama Syaqiqah Sulaiman tu aku tak dapat cari kau?”
“Kau usik kereta tu! Ada sesuatu yang kau buat kat kereta daddy!”
Pisau menoleh. Kini dia faham maksud kata-kata Syaqiqah tempoh hari. Dia melihatnya hari itu! Syaqiqah nampak kewujudan meragukannya pada hari itu! “Apa kau cakap?”
Saat ini, air mata Syaqiqah sudah pecah. Dia tidak mahu menerima hakikat ini. Kemalangan itu suatu pembunuhan bukan sekadar kemalangan. “Kau bunuh keluarga aku?” dalam soalannya suara pecah dengan tangisan.
Pisau melepas nafas. “Kau nampak..! Patutnya kau pun mati sekali dengan mak bapak kau!”
“Kau….!” Syaqiqah mula beremosi. Langsung dia tidak pernah menyangka ini semua.
“Im, kau jaga perempuan ni elok-elok. Aku nak jumpa tuan”.
“Baik bos”.
Pintu ditutup kasar oleh pengiring Pisau. Syaqiqah memandang Im dengan mata merahnya. Menangis semahunya melepaskan rasa marah, geram, sedih, kecewa dan bermacam lagi perasaan dalam diri. Sungguh dia sangat sangat sedih!

##########

“Buat masa ni kami masih belum temukan apa-apa petunjuk. Tapi tun jangan risau. Pihak kami akan lakukan yang terbaik dalam operasi kali ini” DSP.Ghazali memberi jaminannya pada Tun Adib Nasir.
Tun Adib Nasir mengerutkan dahi. “Dari nombor telefon yang hantar video tu?”
“Maaf tun. Kami dah cari dan nombor serta telefon bimbit tu akhirnya bawa kami ke laut. Lepas je penculik rakam video tu, telefon bimbit tu terus dibuang dalam laut. Setakat ni kami masih mencari telefon bimbit tu tapi… dalam laut, bila makin dekat isyarat makin terganggu…”
“Daddy harap Dibah ok..” Tun Adib Nasir bersuara perlahan.. “Ya Allah, selamatkanlah…” dia mendoakan kesejahteraan dan keselamatan bakal menantunya itu.
“Tapi tun jangan risau. Setakat ini kami masih belum terima laporan kemalangan nyawa lagi” DSP.Ghazali meyakinkan.
Tun Adib Nasir mengangguk. “Saya faham pihak berkuasa cuma buat kerja. Tak ada siapa yang salah dalam hal ni.”
“Cuma.. kalau tun ada maklumat tambahan. Sesiapa yang tun syaki sebagai dalang? Mungkin musuh perniagaan atau sebagainya?”
Tun Adib Nasir mengangkat wajah. Ya, mengapa dia tidak pernah terfikirkan hal itu? Mungkin penculik itu bukan musuh Syaqiqah.. Iyalah, di usia mudah begitu mana mungkin Syaqiqah mampu membuat musuh yang dahsyat ditambah dengan sikapnya yang mudah disayangi dan disenangi. Ertinya… mungkin ada sesuatu lain yang dimahukan sang penculik!
Tapi siapa? Dan mengapa? Apa tujuannya? Tun Adib Nasir buntu memikirkan semuanya.
Di luar pejabat, Jalal menghampiri Qaniah yang leka melakukan tugasnya. “Qaniah”.
“Ya, Dato’? Ada apa yang perlu saya bantu?”
“Tun ada meeting?”
Qaniah mengangguk. “Dan tun dah cakap dia tak nak diganggu”.
Jalal mengangguk memahami. “Siapa datang?”
“DSP.Ghazali, Dato'”.
Jalal mengangguk dan berlalu pergi tidak lama kemudian. Tidak perasan cebikan bibirnya diperhati Qaniah. Di pejabat dia ketawa besar memikirkan ketidakkeruan keluarga itu dengan kehilangan Adibah Syaqiqah. Dan panggilan yang diterima dari Pisau mematikan tawanya.

