Category Archives: Julia

JULIA – Penghargaan dan Penutup

Akhirnya cerita Julia pun dah tamat. Macam-macam yang berlaku waktu tulis cerita ni. Macam mana pun harap dapat buat orang yang membacanya terhibur ye.
Buat Mah yang sentiasa ternanti-nanti, moga gembira. Buat Lela yang menjadi pencetus idea, terima kasih. Buat para pembaca, semoga terhibur dengan tulisan ni.
Nama watak adalah rekaan semata-mata. Walau diambil dari nama orang berdekatan, ia tiada kaitan apa-apa. Hanya sekadar nama untuk watak-watak ciptaan.
Akan menyusur cerita khas buat Sobie yang jauh di mata namun dekat di hati. Mungkin ceritanya akan dimulakan sedikit lewat. Apa apa pun, teruskan bersama emmaQiyue’s blog !!
Terima kasih…

JULIA – BAB 73 (Akhir)

Dia mengerut dahi melihat isteri yang tersenyum dari tadi. Isterinya pula hanya senyum, senyum dan senyum. Entah apa yang menggembirakan isterinya, dia tidak tahu.
“Ada apa-apa ke?” Luqman menyoal Julia yang duduk berlutut di hadapannya.
Julia menguntum senyum manis. Sebuah kotak kecil yang terletak kemas di sisinya dihulur pada Luqman. “Hadiah”.
Luqman mengerutkan dahi. Apa yang tak kena dengan isteri tersayangnya hari ini? Ada sedikit yang berlainan dengannya. Kotak itu dibuka perlahan. Rebennya ditanggalkan.
Julia menanti penuh kesabaran. Hanya melihat Luqman menarik reben dan membuka kertas pembalut hadiah. Senyum tidak lekang dari bibir.
“Stokin baby?” Luqman memandang.
Julia sengih. “Suka tak?”
Luqman mengerutkan dahi. Mengapa stokin baby yang diletak di dalam kotak kecil itu? Atau..jangan-jangan..
“Lia mengandung?”
Julia tersenyum lagi. Anggukan diberikan. Perlahan tangannya menyentuh perut. Wajah Luqman ditatap.
Luqman langsung turun dari katil dan duduk di sisi Julia. Tubuh itu dipeluk erat. Gembiranya hingga tidak mampu mengeluarkan kata-kata. Dia akan menjadi seorang ayah dan Julia akan menjadi seorang ibu.
Dia akan menjadi ayah yang baik. Membesarkan anak dengan penuh kasih sayang. Bukankah punya anak sendiri merupakan impian setiap pasangan suami isteri?

*…………..*

Langkah diatur beriringan menuruni tangga. Wajah yang menunggu di ruang tamu dilihat memberi senyuman padanya.
Luqman mendahului dan memimpin Julia ke arah tetamu. Malam tadi, Dr.Hassan menelefon Julia memberitahu Salim ingin bertemu. Jadi, pembantunya akan datang mengambil mereka paginya.
“Selamat pagi cik muda” pemuda itu memberi tunduk hormat.
Julia memandang dan tersenyum. “Johan”.
Johan mengangguk. “Anas tengah tunggu kat luar. Boleh kita pergi?”
Serentak itu, Has muncul dari dapur membawa sebuah jag air mawar di tangannya. Luqman dan Julia tersenyum memandang.
Julia memandang Johan semula. Dia teringat sesuatu. “Johan ganti tempat Nizam ke?”
Johan mengangguk. Sekilas dia memandang wajah adik ipar cik muda. Satu banglo sudah tahu bahawa dia adalah bakal isteri En.Nizam.
Has hanya menguntum senyum. Mendengar nama Nizam membuatkan hatinya bergetar. Nafas ditarik. Dia mahu ke kubur, mendoakan Nizam dan menghadiahkan Yasin padanya.
“Has nak pergi kubur ke?” Luqman menyoal.
Has mengangguk. “Has pergi dulu”. Dan dia melangkah keluar bersama air mawarnya. Menuju ke arah Peugeot berwarna hijau epal yang baru diambilnya semalam.
“Silakan” Johan memberi laluan pada Julia dan Luqman.
Julia menguntum senyum dan melangkah keluar. Luqman dan Johan mengikut dari belakang.

*……………*

Dr.Hassan menarik nafas mendengar kata-kata Salim. ‘Lim rindu Ju’.
“Lim tahu tak Ju…” ayat Dr.Hassan mati. Tidak tahu bagaimana untuk memberitahu pada anak saudaranya bahawa Julia telah menjadi isteri Luqman yang sah.
Salim mendiamkan diri. Dia akan tinggal di dalam ini untuk 10 tahun yang akan datang. Itu adalah kata akhir dari hakim hasil perbicaraan kelmarin.
Menurut En.Karim, itu pun sudah dikira hukuman yang paling ringan buat Salim. Kerana kesalahan yang disabit adalah mengedar dadah serta menyeludup dan menjual senjata haram.
“Pak su minta Lim jaga diri dalam ni elok-elok. Pak su nak ke China, mungkin setengah tahun kat sana. Jadi tak boleh nak jenguk Lim”.
Salim mengangguk. Mahu tidak mahu itulah satu-satunya pilihan yang dia ada. Dia juga merasakan dia patut berehat seketika. Dia sudah terlalu penat dan letih selama ini.
“Pak su”.
Dr.Hassan mengangkat wajah. Salim dipandang. “Pak su rasa mungkin hari ni Ju datang. Nanti Lim cakaplah apa Lim nak cakap dengan dia”.
Salim diam seketika. Julia akan datang melawatnya? Senyum terukir. Bagaimana agaknya keadaan mereka nanti?
“Pak su balik dulu” Dr.Hassan meminta diri. Terubat hatinya melihat senyuman Salim. Harapannya semoga Salim dapat menyesuaikan diri di dalam ini.

*…………….*

Julia memandang luar bila mendengar bunyi tapak kaki melangkah. Salim muncul dengan dua orang pengawal di sisinya.
Julia tersenyum nipis. Salim memandang. Garinya dibuka oleh pengawal dan pintu pagarnya dikunci. Namun langkahnya mati saat melihat wajah Luqman di sisi Julia.
Terlupa pula dia Julia sudah berpunya. Luqman membetulkan duduk. Wajah Salim dipandang sekilas. Namun hanya seketika. Dan dia memandang Julia.
Julia tersenyum. Terasa janggal pula bila dua lelaki ini bertemu. “Kenalkan. Ni Luqman. Luqman. Salim”.
Salim mengangguk. Mengapa Julia membawa lelaki ini bersama? Merosakkan ‘mood’ sahaja. Wajah Luqman dipandang. “Tunang awak kan?”
Luqman membisu. Mengapa jadi begini pula? Perasaannya lain dari sewaktu mereka bertemu untuk menjalankan kerjasama Sa-Nu dan Hakim Legacy. Dan, mengapa mereka harus berpura-pura tidak mengenali satu sama lain di hadapan Julia?
Julia memandang Luqman sekilas dan memandang Salim kembali. “Luqman .. Luqman suami saya”.
Salim terdiam. Wajah Julia dipandang lama. Suami? Bererti Julia dan Luqman sudah punya ikatan yang sah? Mereka sudah berkahwin. Julia kesayangannya telah mengahwini lelaki lain.
Julia diam. Wajahnya menunduk. Sudah dia jangka Salim akan terkejut dengan berita itu. Bererti, tidak ada yang memberitahu Salim perkara itu baik Zakuan mahupun Dr.Hassan.
Luqman diam. Dia sedar akan apa yang terjadi. Pasti Salim kecewa mendengar berita itu. Tapi apa yang boleh dilakukan?
Salim menarik nafas sedalamnya. Air mata yang hampir mengalir ditahan agar tidak menitis. Kalau kerana Julia, mudah benar air mata lelakinya jatuh. Sedangkan selama berbulan-bulan dia dalam penjara, tiada walau setitis air matanya yang jatuh menitis.
“Tahniah” ucapnya perlahan.
Julia mengangguk. “Saya mengandung 3 bulan”. Entah mengapa, dia merasakan berita itu patut dimaklumkan pada Salim.
“Mengandung?” Salim mengangguk. Senyum cuba diukir namun tidak berjaya. Nampaknya, Julia langsung tak pernah terusik kerananya. Hatinya hanya pada Luqman seorang.
“Awak sihat? Lagi berapa lama dalam ni?” Julia menyoal. Mencari topik untuk dibicarakan.
Salim memandang. “Sihat. Kalau ikut keputusan perbicaraan semalam, penjara 10 tahun”.
Julia mengangguk. “Saya harap awak selesa dalam ni”.
Salim diam. Bila ada Luqman bersama, apa yang bermain di fikirannya langsung tidak sama dengan apa yang diucapkan. Banyak yang ingin dikatakan, tapi semua tidak terkeluar.
Julia menarik nafas dan melepas nafas. Dia bingung pula. Rasanya banyak yang ingin dibualkan. Namun mengapa suasana sepi begini?
“Pak su kata dia nak pergi China” Julia teringat kata-kata Dr.Hassan ketika menghubunginya malam tadi.
Salim mengangguk. Melihat wajah Julia sudah cukup mendamaikan hatinya. Namun berita yang diberikan Julia adalah pedang yang menusuk jantungnya. “Julia”.
Keningnya dijongket. Menunggu kata-kata Salim yang seterusnya.
“Pernah tak … walau sedetik, cuma sedetik. Awak pernah rasa suka kat saya walau pun sedetik?”
Luqman sudah tidak senang duduk namun dia diam saja. Padanya jika Salim menyoal hal itu, samalah seperti tidak menghormati kehadirannya sebagai suami Julia.
Julia terdiam. Fikirnya Salim sudah lupa akan hal itu. Dia sendiri sudah melupakan apa yang Salim lakukan padanya. Kata-kata umi benar.
Apa yang sudah berlalu, biarkanlah ianya berlalu. Jangan dikenang kembali. Kita hidup pada masa kini dan menyusun masa depan yang masih belum diketahui bagaimana. Bukanlah untuk masa lalu yang tak dapat diulang.
“Maaf”.
Nafas dilepas. Air mata yang ditahan jatuh juga akhirnya. Mata dipejam lama. “Saya faham”.
Luqman diam di tempatnya. Hanya menjadi penonton setia. Dia tidak tahu apa yang berlaku pada Julia sepanjang Julia dalam tahanan. Dia tidak tahu bagaimana dalamnya perasaan Salim pada Julia. Jadi, dia tidak punya hak untuk mencampuri urusan mereka.
Julia diam. Sudah lama dia tak berperasaan begini. Kecewakah Salim dengan ucapan maafnya?
“Awak tak perlu datang lepas ni. Saya jamin saya akan hidup sampai anak awak dewasa” Salim mengucap dalam hibanya. Wajahnya cuma menunduk.
Julia membisu. Tidak tahu apa yang harus diucapkan. Akhirnya anggukan diberi tanda setuju. Persetujuan dicapai.
“Kalau ada masa, awak jenguklah mak cik Nafisah. Dia rindu sangat dengan awak. Awak boleh minta Johan susunkan”.
Julia mengangguk. Dia juga rindu pada mak cik Nafisah. Mak cik yang banyak menjaganya dan menjadi penghibur hati ketika dia bersedih.
Salim teringat pada Mukrimah tiba-tiba. Langsung wajahnya diangkat, memandang Julia. “Mukrimah ok?”
Julia mengerutkan dahi. Mukrimah? Has? “Ok”.
“Cakap dengan dia, saya minta maaf atas apa yang berlaku pada Nizam. Saya pun tak tahu apa yang terjadi”.
Julia mengangguk lagi. “Saya minta maaf”.
Luqman memandang Julia sekilas. Mengapa ucapan maaf perlu diberikan? Salim menggeleng. “Awak tak salah. Saya yang salah. Baliklah, Julia”.

