Category Archives: Uncategorized

DEMI SYAQIQAH – P74

Air mata Dian tumpah melihat video yang sedang ditonton Harraz. Laju saja mulutnya menyoal, “Dari mana awak dapat video ni?”
Harraz terkejut, langsung saja menoleh ke belakang. “Dian”.
“Mana awak dapat video ni?” Dian mengambil telefon bimbit di tangan Harraz.
“Ada orang send kat saya”.
“Bila?”
Harraz diam seketika sebelum menjawab, “Baru, saya memang nak tunjuk kat awak”.
Dian memejam mata, kejamnya mereka yang memperlakukan Syaqiqah begitu. Apa salah Syaqiqah pada mereka? Apa dosa Syaqiqah pada mereka?
Harraz merangkul erat tubuh si isteri. Sebagai seorang kakak wajarlah Dian bersikap begitu. Tambahan pula Syaqiqah itulah adiknya seorang. Sekalipun bukan adik kandung, tapi rapatnya mereka kerana kehadiran Syaqiqah dalam keluarga sedari kecil sangatlah membuatkan mereka menyayangi Syaqiqah seperti keluarga kandung.
“Awak dah bagitahu ibu?” Dian menyoal setelah emosinya agak tenang. Dia duduk di sisi katil memandang bingkai gambar keluarga yang terletak di atas meja.
Harraz menggeleng. Dan Dian mengangguk. “Eloklah, saya rasa tak perlu bagitahu ibu lagi. Sejak adik tak ada, ibu dah cukup sedih. Kesihatan pun dah mula merosot”.
Harraz mengangguk dan mencapai jemari Dian. “Adib pun ada pesan, kalau tak ada hal mungkin saya tak perlu turun KL. Jaga awak, jaga ibu.. takut juga apa-apa jadi kalau tinggal awak dengan ibu je. Kita pun masih tak tahu apa yang penculik tu nak sebenarnya”.
Dian mengerutkan dahi. “Maksud awak? Penculik ada minta habuan ke?”
Harraz memberi anggukan kecil. “Lima juta” perlahan saja tutur katanya.
Dian menekup mulut, matanya membulat. “Lima juta?” Dalam hatinya terdetik, Ya Allah mana nak cari duit sebanyak itu?

#

Imran menangis sambil tangan mencuci luka di wajah Syaqiqah. Maafkan Im, kakak. Im minta maaf. Hanya itu yang terdetik di hatinya.
Ikutkan hati mahu saja dia melawan habis-habisan tadi, namun dia tahu semakin dia melawan semakin suka pula mereka membelasah Syaqiqah. Kerana itulah dia cuba mengawal marahnya.
Mata Syaqiqah terbuka perlahan mendengar suara esakan Imran yang tidak dapat dikawal. Segera Imran menjauh, tahu benar dia kakaknya itu sangat menjaga perbatasan lelaki dan wanita bukan mahram.
“Im” sebut syaqiqah perlahan.
“Im cuci luka muka akak tadi” Imran menunjukkan kapas di tangannya.
Syaqiqah mengangguk perlahan. Pening kepalanya semalam masih tidak lega. Tambah pula dibelasah tadi membuatkan kepalanya benar-benar berat.
“Akak ok tak?” Imran menyoal, risau benar dia melihat keadaan Syaqiqah yang separuh nyawa itu.
“Im ambilkan air boleh?”
Terkocoh-kocoh Im mengambil air putih di atas meja. Dihulurnya botol itu pada Syaqiqah. Baru dia tersedar sepatutnya air itu dituang ke dalam cawan. Dia mengambil semula botol itu dari Syaqiqah dan berlari anak memgambil cawan di atas meja.
Gerak geri Imran yang gelabah itu membuatkan Syaqiqah tersenyum kecil. Terhibur dia melihat telatah dan kekalutan anak muda itu.
“Nah kak..” Imran menghulurkan cawan yang berisi air putih pada Syaqiqah. Dan dia tergelak kecil melihat Syaqiqah yang lemah menyambut cawan itu.
“Kenapa?” Syaqiqah menyoal perlahan.
Imran menggeleng, “Kita tak ada straw akak, susah akak nak minum. Nanti Im keluar beli straw ye..”
Dan Syaqiqah ikut tersenyum. Air itu diminum, barulah terasa lega sedikit. “Pukul berapa?”
Imran diam. Dia jujur tidak tahu kerana dari tadi tidak keluar dari bilik, bimbang mahu meninggalkan Syaqiqah sendirian dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Syaqiqah membuat muka, tanda menanti jawapan. Imran sengih kecil, “Kejap kak. Im pergi tengok”.
Imran berlari anak keluar dari bilik. Syaqiqah melepas nafas. Kepalanya bersandar pada sofa usang itu. Jujur dia merasakan dirinya sudah tiada harapan lagi utk kembali pada ibu dan Dian. Apalah yang akan berlaku nanti ya? Perjalanan hidup di sini barangkali masih panjang. Tapi ya, dia harus kuat. Dia pun tidak tahu berapa lama diab tidak sedarkan diri. Dia mahu solat, bermunajat dan mengadu pada Yang Esa agar dia segera dilepaskan dari ujian ini.

#

Tun Adib Nasir melepas nafas mendengar kata-kata DSP Ghazali. “Maknanya memang Jalal ada kaitan ke?”
Adib memnadang daddynya. Pasti pedih mendengar penerangan tadi. Dia tahu papanya sayangkan Uncle Jalal, dia sendiri menghormati Uncle Jalal. Tetapi mereka tidak boleh menafikan, Uncle Jalal selama ini memang banyak menimbulkan masalah tapi Tun Adib Nasir diamkan saja kerana sangat menyayangi Uncle Jalal.
“Mcam ni Tun, benda ni pihak kami pun tak boleh nak cakap confirm seratus perarus, tapi kemungkinan terbesar adalah Jalal. Buat masa sekarang, dia antara supsek. Tapi bukanlah suspek utama” DSP Ghazali menambah keterangan.
Tun Adib Nasir menangguk. Tanda memahami walau berat menerima. “Jadi apa yang patut kita buat?”
DSP Ghazali mengeluarkan sekeping kad nama. “Ini adalah penyiasat peribadi yang saya upah untuk intip Dato’ Jalal buat masa ni. Ini saya upah untuk bantu tun dan Adib. Secara peribadi, bukan atas nama pihak polis. Jadi Adib bolehlah hubungi dia secara terus untuk sebarang maklumat dan saya pun dah bagi nombor Adib pada dia”.

#

Langkahnya cermat menuruni tangga, sebolehnya Amy tidak mahu papa dan mama tahu dia turun ke bawah. Perlahan saja langkahnya memasuki ruang perjabat ayahnya di banglo itu. Semua nampak normal.
Amy berdiri tegak di meja papanya. Patutkah dia melakukan ini? Apakah patut dia menyelongkar fail fail kerja papanya untuk mencari tahu?
Hampir saja dia membatalkan niat. Tapi Amy sendiri tidak mampu menghalang rasa ingin tahu yang mendalam terhadap kata-kata yang didengar beberapa hari lalu. Apa yang sebenarnya terjadi? Siapa pemangsa dan siapa pula mangsa? Yang dihabiskan itu siapa? Dan pembantu papa yang dilihat tempoh hari, rasanya tidak pernah dia temui sebelum ini. Tapi kata papanya, pembantu itu sudah lama bekerja untuk papanya.
Amy mula membuka almari yang melekat pada dinding. Diperiksa satu persatu fail yang ada di situ. Dari almari atas hingga ke laci bawah.
“Amy”.

Demi Syaqiqah – P59

Tun Maryamul Azra memandang suaminya di sisi. Bagai tidak percaya dengan kenyataan yang diberikan Adib tadi. Ingatan Syaqiqah sudah kembali, dan hari ini dia akan datang sebagai Adibah.. bukan Syaqiqah.
“Dibah dah balik… Dibah dah balik…” tubuh Tun Adib Nasir dipeluk erat.
Tun Adib Nasir mengusap belakang isteri kesayangan penuh kasih. Dia sudah pun tahu akan perihal ingatan Adibah yang telah kembali. Cuma dia tidak memberitahu isterinya kerana mahu Adib memberitahunya sendiri.
Cik Zah yang memerhati bersama Enon dan Anum memberanikan diri maju ke hadapan. “Maksud puan?”
Tun Maryamul Azra maju mendekati Cik Zah. Tangan Cik Zah dipaut. “Kak Zah… Anum, Enon” dia memanggil ketiga-tiga pembantu rumahnya. “Dibah dah balik… Hari tu, dia datang sebagai Syaqiqah tapi sekarang.. ingatan dia dah sembuh. Dia datang sebagai Adibah..! Dibah kita dah balik” air mata Tun Maryamul Azra menitis perlahan.
Anum dan Enon saling memandang. Adibah mereka sudah kembali! Enon yang sememangnya menjaga Adibah sedari kecil pantas saja teresak-esak mendengar hal itu.
“Enon happy ye?” Tun Maryamul Azra memandang Enon yang berdiri berkepit dengan Anum.
Enon menganggukkan kepalanya. Sewaktu bertemu Syaqiqah hari itu, dia terasa pilu saat Syaqiqah hanya senyum kosong memandangnya. Tapi kini, ingatannya telah kembali. Enon ingin sekali tahu apa pandangan Syaqiqah terhadapnya.
Suara Pak Mat berbunyi di interkom memberitahu Pak Khai sudah pulang. Mereka semua menanti di pintu. Melihat Adib membukakan pintu untuk Syaqiqah saja sudah membuatkan semuanya mengukir senyum lebar.
Syaqiqah menggenggam erat jari jemari Dian, menyembunyikan rasa gemuruh yang menguasai diri. “Assalamualaikum.. Mommy, daddy, Dibah… dah balik…”
Tun Maryamul Azra menerpa memaut tubuh kecil milik Syaqiqah. Kepalanya diusap dan dicium penuh kasih. Sekilas hatinya menjerit memanggil sahabat baik yang telah lama meninggalkan dunia ini.
“Mommy rindu…” ucap Tun Maryamul Azra perlahan.
Adib ketawa melihat. Nampaknya selepas ini, keadaan kesihatan mommynya akan kembali dan mungkin bertambah sangat baik dengan keberadaan Adibah. “Sembang kat dalamlah, mommy. Ni kat pintu tau..”
Tun Maryamul Azra menguntum senyum. Tangan laju menarik tangan Syaqiqah minta dipapah. “Jom..”
Adib ketawa melihat. Tun Adib Nasir dan Adib melangkah bersama. Cik Zah memandang Dian yang termangu sendiri. Bagai ditinggalkan pula.
“Silakan Cik Dian, maaflah sebab satu rumah ni gembira sangat bila tahu Dibah dah sihat..” Cik Zah berkata sambil menyambut bakul buah yang dihulur Dian.
Dian tersenyum. Dia mengerti. Maklumlah di villa mewah inilah Syaqiqah dilahirkan dan dibesarkan hingga berumur enam tahun. Pasti saja seisi villa ini menyayanginya sepenuh hati.
Syaqiqah bangun dari kusyen setelah Tun Maryamul Azra sudi melepaskannya dari pelukan. Menuju pada Enon yang berdiri tidak jauh dari mereka. Hanya memerhati sedari tadi. “Kak Enon..”
Enon yang sememangnya sangat sensitif orangnya langsung saja mengalirkan air mata saat mendengar namanya dipanggil. “Dibah…”
Tubuh Enon dipaut dan dipeluk erat. “Dibah dah balik..”
Enon mengangguk laju mendengar kata-kata Syaqiqah. Tubuh itu dipeluk erat, wajah itu dipandang dan dicium berulang kali. Dipeluk dan dicium lagi, sungguh benar dia rindu pada anak ini.
Adib yang melihat tergelak. “Kak Enon, melebih nampak.. Bakal isteri Adib tu!” sengaja Adib menjerit, mengusik.
Enon ketawa mendengar kata-kata Adib. “Kak Enon rindu sangat… Adib cemburu ke?”
Adib langsung bangun dari sofa dan mendekati Syaqiqah dan Enon. “Mestilah cemburu.. Lagi beberapa minggu nak sah ni…”
Enon mengerutkan dahi. Bukannya masih ada tempoh lagi lima bulan? Apa yang berlaku? Mengapa tarikh pernikahan dipercepatkan?
Syaqiqah hanya menggeleng kepala melihat ‘ketidakmatangan’ yang sengaja Adib pamerkan. Mereka masih belum berbincang soal tarikh nikah yang mahu disegerakan. Ini juga tujuannya ke mari hari ini.
Tun Adib Nasir menguntum senyum sambil memaut tubuh isteri. Jika ingatan Adibah sudah benar-benar sembuh, dapatlah dia meneruskan rencananya. Dia mahu membuka kes kemalangan itu kembali. Kerana Tun Adib Nasir yakin ia bukan sebuah kemalangan biasa, dan kini saksi utamanya telah kembali.
Dian hanya memerhati dengan senyum nipisnya. Syaqiqah sebagai Adibah tampak sangat bahagia pada matanya. Setidaknya dapatlah Syaqiqah melupakan peristiwa buruk beberapa hari lalu. Dan kini, Dian sebagai kakak harus berfikir bagaimana mahu menjelaskan semuanya pada ibu.