#########

Lamunannya termati saat Dian menghidu bau hangit dari kuali. Berlari Dian dari sinki mengangkat cucur ikan bilis yang sudah pun hitam. “Allah…”
“Ibu bau hangit”.
Dian melepas tawa kecil melihat Hannan di pintu dapur. “Ibu.. duduk dulu…” Dian menarik tangan ibunya duduk di kerusi meja makan.
Hannan melepas nafas. “Dian ingat adik?”
Dian memandang ibunya. Selama ini dia tidak mahu menyebut nama itu bimbang ibu bersedih tapi nampaknya ibu yang menyebutnya dahulu. “Ibu…”
Hannan menguntum senyum. Dian segera menghidangkan teh o yang sudah dibancuh pada ibu. “Ibu dah sihat ke? Dian ingat nak bagi ibu makan kat bilik je”.
Hannan ketawa kecil. “Alhamdulillah.. ibu ingat esok nak mula mengajar. Kakak pun.. bolehlah mula cari kerja. Kita risaukan adik.. tapi tak boleh hidup macam ni.. Sampai bila ibu nak sakit sebab sedih? Sampai bila kakak nak duduk rumah jaga ibu..? Kalau adik dah tak de, adik pun tak suka kita macam ni”.
Dian menutup api dapur dan membasuh tangan. Cucur ikan bilis diletak di atas meja. Tangannya cekap mencapai sos cili keluaran bumiputera dan menuangnya pada piring. Kemudian Dian bangun dan membancuh milo panas buat dirinya pula. Beberapa saat saja dia sudah duduk semula di samping Hannan, menyertai Hannan bersarapan.
“Sebenarnya ibu… kakak memang dah apply kerja cuma tengah tunggu maklum balas” Dian senyum memandang ibunya. Terima kasihlah pada Harraz yang memintanya melakukan itu, katanya dialah yang harus kuat sekarang. Harraz yang tak putus memberi kata semangat padanya.
Hannan mengangguk. “Alhamdulillah.. Tulah ibu pun nak mula mengajar esok.. Mesti anak-anak tu dah rindu Cikgu Hannan”.
Dian memandang ibunya. “Kenapa dia orang tak jumpa adik lagi? Malaysia ni tak besar pun ibu..”
“Kakak! Semua yang Tuhan jadikan ada hikmahnya. Kita tak tahu tapi kita kena berdoa.. Ibu yakin anak ibu selamat. Kakak pun kenalah yakin adik selamat. Solat hajat banyak-banyak…”
Dian mendiamkan diri. Dapat dia lihat air mata yang sudah pun bertakung pada kolam mata ibunya. Tangan ibu dipaut. “Kakak minta maaf…”
Hannan melepas nafas. “Doa baik-baik. Ibu kesia tengok kakak… ibu tahu kakak tak pernah putus khabar dengan adik.. Ibu lagilah.. mana ada ibu yang sanggup berpisah lama-lama dengan anak tanpa dengar apa-apa berita.. Tengok Adib tu kalau ada peluang mesti datang sini. Melaka dengan KL bukanlah jauh tapi kalau dah selalu datang tu.. bukanlah dekat macam sebelah rumah..”
Dian mengangguk. Tiba-tiba dia teringat pertemua pertama mereka dengan Adib dahulu. Teruk Adib dibahannya kerana memeluk Syaqiqah. Yalah.. tiba-tiba saja datang memeluk adiknya tak mahu lepas-lepas. Kakak mana yang tidak marah? Sudahlah Syaqiqah saat itu masih belum bercakap.
Kelakar pun ada. Sedih tentu sekali. Sayu dan rindu sudah pun mula bersatu. Dian melepas nafas. Automatik matanya juga sudah mula ditakungi air.
“Kan tengah sarapan. Kenapalah kita menangis depan rezeki?” Hannan mengesat air mata puterinya. Kemudian bangun ke sinki membasuh muka. Lama dia berdiri bersama ingatannya yang terbang pada puteri bongsu.
Dian mendekati Hannan, menyedari Hannan terlalu lama membasuh muka. “Ibu.. kakak rindu adik”.
Hannan memaut bahu Dian. “Ibu lagi rindu.. kita sama-sama doakan yang terbaik. Ibu yakin tak lama lagi adik akan kembali pada kita.”

Demi Syaqiqah – P66

Bibirnya menguntum senyum mengingat gambar yang dihantar Pisau tadi. Seronok rasanya melihat Adibah Syaqiqah terikat begitu. Puas hatinya memikirkan gundah gulana yang dialami Tun Adib Nasir sekeluarga. Inilah akibatnya memainkan perasaan puteri kesayangan.
Dia yang baru pulang dari pejabat memasuki bilik puterinya terlebih dahulu. Wajah Amy yang sedang lena diulik mimpi ditatap dan diusap penuh kasih. Puteri kesayangannya, hasil perkahwinan dengan wanita yang sangat dicintai.
“Papa akan pastikan dia orang terima akibatnya sayang..” ucapnya lembut dan sangat perlahan.
Jalal membetulkan selimut Amy sebelum mencium dahinya. Senyum dikuntum lagi sedamai mungkin.
“Abang”.
Jalal berpaling. Senyum dipamerkan pada Amnah, isteri kesayangan yang barang kali muncul dari bilik.
Amnah duduk di sisi suaminya, tersenyum dia melihat Amy yang tidur lena. “Abang baru balik?”
Jalal mengangguk. “Anak kita dah besar sayang” tangan isteri dipaut dan digenggam erat.
Amnah melentokkan kepala dalam dakapan Jalal. Anggukan diberikan. “Nah pun rasa macam tu”.
Jalal tersenyum. Setelah beberapa minit mereka beredar dari bilik Amy, bimbang gadis itu terjaga akibat gangguan mereka.