*…………..*

‘Semua yang saya buat bukan sebab nak tutup rasa bersalah saya pada Julia. Saya buat semua ni sebab saya sukakan awak. Saya sukakan Mukrimah Muhasibah. Saya tak faham kenapa bos tunduk sangat dengan Julia. Sampailah saya jumpa awak. Awak buat saya sedar. Bila kita dah sayangkan seseorang, kita tak nak orang tu marah. Kalau boleh semua yang dia nak kita nak tunaikan. Semua yang buat dia gembira, akan buat kita gembira juga’.
Air matanya menitis mengingat semula kata-kata itu. Nafas ditarik dan mata dipejam. Membiarkan air mata mengalir membasahi pipi.
Nisan disentuh dan dia tersenyum sendiri. Has mengetap bibir. Air matanya dikesat.
‘Seandainya awak masih hidup, saya akan buat awak tahu betapa saya hargai awak. Terima kasih sebab buat saya rasa bahagia. Semoga awak ditempatkan di sisi Nya. Nizam Abdullah’.

*……………*

“Kenapa Lia diam je?”
Julia menarik nafas. Luqman yang sedang memandu dipandang.
“Abang Hakim”.
Luqman memandang sekilas. Apalah agaknya yang difikir Julia? Sejak mereka pulang dari melawat Salim, Julia hanya membisu.
“Apa yang Lia fikir ni?”
Julia mencebik bibir. “Kalaulah..kalau Lia tak kena culik dengan Salim, agaknya apa yang jadi?”
Luqman ketawa kecil. Ada-ada saja. “Apa yang Lia nak tahu?”
Julia ketawa kecil. Bahunya diangkat. Apa yang difikirkan? Kalau Salim tidak menculiknya, apakah dia akan berada di sisi abang Hakim seperti sekarang?
Jika dia tidak hilang ketika itu, agaknya bagaimana keadaan mereka sekarang? Dia dan Salim saling tidak mengenal. Lalu Has dan Nizam bagaimana? Apa cereka mereka agaknya?
“Lepas saya habis belajar, saya akan tetap masuk meminang Lia. Jadi, macam mana pun di akhirnya Lia tetap akan jadi suri hidup saya” Luqman tersenyum sambil mematikan enjin keretanya.
Baru Julia sedar mereka sudah tiba di rumah abi. Dia melepas nafas. Senyum diberi pada Luqman yang sudah membuka pintu kereta untuknya.
“Silakan, sayang”.
Julia memaut lengan abang Hakim. Kata-kata abang Hakim benar. Walau apa yang berlaku, abang Hakim akan mencari jalan untuk menjadikan dia suri hidupnya.
Itu sudah cukup buat Julia. Semoga apa yang berlaku semua ada hikmahnya. Harapannya semoga bahagia ini berkekalan hingga akhir hayatnya. Amin.

JULIA – BAB 72

Suasana kenduri hari itu sangat meriah. Ternyata ramai kenalan Dato’ Norman yang datang. Mengetahui anak sulung dari keluarga Hakim Legacy akan berkahwin hari ini, semuanya datang ke kenduri itu.
Kenalan Amir juga ramai. Maklumlah, pensyarah terkenal dari universiti. Walau pada awalnya, rancangan Dato’ Norman dan Amir hanya mahu membuat kenduri kecil-kecilan namun lain pula jadinya.
Mujur katering yang ditempah sudah menyediakan makanan lebihan untuk sebarang kemungkinan. Pembantu rumah juga ramai. Jadi ia tidaklah kelam-kabut sangat.
Julia senyum sendiri di dalam bilik. Nanti dia akan dipanggil untuk turun ke bawah. Tapi buat masa ini, dia diminta berehat di dalam bilik dulu. Luqman sudah turun lebih sejam lalu.
Pintu bilik terbuka dan Has masuk dengan senyum manisnya. “Morning, bride-to-be”.
Julia ketawa kecil mendengar kata-kata Has. “Bride-to-be? Dah jadi isteri orang pun. Mana ada bakal pengantin”.
Has senyum sendiri. Tangan Julia dicapai dan digenggam. “Seronok tak?”
Bahu diangkat. “Tak tahu nak cakap perasaan macam mana. Rasa tak getar tangan ni?”
Has mengangguk dan tersenyum. Genggam tangannya dieratkan. “Jomlah turun. Abang suruh Has ajak Ju turun sebenarnya”.

*………….*

Luqman tersenyum pada keluarga yang baru turun dari kereta. Wajah-wajah itu diperhati seorang demi seorang.
“Abang!!” seorang kanak-kanak lelaki berlari memeluk Luqman.
Luqman menyambut dan mendukung kanak-kanak itu. “Pijan sihat?”
Anggukan diberikan. Luqman tersenyum memandang Pak Tua dan Mak Tua di hadapan. Dan xcsepasang anak dewasa mereka.
“Luqman ke? Selalu dengar baba cerita. Baru jumpa hari ni” anak lelaki Pak Tua menghulurkan tangan dan mereka berjabat.
Pak Tua memandang. “Kenalkan, ini anak Pak Tua yang nombor dua. Namanya Dhuha. Yang daranya Nifah”.
Luqman tersenyum pada gadis yang dipanggil Nifah oleh Pak Tua. Mak Tua melihat-lihat sekeliling. “Julia mana?”
“Ya, abang. Kakak Julia mana?” Pijan menyoal di dalam dukungan Luqman.
Luqman mengangguk dan menjemput mereka masuk ke dalam rumah. Barangkali Has sudah berada di ruang tamu.

*…………..*

Membulat matanya melihat tetamu yang sedang dilayani abang Hakim. Senyum terukir dan dia langsung berlari memeluk wanita tua yang sedang berbual dengan umi.
“Mak Tua!”
Mak Tua tersenyum lebar menampakkan dua baris gigi. Tangannya terletak kemas di pippi Julia. Air mata gadis itu dikesat.
“Bukankah hari ini hari bahagia kamu? Mengapa mengalir air mata?”
Julia mengesat air mata. Anisah menggeleng-geleng. “Ju, dah comot celak kat mata tu”.
Julia mengesat air mata. “Pijan mana?”
Saat itu, Pijan berlari ke arah Julia. Muncul entah dari mana Julia juga tidak tahu. Kanak-kanak itu langsung dipeluk.
“Lama aku tak bertemu kakak. Cantik kakak hari ini” Pijan tersengih.
Julia mengangguk. Dia memang gembira. Sangat-sangat gembira. Tidak tahu apa lagi yang harus diucapkan untuk menggambarkan betapa gembiranya dia.
Dia dikenalkan dengan kedua anak Mak Tua yang tinggal di kota. Dhuha dan Nifah. Nifah berumur 25 tahun manakala Dhuha pula baru berumur 20 tahun dan masih menuntut di kolej.
Pak Tua dan keluarga juga dikenalkan dengan mama, papa, umi, abi dan juga Has. Nampaknya kedua buah keluarga dapat bergaul mesra. Dhuha juga mesra dengan Luqman.
Hanya Has yang membisu. Walau senyuman tak lekang dari bibir, namun hatinya tidak ikut senyum sekali. Melihat kegembiraan yang terpancar dari wajah semua, dia teringat pada dia. Nizam.

*……………*

Julia berlari anak menuruni tangga. Senyum diberikan buat umi yang sedang mengemas meja makan. Pasti abi telah berangkat ke universiti sejurus selepas sarapan.
“Ju nak keluar” Julia menghulurkan tangan menyalami umi. Luqman sudah pun ke pejabat sedari jam 7.00 pagi tadi.
Anisah tersenyum mencium kepala puterinya. Dia tahu Has sudah pun menunggu di luar. Dia juga harus ke membuka Juwita Aleeya jam 9.00 pagi nanti.
“Dah lama tunggu?” Julia menyoal Has yang memandu proton Iswaranya.
Has menggeleng. “Baru sampai. Malas nak masuk, tu yang tunggu kat luar ke”.
Julia mengangguk. Dia tiba-tiba teringatkan wasiat Nizam yang dibaca beberapa minggu lalu. Wajah Has dipandang.
“Kenapa?” Has menyoal. Merasakan ada sesuatu yang mahu Julia tanyakan.
Julia diam seketika. Tubuhnya dialihkan mengiringi Has. “Awak dah ambil kereta yang Nizam suruh ambil tu?”
Has menggeleng. “Belum lagi. Ju nak kereta?”
Julia mencebik. Tidak mahulah dia. Mengambil lesen memandu juga belum tentu dia lulus. Masih ingat ketika mereka berumur 19 tahun dan Has belajar memandu. Melihat gerak-geri Has juga sudah buat dia pening kepala.
Has ketawa kecil. “Ingat esok lusa nak ambillah. Lagi pun, En.Zakuan kata tak boleh tangguh. Surat pindah milik semua dah selesai. Nanti dah habis periksa, Has nak pergi tengok resort kat Kedah”.
Julia mengangguk-angguk. Kemudian dia ketawa kecil. “Busy betul kan? Ju tengok awak dah macam bussiness woman pula”.
Has melepas nafas. Dia gembira dengan keadaannya sekarang. Memang menyedihkan bila teringat akan Nizam. Namun sekurangnya Has tahu ini adalah apa yang Nizam mahukan.

*……………*

Atikah berlari anak keluar dari stor bila temannya mengatakan ada yang mahu bertemu. Dua orang gadis yang menunggu di kaunter dipandang. Dia mengatur langkah ke arah mereka dengan senyuman.
“Saya Atikah” Atikah mengenalkan diri.
Dua gadis itu tersenyum memandangnya. Atikah diam walau dia hairan, bagaimana dua gadis ini boleh menyebut namanya sedangkan mereka tidak saling berkenal?
Gadis yang memakai selendang lilit menghulurkan sesuatu padanya. Has menyambut dengan senyum. Resit itu dilihat.
Dia senyum sendiri. Jadi, dua gadis ini ada kaitan dengan En.Nizam yang menempah cincin tempoh hari. Siapa agaknya gadis yang namanya Mukrimah itu?
“Tunggu sekejap ye”. Atikah melangkah ke almari dan mencapai sekeping kertas yang berada di dalam sebuah sampul surat. Bersamanya diambil sebuah kotak cincin yang terletak kemas di dalam almari kaca tingkat paling bawah.
Wajah dua gadis itu dipandang. “Maaf, siapa Cik Mukrimah?”
Gadis yang menghulurkan resit tadi mengangguk dan tersenyum padanya. “Saya”.
Atikah menghulurkan dokumen tadi, meminta gadis bernama Mukrimah itu menurunkan tanda tangannya. Setelah itu, kotak cincin dibuka dan dihulurkan pada Mukrimah.
“Ni cincin yang En.Nizam tempah hari tu”.
Atikah melihat saja Mukrimah memandang cincin itu. Lama. Hingga akhirnya kolam mata mula ditakungi air mata.
Gadis di sebelahnya pula menjadi penenang perasaan. Atikah melihat gadis itu memaut bahu Mukrimah dan mengusap belakangnya.
“Saya ok” Mukrimah tersenyum memandang teman di sisi. Temannya itu pula mengangguk-angguk dan mengukir senyuman manis. Mukrimah mengesat air matanya dan menarik nafas dengan pejaman mata.
Dalam diam Atikah mengukir senyum. Nampaknya pilihan Nizam memang tepat. Gadis bernama Mukrimah dan juga cincin yang ditempah. Dia berjaya membuatkan gadis kesayangannya terharu hingga mengalirkan air mata.
“Terima kasih Atikah”.
Atikah menguntum senyum. Hanya melihat gadis berdua itu berpimpin tangan keluar dari kedainya. Bertuahnya gadis bernama Mukrimah itu kerana mendapat bakal suami sebaik dan sepenyayang Nizam.