#########

Wajah itu dipandang menyinga. “Bodoh! Aku bayar kau buat kerja, bukan duduk goyang kaki!”
“Tapi bos..”
“Aku tak minta jawapan!” sekali lagi kepala itu diluku.
Pisau terdiam. Tahu benar Jalal sangat marah padanya. Tapi bukannya dia tak buat kerja, cuma keadaan benar-benar tidak memihak padanya. Manalah dia tahu rupanya Tun Adib Nasir sudah lama menemukan Adibah Syaqiqah.
Jalal mengetuk meja mengikut nada, memikirkan sesuatu. Bagaimana harus dia selesaikan soal ini? Kata Amy, ingatan gadis itu sudah kembali. Jika benar ingatannya sudah kembali, pasti Tun Adib Nasir akan mencuba segala cara untuk mencari kebenaran di sebalik kemalangan berbelas tahun lalu.
“Bos nak aku habiskan budak tu?”
Jalal mengetap bibir. “Bodoh! Kalau aku habiskan budak tu, dengan kita sekali habis tau! Dah confirmlah laki tua tu cari separuh mati kalau budak tu hilang..”
Pisau diam. Dalam diam, hatinya sedikit membengkak. Ucapan pertama bodoh, ucapan kedua juga bodoh. Sedangkan selama ini dialah yang setia berkhidmat pada lelaki itu. “Bos nak aku buat apa?”
Jalal melepas nafas. “Macam nilah.. buat sementara ni kau perhati dulu budak tu.. Mungkin beberapa hari sebelum tarikh nikah, kita simpan budak tu.. Tengok laki tua tu macam cacing kepanasan nanti.. puas juga hati aku”.

#########

Dia tenang di pejabat sambil memerhati fail kes-kes di bawah jagaannya. Sesekali DSP.Ghazali mengangguk-angguk sendiri. Dan terkadang dia tersenyum membaca nota kecil yang tertulis di lampiran.
Bunyi ketukan pintu menarik perhatian DSP.Ghazali, menunggu hingga Fazri yang masih kekal sebagai pembantunya membuka pintu bilik. “Maaf tuan”.
“Ya?”
“Tun Adib Nasir nak jumpa”.
Dahi DSP.Ghazali berkerut. Tun Adib Nasir? Jika Tun Adib Nasir mahu menemuinya, hanya punya satu sebab. Apakah Tun Adib Nasir benar-benar mahu membincangkan hal itu? Rasanya kali terakhir mereka bertemu sekitar lima tahun lepas.
“Tuan” Fazri memanggil.
“Ya, dia kat bawah?”
Fazri mengangguk. DSP.Ghazali lantas bangun dari kerusi dan menyalin pakaian seragamnya. Fazri beredar dari bilik. Dan DSP.Ghazali melangkah maju menuju ke tingkat bawah, menemui Tun Adib Nasir yang semestinya menunggu di dalam kereta. Nampaknya selepas ini, bolehlah dia membuka kembali kes kemalangan yang misterinya tidak selesai itu.

#########

Adib menekan brek kaki Bentley Mulsanne milik Harraz yang dipandunya. Harraz di sisi masih lagi lena dibuai mimpi. Maklumlah, sejurus Harraz pulang dari London, dia langsung memaksa Harraz mengikutnya menghantar Dian dan Syaqiqah ke Melaka.
Dia tidak mahu Syaqiqah ke Melaka menaiki bas kerana bimbang Amy akan bertindak di luar kawalan lagi. Dan Harraz mengikut kerana Adib tahu, jauh di sudut hati Harraz pastilah dia juga merisaukan bakal tunangannya yang bernama Dian itu.
Syaqiqah langsung membuka pintu kereta sebaik saja Adib mematikan enjin. Berlari masuk ke dalam rumah yang sememangnya pintu terbuka luas. “Ibu!!”
Sudip yang berada di pegangan Hannan terlepas. Terkejut mendengar jeritan yang tidak pernah didengar. Tubuhnya terhinjut akibat dipeluk dari belakang secara tiba-tiba.
“Ibu…”
Hannan mengerut dahi. Bukan suara Dian.. juga bukan sikap Dian manja sebegitu. Syaqiqah? “Adik?” Hannan berpaling.
Syaqiqah tersenyum dan menghadiahkan ciuman di kedua pipi Hannan. “Ibu, adik balik” lancar Syaqiqah berkata-kata.
Hannan mengetap bibir. Menahan air mata yang hampir saja mengalir. Tangan mengusap pipi Syaqiqah yang sangat disayangi. Anak bongsu yang tidak mungkin ada gantinya.
“Adik cakap dah lancar” Syaqiqah memaut tangan Hannan.
Hannan mengangguk. Air matanya dikesat Syaqiqah. “Kenapa ibu nangis ni?”
Hannan menggeleng. Menghidu sesuatu terbakar, Hannan langsung berpaling kembali. Ayam gorengnya di dalam kuali hampir saja gelap gelita. Pantas ayam goreng itu diangkay dari kuali.
“Tak pe ibu, yang hangit ni.. adik makan” Syaqiqah sengih sambil memandang kuali.
“Yelah sayang.. mana akak?”
Syaqiqah ketawa kecil. “Akak tertidur… adik tinggal je. Ibu tahu, dengan Harraz pun tertidur sekali.. Jodoh tak?”
Hannan mencekak pinggangnya. “Amboi adik.. adik tu ada lagi setahun nak habis belajar. Akak dah janji dengan ibu, selagi adik tak habis belajar.. adik dengan akak tak boleh kahwin”.
Syaqiqah sengih. Tahu ibunya bergurau. Jenuh juga Hannan bersilat dengan Tun Maryamul Azra soal tempoh pertunangan dia dan Adib dahulu. Akhirnya ibu bersetuju juga dengan Tun Maryamul Azra. Lalu, jika Adib mahu mempercepatkan lagi tarikh pernikahan tanpa memberitahu sebab musababnya, apakah ibu bersetuju?

JULIA – BAB 59

Langkahnya perlahan ke arah katil. Wajah yang terbaring itu dilihat. Kelihatan senyum terukir di wajahnya. Pasti dia sedang melepaskan semua lelah yang telah dikumpul selama setahun lamanya.
Luqman mengambil tempat di sisi Julia. Kepala yang tidak bertudung itu diusap. Pasti Has yang membuka tudung yang tersarung di kepala Julia. Memang sebelum dia ke sini, Has singgah di biliknya memaklumkan Has mahu turun ke kantin.
“Lia” Luqman menggenggam tangan isterinya.
Wajah itu diusap. Pipi itu dibelai. Kata Dr.Hassan dia sudah boleh pulang ke rumah petang ini. Dia sudah sihat sepenuhnya cuma tidak boleh melakukan kerja terlalu berat.
Nafas dilepas. Bilalah agaknya isterinya ini akan sedar dari tidur? Kata Dr.Hassan keadaan Julia pada awalnya seperti telur di hujung tanduk. Tidak tahu akan selamat atau tidak.
Namun demi masa, keadaan Julia sudah mula stabil. Darahnya juga tidak lagi rendah seperti awal mereka dipindahkan ke sini. Dan kini apa yang boleh dilakukan hanya menunggu.
Dr.Hassan sendiri tidak mengetahui bila Julia akan sedar. Mahu menjangka juga tak bisa kerana semuanya terserah pada Julia sendiri. Walau apa yang ditanya Luqman, Dr.Hassan hanya menjawab tak tahu.
“Lia, bangun. Papa dengan mama dah sedia nak sambut menantu. Umi dengan abi pun dah tak sabar nak peluk cium puteri dia orang. Saya pun….” Luqman diam. Tidak sedar bila pula dia mengalirkan air mata.
Air matanya dikesat. Hibanya perasaan melihat keadaan Julia seperti ini. Terbaring seperti mayat hidup. Tapi Dr.Hassan memberitahu bahawa Julia dapat mendengar semua yang dikatakan. Hanya dia tak boleh menjawabnya.
“Lia” air mata Luqman makin galak mengalir. Makin ditahan, makin banyak pula yang keluar. Sedari tadi tangannya mengelap air mata yang merembes.
Luqman memejam mata. Kalaulah Has melihat keadaannya sekarang, pasti dia sudah diketawakan habis-habisan. Seorang lelaki menangis bagai anak kecil.
Dia menenangkan diri dan memandang wajah Julia. Wajah itu mahu ditatap sepuasnya ketika ini. Siapa tahu, dia akan menjadi orang pertama yang dilihat Julia sebaik dia menyedarkan diri.

*…………..*

Has menutup pintu wad Julia semula. Suara abang yang menangis membantutkan niatnya untuk meneruskan kerja.
Langkahnya lemah menuju ke kerusi yang terdapat di situ. Sudah hampir seminggu Julia terbaring begitu. Bilalah agaknya Julia akan sedarkan diri?
Has bukan saja kasihan melihat abang. Tapi melihat keadaan Cik Amir dan Cik Nisah lebihlah kasihan. Dan dia juga kasihankan dirinya sendiri.
Sepanjang Julia terbaring, ada juga teman dari universiti yang melawat. Namun tidak ramai kerana Julia juga bukanlah jenis yang peramah dan menegur sesiapa saja. Dia lebih hidup dalam dunianya sendiri.
Nafasnya dilepas. “Ju, bila awak nak bangun?”

*…………*

Dia memandang Nizam di hadapan. Beberapa hari ini, Nizam seperti dilanda masalah besar. Tiap kali dia datang, pasti akan termenung. Lawatannya ke penjara sepertinya hanya memenuhi prosuder. Fikirannya entgah melayang ke mana.
“Nizam” Salim memanggil. Namun tak berjawapan. “Nizam”.
Nizam mengangkat wajah memandang Salim. Wajah Salim yang tegang menunjukkan dia tak suka Nizam bersikap begitu. Nizam membetulkan duduk,”Ya bos”.
“Kau datang ni nak cakap apa?”
Nizam diam. Baru dia sedar sudah lima minit dia di situ, dia cuma membisu. Salim menggeleng kepalanya. Kalaulah dia di luar selain dari sini, pasti Nizam sudah diketuk kepalanya.
Entah apa yang melanda pembantunya itu. Otaknya terbang ke Eropah barangkali. Ataupun mungkin akalnya sudah berada di bulan. Kelihatan seperti orang yang tiada jiwa.
Nizam memandang bos. Mengapalah dia susah mahu memberi tumpuan? Otak dan fikirannya penuh dengan Has. Penuh dengan gadis bernama Mukrimah Muhasibah yang kurang kesopanan itu.
Kata-kata Has sangat memberi kesan. Has sangat marah padanya. Itu belum lagi Julia sedar dan menceritakan apa yang dilakukannya pada Julia. Jika Has tahu dia suka memainkan Julia, pasti Has bertambah bengang.
“Nizam” Salim memanggil lagi.
“Luqman dah keluar hospital” Nizam langsung memulakan perbualan.
Salim diam sebentar. Wajah Nizam diperhati,”Dia dah keluar hospital?”
Nizam mengangguk. Salim mengeluh. Baguslah jika dia sudah keluar hospital. Tapi agaknya dia akan membuat laporankah tentang penculikan Julia? Jika dia benar membuat laporan, pasti hukuman Salim akan bertambah.
“Julia?”
Nizam menggeleng. “Masih belum sedar”.
Salim mengangguk. Agaknya bagaimana keadaan Julia ketika ini? Rindu benar dia pada wajah itu. Suaranya juga … marahnya. Salim senyum sendiri.
“Zakuan macam mana?”
“Dia dah bawa dia orang balik banglo. Sekarang masih buat kerja pembaikan lagi. Mungkin dalam seminggu lagi dah boleh operasi”.
Salim mengangguk. “Cakap dengan Zakuan jangan lupa buat parti minta maaf. Aku tak nak customer kita lari”.
Nizam mengangguk. “Bila bos nak jumpa mak cik Nafisah?”
Salim memandang. “Kau bawalah bila kau free”.
Nizam mengangguk lagi. Senyum diberi pada bos. Kelihatan bos seperti sudah dapat membiasakan diri dengan keadaan di penjara.