#########

Harraz yang berada di tempat pemandu memandang Adib di sebelahnya. Pagi tadi beria Adib menelefon dan menyatakan sangkaannya. Tapi bila mereka tiba di hadapan rumah Amy, dia pula yang serba salah mahu menemui Amy atau tidak.
“Kau nak turun ke tak sebenarnya ni?”
Adib melepas nafas. Masalah yang lalu dengan Amy masih belum diselesaikan. Dia sebenarnya malas mahu berjumpa Amy tapi rasa hatinya kuat mendorong untuk berjumpa kerana itu satu-satunya petunjuk yang ada.
Harraz menggeleng. Pengantin tak jadi itu benar-benar tidak keruan sejak kehilangan bakal pengantin perempuannya. “Dib, aku tanya ni”.
“Kau rasa aku patut jumpa ke tak?”
Harraz melepas nafas. Gelengan diberikan. “Tapi kau tarik aku pagi-pagi buta drive ke KL ni.. takkan kita tak nak cuba cari jawapan?”
Adib melepas nafas. Masih terbayang wajah kecewa Amy berbulan dahulu, sungguh dia tidak sampai hati mahu melukakan Amy. Lagi.
Harraz mematikan enjin Bentley milik Adib. Malas dia mahu menunggu jawapan dari teman tak bertuahnya itu. “Dah jom, buang masa je.. mana tahu ada klu. Try and error”.
Adib mengejar Harraz yang sudah tiba di pintu pagar banglo mewah itu. Langsung saja tangan Harraz laju memetik loceng.
Menunggu di ruang tamu membuatkan Adib tidak senang duduk. Setiap detik hatinya tidak putus-putus mendoakan keselamatan buat kesayangannya.
“Raz” satu suara berbunyi dari belakang mereka.
Harraz menoleh. Senyum dihadiahkan buat Amy yang memakai t-shirt bersama jeans merah jambu pekat. Alhamdulillah, sudah tidak seseksi saat kali terakhir dia bertemu dengan gadis itu.
Adib memandang Amy yang duduk di hadapan mereka. Suasana antara dia dan Amy sangat-sangatlah canggung. Memang dia sendiri sudah tidak menemui gadis itu sejak dia meletak jawatan.
Amy memulakan perbualan. Mengetahui jika tidak ada hal yang penting dan benar-benar mustahak, mustahil Adib datang menemuinya. “Ada apa datang jumpa aku?”
Harraz memandang Adib. Adib sekadar mengangguk. Dia tidak tahu bagaimana mahu menerangkan situasi sebenar pada Amy. Harraz menarik nafas dalam, wajah Amy dipandang. Sepertinya gadis itu benar-benar tidak tahu apa-apa.
“Syaqiqah hilang. Berapa hari sebelum majlis, dia kena culik”.
Amy terdiam. Terkejut ya juga, dan mungkin terasa bagai mahu ketawa namun lekas disembunyikan. Bimbang Adib dan Harraz tersalah faham. Ertinya Adib dan Syaqiqah masih belum disatukan sebagai suami isteri! Lalu bagaimana dengan kenduri yang telah dirancang? Apakah ia terbatal begitu saja?
Dia terasa kelakar memikirkan betapa malangnya nasib gadis itu. Iyalah, ketika kecil dilanda kemalangan dan disangka mati oleh orang tersayang sedangkan dia dibesarkan keluarga angkat tak dikenali. Setelah itu trauma hingga menjadi bisu pula. Sudah bertemu Adib, diculik hingga hampir dirogol. Tapi ini salah Amy, dia sendiri menyesal terlalu ikutkan Emily yang bersikap entah apa-apa. Dan beberapa hari sebelum pernikahan, diculik lagi. “Aku tak tahu apa-apa”.
Harraz melepas nafas. “Bukan kau yang culik dia?” dia berterus terang. Malasnya mahu berdolak dalih lagi.
Adib memandang Harraz. Begitu juga dengan Amy. Nampaknya keduanya terkejut dengan soalan lurus Harraz. Adib pula yang merasa bersalah.
“Kau rasa aku nak ulang kisah lalu ke? Aku dah penat asyik dilukakan” Amy memandang Harraz dan kemudiannya Adib.
Harraz melepas nafas. “Listen.. kita orang bukan nak cari fasal. Datang ni memang nak tanya fasal Syaqiqah. Kau mesti tahu kan yang dia hilang sebelum majlis?”
Amy senyum sinis. “Bukan sebab dia nak pernikahan tu dibatalkan?”
Adib mengangkat wajah. Dia tahu Amy masih terasa hati dengannya. Iyalah, selama ini dialah yang paling banyak berada di sisinya namun soal hati bukan boleh dipaksa. “Amy…”
Amy diam. Suara Adib memeritkan. Dia terasa mahu menangis sekarang juga mendengarkan suara itu.
“Adib minta maaf atas semuanya. Dari kecil sampai sekarang. Tapi perasaan Adib pada Amy hanya perasaan seorang abang. Dan Adib tak ada siapa yang bahagia dengan kehilangan Syaqiqah, termasuk Amy sendiri. Jadi kalau Amy boleh bagi kerjasama…”
Amy melepas nafas. “Yang lepas tu sudahlah. Tapi sekarang, Amy memang tak tahu. Amy tak terlibat dengan kehilangan Syaqiqah”.
Harraz dan Adib melepas nafas. Jika begitu, Syaqiqah di mana?