JULIA – BAB 71

‘Buat Has..
Nak bahasakan Has apa eh? Saya sendiri pun tak tahu kenapa saya tulis surat ni. Rasa macam kelakar. Nak tergelak pun ada. Dulu bila tengok orang buat surat selalu gelakkan. Bila terkena batang hidung sendiri, lagilah gelak sakan.
Kalau saya nak bahasakan Has yang disayangi boleh? Awak jangan marah tau. Saya nak tulis semua yang saya tak boleh luahkan depan awak.
Awak tahu mula-mula sekali kita jumpa, saya memang sakit hati sangat. Terbakarnya masa jus oren tu tumpah atas kot saya. Tapi terima kasih kat jus oren tu juga, kita berjodoh.
Waktu tu saya rasa memang padan muka dengan awak. Sebab setiap kali awak buat saya sakit hati, saya akan balas dengan sakitkan hati Julia. Dan saya betul-betul minta maaf sebab hal tu. Saya tak de niat nak lukakan hati awak atau Julia sendiri.
Kalau awak nak tahu, awak mengubah saya. Dulu saya lain, tak macam yang awak kenal sekarang. Baru saya faham kenapa kehadiran Julia dapat mengubah bos 360 darjah.
Saya tak malu nak mengaku yang saya sayang awak. Nizam sayang Has. Nizam sayang Mukrimah Muhasibah. Dan walau awak tak cakap, saya tahu kita berkongsi rasa yang sama.
Saya hadiahkan rumah banglo kat Brunei untuk awak. Rumah tu ada pembantu yang tinggal. Sepasang suami isteri dengan dua orang anak. Kalau awak ada masa, awak pergilah tengok rumah tu.
Kereta Peugeot masih kat kedai. Saya tahu awak sayang dengan Iswara awak, tapi saya tetap nak hadiahkan Peugeot ni. Saya pilih sendiri. Tapi tak tahulah awak suka ke tak. Nanti awak bawa je resit ni tunjuk kat orang kedai.
Duit tu … Macam mana nak tulis? Saya tahu awak anak orang kaya, tak perlukan duit. Tapi saya tetap nak tinggalkan untuk awak. Sekurang-kurangnya bila awak guna duit ni, awak akan ingat saya. Awak jangan risau. Duit tu bukan hasil kerja haram yang say buat. Semua tu hasil titik peluh saya. Duit yang sah di sisi undang-undang.
Resort dengan kedai kek tu saya harap awak dapat terima. Resort tu untung lumayan. Kalau awak pergi, mesti awak akan suka tempat tu. Saya pilih lokasi terbaik kat Kedah tau. Kalau awak pergi senyap-senyap pun, orang akan kenal awak. Sebab saya dah kenalkan awak kat semua pekerja kat situ. Awaklah madam baru dia orang.
Kedai kek pun sama. Kedainya taklah besar mana. Tapi kemasukan sebulan adalah dalam RM 30,000.00. Kalau setahun, awak dah boleh buat macam-macam dengan duit tu.
Saya ada tuliskan alamat. Tapi kalau awak tak pergi sendiri, awak boleh minta tolong Wan bawakan. Dia mesti akan bawa awak pergi tengok resort dengan kedai kek tu.
Ada resit kedai barang kemas. Tu saya tempah cincin untuk awak. Saya harap awak suka. Nanti awak bawa resit tu cari pekerja nama Atikah. Dia akan uruskan semua untuk awak.
Fasal Sabirah hari tu, saya minta maaf. Saya tahu awak tengah intai, sebab tu saya saja-saja menggedik dengan dia. Tapi lumayan, sebab saya boleh tengok awak cemburu.
Kalau teringat, mesti senyum sendiri. Kenapa saya tulis surat ni, saya pun tak tahu. Saya rasa saya nak tulis surat ni untuk awak. Saya nak luahkan apa yang terpendam dalam hati.
Has…Has…Has…saya suka awak. Cincin tu saya tempah untuk buat cincin melamar. Memang saya tahu, awak akan tolak sebab dunia kita lain. Tapi saya tetap tempah juga.
Awak betul. Saya tak boleh keluar dari dunia saya macam tu je. Dan saya tak boleh tarik awak masuk dalam dunia kotor ni. Lagi pun, kalau awak masuk awak mesti dalam bahaya.
Nanti ucap maaf pada Julia dan Luqman. Saya bukan sengaja nak sakitkan hati Julia atau Luqman sendiri. Semoga abang dan kakak ipar awak bahagia hingga akhir hayat.
Akhir sekali, awak jaga diri baik-baik. Guna telekung dan Quran yang saya hadiahkan. Cuma tu yang saya boleh buat untuk awak. Saya minta maaf kalau kehadiran saya dalam hidup awak buat awak serabut.
Bibir ni dari tadi tak berhenti senyum. Rasa macam tengah tulis surat cinta. Ke ni memang surat cinta? Entahlah.. Kalau ada orang tengok, mesti dia sangka saya gila.
Lenguh dah tangan menulis. Waktu pun dah lewat malam. Tapi kenapa tak mengantuk? Macam mana pun, surat tetap kena berhenti tulis. Takut awak bosan pula kalau surat ni panjang sangat.
Oklah. Cik Mukrimah Muhasibah, saya minta diri ye. Harap-harap awak baca surat ni dengan senyum. Bukan dengan muka marah yang selalu saya nampak tu.’

Nafas ditarik perlahan. Mata dipejam, membiarkan air matanya tumpah. Bagaimana dia boleh membaca surat ini dengan senyuman?
Surat itu dilipat dan dimasukkan ke dalam sampulnya kembali. Telekung yang berada di dalam kotak diambil dan dipeluk erat. Nizam tetap menyediakan semuanya walau dia tahu ianya mustahil.
Esakannya mula kedengaran. Tangisannya tidak dapat dikawal lagi. Has menangis bagai anak kecil yang merengek meminta gula-gula bila teringat semua tentang Nizam.
Apa yang boleh dia lakukan? Semuanya sudah terlambat. Nizam sudah tiada. Tiada lagi Nizam untuk mendengar dia marah. Tiada lagi Nizam yang menjadi tempat dia melepaskan geram.
Air mata terus mengalir bersama esakannya. Sudah lama Has tidak menangis seperti ini. Namun kali ini, dia harus melepaskan semuanya. Supaya dia boleh kembali pada diri secepat mungkin.
Pintu bilik diketuk dari luar. Has memandang pintu yang tidak berkunci itu. Julia melangkah masuk dengan senyuman.
“Has…”
Has langsung memeluk tubuh Julia sebaik kakak iparnya itu duduk di sisinya. Terhinjut-hinjut tubuh Has menangis. Julia melepas nafas. Tubuh Has diusap dari belakang. Membiarkan Has menangis semahunya dalam pelukan.
Dia tahu Has sangat sedih ketika ini. Julia akui, Has memang hebat. Dia dapat membuatkan lelaki seperti Nizam berubah kerananya. Mana mungkin Julia dapat melupakan layanan Nizam padanya ketika di banglo?
Apatah lagi pertemuan pertama mereka. Walau pada Nizam, ia hanya gurauan semata-mata. Dia memang merasakan tubuhnya hampir dilahap lelaki itu. Kesuciannya hampir-hampir saja dirampas Nizam.
Tapi dengan Has, tindakan Nizam berlainan. Nampaknya aura dan tarikan Has memang kuat. Sehingga membuatkan Nizam seperti lembu dicucuk hidung pada mata Julia.
Sekarang..Nizam sudah tiada. Hanya tinggal Has saja. Bagaimana perasaan Has ketika ini dia hanya tahu namun dia tidak mengerti. Dia tidak tahu perit kehilangan orang tersayang kerana Luqman sentiasa berada di sisinya.
“Ju…dia buat semua untuk saya” Has melepaskan pelukan. Jemari Julia digenggam erat.
Julia mengangguk. Dia sudah lihat dan tahu betapa Nizam sayang pada Has. Senyum dikuntum buat Has. Has memejam mata dan melepas nafas. Bersama itu dia menangis lagi. Menangis semahu-mahunya. Melepaskan semua rasa. Janjinya dia mahu mengakhiri semua kesedihan hari ini, malam ini.

JULIA – BAB 70

Julia memaling tubuh. Wajah di hadapannya ditatap. Salim bersama dua orang pengawal di belakangnya. Dan di sisi Salim, terdiri Dr.Hassan.
Senyum diberi buat Dr.Hassan. Has yang baru memaling tubuh hanya memandang. Senyumnya nipis hingga kelihatan seperti tidak senyum langsung.
“Awak…” Julia memandang wajah Salim, ingin membuka kata-kata tapi tidak tahu apa yang harus dibicarakan.
Salim diam. Dia sendiri tidak tahu apa yang harus dikatakan. Mengapa dia memanggil Julia tadi?
Dr.Hassan melihat saja. Entah bagaimana suasana janggal itu terjadi. Dia tahu Salim dan Julia banyak yang ingin diperkatakan. Lebih-lebih lagi Salim yang selalu menanti peluang untuk bertemu Julia. Tapi tika tiba masanya, keduanya membisu.
“En.Salim” salah seorang pegawai polis itu memanggil.
Salim mengangguk. Dia sudah melebihi masa keluar yang dibenarkan. Dia tahu. Langkah diatur maju. Meninggalkan Julia dan Has di belakang. Dr.Hassan menghantar hingga kereta polis.
Akan adakah lagi peluang bertemu Julia?

*………….*

“Macam mana tadi?”
Julia tersenyum pada suaminya. Kemudian sama-sama memandang Has melalui pintu masuk dan langsung meluru ke arah tangga.
Luqman menarik nafas. Tangan Julia ditarik ke arah sofa. “Jumpa Salim ke?”
Julia menarik nafas. Senyum lagi. Kepala dilentokkan ke bahu Luqman. Jemari Luqman digenggam erat.
“Abang Hakim … Nanti kita pergi tengok Salim boleh?”
Luqman diam. “Tengok Salim?”
Julia mengangguk. Kepalanya diangkat, memandang Luqman. “Lia rasa dia banyak benda nak cakap dengan Lia. Kita pergi boleh?”
Luqman mengangguk. Julia tersenyum. Bilalah agaknya masanya akan tiba?