*……………*

Amir dan Anisah tersenyum memandang Luqman. Luqman pula kejap tersenyum kejap tidak. Tidak mengerti apa yang telah dilakukan umi dan abinya.
Dua buah bagasi dan sebuah beg galas terletak kemas di tepi pintu. Luqman dari tadi menjeling ke arahnya. Kata umi, itu semua barang Julia yang telah dikemas.
Sampuk abi, bukankah sepatutnya seorang isteri tinggal bersama suami? Luqman pula hanya meneguk teh tarik yang dihidang umi. Kata-kata abi dan umi membuatkan dia terasa janggal.
Menurut umi, umi telah mengasingkan sedikit barang Julia untuk kekal di rumah. Nanti Luqman bolehlah membawa sedikit barangnya ke rumah abi untuk ditinggal. Jadi, nanti jika mereka ingin bermalam di rumah abi mereka tidak perlu membawa barang.
“Luqman dengar tak?” Amir memanggil menantunya.
Luqman menjongket kening. “Kenapa?”
Amir tersenyum nipis. “Abi dah bincang dengan papa. Nanti bila Ju dah sedar kita boleh buat kenduri”.
Luqman memandang bapa mertuanya itu. Julia dah sedar? Nafas dilepas dan dia memberi senyuman? Memangnya bila Julia akan sedar? Sepertinya Julia sudah selesa terbaring di atas katil hospital itu.

*…………..*

“Nizam!!”
Has terjaga dari tidur. Matanya memandang melihat sekeliling. Dia masih di pejabat papa. Tak sangka pula boleh tertidur di pejabat berhawa dingin ini.
Pintu bilik pejabat Dato’ Norman terbuka tiba-tiba. Setiausaha Dato’ Norman terkelam-kabut masuk. “Cik Has tak apa-apa?”
Has memandang. Tidak mengerti soalan wanita itu. Setiausaha Dato’ Norman kelihatan teragak-agak untuk mengeluarkan kata-katanya.
“Saya dengar Cik Has menjerit …”
Has tersenyum. “Tak de apa-apa. Papa belum balik?”
“Belum Cik Has. Dia masih lagi kat luar jumpa client”.
Has mengangguk. Ucapan terima kasih diberikan. Asalnya dia mahu makan tengah hari dengan papa, tapi sudahlah. Papa masih bermesyuarat. Has mengangkat kaki keluar dari Hakim Legacy.
Mimpi tadi terngiang di kepalanya. Nizam terjatuh dari bangunan tingkat 9. Tapi bagaimana? Yang dia nampak hanya Nizam yang sudah berlumuran darah di jalan raya.
Terasa mimpi itu bagai benar pula. Has melepas nafas. Tidak sedar kakinya sudah melangkah jauh dari tempat letak kereta.
Apa maksud mimpi yang dialaminya tadi? Mengapa dia tiba-tiba bermimpi Nizam pula? Atau mungkin dia terlalu memikirkan Nizam kebelakangan ini?
Has mengeluh. Dia sendiri yang membuat keputusan tidak mahu menemui Nizam. Mengapa pula dia yang bermasalah? Entah-entah, Nizam langsung tak ambil kisah tentangnya.
Mengapalah dia membuka surat yang diberi abang pada abang Zalif hari itu? Kebenarannya membuatkan dia sendiri terseksa. Kalaulah dia tidak tahu siapa Nizam sebenarnya.
“Ya Allah” Has meraup mukanya. Matanya dipejam. Nafas ditarik sedalam mungkin.
Bunyi hon kereta yang semakin kuat menghairankannya. Baru Has sedar dia berada di tengah jalan. Has membulat mata melihat Grand Livina biru cair itu mendekat.
Tubuhnya ditarik ke tepi jalan. Dan Grand Livina itu meluncur laju. Has mengerutkan dahi. Siapa yang menariknya?
“Awak ok?”
Has membuka mata. Wajah itu dilihat. Nizam. Automatik tubuhnya dijauhkan dari Nizam.
“Awak ok tak?” Nizam menyoal lagi. Dia yang baru keluar dari kedai runcit tiba-tiba terperasan Has berjalan melintas tanpa melihat kiri kanan. Langsung langkahnya diatur laju menarik tubuh gadis itu.
Has diam. Kalaulah tidak ada Nizam tadi, apa akan terjadi padanya?
“Has” Nizam memanggil. Apa yang tidak kena dengan Has?
“Terima kasih” Has tersenyum. Dan langsung mengatur langkah ke Hakim Legacy semula. Bagaimanalah dia boleh ke jalan raya? Destinasinya tadi cuma tempat letak kereta.
“Has” Nizam menahan tubuh gadis itu.
“Awak nak apa?”
Nizam memandang. “Saya dah selamatkan awak”.
“Terima kasih. Saya nak balik Hakim Legacy”.
“Awak datang sini jalan kaki?” Nizam menyoal hairan. Memanglah Hakim Legacy tidak jauh, tapi jika berjalan kaki…
Has mengangkat wajah memandang Nizam. Semuanya kerana Nizam juga. Kalaulah dia tidak memikirkan Nizam tadi, tidak ada ertinya dia di sini.
“Boleh kita bincang?” Nizam menyoal.
Has mengerut dahi melihat sebuah BMW dari jauh. Kereta abang! Kalau abang melihat dia bersama Nizam, pasti teruk dia dibebel.
“Nanti saya call awak” Has memandang Nizam dan berlari anak menuju ke Hakim Legacy.
Namun Luqman lebih cepat perasan adiknya. Kereta dipandu laju ke arah Has.
“Naik”.
Has diam. BMW abangnya dimasuki. Mujur Nizam sudah menjauh. Tapi bimbang juga abang melihat suasana tadi.
“Siapa lelaki tu?”
Has memandang abang. “Siapa?”
Luqman melepas nafas. “Abang nampaklah. Siapa?”
“Kawan” balas Has ringkas.
“Kawan?” Luqman meluncur masuk ke dalam Hakim Legacy.
“Abang tak kenal. Kawan U”.
Luqman diam. Rasanya dia melihat Nizam tadi. Apakah kawan yang dikatakan Has adalah Nizam? Atau memang Nizam dan Has berhubungan?
“Kereta mana?”
Has senyum nipis. Memberitahu Iswara kesayangannya berada di tempat letak kereta. Luqman memandu ke tempat letak kereta.
Dia pasti lelaki itu adalah Nizam. Nampaknya dia harus menemui lelaki itu. Ada perkara yang harus dibincangkan.

JULIA – BAB 57

Dia menanti di dalam sel tahanannya. Hari ini dia sudah boleh dilawati. Dan Salim tahu orang pertama yang akan melawatnya adalah Dr.Hassan, Nizam dan juga Zakuan.
Tidak lama seorang anggota polis datang membawanya ke sel pertemuan. Dr.Hassan dan Nizam serta Zakuan sudah pun menanti. Salim mengambil tempatnya sebaik garinya dibuka.
Dr.Hassan memandang anak saudaranya itu. Nafas ditarik. Salim sudah kelihatan agak kurus dari sebelumnya walau dirinya masih terurus.
“Selesa kat sini?” Dr.Hassan menyoal.
Nizam dan Zakuan berpandangan. Mengapa Tn.Hassan menyoal sedemikian rupa? Bukankah sepatutnya mereka berbincang bagaimana untuk mengeluarkan bos dari penjara secepat mungkin?
Salim memandang pak sunya. Dia tahu pak su paling risau dia tidak selesa. Pak su risau dia tidak dapat menyesuaikan diri dengan suasana di penjara. Pak su langsung tidak risau bagaimana dia boleh ditangkap dan dipenjarakan. Kerana Salim tahu pak su berprinsip yang salah tetap akan dihukum.
“Pak su dah cakap dengan En.Karim. Dia akan datang esok” Dr.Hassan merujuk pada peguam yang mengendalikan semua hal Geng Helang Hitam.
Salim mengeluh. Wajah Zakuan dipandang. “Dah jumpa Julia?”
Zakuan mengangkat wajah. Matanya dipejam. Julia lagi. Sepatutnya bos merisaui diri-sendiri dan bukannya Julia.
“Dah jumpa Julia?” Salim menyoal lagi.
Zakuan mengangguk. “Tapi dia dan Luqman, sama-sama terlantar kat hospital”.
Salim mengerut dahi. Wajahnya bertukar, mengeluarkan riak kerisauan. “Kenapa masuk hospital?”
Zakuan menarik nafas,”Kemalangan”.
Salim terdiam. Semua adalah salahnya. Kalaulah dia menemui Julia lebih awal dari Luqman. Julia terlantar di hospital. Bagaimana nasib gadis itu nanti? Apakah dia akan selamat? Bagaimana pula dengan pembayaran bil hospital? Amir dan Anisah bukanlah punya banyak wang untuk menanggung semua perbelanjaan hospital.
“Aku nak kau cari jalan untuk tanggung semua bil hospital Julia” Salim memandang Nizam. Nizam diam. Tidak tahu apa yang harus dijawab.
Dr.Hassan memandang Salim. “Lim lupa ke Julia tu bakal isteri siapa? Bakal menantu siapa?”
Diam. Suasana bertukar sepi. Salim bersandar. Dia lupa. Julia kesayangannya sudah punya tunangan. Lelaki itu. Luqmanul Hakim. Apakah dia turut ditemukan?
Nafas ditarik. Zakuan sudah menyebutnya tadi. Luqman dan Julia sama-sama terlantar di hospital. Dia sudah tidak punya keinginan untuk melepaskan diri dari penjara ini. Buat masa sekarang yang memenuhi fikirannya hanya gadis itu. Julia Aleeya.