##########

Anak kecil itu tersenyum melihat umi abinya sibuk mengemas barang keperluan selama beberapa bulan mahu berada di kampung. Tidak sabar rasanya mahu pulang ke Muar.
“Dibah…” dia memandang sang empunya suara. Seorang budak lelaki menerpanya dan memeluknya. “Abang sedih ke?”
Budak lelaki itu mengangguk. Dan dia ketawa. “Dibah pergi kejap je lah. Nanti Dibah baliklah”.
“Nanti abang tak de kawan” budak lelaki itu merengek.
Dia ketawa lagi.”Dibah pergi sekejap je. Abang nak ikut?”
Budak lelaki itu menggeleng dan keluar dari rumah. “Abang sekolah. Tak boleh pergi”.
Saat itu dia turut melangkah keluar. Namun matanya menangkap seseorang yang berada di luar rumah mereka. Matanya tajam memerhati perilaku lelaki yang mencurigakan itu.
Wajahnya berparut dan menakutkan. Baru saja dia mahu memberitahu keberadaan lelaki itu pada kedua orang tuanya ternyata lelaki itu sudah tiada. Lalu niatnya dibatalkan begitu saja.
Syaqiqah terjaga dari tidurnya. Dia sudah ingat sekarang. Dia sudah ingat di mana dia melihat wajah lelaki yang dipanggil bos itu. Rupanya…
Jadi ada sesuatu yang lelaki itu lakukan pada kereta yang akhirnya kemalangan. Apakah kemalangan itu dirancang? Apakah lelaki itu dihantar seseorang untuk membunuh dia sekeluarga? Atau sebenarnya mahu membunuh Adib sekeluarga? Kerana kereta itu hakikatnya kepunyaan Tun Adib Nasir.
Syaqiqah memandang Im yang kelihatannya sibuk dengan telefon pintar. “Im”.
Im menoleh. “Cik dah bangun? Cik nak makan tak?”
Syaqiqah menggeleng. “Bos Im mana?”
Im diam seketika. “Bos kata nak pergi jumpa Tuan”.
Tuan? Ya ada Im memberitahunya hari itu. Tapi siapa lelaki yang dimaksudkan dengan Tuan itu? Mengapa dia memberi arahan untuk menculiknya. Apa yang lelaki itu mahukan?
Nafas dilepas. Terasa rindu dengan ibu dan kakaknya. Begitu juga mommy dan daddy. Dan tentu sekali.. bakal suaminya. Pasti mereka semua kerisauan amat dengan kehilangannya. Apakah pengakhiran semua ini?

Demi Syaqiqah – P65

Tun Adib Nasir melepaskan sebuah nafas. Lega rasanya dapat pulang ke rumah sendiri. Esok dia harus berangkat ke Melaka pula, menyertai isteri serta anaknya. Pasti persiapan majlis hampir siap sepenuhnya.
Cik Zah melangkah keluar dari belakang. Menghampiri Tun Adib Nasir yang sedang berehat di atas sofa. “Tun..”
Saat itu, Pak Khai masuk membawa sebuah bagasi kecil yang dikeluarkan dari kereta. Melihat Cik Zah yang hendak memberitahu sesuatu pada Tun Adib Nasir, Pak Khai menyertai mereka.
“Kenapa ni?” Tun Adib Nasir menyoal, hairan dengan perilaku suami isteri itu.
Cik Zah memandang Pak Khai dan suaminya itu memandangnya kembali. Bagaimana harus mereka menyampaikan amanat Tun Maryamul Azra tadi? Tidak sanggup rasanya bila melihat wajah penat Tun Adib Nasir.
“Zah, Khai.. Cakap dengan saya, ada apa?”
Pak Khai menarik nafas dalam. Wajah isteri dipandang sesaat dan dia menatap wajah majikannya. “Tun, tadi Adib ada call.. katanya Dibah hilang. Tak lama lepas tu Tun Yam bagitahu.. Dibah kena culik”.
“Allah!” Tun Adib Nasir memandang wajah pemandu dan pembantu rumahnya. “Kenapa baru cakap sekarang? Cepat, kita ke Melaka sekarang juga”. Tun Adib Nasir segera menyarung semula kotnya, manakala Cik Zah bergegas mengambil beg bajunya di bilik. Pak Khai segera memasukkan semula bagasi kecil milik Tun Adib Nasir ke dalam kereta. Enjin dihidupkan dan perjalanan ke Melaka Bandar Bersejarah dimulakan.