*…………..*

Dia diam memandang meja di hadapan. Begitu juga bos. Diam, cuma bos memandangnya tidak memandang meja. Dari mana harus dia mulakan?
“Cepatlah cakap. Aku rasa banyak lagi benda yang kau rahsiakan” Salim memandang wajah Zakuan. Geram benar dia, sudahlah masih banyak yang harus dibualkan tapi Zakuan membisu pula. Kalau bukan kerana dia dikawal, pasti dia sudah mengamuk sakan pada Zakuan.
Zakuan mengangkat wajah. Liur ditelan. Dia sendiri tidak tahu apa yang harus dikatakan walau di kepala tersusun 1001 ayat.
“Dah bisu ke?” Salim menyoal.
Zakuan menarik nafas. “Shark rampas customer kita”.
Salim mengerutkan dahi. Shark rampas pelanggan mereka? Lalu apa masalahnya? Pelanggan mereka bukanlah terlalu sedikit hingga ‘rampasan’ Shark akan menyebabkan mereka jatuh miskin.
Zakuan bagai tahu apa yang bermain di fikiran bosnya. “Mr.Leong dan Mr.Thiti”.
Salim mengangguk. Patutlah. Memang Mr.Leong dan Mr.Thiti merupakan pelanggan besar bagi Geng Helang Hitam. Mereka berdua saja sudah mendatangkan untung jutaan ringgit.
“Shark main cara kotor. Kita dah cuba beli Mr.Leong dengan Mr.Thiti tapi tak berjaya”.
“Biasalah kalau Shark main kotor. Yang kau pun bodoh sangat biar Nizam pergi seorang tu kenapa?”
Zakuan menggeleng. “Tak de siapa yang tahu bila Nizam pergi”.
“Maksud kau?”
“Saya dah beritahu Nizam fasal Shark. Tapi Nizam kata jangan bagitahu bos. Dia takut bos bertindak luar kawalan” Zakuan memperlahankan suaranya. Bimbang tersalah kata.
Salim diam. Memang Nizam mengenalinya. Mengetahui maksud di setiap tindakan dan kata-katanya. Pasti Nizam memikirkan baik buruknya dahulu.
Jika dia tahu apa yang Shark lakukan, dia tidak akan diam di dalam bilik berpagar besi ini. Dan itu akan memberatkan hukuman dan menambah kesnya. Sedang kes sekarang juga masih belum selesai dibicarakan.
Nizam memang pembantu yang teliti. Barangkali ia mungkin juga disebabkan dia dan Nizam tumbuh besar bersama.
“Nizam pergi sendiri. Dia tak bawa orang. Masa saya kat gudang, orang Shark call suruh pergi tempat tu. Masa tu Nizam dah…”
Salim menggenggam penumbuk. “Baguslah. Kau ingat aku dalam ni aku bukan ketua kau orang?” suaranya meninggi.
Pegawai yang mengawal mengetuk pintu pagar besi beberapa kali. Menandakan Salim hampir melebih had. Dia harus ingat dia di dalam tahanan.
“Bos”.
“Apa bos bos?”
“Saya minta maaf”.
Salim mengetap bibir. “Kau tahu aku paling tak suka perkataan tu. Aku tak kira. Macam mana susah pun, kau kena balas dendam. Cari jalan untuk habiskan Shark secepat mungkin”.
Zakuan mengangguk. Senyum dihulur. “Saya janji”.
Salim mengangguk. Dia harus menuntut bela atas kematian Nizam. “Kau jangan lupa suruh Anas hantar En.Karim ke sini. Aku nak tahu kalau NiAm ada tinggalkan apa-apa permintaan”.
“Baik bos”.
Salim menarik nafas. Dia tiba-tiba teringat wajah yang dilihat di majlis pengebumian Nizam tempoh hari. “Apa kaitan Nizam dengan Mukrimah?”
Zakuan diam sebentar. “Saya pun kurang tahu. Rasanya Cik Mukrimah gadis yang Nizam suka”.
Salim diam. Bagaimana ia boleh terjadi? “Bercinta ke?”
Zakuan diam seketika. Dia juga tidak tahu apa yang terjadi di antara Nizam dan Cik Mukrimah sebenarnya. Akhirnya dia cuma menggeleng.
Pegawai di luar mengetuk lagi menandakan masa sudah tamat. Salim menarik nafas memandang Zakuan. Jika benar Mukrimah gadis yang disukai Nizam, pasti akan ada berita yang bakal En.Karim sampaikan.

*…………..*

Has tersenyum memandang Dato’ Norman. Long dress yang tersusun di atas meja dipandang. Tak cukup dengan itu ada pula beberapa blouse cardigan yang memang menjadi kegemarannya.
“Banyaknya papa beli”.
Dato’ Norman memandang Datin Mariah di sisi. Keduanya tersenyum. Mereka fikir mahu mengubat kesedihan hati puteri tersayang. Tapi kelihatan seperti tidak berjaya pula.
Luqman dan Julia senyum memandang papa. Dato’ Norman bagai terpinga. Nampaknya kesedihan Has bukanlah sedikit. Kerana selalu tiap kali dia bersedih, hadiah yang dibeli pasti dapat memujuk.
Has memandang Julia. “Baju ni separuh untuk Ju”.
Datin Mariah melangkah pada Has yang sedang membelek baju di meja. “Mukrimah pilihlah sama-sama. Ju, sini”.
Julia mengangguk. Langkah diatur menuju ke arah mereka. Namun bunyi loceng rumah mengalih perhatian.
Pembantu yang setia berdiri di pintu berlari anak keluar. Menyambut kehadiran tetamu. Berkerut dahi melihat wajah tak dikenali itu.
“Boleh saya bantu?”
“Saya Zakuan. Hari tu, saya ada datang sini”.
Pembantu itu tersenyum. “Boleh saya tahu En.Zakuan nak jumpa siapa?”
“Cik Mukrimah dan keluarga”.
Pembantu itu mengangguk. “Sekejap ye”.

*…………..*

Kesemuanya memandang Zakuan bersama peguam tak dikenali namanya itu. Dato’ Norman di sisi Datin Mariah. Dan Julia di sisi Has. Luqman pula duduk sendirian di sofa satu.
Zakuan tersenyum. “Kenalkan ni En.Karim. Peguam Sa-Nu”.
Tunduk hormat diberikan. “Saya nak bacakan wasiat En.Nizam. Tapi ada lagi seorang saksi tak ada”.
Has mengerut dahi. Wasiat? Wasiat apa yang Nizam tinggalkan? Dan siapa pula saksi yang dikatakan En.Karim? Sekilas, matanya memandang kotak yang dibawa Zakuan tadi. Apa agaknya tujuan Zakuan membawa kotak itu ke sini?
Datin Mariah memandang Dato’ Norman di sisinya. Sama-sama menarik nafas. Nampaknya pemuda bernama Nizam ini benar-benar menyayangi puteri mereka.
Seorang pembantu masuk dari luar. Di belakangnya tersenyum Dr.Hassan. Has menguntum senyum. Begitu juga yang lain.
Julia ketawa kecil. Namun hanya perlahan bimbang didengari Has sekaligus mengecilkan hatinya. Jadi saksi yang dikatakan adalah pak su. Nampaknya Nizam membuat pilihan tepat.
Setelah Wani beredar selepas menghidangkan air, En.Karim mengeluarkan sekeping sampul dari briefcasenya. “Kalau semua dah sedia, saya nak bacakan wasiat En.Nizam”.
Semuanya berdiam diri. Julia menggenggam erat tangan Has. Tangan sahabatnya itu benar-benar sejuk dan menggigil.
“Saya Nizam b. Abdullah menulis surat ini dalam keadaan sedar dan tanpa paksaan sesiapa. Dengan ini, saya Nizam b. Abdullah menyerahkan semua peninggalan saya kepada Cik Mukrimah Muhasibah bt. Norman Hakim. Dengan bersaksikan semua ahli keluarganya dan Dr.Hassan bagi pihak saya. Apa yang akan diterima Cik Mukrimah ialah sebuah rumah banglo yang terletak di Brunei, sebiji kereta Peugeot yang menunggu masa untuk diambil dan wang tunai bernilai RM 300,000,000.00 ( tiga ratus juta ). Turut bersamanya adalah resort yang telah mula beroperasi tiga tahun lalu di Kedah dan sebuah kedai kek yang telah dibuka pada tahun 2008 di Sarawak. Di mana keseluruhan keuntungan kedua-dua resort dan kedai kek ini adalah milik saya 100%. Mulai detik ini, ia telah menjadi hak milik mutlak Cik Mukrimah Muhasibah sepenuhnya”.
En.Karim memandang wajah-wajah di hadapannya. “Ada bantahan?”
Semuanya menggeleng. Has terdiam. Mengapa perlu Nizam meninggalkan semua ini untuknya? Bukankah lebih baik dia menghadiahkannya kepada pertubuhan kebajikan?
Mata dipejam. Air mata lagi. Dia sudah bosan menangis. Namun air matanya tetap juga tidak berhenti mengalir. Terasa tubuhnya sangat letih akhir-akhir ini.
“Has” Julia memandang saat air mata Has menitis di atas tangannya.
Has membuka mata dan senyum dikuntum. “Saya ok”.
En.Karim menganggguk. “Kalau tak de bantahan, saya minta semua saksi tanda tangan di sini ikut nama masing-masing”.
“Boleh tak saya tak nak terima semua tu?” suara Has memecah kesunyian.
Seisi ruang tamu memandangnya. En.Karim tersenyum lebar. “Rasanya En.Nizam pun dah tahu yang Cik Mukrimah akan cakap macam ni”.
Has mengerut dahi. En.Karim menarik nafas, “Tak boleh. Macam mana pun, Cik Mukrimah kena tanda tangan surat pindah milik dulu. Sebab semua En.Nizam dah uruskan. Cuma tunggu tanda tangan Cik Mukrimah dan semuanya akan jadi milik Cik Mukrimah macam yang En.Nizam mahukan. Kalau tak, ia mungkin akan menyusahkan semua pihak yang terlibat”.
Has diam. Tiada lagi senyuman pada wajah. Apa lagi kejutan dari Nizam yang bakal diterima? Tahukah Nizam bahawa apa yang dilakukan Nizam hanya akan membuatkan dia bertambah sedih?
Julia memaut bahu Has. Has memandang dan menggeleng. Dia cuma berharap semuanya cepat berakhir. Dia mahu masuk ke bilik. Bersendirian.
Usai urusan mereka, En.Karim dan Zakuan meminta diri untuk beredar. Sempat Zakuan menghulurkan kotak yang dilihat Has padanya.
Katanya itu pemberian Nizam. Dan selepas membuka kotak itu, pasti Has akan menerima semua peninggalan Nizam seperti yang sepatutnya.
Datin Mariah memandang Has yang masih duduk di sofa memandang kotak yang dihulur Zakuan tadi. Anak gadisnya dipanggil.
“Mukrimah”.
“Has penat. Has masuk bilik dulu” nafas ditarik dan dia melangkah sambil memeluk kotak di hadapannya.
Datin Mariah ingin mengejar namun ditahan Julia. “Mama…Ju rasa, baik kita bagi Has waktu untuk bersendirian dulu”.
Datin Mariah menguntum senyum pada Julia dan mengangguk. Harapannya semoga Has dapat mengawal kesedihannya. Mudah-mudahan puterinya itu akan kembali seperti sedia kala.

JULIA – BAB 69

Wajah pengurus banglonya dipandang. Wajah itu ditatap hingga pengurusnya tidak berani menentang matanya.
Mengapa tidak ada yang memaklumkan berita ini terlebih dahulu? Walau dia dikurung rapi oleh pengawal penjara, ada caranya untuk membuatkan dia tahu bahawa Nizam sudah tiada.
Dia sendiri buntu dengan apa yang berlaku. Tiba-tiba saja, pengawalnya mengatakan hari ini dia boleh menghadiri majlis pengebumian Nizam. Namun, dia hanya boleh berada di tanah perkuburan dan ditemani dua orang pengawal bersenjata.
Apa yang berlaku? Bagaimana Nizam boleh meninggal? Dia ada terdengar kata-kata yang mengucapkan Nizam meninggal kerana bergaduh dengan Tengkorak.
Tengkorak. Punya ketua yang bernama Shark. Memang merupakan musuh ketat Geng Helang Hitam. Namun mereka jarang bergaduh kerana masing-masing tidak masuk campur urusan. Kau kau, aku aku.
Pasti ada sesuatu yang berlaku hingga Nizam menyerang Tengkorak tanpa memaklumkan terlebih dahulu padanya. Walaupun dia berada di dalam penjara, tidak bererti dia bukan lagi ketua Geng Helang Hitam.
“En.Salim” pengawal yang memegang tangannya menegur.
Salim menunduk memasuki kereta polis yang akan membawanya ke tanah perkuburan. Wajah Zakuan dipandang dari dalam kereta. Dia akan menemui Zakuan nanti.
Zakuan melepas nafas melihat kereta polis berlalu. Pasti banyak yang harus diceritakan pada bos nanti. Sejujurnya, dia juga tidak tahu apa-apa.
Memang Helang Hitam dan Tengkorak bermusuhan sejak dulu. Tapi siapa yang tahu Nizam pergi berurusan dengan Tengkorak?
Semasa dia mula membangunkan banglo semula, memang dia telah memberitahu Nizam bahawa Tengkorak telah merampas dua pelanggan besar mereka iaitu Mr.Leong dari China dan Mr.Thiti dari Thailand.
Tapi ketika itu, Nizam mengatakan tidak perlu memberitahu bos kerana tidak mahu bos berat hati menjalani hukuman. Bimbang jika bos melarikan diri dari penjara, hukumannya akan bertambah dan dia tidak dapat keluar ke mana-mana kerana menjadi buruan polis.
Namun siapa sangka Nizam sendiri pergi masuk ke kandang harimau? Shark memang merupakan ketua yang kejam dan tidak berperasaan. Bahkan dia lebih kejam dari bos sendiri.
Sebenarnya Zakuan juga masih terkejut. Dia hanya mendapatkan panggilan telefon dari orang-orang Shark yang menyuruhnya datang ke motel di tengah bandar. Dia sendiri tergamam melihat Nizam terbaring berlumuran darah di jalan raya.
Nafas ditarik. Dia sudah menguruskan semuanya. Mayat Nizam akan ditanam di tanah perkuburan. Bos sudah pergi. Dia juga telah meminta Anas mengambil gadis yang dicintai Nizam itu dari rumahnya dan membawanya ke tanah perkuburan.
Dia juga harus pergi. Talkin telah diselesaikan malam tadi. Dia mengupah orang masjid untuk menyembahyangkan Nizam. Cuma dikebumikan pagi ini kerana semalam sudah lewat malam.
Enjin dihidupkan dan Zakuan memandu kereta ke tanah perkuburan.