*……………*

Matanya dibuka perlahan. Terlihat syiling di bahagian atas. Matanya dililau ke arah lain. Lengannya tercucuk jarum yang disalurkan pada air suling yang tersangkut di sisi.
Dia di hospital. Nafas ditarik. Matanya memandang ke pintu bilik bila mendengar bunyi tapak kaki. Wajah Has muncul dari balik pintu.
Has kaku seketika. Abang sudah sedar. Langsung failnya diletak di atas meja dan beg galasnya dibuka. Dia berlari anak menuju ke arah abang. Butang merah pada dinding ditekan. Memanggil doktor.
“Abang dah bangun?”
Luqman mengangguk. Mengukir senyum nipis. Peristiwa yang berlaku cuba diingat kembali. Dia dan Julia melarikan diri dari orang-orang Geng Helang Hitam yang mencari Julia.
Dan … Dahinya berkerut memandang Has. Julia mengambil tempatnya. Menjadi sasaran tembakan yang dilepaskan Zakuan. Kalau begitu, di mana Julia? Apa yang berlaku pada Julia? Selamatkah dia?
“Has”.
“Ya” Has memandang Luqman.
Luqman memandang Has sesaat. Ingin menyoal menanyakan soal Julia, tapi pasti Has akan berasa hairan. Akhirnya wajah adiknya itu hanya dipandang.
“Abang haus?” Has menyoal.
Luqman mengangguk. Tubuhnya didudukkan. Terasa lenguh-lenguh pula. Pasti sudah beberapa hari dia terbaring bagai mayat di sini.
Air putih yang dihulur Has diambil. Dia meneguknya hingga habis segelas. Doktor masuk bersama beberapa orang jururawat bersamanya.
Luqman memandang doktor itu. Doktor mengukir senyum pada Luqman. “En.Luqman ok?”
Has tersenyum memandang Dr.Hassan. Entah apa yang dilakukan papa hingga abang dirawat doktor yang sama merawatnya dahulu. Tapi satu yang Has tahu, nampaknya papa mempercayai Dr.Hassan.
Dr.Hassan melakukan pemeriksaan asas ke atas tubuh Luqman. Beberapa soalan juga ditanya untuk mengetahui keadaan mental dan fizikal Luqman. Alhamdulillah, dia baik-baik saja.
“Buat masa ni En.Luqman berehat dulu. Kalau tak de apa-apa, mungkin dalam dua tiga hari dah boleh keluar hospital” Dr.Hassan meneliti laporan yang diserahkan jururawat.
Luqman mengangguk. Ucapan terima kasih diuca. Dan Dr.Hassan bersama tiga orang jururawat itu meninggalkan mereka berdua.
Has mengeluarkan telefon bimbitnya. Ingin menelefon papa memaklumkan bahawa abang sudah sedar. Pasti mama akan menangis kegembiraan.
“Has” Luqman memanggil adiknya.
Has yang baru ingin membuat panggilan memandang. Keningnya dijongket menandakan dia menanti kata-kata dari Luqman.
“Kita kat KL ke?”
Has mengangguk. Beberapa hari lalu, setelah keadaan Luqman dan Julia stabil, Dato’ Norman meminta mereka dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur. Kerana lebih mudah untuk mereka melawat Luqman dan Julia.
Luqman mengangguk memahami. Membiarkan Has membuat panggilan. Entah siapa yang dihubungi dia juga tidak tahu. Bagaimana caranya untuk dia mencari tahu apa yang berlaku pada Julia?

*…………….*

Nizam diam sendiri di ruang menunggu Hospital Kuala Lumpur. Dia baru saja tahu bahawa Luqman dan Julia dipindahkan ke sini tadi. Itu pun kerana dia ke rumah Dato’ Norman mencari Has.
Kata-kata Has beberapa minggu lalu masih jelas dalam ingatan. Namun Nizam tak mahu mempedulikannya. Baginya dia dan Has masih ada perkara yang belum dibincangkan.
Jururawat yang baru melintasinya dipandang. Terasa bagai mengenali jururawat bertubuh genit itu. Nizam melangkah ke arahnya.
“Sabirah”.
Jururawat itu menoleh memandang suara yang memanggil. Nizam melepaskan nafas lega. Benarlah itu Sabirah. Jururawat tempoh hari yang menjadi penyampai beritanya tentang Has.
“En.Nizam” Sabirah menguntum senyum.
Nizam maju lebih dekat. “Kau tengah bertugas?”
Sabirah mengangguk. “Ada apa-apa yang boleh saya tolong?”
“Aku nak tahu nombor bilik Luqmanul Hakim anak Dato’ Norman”.
Sabirah mengangguk. “Kalau macam tu, sila ikut saya. Biar saya cek di kaunter”.
Nizam mengikut langkah Sabirah dari belakang. Dia benar-benar berharap dapat menemui Has hari ini. Sementara Sabirah meneliti komputer di depannya, Nizam melihat sekeliling.
Matanya berkerut melihat Has yang sedang berjalan bersama Anisah. “Sabirah, saya dah jumpa orangnya. Terima kasih!”
Sabirah terdiam. Hanya melihat Nizam berlari anak mengejar seseorang. Kepalanya digeleng-geleng dan dia meneruskan perjalanan ke makmal. Ada keputusan darah yang harus diambil.

*……………*

Has mengukir senyum pada Anisah. Anisah hanya membisu mendengar kata-kata Has. Luqman sudah sedar tetapi puterinya masih lagi terlantar membeku di atas katil.
“Has!”
Anisah dan Has menghentikan langkah. Sama-sama menoleh ke belakang. Wajah Nizam terlihat di mata.
Has mengeluh. Anisah mengerut dahi. Bukankah ini pemuda hari itu? Yang datang ke dobinya?
“Saya tengah cari awak” Nizam memandang Has, berharap Has memberi peluang padanya untuk bersuara.
Anisah memandang Has dan Nizam silih berganti. “Biar Cik Nisah pergi bilik Julia sendiri. Has macam ada banyak benda nak bincang”.
Has menggeleng. Lengan Anisah ditarik. “Saya dah tak de apa-apa nak cakap. Awak boleh balik sekarang”.
Nizam menggeleng juga. Langkah Has dan Anisah ditahan. Semuanya tetap harus diselesaikan hari itu juga. Dia tidak mahu salah faham ini berterusan. Bukan dia saja yang terseksa, dia tahu Has juga merasakan perkara yang sama.
Has memejam mata. Dia tidak mahu berbincang apa-apa. Sama sekali tidak. Matanya dibuka. Terlihat wajah Dr.Hassan datang padanya. Senyum diukir.
“Cik Mukrimah. Pn.Anisah” Dr.Hassan menegur.
Nizam menoleh ke arah suara itu. Tn.Hassan. Tunduk hormat diberikan. “Selamat petang tuan”.
Dr.Hassan mengangguk dan tersenyum. Has mengerut dahi. Mengapa Nizam memanggil Dr.Hassan dengan panggilan tuan? Apakah mereka saling mengenali?
“Cik Mukrimah nak ke bilik Julia?” Dr.Hassan menyoal.
Has mengangguk. Dr.Hassan mengangguk. “Kalau macam tu, kita sekalilah. Saya pun nak tengok keadaan Cik Julia”.
Has tersenyum nipis. Begitu juga Anisah. Mereka berlalu mengikut langkah Dr.Hassan. Nizam mengerutkan dahi. Apakah ini membawa maksud bahawa doktor yang merawat Julia adalah Dr.Hassan? Mengapa Dr.Hassan tidak pernah membuka mulut?

JULIA – BAB 56

Has menenangkan mama di sisi yang sedari tadi tidak berhenti mengalirkan air mata. Papa pula setia menjadi pemerhati di depan pintu bilik abang. Doktor masih cuba untuk menyelamatkan nyawa Luqman.
Namun menurut doktor, keadaan Luqman tidak seteruk gadis yang datang bersamanya. Beg galas yang diserahkan pihak hospital hanya dibiarkan di atas kerusi. Tiada siapa yang punya keinginan untuk membukanya.
Dato’ Norman sudah menandatangani surat tanggungjawab untuk gadis yang datang bersama Luqman. Namun belum melihatnya lagi. Pihak hospital juga tidak dapat memberitahu siapa dirinya kerana tiada tanda identiti yang terdapat padanya saat dibawa ambulans.
“Mama”.
Has memanggil mamanya. Meminta Datin Mariah berhenti menangis. Ianya hanya membuatkan Datin Mariah keletihan. Air mata yang dialirkan mama tidak dapat mengubah apa-apa. Mereka hanya mamppu berdoa yang terbaik untuk Luqman juga gadis misteri itu.

*…………..*

Salim termenung sendirian di dalam selnya. Pandang ke kiri dinding, ke kanan juga dinding. Depannya pagar, belakangnya tetap juga dinding.
Nafas ditarik. Langsung tidak menyangka polis akan datang menyerbu di banglo, dia tidak membuat apa-apa persiapan. Tapi bagaimana pihak polis boleh tahu segalanya?
Sedangkan ayahnya memilih banglo sebagai markas adalah kerana ianya sangat tersembunyi. Siapa sangka di tengah-tengah hutan sebuah villa tersergam indah?
Nizam dan Zakuan pasti bertungkus lumus mencari jalan untuk menemuinya. Namun dia tahu kawalannya sangat ketat. Bagaimana agaknya semua pekerja yang ditangkap bersamanya?
Terutama mak cik Nafisah. Itulah tukang masak kesayangan ayah dan ibu. Salim mengeluh. Nampaknya tiada apa yang boleh dilakukan selagi dia belum menemui Nizam dan Zakuan.
Apa yang boleh dilakukan hanya …. menunggu.

*…………….*

Dato’ Norman mengikut langkah doktor wanita di hadapannya. Katanya ada komplikasi yang berlaku pada gadis yang dibawa bersama Luqman.
Jadi doktor mahu Dato’ Norman melihat dulu gadis itu sebelum menandatangani surat tanggungjawab.
Pintu bilik dibuka sang doktor. Penutup muka yang dipakai Dato’ Norman dibetulkan.
“Inilah gadis tu” doktor wanita itu menyelak langsir yang menutupi katil.
Dato’ Norman mengerutkan dahinya. Wajah itu … terasa bagai.. . Dato’ Norman mendekat. Wajah itu diteliti. Julia !
Jadi gadis yang ditemui bersama Luqman adalah Julia? Julia yang telah hilang setahun lebih? Apakah Luqman ke Pahang kerana mencari Julia?
Doktor itu naik hairan melihat ekspresi wajah Dato’ Norman. Dato’ Norman menarik nafas dan memandang sang doktor.
“Doktor, ni bakal menantu saya. Boleh tak doktor lakukan apa saja cara untuk selamatkan dia?”
Doktor itu diam seketika dan langsung mengangguk. Dato’ Norman keluar meninggalkan bilik. Menghubungi setiausahanya agar segera membeli tiket kapal terbang untuk membawa Amir dan Anisah ke Pahang.

*…………..*

Hampir rebah Anisah mendengar kata-kata suaminya. Dia yang sedang menyeterika baju-baju pelanggan tadi berhenti kerana suaminya tiba-tiba muncul.
Tapi itu bukan kejutannya. Yang lebih mengejutkan adalah perkhabaran dari suaminya. Puterinya Julia sekarang berada dalam keadaan kritikal di hospital.
Kata suaminya, Dato’ Norman menghubunginya meminta dia dan isteri segera datang ke Pahang kerana Julia sedang berada di bilik pembedahan.
Dato’ Norman sudah pun menempah tiket kapal terbang untuk mereka. Mereka hanya perlu menunggu di rumah. Pemandu syarikat akan mengambil mereka dan menghantar mereka di lapangan terbang.
“Nisa” Amir menyentuh bahu isteri. Anisah dipapah hingga ke kusyen.
“Ju masuk hospital?” Anisah menyoal, meminta kepastian kalau-kalau dia yang tersalah dengar. Amir mengangguk. Dia tahu Anisah kebuntuan dan kematian kata.
“Jom. Kita kena kemas barang. Nanti ada orang ambil kat rumah”.

*……………*

Dia yang baru selesai menunaikan solat Asar melipat telekungnya. Membiarkan mama yang menjadi imamnya berdoa untuk keselamatan abang.
Beg galas yang diserahkan pihak hospital diambil. Rasanya dia tidak pernah melihat abang menggunakan beg galas ini. Pasti abang membeli yang baru.
Tudungnya dicapai dan dipakai. Setelah merasa selesa dengan keadaan diri, Has membuka zip beg galas itu. Kosong. Tiada apa-apa. Hanya sebuah sampul surat berwarna coklat.
Has mengerut dahi. Sampul surat itu dibuka dan dokumen di dalamnya dikeluarkan. Dahinya berkerut meneliti tulisan-tulisan pada dokumen itu.
“Mama” nama Datin Mariah dipanggil.
Datin Mariah yang baru selesai berdoa menoleh. Melihat wajah anaknya yang mengeluarkan riak aneh, dokumen di tangan Has diambil.
Has diam memandang mama. Abang dan Julia telah pun menikah? Tarikhnya juga baru hari ini. Apa yang berlaku? Bagaimana pula abang boleh menikah dengan Julia hari ini?
Atau jangan-jangan gadis yang dikatakan doktor adalah Julia? Jadi bererti gadis yang sedang kritikal, bahkan lebih kritikal dari abang adalah Julia.
Datin Mariah menarik nafas. Tidak tahu apa lagi yang harus diperkatakan. Tiada kata-kata yang dapat menggambarkan perasaannya ketika ini.
Pintu surau diketuk dari luar. Has keluar, pasti papa yang mengetuk pintu. Has tersenyum pada papa dan memanggil mama keluar.
Datin Mariah memandang suaminya. Sijil nikah Luqman dan Julia yang berada padanya dihulur pada Dato’ Norman.
Dato’ Norman mengerutkan dahi. Namun dokumen itu diteliti juga. Matanya membulat membacanya. Luqman dan Julia telah sah menjadi suami isteri?