##########

Rekod kemalangan yang menimpa Syamran dan Afiqah disemak semula, untuk kali yang entah ke berapa malam ini. DSP.Ghazali melepas nafas perlahan.
Dia yakin itu adalah sebuah kemalangan yang dirancang untuk membunuh Tun Adib Nasir sekeluarga, tapi mengapa tiada sebarang bukti untuk mencari dalang sebenar?
Ianya mudah. Pembunuh memotong wayar brek kereta dan melarikan diri. Tapi tiada sebarang petunjuk yang menuju kepada penjenayahnya. Apatah lagi, kejadian itu sudah berbelas tahun dahulu.
Bukan saja dia yakin ianya sebuah pembunuhan, malah hasil siasatan juga membuktikan ianya memang sebuah pembunuhan tapi mengapa tiada sebarang petunjuk?
Semasa dia menjadi inspektor dahulu, dia sudah pun memeriksa segalanya. Kamera tertutup di hadapan rumah Tun Adib Nasir pun tidak dapat memberi petunjuk. Pandai benar penjenayah itu bersembunyi dari kamera.
Dia sudah menyiasat semua yang disyaki Tun Adib Nasir namun sebarang jawapan masih belum ditemukan. Keluarga Syamran pula semuanya maut di dalam kemalangan itu. Kalaulah ada saksi yang boleh membantu…
Telefon yang berdering mengalih perhatiannya. Segera panggilan itu dijawab dengan kata-kata salam. “Ya?”
“Maaf, tuan. Ini Adib Nasir” suara di talian memperkenalkan diri.
DSP.Ghazali diam sejenak. “Ya saya. Ada apa yang saya boleh bantu, Tun?”
“Saya nak minta tuan tolong carikan bakal isteri anak saya”.
“Adib?”
“Ya tuan. Sepatutnya lusa majlis nikah, tapi pengantin perempuan tak dapat dikesan”.
“Baiklah, saya akan cuba yang terbaik. Di mana kita boleh jumpa?” DSP.Ghazali menyoal, manalah tahu kes kali ini boleh membawa petunjuk.
“Maaf tuan, saya dalam perjalanan ke Melaka sebab..”
“Kalau macam tu saya akan ke sana. Tuan tolong send location ye.. Assalamualaikum”.
DSP.Ghazali mematikan talian. Hasratnya untuk berjaga di pejabat sepanjang malam terbatal bila mendapat panggilan itu. Segera dia mengemas mejanya yang bersepah dan memandu pulang menemui anak isteri sebelum memulakan pemanduan ke Melaka.

##########

“Cik”.
Dia terjaga dari tidur. Satu-satunya manusia yang memanggilnya begitu adalah Im, tercari-cari Syaqiqah akan kelibatnya.
“Cik” suara itu memanggil lagi. “Sini” Im rupanya berada jauh di sisi kirinya.
Di sebelah Im berdiri seorang lelaki berparut di wajahnya. Dahi Syaqiqah berkerut melihat wajah itu.
“Ni bos kami” Im memperkenalkan.
“Keluar” Pisau memberi arahan pada Im. Rimas dia melihat Im yang dipenuhi rasa selamat itu. Patutlah Syaqiqah tenang saja walaupun diculik.
Im keluar, tidak berani melawan. Tidak sanggup rasanya nyawa melayang. Dia pernah terdengar mereka berbual tentang perilaku bos yg tidak ada hati perasaan kecuali pada tuan.
Dahinya berkerut melihat wajah berparut itu. Dia merasakan seperti…
“Adibah Syaqiqah…” Pisau tersenyum sinis sambil mengelilingi Syaqiqah.
Kepala Syaqiqah tiba-tiba terasa berpusing. Matanya berpinar-pinar. Dia memejam mata berulang kali melegakan sakit kepala yang datang tiba-tiba.
“Kau tahu kenapa kau kena tangkap?” Pisau tersenyum. Telefon pintarnya dikeluarkan dan gambar gadis itu ditangkap. Mahu dihantar pada Jalal, barangkali ia dapat menggembirakan bosnya yang asyik saja moody kebelakangan ini.
Syaqiqah tambah pening saat Pisau mengajukan soalan. Entah gambaran apa yang asyik bermain di kepalanya. Matanya dipejam rapat namun pusing kepalanya tak juga hilang. Imej yang tidak jelas berputar dalam fikiran.
“Aku tanya ni!” Pisau naik marah melihat Syaqiqah menunduk begitu.
Syaqiqah terkejut. Wajah itu dipandang. Dahinya berkerut melihat wajah itu. Mengapa… mengapa?
“Kau tahu tak kenapa kau kena tangkap?”
Laju Syaqiqah menggeleng. Tidak sanggup rasanya ditengking lagi. Tidak mampu kepalanya menanggung kesakitan akibat ditengking dan disergah sebegitu.
Pisau menguntum senyum. Dia ketawa melihat gelengan Syaqiqah. Asyik pula rasanya dia memadanmukakan gadis yang dibenci bosnya itu.
“Aku kenal kau” Syaqiqah akhirnya bersuara memandang lelaki itu.
Pisau terdiam. Gadis ini mengenalinya?