*……………*

Nafas ditarik memandang tumbuh-tumbuhan hijau di laman rumah. Tumbuh-tumbuhan itu ditanam mama dan dibantu pembantu rumah semestinya.
Tudung yang tersarung dibetulkan. Matanya terpejam rapat dan air mata mulai mengalir. Nizam sudah tiada. Memang sudah tiada. Dia sendiri telah menonton berita awal pagi tadi.
Bila mendengar bunyi tapak kaki, Has langsung mengambil tisu di atas meja dan mengelap air matanya. Tidak mahu tangisnya dilihat orang.
“Cik muda”.
Has menoleh. Senyum diukir pada Wani yang menghulurkan segelas susu panas padanya. “Terima kasih Kak Wani”.
Wani memandang cik muda kesayangannya. Dia faham apa yang menimpa cik muda. Pasti cik muda sangat bersedih sekarang. Walau dia tidak tahu, bila masanya cik muda dan En.Nizam bercinta namun melihat keadaan cik muda sekarang sudah membuatkan dia menumpang kesedihan cik muda.
“Cik muda ok?” Wani menyoal lambat.
Has memandang dan tersenyum lebar. “Ok, kenapa tak ok pula?”
Wani diam. Wajahnya memandang ke arah pintu rumah. Julia dan Luqman muncul dari dalam. Mereka mengatur langkah ke arah Has yang bersendirian di laman.
Wani meninggalkan mereka bertiga di luar. Namun langkahnya terhenti bila terlihat sebuah kereta hitam berhenti di depan rumah.
Julia dan Luqman berpandangan. Kemudian sama-sama memandang Has. Wani turut memandang seketika. Dan langkahnya berlari anak membuka pintu pagar kecil.
“Ni rumah Cik Mukrimah kan?” seorang pemuda keluar dari kereta itu.
Wani mengangguk. “Ada urusan apa?”
“Boleh saya jumpa Cik Mukrimah?”
Wani menoleh ke arah laman sekilas dan berkata, “Tunggu sekejap ye”.
Has memandang bila namanya dipanggil Wani dari jauh. Menanti pembantunya itu datang dekat. “Cik muda, ada orang nak jumpa”.
Has membulatkan mata, “Siapa?”
Wani menggeleng. Sekilas kereta hitam itu dibayang, rasanya itu kereta sama yang digunakan Nizam dan Salim ketika mereka datang ke sini suatu ketika dulu. “Rasanya tu kereta yang En.Nizam pernah guna”.
Has mengerutkan dahi bila nama itu disebut. Anggukan diberikan dan dia mengikut langkah Wani ke pintu pagar.
“Saya Mukrimah” Has memandang pemuda yang menanti itu. Rasanya dia tidak pernah lagi bertemu pemuda ini.
“Cik Mukrimah, saya pemandu peribadi En.Salim. En.Zakuan minta saya bawa Cik Mukrimah dan juga Cik Julia ke tanah perkuburan. Mayat arwah En.Nizam tengah diiring. Mungkin akan kebumi pukul 8.30 pagi”.

*……………*

Zakuan menanti di pintu pagar tanah perkuburan itu. Jam tangan dipandang sekilas. Mana pula perginya Anas ini? Mereka akan memasukkan jenazah ke liang sebentar lagi tapi Anas masih belum tiba.
Kereta terlihat dari jauh. Zakuan melepas nafas lega. Senyum diberikan buat cik muda yang terlihat dari dalam kereta.
Julia memegang tangan Has dan sama-sama keluar dari kereta. Anas menunduk dan mempersilakan mereka. Sama-sama melangkah ke arah Zakuan yang menanti.
“Cik muda. Cik Mukrimah” Zakuan memberi tunduk hormat.
Keduanya tersenyum. Julia memandang ke dalam sekilas dan menyoal ,” Dah kebumi ke?”
Zakuan menggeleng. “Baru nak kebumi. Silakan”.

*…………..*

Dia yang digari tangannya mengerut dahi melihat Julia melangkah masuk bersama Zakuan. Bersamanya Anas dan juga seorang gadis yang kelihatan serupa. Kalau tidak silap, itulah Mukrimah adik pada Luqman.
Matanya tertuju pada Julia. Rindu benar pada gadis itu. Mereka langsung tidak pernah bertemu setelah Julia dibawa lari dari banglo. Dia sendiri berada di dalam penjara. Julia pula pasti sibuk dengan persiapan perkahwinannya bersama Luqman.
Mengapa Zakuan mengambil mereka? Ada kaitankah mereka dengan Nizam? Dia bingung sendiri memikirkan perkara itu.
Mahu bertanya juga tidak boleh. Dirinya terkawal rapi dengan dua orang pegawai polis di sisi. Zakuan juga. Mentang-mentanglah dia tergari seperti itu, apa juga tidak diberitahu.
Dr.Hassan di sebelah kirinya dipandang. Berharap dia mendapatkan jawapan dari pak sunya. Dr.Hassan memandang kembali. “Lim nak tanya apa-apa ke?”
Salim mengangguk. “Kenapa Wan ambil Ju dengan Mukrimah?”
Dr.Hassan mengerutkan dahi. Dia terangguk-angguk sendiri. “Mukrimah tu perempuan yang Nizam suka. Ju datang teman rasanya”.
Salim mengerut dahi. Perempuan yang Nizam suka? Sejak bila pula Nizam menyukai gadis itu? Setahunya, mereka tiap kali bertemu hanya bergaduh bagai anjing dan kucing. Bagaimana pula boleh terjadinya Nizam menyukai adik Luqman itu?
Nampaknya apa yang tidak diketahui bukanlah sedikit seperti sangkaannya.

*…………..*

“Awak ok?” Julia menyoal Has di sisi.
Has menguntum senyum. “Rasanya hari ni ramai yang tanya soalan tu kan?”
Julia mengangguk. Majlis sudah selesai. Hadirin juga sudah beransur pergi. Hanya tinggal beberapa orang yang akan pergi juga. Selainnya semuanya orang-orang Salim sendiri. Memakai kemeja hitam semuanya.
“Ju” Has memanggil.
“Ya” Julia menjawab lembut.
Has melepas nafas. “Rasa macam letih pula”.
Julia memaut bahu Has dan mencengkam erat. “Jom balik”.
Has mengangguk. Serentak itu, Anas datang pada mereka. Menjemput kedua gadis itu untuk masuk ke kereta, dihantar pulang.
Langkah diatur menuju ke pintu pagar. Anas tetap berada di hadapan mereka dengan berjarak sekira-kira lima langkah.
“Ju”.
Langkah Julia mati tika mendengar suara yang memanggilnya itu.

JULIA – BAB 68

“Macam mana pergi cuba baju tadi?”
Has memandang mama yang sedang membasuh pinggan dibantu seorang pembantu rumah. Mama memang begitu, pembantu rumah bukanlah disuruh melakukan semua kerja. Mama juga punya kerja sebagai suri rumah.
“Biasa je. Tapi Has rasa lagi dua tiga hari mesti pergi lagi”.
Datin Mariah menoleh pada Has yang sedang meneguk jus epal di meja dapur. “Pergi lagi?”
“Nak selesaikan urusan beli semua tu”. Has mengambil dulang dan meletakkan jag dan cawan di atasnya.
“Baguslah. Lagi beberapa minggu je nak kenduri dah” Datin Mariah tersenyum.
“Bukan ke hari tu nak buat doa selamat je. Kenapa tiba-tiba nak buat kenduri?” Has menyoal. Bukankah doa selamat itu permintaan abang dan Julia?
“Papa lah tu. Mama pun tak tahu yang dia dah jemput semua kawan-kawan cakap nak buat kenduri kahwin Luqman. Lagi pun, mama rasa bagus juga buat kenduri. Biar orang tahu Luqman tu dah kahwin”.
Has mengangguk-angguk. Benar juga kata-kata mama. Dia menatang dulang tadi dan membawanya pada Luqman dan Julia yang sedang menonton berita.

*……………*

“Abang Hakim” Julia memanggil.
Luqman yang sedang bermain rambut Julia memandang televisyen bila Julia memanggil namanya dan memandang televisyen.
Gambar kecil yang terpamer di kaca televisyen membuatkan mereka saling memandang. Berita tentang pembunuhan yang baru saja berlaku jam 8.00 malam tadi.
“Nizam ke?” Julia menyoal Luqman di sebelahnya.
Luqman terdiam. Apa yang terjadi? Benarkah mangsa yang terbunuh itu adalah Nizam?
‘Mangsa yang disyaki telah ditembak di bahagian dada akhirnya ditemui berlumuran darah di jalan raya. Ada saksi yang mengatakan terlihat mangsa terjatuh dari tingkat terakhir dari bangunan itu iaitu dari tingkat sembilan. Mangsa yang disahkan bernama Nizam b. Abdullah merupakan pembantu peribadi En.Salim yang merupakan pengarah Sa-Nu Sdn. Bhd’.
Dulang yang dipegang terlepas dari tangan. Matanya memandang tepat ke arah televisyen. Apa berita yang baru didengarinya?
Julia dan Luqman memandang ke arah Has. Matanya sudah berair memandang ke arah televisyen. Julia memandang Luqman. Apa yang harus mereka lakukan? Bagaimana mereka boleh terlupa bahawa ada seseorang yang mementingkan Nizam lebih dari mereka?
Datin Mariah berlari anak ke hadapan bila terdengar bunyi kaca pecah. Begitu juga beberapa pembantu rumah yang sibuk menjalankan tugas. Semuanya ke ruang tamu untuk mengetahui apa yang berlaku.
“Kenapa ni?” Datin Mariah menyoal Has yang setia menjadi patung di ruang makan.
Has tersedar dari lamunan mendengar suara Datin Mariah. Langsung langkahnya maju ke arah televisyen. Alat kawalan jauh di atas meja dicapai dan suara dikuatkan.
‘Mangsa disahkan meninggal dunia beberapa minit setelah ditemui. Pihak polis masih belum mengesahkan kematian mangsa disebabkan kemalangan atau pembunuhan. Kini mayat mangsa sedang dihantar ke hospital untuk dibedah siasat. Berita selanjutnya….’
Has memejam mata membiarkan air matanya mengalir. Apa respon yang harus diberikan? Dia sendiri buntu. Mahu menangis senyap-senyap atau meraung bagai orang gila?
Julia maju pada Has bila teman merangkap adik iparnya itu rebah di lantai. “Has”.
Datin Mariah melangkah ke arah Luqman sementara dua orang pembantu mengemas kaca-kaca pecah di lantai.
“Luqman, apa ni?” Datin Mariah menyoal. Dia langsung tidak memahami apa yang berlaku. Yang diberitakan meninggal dunia bukanlah sesiapa bagi mereka tapi mengapa Has bertindak begitu? Apakah mangsa yang meninggal dunia itu punya hubungan dengan Has?
Luqman menarik nafas. Mahu bercerita juga tidak sesuai masa. Akhirnya mama dipandang kosong. Dan pandangannya kembali pada Julia yang berada di sisi Julia.
“Has” Julia memaut bahu Has.
Has menarik dan melepas nafas. Air mata masih galak mengalir di pipi. Julia langsung mematikan televisyen bila menyedari ia menjadi pengganggu suasana.
Has menoleh memandang Julia. Benarkah berita yang baru ditonton tadi? Wajah Julia ditatap. “Nizam ke tu?”
Julia tersenyum nipis. Anggukan diberikan. Mahu atau tidak, itu tetaplah jawapannya. Mustahil berita dikeluarkan jika kesahihannya masih belum dipastikan.
Has memejam mata lama. Tubuhnya mula terhinjut-hinjut menahan esakan. Julia memandang Luqman sekilas dan langsung memeluk tubuh Has bila gadis itu mula bersuara.
Datin Mariah memandang puterinya. Bila melihat keadaan Has ketika ini, rasanya dia sudah mengerti apa ertinya orang yang meninggal dunia itu pada Has.