*…………….*

Jururawat yang menunggu di pintu membawa Amir dan Anisah ke tempat bilik rehat yang menempatkan Dato’ Norman sekeluarga.
Datin Mariah dan Has menyambut Anisah. Anisah yang sudah merah mata menahan air mata memandang wajah Datin Mariah. Datin Mariah tersenyum nipis. Anisah dibawa ke sofa.
Dato’ Norman memandang Amir di hadapannya.
“Ju mana?” Amir menyoal.
“Dia masih dalam pembedahan. Kau jangan risau, aku yakin Ju selamat di tangan doktor” Dato’ Norman cuba menenangkan hati Amir.
Amir mengangguk. Dia menduduki sofa. Badannya disandar. Mata dipejam, Tuhan…selamatkanlah Julia.
Dato’ Norman menyerahkan sijil nikah yang dilihatnya tadi pada Amir. Amir memandang temannya itu. Tidak memahami apa yang cuba disampaikan.
“Luqman dan Ju….dah menikah”.
Amir mengerutkan dahi. Sijil nikah di atas meja diambil dan diteliti. “Hari ni?”
Dato’ Norman mengangguk. Amir menarik nafas. Nampaknya banyak yang berlaku antara Luqman dan Julia. Hingga mereka membuat keputusan untuk mendaftarkan pernikahan.
Banyak penjelasan yang harus dipinta dari Luqman dan juga Julia. Tapi yang terpenting, bagaimana Luqman boleh menemui Julia?

*…………….*

Dia melangkah masuk ke pintu utama Hospital Tengku Ampuan Afzan. Apa yang mendorong dia ke sini pastilah hatinya.
Dia sudah mendengar semuanya dari Zakuan. Zakuan juga sudah pulang ke banglo bersama beberapa orangnya untuk mengemas banglo. Menyusun semuanya kembali seperti sedia kala.
Kerugian yang ditanggung tidaklah menjadi masalah walaupun ianya banyak. Kerana perniagaan Sa-Nu cukup untuk menanggung segalanya. Pihak polis juga tiada kuasa untuk menghentikan operasi Sa-Nu kerana tidak menemui bukti yang mengatakan Sa-Nu terlibat dengan kerja haram.
Hanya bukti bahawa Salim ketua Geng Helang Hitam tidak mencukupi. Lagipun, memang segala operasi Sa-Nu dan Geng Helang Hitam terasing dari awal. Supaya tidak berlaku apa-apa masalah di kemudian hari.
Pekerja Sa-Nu juga tidak ada seorang yang tahu bahawa Salim melakukan kegiatan yang tidak sah di sisi undang-undang. Sehinggalah, Salim ditangkap polis.
Nizam maju ke kaunter. Dia mengetahui Has berada di Pahang dari setiausaha Dato’ Norman. Katanya Luqman dimasukkan ke hospital.
“Maaf”.
“Ya saya” jururawat yang bertugas memberi senyuman.
“Saya nak tahu kat mana bilik Luqmanul Hakim”.
Jururawat itu mengerutkan dahi. “Boleh saya tahu encik ni siapa?”
Nizam diam seketika. “Kawan”.
Jururawat itu mengangguk. “Tapi Dato’ Norman tak bagi pihak hospital dedahkan apa-apa maklumat. Saya minta maaf”.
Nizam diam. Apa yang harus dilakukan? Kalau dia menelefon Has mustahil Has akan menjawabnya. Pasti Has masih marah padanya.
Dia yang terperasan wajah Has langsung berlari ke arah Has. Tangan gadis itu ditarik hingga wajahnya terlihat.
“Has” Nizam senyum.
Has memandang Nizam dengan pandangan kosong. Nafas dilepas dan dia membuka langkah. Nizam mengerut dahi, tangan Has dicapai.
Has menarik tangannya kasar. “Kita tak muhrim. Jangan langgar batasan”.
Nizam mengejar Has yang berlalu. Laluan gadis itu dihalang. “Kenapa ni?”
Has mengeluh. “Awak siapa? Nak apa dengan saya? Saya sibuk”.
Nizam diam. “Awak marah lagi?”
Has mengetap bibir. Dia sudah tiada tenaga untuk bergaduh. Sudah lelah mengeluarkan air mata kerana abang dan Julia yang masih terlantar.
Nafas ditarik ,”Kalau awak masih tak jelas lagi saya boleh ulang. Antara kita tak de apa-apa. Apa yang awak buat selama ni, sebab awak awasi saya sebagai kawan Ju. Saya faham. Saya pun tak pernah fikir yang awak sukakan saya. Sekarang Ju dah lepas dari awak dan bos awak. Bos awak pun dah masuk penjara. Kes culik Ju dah tak jadi kes. Jadi kita dah tak de hutang antara satu sama lain. Dari awak asyik ikut saya ke sana sini, baik awak fikir macam mana nak lepaskan bos awak dari penjara. Abang saya masih kritikal dan Ju masih belum keluar dari bilik pembedahan. Awak ingat saya tak dapat ramal semua ni terjadi sebab apa?”
Nizam terdiam. Has menggeleng-geleng. Dia sudah cukup letih hari ini. Langkahnya diatur laju ke arah lif. Kalau boleh dia tidak mahu terjumpa Nizam lagi selepas ini.
Perasaannya yang sudah mula berputik akan dikuburkan. Ianya tidak susah untuk lelaki seperti Nizam. Dan walau sesusah mana sekalipun, nama Nizam tetap harus dibuang dari hidupnya dan hatinya.

JULIA – BAB 55

“Cepat!” Zakuan menjerit pada pembantunya. Sepertinya cik muda dan Luqman sudah terperasankan kehadiran mereka.
Luqman melajukan langkah. Pak Tua memandang wajah keduanya. “Apa yang berlaku?”
“Orang-orang Salim ada kat sini. Boleh tak Pak Tua bawa Lia dulu. Saya nak alihkan perhatian dia orang” Luqman menyerahkan Julia pada Pak Tua.
Julia memandang. Bagaimana mungkin dia boleh melepaskan abang Hakim di dalam bahaya kerananya. “Lia tak nak. Kita lari sama-samalah”.
Luqman menggeleng. Sudah tiada masa untuk berbincang sekarang. Dia meninggalkan Julia dan berlari ke pejabat pos semula.
Zakuan menunggu kereta di hadapannya berlalu. Masa inilah jalan raya kecil ini sibuk. Sedari tadi tak pula banyak kenderaan yang lalu-lalang.
Mereka berlari anak mengikut Zakuan dari belakang. Faiz terlebih dulu perasan cik muda sudah tiada bersama lelaki yang diperkenalkan En.Zakuan sebagai Luqman itu.
Luqman berlari ke arah kirinya. Tadi dia meninggalkan Julia bersama Pak Tua di kedai hujung sebelah kanan. Dia juga sudah meninggalkan pesan pada Pak Tua jangan sesekali membenarkan Julia keluar walau apa pun yang terjadi.
Zakuan berlari mengejar Luqman. Tembakan dilepaskan agar Luqman tidak hilang dari pandangan. Barangkali ia akan melambatkan larian Luqman.
Lariannya dilajukan lagi. Sesekali dia menoleh memandang ke arah Zakuan. Namun di penghujung jalan, langkahnya terhenti juga. Luqman menanti Zakuan datang padanya.
“Mana cik muda?” Zakuan mengacukan pistol ke arah Luqman. Beberapa orang yang melihat semuanya menjauhkan diri. Tidak berani untuk masuk campur kerana pistol yang dipegang Zakuan.
Luqman diam. Cuba mencari peluang untuk berpatah arah. Risau juga Julia yang ditinggalkan. Namun hati cuba diyakinkan bahawa Pak Tua boleh menjaga isterinya.
Zakuan bengang Luqman mendiamkan diri. Luqman pula langsung berlari bila Zakuan menunduk kepenatan. Zakuan mengerutkan dahi bila bayang Luqman tak terlihat.
Langkah diatur laju mencari Luqman. Sebaik mendapati Luqman berada di seberang jalan, langsung picu pistol ditarik. Ini saja caranya untuk membuatkan Luqman berhenti.
Julia memerhati dengan perasaan takut dari sebalik pintu kaca. Pak Tua di sisinya juga sama. Matanya dikecilkan bila menyedari Zakuan sudah melihat Luqman. Namun Luqman tak menyedari Zakuan mengacu pistol padanya kerana Luqman membelakangkan Zakuan.
Pak Tua menahan Julia. Dia tahu apa yang Julia ingin lakukan. Julia memandang Pak Tua.
“Ju kena pergi. Pak Tua nak suruh Ju tengok je?”
Pak Tua menggeleng,”Jangan Julia. Ingat apa yang dipesan Luqmanul?”
Julia menggeleng. Pak Tua ditolak. Tidak penting apa yang abang Hakim pesan. Tapi dia tak mahu nyawa abang Hakim melayang kerananya.
Zakuan melepaskan tembakan sebaik saja merasakan sasarannya tepat dan kekal di tempatnya. Luqman kelihatan masih belum berganjak dari tempat.
“Abang Hakim!!”
Luqman menoleh. Baru perasan pistol pada Zakuan. Suara itu … Entah dari mana Julia muncul menghalang tembakan yang dilepaskan.
Semuanya terhenti. Faiz membulatkan mata melihat darah yang memancut keluar dari tubuh cik muda. Johan kaku. Begitu juga yang lainnya.
Zakuan berlari mendekati cik muda. Apa yang harus dijawab pada bos saat bos menyoalnya? Langsung telefon bimbit dikeluarkan bagi menghubungi bos. Cik muda telah ditemui.
“Lia” panggil Luqman.
Julia rebah dalam pelukan Luqman. Luqman mengundur ke jalan raya ingin melihat wajah gadis itu. “Lia” panggilnya lagi.
Tak menyedari dia sudah berada di tengah jalan. Sebuah Honda Civic meluncur laju. Tidak sempat menekan brek kereta, dua manusia di hadapannya dilanggar.
Pak Tua membulatkan mata. Julia dan Luqmanul keduanya terbaring di jalan. Langkahnya berlari pada Luqmanul dan Julia.
Orang ramai mengerumuni Julia dan Luqman. Mujur pemandu Honda Civic itu punya rasa tanggungjawab. Nombor ambulans dihubungi.
Faiz memandang En.Zakuan di sebelah. Zakuan menarik nafas. Dia harus meninggalkan sini segera. Pasti ada yang melihat dia melepaskan tembakan.
“Kita balik” Zakuan memakai cermin mata hitamnya dan melangkah pergi. Mereka yang lain mengikut. Sesekali Faiz menoleh, melihat cik mudanya. Apa yang akan terjadi pada cik muda?
Zakuan cuba mendail lagi. Pejabat juga nombor telefon peribadi bos namun tidak dapat dihubungi. Begitu juga nombor teman-temannya. Semuanya tidak dapat dihubungi. Apa yang terjadi di banglo?

*……………*

Enjin kereta dimatikan. Nizam berlari masuk ke banglo. Semua nama dilaung namun tiada yang menjawab. Nafas ditarik.
Dia berlari masuk ke bilik namun semuanya kosong. Semua kotak-kotak yang berisi hilang. Tiada pada tempatnya.
Selesai semua bilik dia berlari ke atas. Juga kosong. Tiada walau seorang manusia. Nizam menggeleng-geleng. Apakah dia sudah terlambat?
Langkah diatur ke gudang. Juga sama. Nafas dilepas. Nampaknya dia memang sudah terlambat. Pihak polis sudah tiba dahulu.
Telefon bimbit dikeluarkan. Dia harus menelefon Tn.Hassan. Menyoal kalau-kalau Tn.Hassan tahu apa yang berlaku.