#########

Gambar gadis kesayangan pada telefon pintarnya ditatap lama. Entah bagaimana keadaan gadis itu saat ini, tiada khabar dan beritanya.
Sudahlah lokasi tak dapat dikesan. Signal yang datang dari telefon pintar yang menghantar video padanya pun tidak tahu sumbernya dari mana. Bagaimanalah dia boleh hidup dengan normal seperti ini?
Adib meraup wajah. Dian memberitahu Hannan tidak berhenti menangis kerana terlalu risaukan Syaqiqah. Ya, Adib mengerti. Bahkan Tun Maryamul Azra yang sudah semakin sihat itu pun kesihatannya menurun kembali sejak kehilangan Syaqiqah hingga Adib sendiri naik risau.
Lalu bagaimana? Daddynya pasti sedang mencuba sehabis baik untuk mengesan lokasi Syaqiqah bersama DSP.Ghazali. Tapi ia bukanlah mudah, apatah lagi segala teknologi yang boleh digunakan ditutup oleh pihak penculik dari sana.
“Iqah.. Iqah kat mana ni…” Adib merintih sendirian. Esok adalah hari sepatutnya mereka bernikah. Namun semuanya sudah dibatalkan. Kerugian bukanlah diambil kira berbanding kerisauan mereka sekeluarga atas kehilangan Syaqiqah.
Mujur tetamu jemputan tidaklah terlalu ramai. Mereka juga telah dimaklumkan akan pernikahan yang tidak akan terjadi itu. Bukan tidak akan terjadi tapi ditangguhkan. Siapalah yang menculik bakal isterinya dan mengapa dia melakukan hal sebegini jika tidak mahu meminta wang tebusan?
Bunyi mesej masuk mengalih perhatiannya. Dia baru berkira-kira mahu menunaikan solat Tahajjud andai matanya tetap tidak mahu lelap. Telefon pintar dicapai dan dahinya berkerut melihat nombor tidak dikenali tertera pada nama sang penghantar mesej.
Jantungnya mula berdegup kencang. Cemas dan takut bagai bersatu dalam rasa. Gambar yang dihantar adalah gambar Syaqiqah! Gadis itu sedang tidur namun tubuhnya masih juga terikat pada kerusi dan pemakaiannya masih kelihatan kemas seperti video beberapa hari lalu.
Nombor itu segera dihubungi namun tidak diangkat. Dan tidak lama kemudian ianya sudah tiada di dalam perkhidmatan. Adib menghantar mesej balas namun ia tidak terhantar.
Adib memejam mata. Ini pun dia tidak mengerti. Syaqiqah tidak diusik walau sedikit apatah lagi diseksa atau didera. Lalu mengapa dia diculik? Takkanlah hanya kerana mahu membatalkan majlis pernikahan mereka?
Adib membulatkan mata. Atau benar? Penculiknya mahu melihat majlis pernikahannya batal? Kerana itu ia diculik saat majlis hampir tiba namun wang tebusan tidak diminta walau satu sen!
Harraz yang lena di sebelah dipandang. Nafas ditarik. Dia mahu segera menunaikan solat Tahajjud dan mengajak Harraz ke Kuala Lumpur. Hanya ada seseorang yang mahu melihat pernikahannya dibatalkan. Amy!

Demi Syaqiqah – P64

Matanya terbuka perlahan memerhati suasana sekeliling. Ruangan itu kosong dari manusia. Hanya ada dia saja namun ia dipenuhi denga kayu-kayan yang entah dari mana.
Tangannya terasa lenguh yang amat namun Syaqiqah baru menyedari ia diikat. Nafas dilepas perlahan. Tangan diikat? Dia cuba menjerit namun suaranya tidak terkeluar kerana mulutnya ditutup dengan pita pelekat.
Syaqiqah cuba menenangkan diri. Tadi dia keluar, ya pakaiannya masih sama tiada yang berbeza. Dia ditegur oleh seorang lelaki yang tiba-tiba menekup mulutnya dengan sapu tangan berbau ubat pelali dan setelah itu, Syaqiqah tidak ingat apa-apa lagi.
Dahinya berkerut memikirkan, ertinya sekarang dia diculik?
Nafasnya turun naik tiba-tiba. Hati tidak putus beristighfar agar dia terselamat dari musibah ini. Dia juga risaukan kakak dan ibu di rumah. Rumah? Syaqiqah melepas nafasnya. Dia tidak tahu apakah saat ini dia masih di Melaka atau tidak?
Dia tidak tahu mengapa dia diculik? Dia tidak bermusuh dengan sesiapa. Hanya Adib yang mempunyai musuh. Takkanlah musuh Adib yang menculiknya? Mereka pasti tidak mengenali dirinya.
Syaqiqah terdengar bunyi tapak kaki berjalan dari belakang lantas dia menoleh. Lelaki yang menegurnya di hadapan rumah tadi memandang kosong. “Cik dah bangun?” dia mendekati Syaqiqah dan mencabut pita pelekat di mulutnya. “Bos kata cik ni baru pandai cakap.. jadi boleh buka sebab tak cakap banyak”.
Syaqiqah diam. Bos? Bererti lelaki ini adalah orang suruhan. Apa lelaki yang dipanggil bos itu mahu darinya?
“Kat sini ada lima orang, semua lelaki. Jadi kalau-kalau cik cuba nak lari, cik faham-faham je lah.. Saya kena jaga cik, yang lain ada kat luar. Kalau nak apa-apa, cik boleh minta dengan saya” lelaki itu membebel sambil memandang Syaqiqah.
Syaqiqah mengangguk perlahan. Apa yang dia mahu dia pun tidak tahu. Yang pasti dia bukanlah Dian yang sudah tentu akan melawan dan mencuba sehabis daya untuk lari dari situ. Hatinya tiba-tiba sayu teringat kakak kesayangan.
“Cik boleh panggil saya Im” lelaki itu mengenalkan diri, namun sambil itu tangannya memegang kain yang memperlihatkan sepucuk pistol di dalamnya. Membuatkan Syaqiqah langsung kelu untuk bersuara.
Im tersenyum memandang Syaqiqah. Kain diletakkan di atas meja dan telefon pintarnya dikeluarkan. Bosan melayani tebusan yang jelasnya tidak melawan walau sedikit.
“Im” Syaqiqah memanggil.
Im memandang. Syaqiqah menelan liur, mengumpul keberanian. “Bos awak nak apa dari saya?”
“Bukan bos, tuan yang nak. Tapi kami pun tak pernah jumpa tuan, selalu bos yang buat urusan” Im memberitahu sekadar yang boleh.
Ada bos, ada tuan juga? Jika benar yang menculiknya adalah tuan seperti yag diberitahu Im, apa yang tuan itu mahu darinya?