*………….*

Julia menutup pintu bilik Has, membiarkan mama menidurkan Has. Dia memandang Luqman yang menanti.
“Dah tidur ke?” Luqman menyoal.
Julia menarik nafas dan menggeleng. “Mama tengah pujuk lagi”.
Luqman mengangguk. Mereka bersama mengatur langkah ke bilik mereka. Wajah Luqman dipandang bila mereka sudah di bilik.
“Abang Hakim nak buat apa?”
Luqman mengambil tempat di sisi Julia. “Buat apa?”
“Has?”
Luqman melepas nafas. Dia menggeleng dan mengangkat bahu. “Saya pun tak tahu. Kalau memang Nizam tu ada apa-apa dengan Has, mungkin bila-bila nanti ada orang cari Has”.
Julia mengangguk. Kata-kata Luqman benar. Selepas ini, mungkin ada orang dari Geng Helang Hitam yang mencari Has.

*…………..*

Datin Mariah mencium kepala puteri kesayangannya. Nafas dilepas memandang wajah Has yang terpejam matanya. Pipi yang kelihatan basah itu diusap.
“Rupanya banyak lagi benda tentang Mukrimah yang mama tak tahu”.
Keluhan dilepaskan. Kalaulah dia tahu lebih awal soal Nizam dan puterinya itu. Luqman dan Julia nampaknya sudah tahu soal itu. Mereka harus disoal siasat nanti.
Suaminya tidak pulang malam ini. Kerana harus ke Pulau Langkawi melihat hotel yang baru dibuka di bawah Hakim Legacy.
Hasratnya memang ingin menemani Has tidur malam, tetapi niat dibatalkan bila memikirkan Has juga harus punya waktu untuk bersendirian setelah apa yang ditempuh. Dan dia juga yakin Has bukanlah jenis gadis yang bertindak bodoh kerana seorang lelaki yang belum ada ikatan apa-apa dengannya.
Lampu dimatikan dan dia meninggalkan bilik itu. Hal ini harus dikhabarkan pada Dato’ Norman. Kalau-kalau Dato’ Norman boleh membawa ole-ole dari Pulau Langkawi untuk menyenangkan hati puteri tunggal mereka.
Bila mendengar bunyi pintu biliknya ditutup, Has membuka mata kembali. Lampu tidurnya dihidupkan.
Matanya memandang siling bumbung. Nafas dilepas. Has mendudukkan dirinya dan mengikat rambut.
Air matanya meleleh lagi. Masih terngiang suara pemberita memaklumkan pemergian Nizam. Jatuh dari bangunan tingkat sembilan.
Matanya dipejam. Jadi benarlah sangkaannya selama ini. Dia bukanlah mimpi kosong atau mimpi merapu. Mimpinya selama ini benar-benar petanda bahawa Nizam akan meninggalkannya.
Semuanya terasa masih baru. Terasa bagai baru semalam dia menumpahkan jus oren ke atas baju Nizam. Bergaduh di Hakim Legacy seterusnya dia menolak Nizam hingga terjatuh ke dalam kolam.
Senyum diukir. Apa ertinya dia bersedih lagi? Bukankah dia sendiri tahu setiap nyawa itu pasti diakhiri dengan kematian?
Air mata yang mengalir dikesat. Ini bukan dia. Ini bukan dirinya. Mengapa dia menangis? Bukankah dia sepatutnya bergembira kerana Nizam pulang ke pangkuan Ilahi, Sang Pencipta?
Has menarik nafas. Cukuplah dia menangis. Sedari jam 8.30 hingga sekarang sudah hampir pukul 2.00 pagi. Siapa yang boleh tidur jika berada di tempatnya?
Lampu tidur ditutup dan lampu bilik dibuka. Langkah diatur ke bilik air. Dia ingin mengambil wudhu’ untuk menunaikan solat sunat Tahajjud. Berdoa semoga Nizam ditempatkan bersama orang-orangNya.

JULIA – BAB 67

Dia memandang kotak pemberian Nizam yang berada di pegangannya. Wajah Nizam yang tersenyum dipandang. Apa yang tidak kena dengan Nizam? Selalunya, memandang dia pun tak mahu tapi hari ini, siap dengan senyuman lagi.
“Apa ni?”
Nizam senyum. “Aku nak minta kau jagakan kat sini”.
Zakuan mengerut dahi. Jagakan kat sini? Banglokah? “Kau nak letak kat banglo?”
Nizam mengangguk. Zakuan memandang. “Kenapa tak letak dalam bilik kau je?”
Nizam diam. Memang dia punya bilik sendiri di banglo, tapi ada sebab lain mengapa kotak itu ditinggalkan bersama Zakuan.
“Aku nak minta tolong”.
“Apa?” serius suara Zakuan. Sudahlah dia memang tak berapa nak ‘ngam’ dengan si Nizam, mahu meminta tolong pula.
Nizam diam seketika. Benarkah pilihannya mahu meninggalkan barang itu bersama Zakuan? Bagaimana jika Zakuan tidak menunaikan permintaannya?
“Apa?” Zakuan menyoal lagi. Dia harus memeriksa stok yang baru tiba di gudang. Memanglah Faris sudah ada, tapi tanda tangannya diperlukan bagi menyelesaikan urusan. Kerana hanya tanda tangan Zakuan yang dibenarkan bos untuk menjadi penjamin.
“Kotak tu .. Kalau apa-apa jadi kat aku, aku nak kau serahkan pada Mukrimah”.
Zakuan mengerutkan dahi. Kalau apa-apa jadi kat aku, aku nak kau serahkan pada Mukrimah? Apa yang akan terjadi pada Nizam?
Mahu ke mana dia? Dan … siapa nama gadis itu? Mukrimah? Rasanya Mukrimah adalah nama…”Adik Luqman ke?”
Nizam mengangguk perlahan. “Kau boleh tolong tak?”
Zakuan membisu. Kotak itu diletakkan di dalam almari di belakangnya. Dia kembali mengambil tempat di meja. “Dah kan? Aku nak pergi gudang. Nak tengok stok”.
Nizam memandang. Cuma itu? Tidakkah Zakuan terfikir untuk mengucap ok, baik, boleh atau apa-apa saja sebagai tanda persetujuan?
“Dah ke belum?” Zakuan menyoal lagi. Entah apa yang tak kena dengan Nizam hari ini, kerap saja terleka dengan dunianya.
Nizam mengangguk. Zakuan mengeluh dan membuka langkah.
“Kejap!”
Langkahnya mati. Dia memandang Nizam kembali. Nizam yang duduk bangun berdiri. “Kau boleh tolong tak?”
Zakuan memejam mata dan mengeluh. “Kalau tak boleh, kau rasa aku ambil tak kotak tu?”
Nizam senyum lebar. Nafas dilepas tanda lega. Dia mengangguk memandang Zakuan. Zakuan yang ingin membuka langkah memandang Nizam.
“Kau jadi macam ni sebab Mukrimah ke?” Zakuan menyoal.
Nizam mengerut dahi. Apa maksud kata-kata Zakuan? Jadi macam mana?
Zakuan senyum sinis. Kepalanya tergeleng-geleng. Bler, kuat termenung, lambat menangkap kata-kata .. Apa lagi yang harus dia katakan tentang sikap Nizam?
Nizam mengerut dahi dan Zakuan ketawa. Inilah masalahnya kalau dah punya cinta, semuanya serba tak kena.

*…………….*

Has senyum sendiri menunggu di luar bilik persalinan. Bagaimana agaknya rupa Julia memakai pakaian pengantin?
“Dah ke belum?” Has menjerit kecil dari balik langsir.
Julia mendiamkan diri. Memang dia sudah siap memakai busana yang dipilih Has, tapi terasa malu pula untuk menunjuknya di hadapan Has.
“Dah ke?” Has membuat gaya ingin menyelak langsir dan Julia membiarkannya.
Has tersenyum menampakkan gigi. “Cantik!”
Julia mengetap bibir. Has dipandang. “Macam ketat sangat je”.
Has maju ke hadapan. Tubuh Julia dipusing. “Nampak macam tak. Tapi, awak tak selesa ke?”
Julia mengangguk. Has berlari anak keluar dari bilik persalinan bila mendengar nada dering telefon bimbitnya menandakan ada panggilan masuk. Senyum diberi buat Julia dan dia berkata separuh berbisik. “Abang call”.
“Assalamualaikum” Has memberi salam.
Julia duduk di sofa yang tersedia di ruang itu. Menanti dan mendengar perbualan Has dan Luqman di talian. Has sudah pun mengambil tempat di sisinya.
“Waalaikumussalam. Has, dah siap ke?”
Has memandang Julia sesaat dan senyum,”Belum lah. Ju malu nak keluar”.
Julia membulatkan mata. Paha Has dicubit hingga gadis itu mengaduh kesakitan.
“Kenapa tu?”
Has ketawa mendengar soalan abang. “Kakak ipar Has ni garang kan?”
Julia memandang dengan pandangan marahnya. Has sengih. Belakang Julia diusap tanda memujuk.
“Main apa ni?”
“Tak de apa-apalah. Abang dah siap ke?” Has menyoal.
Sebenarnya mereka bertiga datang ke butik pengantin itu bersama. Tetapi Luqman masuk ke bilik persalinan bahagian lelaki untuk mencuba baju melayunya tadi.
“Dah. Nak minta Lia tengok ni”.
Has mencebik. “Mengadanya!”
Julia memandang. Mengapa Has meninggi suara? Namun dia diamkan saja. Biasalah dua beradik yang bersikap bagai kucing dan anjing memanglah begitu.
“Jangan nak mengada sangatlah. Abang nak tanya ni. Katanya Has halau pembantu ni ke?”
“Ha’ah” Has mengiakan. Sebenarnya dia bukanlah menghalau, cuma dia mengatakan dia tak perlu pembantu untuk membantu dia dan Julia di bilik persalinan. Kerana ada dia yang membantu Julia sudah mencukupi.
“Dia bagi tahu ke?” Has menyoal.
“Tak. Abang tanya. Cepatlah siap. Abang tunggu ni”.
Has mencebik dan mematikan talian. Menyampah pula rasanya dengan pasangan pengantin baru ini. Tangan Julia ditarik ke arah beberapa busana.
“Kalau tak selesa, tukar yang lain lah. Abang tengah tunggu. Nak tengok bakal isteri yang tak cantik ni”.
Has memandang dan Julia tersenyum manis.