*……………*

“Kenapa ni?” Zakuan menyoal Nizam di hadapannya.
Dia baru tiba di banglo. Berkerut dahinya melihat Nizam berdiri di luar pintu. Nizam memandang.
“Kenapa kau balik? Dah jumpa Julia ke?”
Zakuan mengangguk. “Apa yang jadi? Aku call bos tak dapat”.
Nizam membulatkan mata. “Habis tu, mana cik muda?”
Zakuan menggeleng. “Tak sempat tangkap. Apa yang jadi? Mana bos?”
Nizam mengetap bibir. Tak sempat? Dia menekup mukanya. Apalah nasib hari ini? Bos sudah dibawa pergi pihak polis. Julia pula sudah ditemui namun tak dappat dibawa pulang.
Apakah ini tanda-tanda Geng Helang Hitam akan hancur?

*………….*

“Dato’ , pihak hospital ada di talian dua” suara setiausahanya memberitahu dari telefon.
Dato’ Norman mengerut dahi. Hospital? Mengapa mereka menelefonnya? Butang nombor dua ditekan.
“Ya. Saya Dato’ Norman”.
“Maaf dato’. Saya dari Hospital Tengku Ampuan Afzan , Pahang” ujar suara wanita di corong telefon.
Dato’ Norman mengerutkan dahi. Hospital Tengku Ampuan Afzan di Pahang? Mengapa mereka menghubunginya? Sedangkan dia berada di Kuala Lumpur. Tinggal juga di Kuala Lumpur.
“Ya”.
“Saya nak maklumkan bahawa anak dato’, Luqmanul Hakim dimasukkan ke wad kecemasan sejam lalu kerana mengalami kemalangan kereta. Waktu ambil anak dato’ tadi, ada seorang wanita bersamanya”.
Dato’ Norman terdiam. Luqman kemalangan? Bagaimana dia boleh berada di Pahang? Setahunya Luqman berada di Pulau Pinang. Bagaimana pula…?
“Terima kasih. Saya akan segera ke sana” Dato’ Norman meletakkan gagang telefon. Langsung nombor Pak Khir dihubungi. Meminta Pak Khir segera ke Hakim Legacy bersama Datin Mariah dan Has. Mereka harus ke Pahang sekarang juga.
Dato’ Norman kaku sebentar. Kata jururawat tadi, Luqman ditemui bersama seorang wanita. Siapa pula wanita yang disebutkan?

*……………..*

Stetoskopnya yang disangkut di lehernya diletakkan di atas meja. Perkhabaran yang baru diterima memang mengejutkan.
Markas Geng Helang Hitam diserbu pihak polis. Dan Salim berada dalam tahanan sekarang. Manakala semua pekerja yang ditemui di markas ditempatkan di dalam lokap untuk disoal siasat.
Pintu biliknya terbuka. Wajah Nizam dan Zakuan muncul. Bersama mereka ada beberapa orang yang semuanya berkemeja hitam.
Dr.Hassan mengangguk. Membenarkan Zakuan dan Nizam duduk. Pasti ingin membicarakan soal Salim.
“Tn.Hassan” Nizam memanggil.
Dr.Hassan mengangguk. “Mesti Nizam dan Zakuan dah tahu apa yang terjadi?”
Nizam dan Zakuan menggeleng. Nizam pun mula berkata-kata. “Kami tak de kat banglo. Tak tahu apa jadi. Tapi masa balik tadi, tengok banglo dah kosong. Tak de walau seorang pun. Tn.Hassan tahu apa yang jadi?”
Dr.Hassan memandang. Ya dia tahu Zakuan tiada. Kerana Salim memberitahu bahawa Zakuan tak dibenarkan pulang selagi Julia belum ditemukan.
Nizam mungkin disuruh Salim menyelesaikan kerja-kerja di Sa-Nu. Kerana itu dia tiada di banglo saat banglo diserbu pihak polis.
“Boleh tuan beritahu apa yang berlaku?” Zakuan menyoal.
Dr.Hassan menarik nafas. Dia duduk bersandar pada sofa dan mula bercerita.
Pihak polis menemui bahan bukti jenayah yang dilakukan Geng Helang Hitam dan lokasi Geng Helang Hitam bersembunyi. Mereka mengatur strategi untuk menangkap Salim dan juga semua yang terlibat.
Semuanya berlaku sekelip mata kerana Salim langsung tak tahu menahu bahawa pihak polis sudah tahu semuanya. Jadi itu memudahkan kerja pihak polis.
Sekarang semuanya dalam tahanan. Para pekerja akan disoal siasat seorang demi seorang oleh pihak polis. Sekiranya mereka hanya menjalankan arahan Salim tanpa didapati bersalah, maka boleh dilepaskan dengan ikat jamin.
Tetapi Salim akan ditahan, dibicarakan dan dihukum. Namun semuanya masih belum diketahui keputusannya. Buat masa sekarang, Salim masih belum boleh dilawat sesiapa.
Nizam dan Zakuan melepas keluhan. Benarlah zama kegemilangan Geng Helang Hitam sudah berakhir. Hancur.

JULIA – BAB 54

Dia tersenyum melihat air mata yang mengalir dari mata Mak Tua. Nafas ditarik dengan senyum lebarnya. Tangan Mak Tua dicapai dan digenggam.
“Mak Tua, jangan macam ni. Ju pergi daftar sijil nikah je. Nanti Ju baliklah”.
Mak Tua cuba mengukir senyum. Entah kenapa dia punya rasa hati yang mengatakan Julia tidak akan pulang bersama suaminya hari ini. Mereka akan terpisah dari Pak Tua.
“Cukuplah maknya. Kita akan pulang bersama. Jangan dikhuatiri” Pak Tua menenangkan sang isteri. Entah apa kenalah dengan isterinya hari ini, sukar sekali melepaskan dara ini pergi. Sedangkan dia sudah berjanji akan membawa dara dan teruna ini ke kampung semula walau apa yang terjadi.
Luqman tersenyum. Dia faham bahawa Mak Tua sangat tertarik dengan Julia. Yalah, Julia … siapa pun yang dekat dengannya pasti akan tertarik. Itulah juga penyebab Julia diculik.
Julio memandang Luqman di sisi. Meminta simpati agar turut menenangkan Mak Tua. Namun Luqman hanya mampu mengangkat bahu. Dia sendiri tidak tahu bagaimana mahu membantu.
“Abang Hakim..” Julia merungut separuh berbisik.
Luqman mengukir senyum buat isteri tercinta. Tangannya melingkari bahu Julia. Dan dia melepas nafas kelegaan.
Pak Tua memandang Mak Tua. Mengapa? Dia harus keluar rumah sekarang. Mereka harus melepasi titi sebelum matahari mula memancarkan cahaya. Jika tidak mereka akan terlepas kenderaan untuk ke pekan.
“Maknya”.
Mak Tua mengangguk. Perlahan tangan Julia dilepaskan. Dia melangkah ke dapur. Air renjisan pandan masih belum disiapkan.

*……………..*

Nizam memusing tubuhnya. Kali ini baring mengiring ke kiri. Dan beberapa saat kemudian, dia bertukar posisi lagi. Pusing otaknya memikirkan kata-kata Has semalam.
‘Saya nak awak tahu yang Ju adalah satu-satunya kawan rapat yang saya ada. Kalau apa yang awak lakukan pada saya semata-mata untuk tutup rasa bersalah atas apa yang awak dah buat pada Ju, sampai bila pun awak takkan dapat tebus rasa bersalah tu’.
“Hish !!” Nizam bangun dari baringnya. Kepalanya ditunduk memandang lantai. Apa maksud kata-kata Has sebenarnya?
‘Kalau apa yang awak lakukan pada saya semata-mata untuk tutup rasa bersalah atas apa yang awak dah buat pada Ju, sampai bila pun awak takkan dapat tebus rasa bersalah tu’.
Nizam mengerutkan dahi. Ayat itu difikirkan semula. ‘Semata-mata untuk tutup rasa bersalah atas apa yang awak dah buat pada Ju’. Apa maksud kata-kata itu sebenarnya?
Nizam memejam mata. Nafas ditarik sedalam mungkin. Has mengatakan sekiranya apa yang dia lakukan pada Has semata-mata untuk menutup rasa bersalah atas apa yang dia lakukan pada Julia, dia tidak akan sesekali dapat menebus rasa bersalah itu.
Jadi bererti …. Has sudah tahu. Nizam membuka mata. Has sudah tahu bahawa Julia diculik! Has sudah tahu siapa yang menculiknya! Dan dari cara Has semalam Nizam yakin yang Has sudah membuktikan semua kebenaran kata-katanya.
Teringat kata-kata bos. Luqman yang menyelamatkan Julia dari banglo. Bererti Luqman sudah tahu segala kegiatan yang dijalankan di banglo. Kerana itulah, dia boleh membaca situasi dan menentukan waktu yang tepat untuk menyelamatkan Julia.
Luqman sudah tahu semuanya. Luqman merupakan abang Has. Satu-satunya abang Has. Kerana hanya dua beradik, pasti mereka sangat rapat. Pasti segala cerita dan rahsia dikongsi bersama.
Jadi Luqman sudah memberitahu Has. Luqman pasti ada meninggalkan apa-apa untuk Has tahu semuanya. Seperti surat, rakaman video atau apa-apa sajalah.
Jadi Has tahu bahawa dia terlibat. Has tahu bahawa dia bukanlah lelaki yang baik. Has sudah tahu siapa dirinya yang sebenar. Kerana itulah kata-kata diungkapkan Has.
“Has” Nizam meraup wajahnya. Kini dia faham apa yang dirasakan bos. Betapa berserabut kepala otaknya kerana mencintai gadis yang salah. Mencintai gadis yang tidak pantas buat dirinya.
Matanya membulat tiba-tiba. “Bos!”
Jika Has sudah tahu apa yang Luqman tahu … Nizam sangat pasti Has akan menyerahkan ‘barang’ yang ditinggalkan Luqman kepada pihak polis.
Jadi … Mereka dalam bahaya !! Geng Helang Hitam dalam bahaya !! Dan yang paling penting bos .. bos dalam bahaya. Nizam langsung bangun masuk ke bilik air. Dia harus ke banglo sesegera mungkin.

*………………*

“Baiklah. Dengan ini, saya umumkan Luqmanul Hakim b. Norman Hakim dan Julia Aleeya bt. Johan Amir adalah suami isteri yang sah di sisi syari’at juga undang-undang”.
Luqman dan Julia tersenyum. Begitu juga Pak Tua yang hadir sebagai saksinya. Walaupun banyak yang menjadi persoalan pada awalnya, namun alhamdulillah semuanya selesai juga.
Mujur saja pejabat agama itu bersebelahan pejabat pos. Jadi Luqman langsung mengepos sijil nikahnya yang asal ke rumah. Ianya lebih selamat berbanding ada padanya. Tambah lagi dengan keadaan yang tak menentu sekarang.
Yang ada padanya hanya salinannya saja. Mujur saja Pak Tua telah menyediakan beg galas belakang buatnya. Luqman ketawa kecil memandang Julia di sisi.
“Jom” Luqman menghulur tangan pada Julia.
Julia mengerutkan dahi. Huluran Luqman disambut. Pak Tua sudah menunggu mereka di luar. Sudah tiba masa untuk pulang ke Kampung Sentosa.

*……………*

Zakuan melepas nafas. Gambar di tangannya digenggam kuat. Penat betul menanya pada orang sana sini. Ada sesiapa yang pernah melihat wajah gadis ini. Jawapannya tetap juga tidak walau seberapa ramai yang ditanya.
Sudah dua hari dia mencari di sini. Pekan yang dia sendiri tak tahu namanya. Mereka hanya turun ke semua tempat mengikut arahan bos.
Kata-kata bos diingat kembali. Sudah terlalu lama Julia hilang. Jadi seandainya mereka menemui Julia bersama Luqman, mereka harus mendapatkan keduanya walau apa jua cara. Cuma sekiranya ada yang melawan, nyawa Luqman boleh dihabiskan namun Julia harus dibawa pulang tanpa luka walau secalar.
Beberapa pembantu yang mengikutnya masih lagi sibuk menanyakan orang-orang yang berada di pekan itu.
“En.Zakuan”.
Zakuan menoleh bila namanya dipanggil. Wajah Faiz terpacul dari sebelah kirinya.
“Tu cik muda kan?”
Zakuan mengerut dahi. Langsung memandang pada arah yang ditunjuk Faiz. Serentak langsung langkah kakinya berlari anak melintas jalan. Pistol yang berada dalam poket dikeluarkan.