#########

Tubuh ibu yang terhinjut-hinjut menangis diusap penuh kasih. “Ibu.. sudahlah tu” Dian terus memujuk.
Hannan menggeleng kepalanya. “Mana ibu tak risau akak. Dah lewat ni.. mana adik?”
Adib melepas nafas. Dari tadi Syaqiqah tidak dapat dikesan. Hinggalah jam sudah menunjukkan pukul satu pagi Syaqiqah masih tidak dapat dikesan. Hati ibu pastinya risau. Ya, sedangkan mommy di hotel pun tidak boleh tidur memikirkan Adibahnya yang hilang.
Dian melepas nafas. Dia yakin adiknya tidak akan membuat onar lari dari rumah begini, tapi ke mana pula dia? Diculik? Atau sudah dibunuh dan ditinggalkan tepi jalan? Dian langsung beristighfar, mintalah dijauhkan itu semua.
Mahu membuat laporan polis pun tidak boleh kerana masih belum mencukupi dua puluh empat jam. Apatah lagi Syaqiqah sudah melewati usia dewasa. Ibu dari tadi menangis membuatkan Dian sedikit pening dengan keadaan.
“Macam nilah mak cik. Mak cik dengan Dian rehat dulu, saya dengan Adib akan cuba cari. Kalau tak jumpa, esok kita buat laporan polis” Harraz bersuara memecah kesunyian yang dihiasi tangisan Hannan.
Dian mengangguk tanda bersetuju. “Kita tidur dulu ye ibu.. Nanti akak cakap dengan orang kampung yang esok tak yah datang. Tahulah akak macam mana nak buat” Dian memujuk.
Hannan memandang Dian. “Macam mana kalau orang kampung fikir adik lari sebab tak nak kahwin?”
Dian ketawa kecil. Namun senyumnya mengendur melihat wajah serius Hannan. Ya, memang tidak mustahil itu akan berlaku. Biarlah, bukan mudah menjaga mulut orang.
“Tapi kita sendiri tahu tu tak betul kan ibu?”
Hannan mengangguk. Hakikatnya dia sendiri sudah terlalu mengantuk dan tidak dapat berfikir dengan jelas. “Tak pelah akak, ibu masuk tidur dulu lah..” Hannan langsung beredar dari ruang tamu.
Dian melepas nafas berat. Adik.. adik.. Lepas satu, satu. Ada saja peristiwa. Adib dan Harraz dipandang. “Kau orang baliklah dulu. Apa-apa hal nanti aku kasitau”.
Harraz mengangguk. Dia menarik Adib keluar. Temannya itu sedari tadi mendiamkan diri, entah apalah yang difikirkan. “Awak jaga diri, kunci pintu tau”.
Dian mengangguk dengan senyuman. Sebaik kereta Adib keluar dari perkarangan rumah, Dian langsung mengunci pintu. Tudung yang tersarung di kepala ditanggalkan. Ke manalah adiknya menghilang? Jenuh Dian memikirkan hingga dia akhirnya terlelap di atas kusyen itu.

##########

“Dengan ini termeterailah perjanjian antara Adib Legacy dan Empayar Bumi” lelaki berkot putih itu menunjuk pada Tun Adib Nasir dan lelaki berwajah kacukan India-Melayu di sebelahnya.
Beberapa orang di dalam bilik mesyuarat itu bertepuk tangan. Begitu juga dengan Jalal yang turut serta dalam mesyuarat penting Adib Legacy.
Tun Adib Nasir dan rakan kongsi barunya berjabat tangan. Setelah itu, terdapat beberapa orang dari media yang sibuk mengambil gambar dan menemu ramah dua orang itu.
Jalal melihat telefon pintarnya yang bergetar memandakan ada panggilan masuk. Dia tersenyum melihat nombor pembantu yang paling dipercayai menghubungi.
“Ya Pisau?”
“Bos, aku dah dapat budak tu” suara dari talian memberitahu.
Jalal senyum sinis. Bertambah senyumnya melihat Tun Adib Nasir yang ketawa berbual dengan pengarah urusan Empayar Bumi. Dia mengangguk puas. “Bagus, jaga budak tu elok-elok. Esok aku balik Malaysia”.
Dan talian dimatikan. Dia tidak sabar-sabar mahu pulang, tidak sabar rasanya menemui puteri tunggal Syam dan Fika yang dibunuhnya beberapa tahun lalu. Dan kini… anak itu pula bakal menyusul.
‘Rasakan, Nasir. Nilah akibatnya sakitkan anak aku!’