*…………..*

“Lia nak jemput Pak Tua?”
Julia memandang Luqman di tempat duduk pemandu.
“Lia nak jemput Pak Tua ke?” Luqman memandang Julia sekilas.
“Pak Tua? Abang Hakim dah jumpa Kampung Sentosa?” Julia meninggikan suara. Mempamerkan rasa gembiranya.
Luqman tersenyum namun mata masih memandang hadapan. Mereka dalam perjalanan pulang ke rumah Dato’ Norman. Masuk hari ini, sudah dua hari Julia tinggal di situ.
Dia dan Luqman telah mencapai persetujuan. Mereka akan tinggal di rumah papa selama 2 bulan, dan tinggal di rumah abi tiga bulan. Kerana papa dan mama ada Has yang menjadi teman, juga rumah itu dipenuhi dengan pembantu. Tapi abi dan umi hanya tinggal berdua.
“Dah jumpa. Tapi tak sempat lagi perginya. Tengah banyak kerja”.
Julia mengangguk. “Ju nak ikut kalau abang nak masuk kampung. Kampung tu kat Pahang kan?”
Luqman mengangguk. Julia senyum lagi. Makin lebar menandakan dia sangat gembira. Memang dia mahu menemui Mak Tua dan Pijan. Juga teringin sangat mahu berjumpa dengan kakak-kakak Pijan.
“Seronoknya dia. Dari tadi senyum” Luqman memandang Julia. Ketika itu kereta berhenti menunggu lampu merah di lampu isyarat menghabiskan saatnya.
Julia mengetap bibir. “Terima kasih abang Hakim”.
Luqman mengangguk. Mata sekilas memandang tempat duduk penumpang belakang. Ternyata Has sudah pun terlelap. Barangkali letih, maklumlah dia ‘menculik’ Has dari universitinya tadi. Iswara kesayangan Has juga ditinggalkan di universiti.
“Abang Hakim”.
Luqman memandang sekilas sebelum meneruskan pemanduan. “Kenapa?”
“Ju nak jumpa Mak Tua. Abang Hakim jangan lupa bawa Ju sekali tau”.
Luqman ketawa kecil. “Ye”. Dan dia terus ketawa melihat keterujaan isteri tersayang.

JULIA – BAB 66

Julia langsung mengalihkan pandangan bila menyedari pipinya terasa panas. Buku yang berada di tangan terus digunakan untuk menutup muka.
Luqman ketawa kecil. Fikirnya perasaan malu Julia sudah berkurang sedikit. Rupanya ia masih sama seperti mereka di Kampung Sentosa dulu.
Dahinya berkerut. Kampung Sentosa? Agaknya bagaimana keadaan mereka di Kampung Sentosa sekarang? Sihatkah Pak Tua dan Mak Tua? Bagaimana pula dengan Pijan?
“Ju” Luqman memanggil. Buku yang menutup wajah Julia ditarik perlahan.
Julia diam di posisinya. Nada suara Luqman kedengaran serius pula.
“Ju ingat Kampung Sentosa?”
Julia mengangguk. Masakan dia lupa pada kampung itu. Kampung penyelamat nyawa mereka berdua. Juga kampung yang menjadi saksi pernikahan mereka berdua.
“Saya tak tahu macam mana keadaan Pak Tua sekarang” Luqman memandang.
Julia mengangguk. Kalau pun Pak Tua mahu mencari mereka pasti susah kerana bermacam masalah. Bagaimana khabar orang kampung agaknya?
“Ju nak ikut” Julia menguntum senyum.
Luqman mengangkat wajahnya. Tangan Julia dicapai dan digenggam erat. “Nak ikut?”
Julia mengangguk lagi. Luqman tersengih menampakkan giginya. “Cepatlah keluar hospital. Boleh Ju pindah masuk rumah papa”.
Julia langsung menarik tangannya. Tubuh Luqman dipulas menggunakan jemari sepuasnya. “Mengada!”

*…………..*

Nizam menjeling sekilas ke belah kirinya. Macamlah dia tak perasan Has sedari tadi terhendap-hendap mengintai gerak-gerinya bersama Sabirah. Suka pula dia diperlakukan begitu.
“En.Nizam” Sabirah di depannya memanggil.
Nizam mengukir senyum. Sebenarnya dia datang untuk menyoal apakah Julia sudah keluar hospital atau belum. Tapi lain pula yang ditemukan. Bagai tak sangka pula boleh terlihat Has bertindak mempamerkan rasa cemburunya bila melihat dia berbual dengan Sabirah.
“En.Nizam” Sabirah memanggil lagi. Katanya tadi ingin menyoal, mengapa dia berdiam pula?
“Awak sihat?” Nizam sengaja melengahkan masa.
Sabirah mengerutkan dahi. Apa yang disoal En.Nizam tadi? Sihatkah dia?
“Sihat tak?”
Sabirah mengangguk. “Sihat”.
“Baguslah. Kalau tak sihat macam mana boleh datang kerja kan?”
Sabirah mengerut dahi. Apa yang tidak kena? Selalunya En.Nizam tidak pernah bersikap begini. “En.Nizam kata nak tanya sesuatu?”
Nizam mengangguk. “Julia Aleeya bt Johan Amir dah keluar hospital ke?”
Sabirah menggeleng. “Cik Julia bakal menantu Dato’ Norman kan?”
Nizam mengangguk. Sabirah menguntum senyum. “Belum keluar lagi. Rasanya dalam dua tiga hari ni dia boleh keluar”.
“Ok. Terima kasih”.
Sabirah tersenyum dan membuka langkah. Dia harus mengambil keputusan ujian darah dan air kencing dari makmal.
“Kejap”.
Sabirah memaling tubuh kembali. “Ya”.
Nizam senyum. “Ada tak perempuan kat hujung sana? Tengah tengok sini. Pakai tudung warna coklat emas”.
Sabirah menjeling sekilas dan anggukan diberikan. Patutlah Nizam berperangai pelik hari ini. Rupanya mahu menguji gadis itu.
Nizam mengucapkan terima kasih dan mereka berpecah. Dia langsung melangkah ke pintu keluar. Terasa berbunga hatinya. Kalau terlihatlah bunga itu, pasti ia sudah memenuhi taman bunga.
Bangganya rasa kerana Has cemburu padanya. Setidaknya dia tahu Has juga mempunyai perasaan yang sama.

*…………….*

Pintu wad dihempas. Kakinya menghentak lantai tanda membentak. Beg galasnya dibaling pada sofa yang tersedia.
Menyampah! Menyampah! Menyampah! “Menyampah!!”
Sakit benar hatinya melihat gaya Nizam tadi. Bukan main mesra dengan jururawat manis itu. Tahulah jururawat itu cantik dan sopan lagi. Tapi mengapa harus semesra itu?
Senyuman dan ketawa Nizam memang menyakitkan hati. Terkumat-kamit Has menyumpah Nizam dan juga jururawat itu. Sakitnya hati tak terkata.
Julia dan Luqman memandang. Apa yang tidak kena dengan Has? Baru saja masuk sudah mengamuk tak tentu fasal.
Julia memandang Luqman dan Luqman mengangkat bahunya. Luqman melangkah ke arah Has dan menampar pipinya perlahan. “Dah kenapa ni?”
Has memandang abangnya. Matanya melilau melihat sekeliling. Baru tersedar dia sudah berada di dalam wad Julia.
“Dah kenapa? Menyampah dengan siapa?” Luqman menyoal lagi.
Has diam. Dia menggeleng melihat abangnya. “Tak de”.
“Apa yang tak de? Abang tanya Has dah kenapa?”
Has senyum dan melangkah ke arah Julia. “Awak sihat?”
Julia menjongket keningnya. “Awak marahkan siapa?”
Has menggeleng. “Mana ada saya marah”.
Luqman mendekati mereka berdua. “Siapa tengok pun tahu Has marah. Masuk-masuk terus campak beg. Marah siapa?”
Julia mengangguk mengiakan kata-kata Luqman. Has diam sendiri. Benarkah dia marah? Mengapa dia marah dan siapa yang dia marahkan?
Tangannya menggenggami antara satu sama lain. Apakah ini tandanya dia cemburu?

*…………..*

Senyum lebarnya terpamer di wajah. Masih teringat gerak geri Has di hospital tadi. Sukanya dia, gembiranya dia.
“Nizam”.
Dia senyum lagi. Has ooh Has. Mengapalah dia boleh tergilakan Has seperti ini?
“Nizam!”
Nizam memandang depannya. Wajah Salim serius menyinga. “Bos” lambat-lambat Nizam menyebut.
“Kau datang nak tengok aku ke nak berangan?” Salim meninggikan suara.
Nizam menelan liur. Memang wajah bos sangat serius, tapi nada suaranya tidak terlalu meninggi. Semestinya kerana ada pegawai yang memerhati. Jika Salim bertindak di luar kawalan, maka hukumannya akan ditambah.
“Kau senyum-senyum kenapa?” Salim menenangkan diri. Suaranya diperlahankan.
Nizam menggeleng. Dia menguntum senyum buat Salim, moga ia dapat meredakan kemarahan Salim.
“Kau nak cakap apa, cakap cepat. Aku dah bosan tengok kau senyum”.
Nizam senyum lagi. Melihat wajah bos, senyumnya pudar. Tersedar dia sudah terlanjur senyum. “Saya nak bagi tahu Julia belum keluar hospital”.
Salim mengerut dahi. “Belum keluar?”
Nizam mengangguk. Salim bersandar pada kerusi. Kata pak su, Julia sudah sihat. Lagi beberapa hari boleh pulang. Tapi mengapa dia masih belum pulang?
“Kau tengok dia ke?” Salim menyoal.
“Tak. Saya tanya nurse”.
Salim menarik nafas. Jadi Julia masih belum keluar hospital? “Kau tahu kenapa dia belum keluar? Hari tu pak su kata dia dah sihat. Lagi berapa hari dah boleh keluar”.
“Tak tahu bos”.
Salim mengeluh. Dia jadi risau pula. Apa yang tidak kena dengan Julia? Ada apa-apa masalah dalamankah hingga Julia masih belum dibenarkan pulang?

*……………*

Dr.Hassan tersenyum memandang Julia yang sudah siap berpakaian kasual. Tudung satin gaya selempang berwarna hijau cerah bersama baju kurung pahang berwarna hijau gelap.
“Dah tak sabar nak balik ke?”
Julia mengangguk. “Dah tak sabar nak keluar dari sini pak su”.
Luqman memaut bahu Julia. Dahinya berkerut mendengar gelaran yang digunakan Julia. Namun dia diamkan saja. Bila tiba masa, Julia akan memberitahunya juga.
Anisah dan Amir maju ke hadapan. “Ju balik rumah umi dulu kan?”
Julia mengangguk. Terasa kelakar pula bila umi memberi soalan begitu. Senyum manis dikuntum buat umi dan abi yang memandang.
Seorang jururawat masuk bersama beberapa helai kertas di tangannya. Dr.Hassan menyambutnya dan sebuah fail dihulur pada Julia. “Ni untuk simpanan Cik Julia. Kalau ada apa-apa masalah yang berlaku, boleh rujuk dokumen dalam tu”.
Julia mengangguk. Luqman melihat jam di tangan. Sudah jam 6.00 petang. Mana Has ni? Katanya mahu datang menyambut kepulangan Julia bersama.
Pintu wad terbuka dan Has masuk. Luqman merenung wajah Has. “Kalau lambat lagi, memang tak sempatlah Has tengok muka Lia ni”.
Has mencebik. Langsung tangan abang yang memaut bahu Julia dialih dan Julia ditarik supaya dekat dengannya. “Abang lupa ke siapa yang rapat dengan Ju dulu?”
Luqman menggeleng-geleng. Membiarkan Has dengan sikap keanak-anakannya. Has menjelng Luqman. Sekilas dia terpandangkan seorang jururawat di belakang Dr.Hassan.
Rasa bagai pernah menemui jururawat itu. Bukankah dia gadis yang ‘beramah mesra’ dengan Nizam tempoh hari?
“Oklah. Dah selesai semua, Cik Julia bolehlah gerak sekarang” suara Dr.Hassan mengalih perhatian Has.
Semua mengangguk. Has menunggu semuanya meninggalkan bilik dan jururawat itu dipanggil. “Siapa nama awak?”
“Sabirah”. Jururawat itu tersenyum manis.
“Awak kenal Nizam ke?”
Sabirah mengerut dahi. Nizam? Nizam mana pula? Wajah Cik Mukrimah diteliti seketika. Jadi gadis tempoh hari yang mengintai gerak geri En.Nizam adalah Cik Mukrimah? Bagaimana dia boleh tidak perasan akan hal itu?
Has melayang tangannya di depan wajah Sabirah. “Sabirah. Sabirah. Awak dengar tak?”
Sabirah mengangguk. “Kenal dengan En.Nizam”.
“Hari tu awak dengan dia sembang…” Has diam. Ayatnya mati. Mengapa dia harus menyoal? Tidakkah tindakannya sekarang ini seperti isteri yang mencari tahu kecurangan suaminya?
“Dia cuma tanya saya fasal..”
Has mengangkat tangan dan menggeleng. Senyum diberi buat Sabirah,”Tak pe. Saya tak nak ambil tahu. Terima kasih ya”.
Dan dia berlari anak meninggalkan wad itu. Mengejar Julia yang sudah jauh di depan. Sabirah di dalam wad beku seketika. Kemudian dia tersenyum lebar.
Cik Mukrimah dan En.Nizam ini bermain tarik tali agaknya.