*…………..*

Mereka menguntum senyum pada Pak Tua yang kelihatan di seberang jalan. Luqman menguatkan pegangannya dan menarik Julia keluar dari pejabat pos.
“Abang Hakim” Julia memanggil.
Luqman menoleh. Dahinya berkerut melihat wajah Julia yang bertukar pucat tiba-tiba. Pipi Julia disentuh. “Kenapa ni?”
Julia menelan liur. Wajah Faiz dan Johan dilihat dari jauh. Sepertinya Faiz sedang membisikkan sesuatu pada lelaki di hadapannya. Tangan abang Hakim digenggam sekuat mungkin.
“Kenapa ni?” Luqman menyoal lagi. Mengapa Julia tidak menjawab soalannya? Dia kehairanan.
Dia melihat arah yang dilihat Julia. Sedari tadi Julia tidak mengalih pandangannya walau sedetik. Dahinya berkerut melihat lelaki-lelaki yang dipandang Julia.
Luqman langsung menarik tangan Julia mengarut langkah ke arah Pak Tua bila terperasankan wajah seseorang. Lelaki yang mengawal pintu bilik Julia. Kalau tidak silap Luqman, namanya Faiz.
Julia mengikut langkah abang Hakim yang sudah mula berlari anak. Wajah Pak Tua mempamerkan rasa hairan. Mengapa mereka berdua kelihatan ketakutan?

JULIA – BAB 53

Enjin kereta dimatikan. Telefon bimbit Luqman dipandang. Kini dia sudah mengerti mengapa abang meninggalkan telefon bimbit itu padanya. Supaya dia mudah untuk berhubung dengan Zalif.
Dan dia menoleh ke kiri. Tersergam indah balai polis tempat Zalif bertugas. Dia sudah berjanji untuk menemui Zalif sejurus selepas dia selesai menemui Nizam.
Dia menunggu beberapa minit. Tidak lama Zalif keluar dari balai dengan pakaian seragamnya. Has keluar dari kereta sambil memegang sampul yang ditinggalkan Luqman.
“Abang Zalif dah habis bertugas ke?”
Zalif menggeleng,”Hari ni abang kena jaga balai. Shift mula pukul 4″.
Has mengangguk. Sampul di tangannya dihulur. Zalif mengerutkan dahi namun sampul itu tetap disambut. Tiada tulisan , lukisan mahupun petanda apa-apa. Wajah Has dipandang meminta penjelasan.
Has menarik nafas perlahan,”Abang Zalif..”
Zalif membulatkan mata. Menanti kata-kata Has. Has tunduk sebentar dan menyambung,”Pernah tak abang Man tanya apa-apa fasal Geng Helang Hitam?”
Zalif mengangguk. “Pernah. Banyak juga dia tanya. Abang pun cerita je sebab Man tak cakap apa-apa pun. Dia ada juga minta abang buat uji suara. Tapi abang tak tahulah apa yang Man nak buat sebenarnya”.
Has mengangguk. Malas mahu menanya banyak memandangkan dia sudah menyelesaikan teka-tekinya sendiri. “Sampul tu ….. dalam tu ada dokumen penting. Abang minta Has serahkan pada abang Zalif. Mesti dia ada tinggalkan pesan”.
Zalif mengangguk. Has tersenyum,”Oklah..Has cuma nak cakap tu je. Apa-apa hal nanti abang Zalif text nombor abang. Fon dia Has pegang”.
Zalif mengangguk lagi. “Ok”.
Has menunduk meminta diri. Langsung dia masuk ke proton Iswaranya. Kerjanya sudah selesai. Kini tinggal bahagian abang Zalif juga abang sendiri untuk menyelesaikan segalanya.

*…………….*

“Lia!” Luqman berlari mengejar Julia yang sudah jauh ke depan.
Julia berhenti melangkah bila mendengar suara Luqman. Dia menoleh dengan senyuman. “Kenapa?”
“Tunggulah saya” Luqman mendekat. Berdiri di sisi isteri.
Mereka mula melangkah bersama. Julia menjarakkan diri apabila merasakan Luqman terlalu dekat dengannya. Luqman tersenyum sendiri. Nampaknya sikap selamba yang dilakukan terhadap Julia tetap tidak menghakis rasa malunya terhadap Luqman.
“Lia”.
“Apa?” Julia memandang dengan kerutan dahi. Langkahnya diperlahankan bagi mendengar apa yang ingin Luqman katakan.
Luqman tersenyum lebar. Tangan Julia dicapai dan digenggam erat. Kerutan di dahi Julia bertambah. Langsung tangannya ditarik dari genggaman Luqman.
Luqman mendengus namun dia tak berputus asa. Tangan Julia dicapai lagi. Lebih erat hingga Julia tidak berdaya menariknya. Julia meringut sendirian. Sejujurnya dia tidak selesa diperlakukan begitu.
“Kenapa? Ingatkan dah halal. Belum ke?”
Julia diam. “Cepatlah. Pak Tua dah depan sangat tu. Nanti kita tak sempat kejar”.
Luqman tersenyum. Tangan Julia ditarik dan mereka melajukan langkah.

*…………..*

“Ini yang namanya Luqmanul dan Julia?”
Luqman dan Julia berpandangan sesama sendiri. Senyum diberi pada wanita sekitar 40-an itu. Lantas keduanya mengangguk serentak.
Wanita itu tersenyum seketika dan memandang mereka berdua dengan penuh tanda tanya. “Aneh ya. Saat awal melihat kalian, aku tidak melihat cahaya pasangan hidup pada kalian. Namun kini telah ada”.
Luqman dan Julia diam. Hanya membisu. Apakah ini maksud keterangan Mak Tua pagi tadi? Tentang kelebihan orang Kampung Sentosa yang boleh mengetahui apakah pasangan itu benar suami isteri atau hanya bersandiwara dengan hanya melihat?
“Pasti masih baru ya” wanita itu senyum menampakkan giginya.
Luqman dan Julia mengangguk. Memang mereka adalah pengantin baru yang baru mendirikan rumah tangga dua hari lalu. Sijil nikah juga masih belum punya kerana pernikahan mereka masih belum didaftarkan.
“Panggil aku Mak Embang. Aku ini teman baik Mak Tua” wanita yang menggelarkan diri sebagai Mak Embang itu duduk menyertai mereka di meja kayu yang bersebelahan dengan pondok belajar Pijan.
Mereka sebenarnya saja keluar mengikut Pak Tua mengambil Pijan dari sekolahnya. Lagi pun, Pak Tua juga menyuruh mereka meronda Kampung Sentosa sepuas hati sebelum ke pekan esok. Dikhuatiri ada apa-apa yang terjadi menyebabkan mereka tidak boleh masuk ke Kampung Sentosa semula.
Awalnya mereka ingin berjalan berdua tetapi Luqman bimbang mereka tersesat kerana mereka masih belum menghafal jalan di kampung itu. Kerana itulah mereka mengikut Pak Tua.
Mak Embang kelihatan selesa dengan Julia pada pendapat Luqman. Banyak yang dia ceritakan. Julia pula hanya mengukirkan senyum membuatkan Mak Embang sudah jadi penyampai cerita.
Dari Mak Embang barulah Julia dan Luqman tahu bahawa tidaklah semua penduduk kampung beragama Islam. Kerana itulah surau di kampung itu tidaklah seluas mana.
Hanya sebahagian kecil yang beragama Islam. Manakala yang ramai adalah mereka yang tidak menganut agama apa-apa. Kata Mak Embang mereka lebih selesa tidak punya agama kerana tidak terikat dengan apa-apa. Dan salah seorang darinya adalah Uwak.
Uwak merupakan antara warga yang dihormati di kampung. Pun begitu, dia paling benci orang melanggar adat dan budaya tradisi orang kampung. Kerana selalunya bala yang menimpa akan menyusahkan semua pihak.
Tapi Uwak adalah orang yang baik hati. Dia juga sebenarnya rapat dengan Pak Tua suatu ketika dulu. Namun setelah Pak Tua memasuki agama Islam, Uwak menjauhkan diri dan menjaga jarak. Kata Mak Embang, Uwak tidak mahu mereka berselisih faham kemudian hari kerana agama Islam yang dianuti Pak Tua.
Julia hanya mendengar penuh minat. Sesekali abang Hakim dipandang. Nampaknya abang Hakim juga menjadi pendengar setia sepertinya. “Kalian menunggu Pak Tua?”
Julia dan Luqman mengangguk. Sepertinya Pak Tua ada hal yang harus dibicarakan dengan guru sekolah, kerana itulah dia terlambat.
“Baguslah. Kalau begitu, sampaikan pada Pak Tua aku menjemput kalian makan petang di rumahku” Mak Embang bangun dari duduknya. Bersedia untuk melangkah pergi.
“Ok” Luqman mengukirkan senyum. Mak Embang kelihatan mengerut dahi dengan perkataan ‘ok’ yang disebut Luqman namun hanya seketika. Selepas itu dia berlalu dan hilang dari pandangan.
Luqman menoleh memandang isteri yang sedang memerhati pondok belajar Pijan dari jauh. “Mak Embang suka Lia kan?”
Julia mengangkat wajah memandang Luqman yang berdiri, “Suka?”
Luqman mengangguk. Sekilas cincin rotan di jemari Julia dilihat. Dia mencapai tangan isterinya itu lalu berkata,” Nanti kita balik KL saya akan belikan cincin baru untuk Lia. Kita akan buat kenduri besar-besaran untuk perkahwinan ni”.
Julia tersenyum nipis,”Lia rasa cukup buat doa selamat je. Lagipun kita tak tahu apa yang akan jadi esok kan?”

*……………..*

Pejabat malam itu sunyi sepi kerana kebanyakan temannya sudah pulang. Cuma tinggal beberapa orang yang tidak pulang kerana bertugas.
Zalif memandang jam. Masih banyak waktu sebelum shiftnya tamat. Tapi dia ingin segera membuka bungkusan yang diberi Has. Lalu dia memohon diri sebentar untuk masuk ke bilik kerjanya.
Bungkusan yang tersimpan di dalam laci itu dikeluarkan dan dibuka perlahan. Dua buah fail dan beberapa helai kertas diletak di atas meja.
Fail itu dibuka perlahan. Satu demi satu helaina diselak. Membulat matanya melihat apa yang tertera.
Geng Helang Hitam beroperasi di dalam hutan. Yang di dalamnya cuma ada banglo milik Geng Helang Hitam. Dan di situ merupakan pusat utama kegiatan haram yang dilakukan.
Terdapat juga peta untuk ke hutan bermula dari Kuala Lumpur. Juga pelan rumah besar itu. Apa yang berada di bahagian mana semuanya dilukis dan ditanda dengan penuh teliti.
Zalif menyelak lagi. Kaitan antara Geng Helang Hitam dan Sa-Nu. Jadi sangkaan pihak poluis selama ini benar. Cuma mereka masih belum menemukan bukti yang kukuh.
Geng Helang Hitam dikawal oleh Salim Nu’man selaku Pengerusi Eksekutif Sa-Nu. Juga bukti jenayah yang dilakukan. Mengedar dan menjual dadah. Menyeludup senjata haram dan juga wang haram. Perdagangan manusia juga dilakukan. Pun begitu, kebanyakannya merelakan diri untuk menjadi orang suruhan Geng Helang Hitam kerana kesusahan hidup yang dialami.
Zalif menarik nafas. Sekeping surat dibuka dan dibaca. Surat dari Luqman. Apa sebenarnya yang temannya ini sedang rencanakan?
Nampaknya banyak yang harus dilakukan. Tapi yang utama, dia harus memaklumkan perkara itu pada pihak atasan. Sebelum Geng Helang Hitam dapat menghidu apa yang pihak polis cuba lakukan.