##########

Telekung dilipat kemas dan diletakkan di atas katil. Dia langsung tidak boleh tidur memikirkan puteri bongsu yang keberadaannya entah di mana.
Hannan masuk ke bilik Dian dan melihat puterinya itu baru keluar dari bilik air. Pasti Dian juga tidak boleh tidur malam tadi, “Akak dah bangun?”
Dian senyum melihat ibu yang mengambil tempat di hujung katil. “Tak tidur pun ibu, akak teringat adik”.
Hannan melepas nafas. Saat Dian mendekati ibu, telefon pintarnya berdering. Melihat nama Adib yang tertera, segera panggilan itu dijawab. “Assalamualaikum”.
“Waalaikumussalam. Dian, aku on the way ni”.
Dian mengerutkan dahi. Cuaca masih gelap.. “Awalnya?”
“Dah ada petunjuk. Nanti aku sampai”.
Talian dimatikan, Dian memandang Hannan. “Ibu, Adib dah tahu adik kat mana”.
Hannan melepas nafas perlahan. “Alhamdulillah…” walau dia tidak tahu apakah puterinya selamat atau tidak, sekurangnya dia sudah punya petunjuk di mana keberadaan puterinya.

#########

“Aku nak kau tengok ni” telefon pintarnya dihulur pada Dian.
Huluran Adib disambut Dian dengan debaran. Wajah Harraz dan Tun Maryamul Azra jelasnya menandakan ada perkara buruk yang berlaku pada adiknya.
“Astaghfirullah…” Dian menutup mulut melihat gambar yang dihantar pada Adib. Hannan dipandang, “Ibu..”
Hannan mengambil telefon pintar itu dari Dian. Gambar Syaqiqah diikat dalam keadaan tertidur atas kerusi itu benar-benar merentap hatinya. “Ya Allah..!! Adik..” air matanya laju saja menitis melihat gambar itu.
Tun Maryamul Azra melepas nafas. Dia juga begitu tadinya sewaktu Adib menunjukkan gambar itu padanya. Tangan Hannan dicapai dan digenggam. “Hannan..”
Dian memulangkan semula telefon pintar itu pada Adib. “Kau dah tahu siapa yang send tu?”
Adib memandang Harraz. “Raz dah minta orang cek. Nombor ni berdaftar dengan nama orang dah mati. Aku dah try call banyak kali tak berjawab juga”.
“Kau nak lapor polis ke? Dia dah cakap jangan buat report tu.. aku risaukan Iqah” Dian meluahkan rasa risaunya.
“Aku tak buat report tapi nak minta Uncle Zali. Dia yang tengok kes umi abi dulu..”
Dian mengangguk. Wajah Hannan yang sudah membengkak dipandang. Hati ibu… rapuhnya. Siapa sangka adiknya akan diculik lagi seperti ini? Nafas dilepas perlahan. Ya Allah… lindungilah adikku.

########

Bunyi pintu dibuka kedengaran dan Syaqiqah melihat Im masuk membawa sebuah bungkusan. Pasti makanan. Dia tidak tahu sudah berapa lama dia terkurung di dalam bangunan ini.
Mungkin sehari, dua hari atau dua minggu. Yalah, bilik ini langsung tidak punya tingkap. Bagaimanalah dia mahu tahu siang atau malam? Sudahlah jam juga tiada. Ya, dia sedang menjadi tebusan.. itu semua bukanlah satu keperluan buat seorang tebusan sepertinya.
“Makan cik” Im meletakkan makanan itu di hadapan Syaqiqah. Tali di tangan Syaqiqah dibuka dan tangan kanannya dilepaskan namun tangan kirinya diikat kembali pada kerusi.
Syaqiqah memandang bekas makanan di hadapannya. Perlahan ia dibuka. Alhamdulillah, masih juga ada makanan untuk dimakannya. Dia mula menyuap setelah doa dibaca.
“Kejap lagi bos datang, segala soalan cik yang pelik tu bolehlah tanya bos kalau berani” Im berkata sambil memerhati Syaqiqah makan.
Syaqiqah tersedak. Segera air diteguk. “Bos?”
Im mengangguk. Dia senyum sinis. “Saya peliklah.. Kenapa cik langsung tak melawan?”
Syaqiqah diam. Dia tidak suka melakukan sesuatu yang sia-sia. Sudah tahu dia tidak boleh melarikan diri, duduk sajalah diam-diam. Jika tidak bukan sahaja tidak dapat lari malah tubuh badan pula yang akan menanggung sakitnya.
“Tapi bagus juga, tak adalah saya penat nak jaga” Im akhirnya memberi kata putus sebelum kembali ke tempatnya.
“Kenapa awak panggil saya cik?” Syaqiqah akhirnya mengeluarkan soalan itu.
Im mengangkat bahu. “Tak tahu nak panggil apa. Lagi pun, orang kat luar tu cakap… cik ni bakal isteri orang kaya terkenal”.
Nafas dilepas. Mungkin Im tidak tahu, tapi dari jawapan Im membuktikan penculik ini tahu dia dan Adib berhubungan. Apakah mereka meminta wang tebusan dari Adib?
Dia sangat-sangat risaukan ibu. Sangat-sangat merisaui kakak kesayangannya. Bagaimanalah keadaan mereka saat ini? Apakah mereka tahu dia di mana? Apakah mereka tahu dia menjadi seorang tebusan saat ini? Syaqiqah buntu mencari jawapan kepada persoalan yang dia sendiri tidak tahu.