JULIA – BAB 65

Nizam memandang kesemua bentuk cincin yang berada di balik kaca itu. Seorang gadis berusia sekitar pertengahan 20-an datang menyambut dia yang sedang memerhati.
“Ya encik. Ada apa yang boleh saya tolong?”
Nizam memandang. Tag nama pada seragam gadis itu dibaca. Atikah.
“Encik” gadis bernama Atikah itu memanggil.
Nizam menguntum senyum. Cincin kertas pemberian Nafisah dihulurkan. Atikah memandang kebingungan. Apa yang harus dia lakukan dengan cincin kertas itu?
Nizam menghulur tangannya semula. Atikah menjongket kening. Hairan dengan tingkah laku pelanggannya.
“Aku nak tengok … Nak tengok semua cincin perak yang sama saiz dengan cincin ni” dan cincin kertas itu dihulur kembali.
Atikah menyambut dengan senyum lebar. Pasti pemuda di hadapannya ini ingin menempah cincin untuk melamar wanita kesayangan, kerana itulah gayanya seperti orang tak keruan.
Nizam menanti Atikah menjalankan tugasnya. Kira-kira ada dua puluh bentuk cincin yang setiap satunya berada di dalam kotak masing-masing.
“Yang ni je?”
Atikah menggeleng. “Ada lagi yang lain, kalau encik tak puas hati..”
“Tak pe. Biar aku tengok dulu” Nizam memotong kata-kata Atikah.
Atikah menanti sendiri. Nizam memerhati semua bentuk cincin di hadapannya. Cincin kertas milik Julia diambil dan diperhati.
Dia sendiri tidak pernah berbual dengan Julia tentang Has. Apa yang Has suka dan tidak suka pun dia kurang tahu. Lalu bagaimana dia mahu memilih cincin yang sepadan buat Has?
Wajah Atikah dipandang lama. Termenung memikirkan apakah yang paling menonjol pada Has. Ceria, manja dan..
“Atikah kan?”
Atikah mengangguk mengiakan. Wajah pelanggan dipandang. Nizam mengangguk-angguk.
Dia diam seketika. Kemudiannya menyoal,”Orang perempuan suka apa?”
Atikah mengerutkan dahi. Pelanggannya mahu memilih cincin tapi tidak tahu apa yang disukai orang kesayangannya?
“Aku tak tahu nak pilih yang mana”.
Atikah diam sebentar. “Boleh saya tahu dia orangnya macam mana?”
Nizam mengetap bibir. Has orangnya bagaimana? “Manja, ceria, tegas…” dan ayatnya mati di situ. Tidak tahu apa lagi yang harus diperkatakan.
Atikah memerhati cincin-cincin yang diperlihat pada Nizam. Tiga antaranya didepankan agar lebih dekat dengan Nizam. “Saya rasa antara semua tiga ni paling sesuai”.
Nizam memandang ketiga bentuk cincin itu. Satu darinya yang mempunyai berlian di tengah ditolak. “Rasanya dia tak suka benda macam ni. Dia bertudung”.
Atikah menguntum senyum. “Kejap ye”.
Nizam hanya memerhati tingkah Atikah. Dia berlari anak ke almari kaca di sebelah kiri paling hujung dan datang membawa dua buah kotak cincin perak lainnya.
Senyum dikuntum buat Atikah. Sementara Nizam memerhati dua bentuk cincin yang baru diberi Atikah, Atikah menyimpan cincin lainnya.
Nizam memerhati cincin di tangannya. Sama cantik dan sama padan dengan Has. Wajah Has dibayang, agaknya mana satu yang akan menjadi kesukaan gadis itu?
Akhirnya cincin di tangan kanannya dihulur pada Atikah yang setia menanti. “Aku nak ni”.
Atikah mengangguk. Cincin lainnya diambil dan disimpan di tempatnya semula. Huluran Nizam disambut. Baru kakinya ingin melangkah ke belakang untuk membungkus, Nizam memanggilnya.
“Orang perempuan suka ukir kan?”
Atikah mengerut dahi. Dia kurang tahu. Memang dia perempuan, tapi kata orang perempuan yang sedang punya cinta lain pandangannya. Namun akhirnya dia mengangguk juga.
Nizam senyum. “Kalau macam tu, aku nak ukir N love M boleh?”
“Boleh. Bila encik nak?”
“Dalam tiga hari lagi aku ambil”.
Atikah tersenyum dan mengangguk. Nizam beredar setelah membayar wang pendahuluan. Keluar saja dari kedai itu, langkahnya terhenti.
Nizam mengerut dahi. Mengapa dia melakukan semua ini?

*…………..*

“Mesti awak marahkan saya?”
Julia menggeleng. Sudah beberapa hari ini, Has asyik memberi soalan yang sama. Dan tiap kali itulah juga jawapannya.
“Betul tak marah?”
“Awak tanya saya marah tak awak suka Nizam. Kenapa saya nak marah? Sedangkan awak sendiri pun tak rancang benda tu kan?” Julia cuba menenangkan sahabatnya.
Has mencebik. Entah kenapa, sejak dia menceritakan semua pada Julia dia merasakan Julia tak senang dengannya. Walaupun sudah berkali Julia menegaskan dia langsung tak kisah, Has tetap juga berterusan menyoal.
“Habis sekarang awak nak buat apa?”
Has memandang Julia. Senyum diukir. “Sekarang, saya nak call abang lah. Dia kata nak datang, tapi tak sampai-sampai lagi”.
“Has” Julia memanggil, dia tahu Has sengaja mengalih topik.
Has duduk kembali. Telefon bimbitnya diletak di atas katil. Julia menjongket kening.
“Nak buat apa? Bukan boleh buat apa-apa. Dia sendiri takkan tinggalkan dunia dia. Awak pun tahu kan?” Julia dipandang Has.
Julia mengangguk dalam senyum hambarnya. Kasihan sahabatnya seorang ini.
“Takkan saya nak masuk dalam dunia tu pula. Sia-sialah didikan agama yang papa dengan mama bagi selama ni”.
Has melentokkan kepalanya atas katil. Julia diam. Kepala Has yang bertudung diusap. Tiada apa juga yang boleh dia lakukan.
“Awak sayang abang?” Has tiba-tiba mengangkat wajahnya.
Julia mengerut dahi. Apa pula kaitannya dengan masalah Has?
Has melepas nafas. Sudah dia tahu jawapannya, mengapa dia menyoal lagi. Dia juga tahu sikap Julia. Mustahil Julia akan menjawab soalannya.
“Agaknya memang sampai bila-bila macam ni ke?”

*……………*

Langkah diatur ke sel pertemuan. Wajah Dr.Hassan terlihat di balik pagar besi. Salim menguntum senyum buat pak sunya.
“Apa khabar? Sihat?”
Salim mengangguk. “Pak su datang seorang ke?”
Dr.Hassan mengangguk. Wajah Salim dipandang. En.Karim memaklumkan padanya perbicaraan akan diadakan tiga hari lagi. Mujurlah dia lapang waktu itu, bolehlah dia datang ke perbicaraan.
“Perbicaraan tiga hari lagi?”
Salim mengangguk. “Nanti pak su minta Nizam dengan Zakuan datang sekali”.
Dr.Hassan diam seketika. Teringat cerita Julia beberapa hari lalu. Patutkah dia memberitahu Salim bahawa Julia dan Luqman telah diijab kabulkan?
“Julia dah sihat ke?” Salim memandang.
Dr.Hassan mengangguk. “Dah ok sikit dari awal-awal dulu. Lagi berapa hari boleh balik”.
Salim senyum sendiri. Pasti tembakan yang dilepaskan Zakuan tidak setepat mana. Jika tidak, semestinya Julia masih terbaring di wad.
“Lim”.
Salim mengangkat wajah. Mengapa nada suara Dr.Hassan berubah? Apa yang tidak kena?
“Ju dengan Luqman …”
Salim menjongket keningnya. “Kenapa?”
Dr.Hassan memandang. “Lim masih sayangkan Ju?”
Salim diam. Sesaat dua, kemudian anggukan diberikan. “Kenapa?”
Dr.Hassan menggeleng. Dia tersenyum memandang Salim dan mula bercerita tentang lawatannya ke Sa-Nu dua hari lalu. Niatnya untuk memberitahu soal Julia dan Luqman dibatalkan.
Lebih baik dia jangan memberitahu Salim sekarang. Dengan berjalannya masa, suatu hari nanti Salim akan tahu juga.

*…………..*

Dia terjaga dari tidur. Mimpi yang sama lagi. Nafas ditarik. Apa sebenarnya masalah dirinya ini? Mengapa akhir-akhir ini dia kerap bermimpikan lelaki itu?
Wajah mama yang melangkah ke arahnya dipandang. “Bangun dah?”
Has mengangguk. “Mama baru balik?”
Datin Mariah mengangguk. “Papa dah pergi Hakim Legacy. Mukrimah kenapa tidur kat ruang tamu? Selalu masuk bilik terus”.
Has mendudukkan diri. Dia pun tidak sedar bila dia tertidur di sofa itu. Maklumlah, hari ini universiti mengadakan acara luar kawasan jadi letihnya berganda dari selalu.
“Ju kirim salam” Datin Mariah mengambil tempat di hadapan Has.
Has mengangguk. Mulutnya terkumat-kamit menjawab salam Julia. “Mama”.
Datin Mariah memandang. Has menggeleng. Hasratnya ingin menyoal soal mimpi tadi dibatalkan.
Has tidak mengerti. Sudah beberapa kali dia bermimpikan perkara sama. Nizam jatuh dari bangunan tingkat 9. Apa sebenarnya yang cuba disampaikan padanya?
Dia sudah tidak lagi menemukan Nizam sejak pertemuan mereka di taman tempoh hari. Nizam juga mengotakan janji, jika Has memberi jawapan yang sebenar-benarnya dia akan berhenti mengganggu Has.
Namun mimpi ini kerap mengganggunya. Dia tidak mengerti apa sebenarnya yang terjadi. Apa maksud mimpi ini sebenarnya. Apakah ini petanda bahawa Nizam dalam bahaya?
Atau..Nizam bakal mengakhiri riwayat hidupnya…??

*…………..*

Luqman mengambil buku riwayat hidup Siti Fatimah puteri baginda Rasulullah S.A.W di dalam almari kecil itu. Ia dihulurkan pada Julia yang memandang.
“Kalau terasa bosan, bacalah buku ni” Luqman tersenyum, menduduki kerusi yang berada di sisi katil.
Julia tersenyum dan mengangguk. Buku itu diselak helaian demi helaian. Luqman tersenyum meneliti wajah Julia.
Wajah itu nampak anggun walau tanpa sebarang bedak atau alat solek tercalit pada wajahnya. Lebih anggun dengan tudung bawal berwarna putih yang disarung. Sekalipun mengenakan pakaian pesakit, Julia tidak kelihatan terlalu pucat.
Julia mengangkat wajah bila terasa perasaan aneh menyelubungi. Pandangan mata abang Hakim membuatkan dia kaku. Seketika mata mereka bertaut.