JULIA – BAB 52

Has memandang telefon bimbit milik abang lama. Apalah yang direncanakan abang sebenarnya? Mengapa abang meninggalkan telefon itu padanya?
Has melangkah ke almari bajunya. Bahagian menyimpan long dressnya dibuka. Mencari baju yang harus dipakai untuk ke universiti esok. Sudah lama dia bercuti, sudah tiba masa dia kembali mendaftarkan diri.
“Apa ni?”
Has mengerut dahi melihat sesuatu di bahagian paling atas. Setahunya bahagian itu kosong. Ketinggiannya tidak mencukupi untuk membolehkan dia mengambil barangnya jika disimpan apa-apa di situ.
Sampul surat bersaiz A4 itu dicapai. Dia atasnya terdapat sampul surat bersaiz normal. Dahinya berkerut. Has kembali mengambil tempat di atas katil namun sebelum itu pintu biliknya dikunci.
Sampul bersaiz normal yang tertulis namanya dibuka. Surat dari abang? Perlahan Has membaca surat itu.
Abang Zalif? Seminggu? Has membulatkan mata. Sudah seminggu lebih abangnya tidak pulang-pulang. Apakah ini bererti dia sudah terlewat?
Kepalanya yang mula terasa berdenyut dipicit. Mengapa tiba-tiba terasa berpusing? Has memejam mata seketika. Minyak cap kapak yang berada di dalam laci meja diambil.
Beberapa ketika kemudian Has melangkah semula pada sampul surat itu. Sampul surat bersaiz A4 itu dibuka perlahan kerana rasa ingin tahu yang menebal.
Helaian demi helaian diselak. Sa-Nu? Geng Helang Hitam? Salim Nu’man? Nizam Abdullah? Dadah? Senjata haram?
Mata dipejam lagi. Kepalanya sudah terasa sedikit ringan. Dia sudah mula ingat. Dia sudah dapat ingat semuanya. Ingatannya telah kembali.
Julia hilang tiba-tiba ketika dia dan Julia berjanji untuk keluar bersama. Puas mereka semua mencari namun tak menemukan hasil. Dia memaklumkan pada abang tentang kehilangan Julia.
Cik Amir dan Cik Nisah membuat laporan polis apabila kehilangan Julia melepasi masa 24 jam. Pihak polis memulakan penyiasatan dan berjanji akan memaklumkan mereka sebaik saja menemukan petunjuk.
Sejurus abang selesai menduduki peperiksaan, abang langsung pulang ke Kuala Lumpur. Setelah berbincang dengan papa, abang meminta waktu untuk melewatkan kemasukannya ke Hakim Legacy kerana abang mahu mencari Julia terlebih dahulu.
Setiap hari abang akan keluar. Ada ketikanya abang hanya mengurungkan diri di dalam bilik. Namun mereka semua maklum abang memang menumpukan fokus mencari Julia.
Kerana mimpi yang selalu dialami Cik Nisah meyakinkan Cik Nisah bahawa Julia selamat dia meminta mereka menarik balik laporan yang dilakukan. Walaupun dibantah Cik Amir dan abang namun akhirnya mereka tetap bersetuju melihatkan kesungguhan Cik Nisah meminta.
Ketika itulah, munculnya Salim dan Nizam dalam hidup mereka. Merupakan pelanggan Hakim Legacy yang membeli jutaan helai baju kerana majlis amal yang dilakukan.
Disebabkan perjumpaan pertamanya dengan Nizam berlaku dalam keadaan yang memalukan, dia jadi kerap bergaduh dengan Nizam selepas itu.
Abang memang kurang menyukai Nizam kerana selalu mencari fasal dengannya. Sebenarnya abang bukan kurang menyukai Nizam tapi abang memang tidak suka semua lelaki yang mendekatinya. Dia tak kisah kerana sikap abangnya itu menjadi pelindung yang membuatkan dia terpelihara dari perkara tak diingini.
Tapi itu perkara lain. Dua fail yang berada di tangannya adalah bukti jenayah yang dilakukan Salim dan pembantunya Nizam. Tapi apa kaitannya dengan abang? Mengapa semua bukti itu ada pada abang?
Nafas ditarik perlahan. Has mencantumkan semua kepingan teka teki yang berterabur dalam kepalanya. Mata dipejam sambil berfikir.
Jangan-jangan abang sudah tahu siapa yang menculik Julia. Katakan abang tahu orang itu adalah Salim jadi kerana itulah abang mengumpul semua bukti jenayah Salim demi menyelamatkan Julia.
Jadi kehilangan abang sekarang adalah kerana abang pergi menyelamatkan Julia. Yang entah di mana dan bila pulangnya. Kerana merasakan waktu seminggu adalah waktu paling tepat, jadi selepas pemergian abang selama seminggu abang memintanya menyerahkan semua bukti-bukti itu pada abang Zalif.
Andaikan abang sudah menyelamatkan Julia dan masih dalam tempoh bersembunyi. Sekiranya dia telah menyerahkan bukti itu pada abang Zalif, jadi Salim tidak punya masa untuk mencari abang dan Julia. Kerana Salim juga pasti sibuk dengan urusan penjara dan mahkamah atau sebagainya.
Matanya dibuka. Itu semua hanya andaian. Sekadar andaiannya semata-mata. Masih ada satu cara untuk mencari kesahihannya. Menanya Nizam.
Namun Has sendiri tahu itu mustahil. Seandainya dia menyoal Nizam pasti Nizam hairan dari mana dia mendapat maklumat ini. Yang penting, Nizam cuma pembantu dan bukan ketua. Bagaimana pun Nizam tertarik pada Has, Nizam tetap akan lebih menghormati ketuanya. Lagi pula kalau dia menyoal Nizam, itu samalah seperti dia mengambil kesempatan.
“Adoi” Has menggaru kepala yang tidak gatal. Sanggul rambutnya dibuka. Membiarkan rambutnya bernafas.
Has berbaring. Nampaknya banyak yang harus dilakukan. Esok dia akan meminta nombor telefon Nizam dari setiausaha papa. Nizam harus ditemui.

*……………….*

“Sedap juga air pandan ni kan?” Luqman tersengih sambil menghirup air berwarna hijau itu.
Julia mencebik memandang gelasnya yang sudah bertukar tangan. Baru saja dia menuang air pandan buatan Mak Tua ke dalam gelas, sedar-sedar air itu sudah hampir separuh gelas dihirup Luqman.
Luqman ketawa kecil melihat wajah kecewa Julia. Gelas itu dihulur pada Julia semula.
“Lia tuang untuk Lia. Kenapa abang Hakim yang minum?” bebel Julia sendirian. Geram betul. Mentang-mentanglah sudah bergelar suami kerjanya tak habis-habis mengusik.
Luqman ketawa lagi. Suka benar melihat wajah Julia. Lantas pipi Julia dicubit tanpa berfikir.
“Abang Hakim!” Julia separuh menjerit. Pipinya dipegang. Kerana rasa geram yang bersarang, tangannya laju saja mencubit lengan Luqman.
Luqman mengaduh. Lengannya disapu. Buat pertama kalinya dia dicubit gadis itu. Terasa bisa bagai gigitan semut pula. Julia ketawa. Langsung lidahnya dijelir tanda padan muka.
“Gembiranya”.
Julia diam. Dia menoleh ke belakang. Wajah Mak Tua yang tersenyum terpacul di muka pintu dapur.
“Tidak ingat dunia bergurau” Mak Tua mengambil cawan di rak pinggan.
Julia senyum nipis. Pipinya merah menahan malu. Tidak sangka pula tindakannya dilihat Mak Tua.
Luqman mengangguk ,” Biasalah Mak Tua. Saya dengan Lia kan pengantin baru”.
Julia mengerut dahi melihat tangan Luqman yang sudah melingkari bahunya. Luqman hanya buat tak tahu dan memandang Mak Tua. Mak Tua menggeleng-geleng melihat gelagat pasangan muda itu.
“Mak Tua” Julia memanggil. Dia teringat sesuatu. Mak Tua memandang Julia dengan menjongket kening.
Julia berfikir sebentar. “Hari tu masa orang kampung mengamuk, kenapa kena cium kepala dengan dahi ?”
Mak Tua tersenyum. Luqman memandang Julia. Dia juga sebenarnya punya fikiran yang sama. Mengapa? Cuma tak sangka Julia yang mengatakannya dulu.
Mak Tua tersenyum lagi. Nafas ditarik dan dia pun mula memberi penerangan ringkas itu.

*…………….*

Jam tangan dikerling sekilas. Sudah pukul 2.45 petang. Ke mana pula perginya? Janji untuk bertemu jam 2.00 petang.
“Mana Has ni?” Nizam menyoal diri sendiri. Gembira tidak terkata saat Has menghubunginya pagi tadi mengatakan ingin bertemu. Langsung tak menyangka Has akan membuat permintaan begitu.
Walaupun Has memberi tahu dia baru saja mendapatkan nomboe telefon Nizam dari setiausaha Dato’ Norman namun Nizam tak kisah. Walau terlewat sekurangnya Has masih punya kesudian.
Has yang muncul dengan tudung bawal berwarna kuning cair dan long dress berwarna oren membuatkan Nizam mengukirkan senyum. Has langsung mengambil tempat di depannya.
Has menoleh melihat sekeliling. Nizam memang pandai memilih restoran yang dia suka. Restoran yang ada orang namun tidak terlalu ramai. Sekurangnya mereka tidak berdua namun suasana juga tak terlalu sesak.
“Awak nak order air?” Nizam menyoal.
Has diam. Fail yang dilihat semalam terbayang di ruang mata. Apakah Nizam tahu bahawa Julia adalah sebahagian hidupnya?
“Tak pelah. Saya ada hal. Nak jumpa kejap je”.
Nizam mendiamkan diri. Fikirnya Has ingin berbaik. Namun kata-katanya yang dingin membuatkan fikiran Nizam berubah. Apa yang penting sangat hingga Has membuat permintaan untuk bertemu?
“Awak tahu kawan baik saya hilang?”
Nizam mengerut dahi. Mengapa Has tiba-tiba bercakap mengenai Julia?
“Awak tahu tak?”
Nizam mengangguk perlahan. Has mengeluh,”Macam mana awak tahu?”
“Keluar surat khabar”.
“Tapi yang keluar surat khabar tu ada tulis ke tu kawan baik saya?”
Nizam diam lagi. Tindakan Has seperti mencari salah dengannya. Apakah Has sudah tahu hal sebenar? Tapi bagaimana?
“Saya nak awak tahu yang Ju adalah satu-satunya kawan rapat yang saya ada. Kalau apa yang awak lakukan pada saya semata-mata untuk tutup rasa bersalah atas apa yang awak dah buat pada Ju, sampai bila pun awak takkan dapat tebus rasa bersalah tu” ucap Has tegas memandang wajah Nizam.
“Apa yang awak cakap ni?”
Has menahan air mata yang mula bertakung di kolam mata. Dia asalnya cuma mahu menguji Nizam, tak sangka pula dia jadi beremosi bila berhadapan dengan lelaki itu.
“Has” Nizam memanggil. Hairan melihat gadis itu mengeluarkan air mata.
Has cuba mengukirkan senyum untuk menutup perasaannya. “Semalam saya mimpi”.
Nizam mengangkat kening. Menanti kata-kata seterusnya dari Has.
“Dalam mimpi tu, saya jumpa Ju. Dia kata dia dalam bahaya. Saya…” Has tidak dapat meneruskan kata-kata. Nizam diam memerhati. Pasti Has terlalu rindukan Julia. Tapi apa yang boleh dia lakukan?
Yang mengeluarkan arahan untuk menangkap Julia adalah bos. Apa yang boleh dia lakukan dengan status hanya pembantu? Sekarang Julia juga sudah lari bersama Luqman. Dia sendiri tidak tahu di mana dua orang itu sebenarnya. Lalu apa yang boleh dia lakukan untuk Has?
Has menarik nafas. Tindakan Nizam sudah membuktikan bahawa Nizam tahu semuanya. Dia sudah dapat jawapan. Kerana itu, jawapannya untuk Nizam adalah tidak. Nizam bukanlah lelaki yang sesuai buatnya. Mereka terlalu berbeza.
“Saya balik dulu. Saya harap ini memang kali terakhir kita jumpa”.
Nizam mengerut dahi. Apa yang berlaku sebenarnya? Mengapa Has tiba-tiba…
Wajah diangkat konon mahu menahan Has. Namun niatnya mati apabila Has sudah tiada. Langkah dibuka untuk mengejar tetapi dibatalkan apabila pelayan restoran baru menghantar makanan yang telah dipesan sebelum kedatangan Has tadi.