Tag Archives: DILARANG NIKAHI AKU

DILARANG NIKAHI AKU – 01

Ditulis khas buat Sobie. Jauh di mata dekat di hati. Harap semua terhibur ye.

01

Bandar Kuwait, Kuwait – 9.00 a.m

“Ini adalah wasiat terakhir dari saya, Hussin b. Hasnol. Wasiat ini hendaklah dibacakan pada cucu saya, Haikal Hadzim b. Hazan bersaksikan bapanya yang juga anak tunggal saya, Hazan b. Hussin dan ibunya yang merupakan menantu perempuan saya, Humaira’ bt. Jamil. Wasiat ini juga hendaklah dibacakan pada cucu saya ketika umur beliau mencecah 30 tahun dan masih belum berumah tangga. Jika beliau telah berumah tangga sebelum 30 tahun, maka wasiat ini akan terhapus serta-merta.
Saya meminta anak saya membawa cucu saya mencari seorang teman lama yang bernama Abdul Hamid b. Yusuf dan isterinya yang bernama Normah bt. Mohammad.
Jika telah menemuinya, hendaklah perjanjian dicapai. Dengan ini, saya telah menunangkan cucu saya dengan cucu perempuan dari keluarga itu secara peribadi. Maka, tugas anak saya adalah untuk menyambung semula tali perhubungan mereka yang tergendala setelah sekian lama. Wasiat saya yang terakhir adalah cucu saya harus menikahi cucu perempuan dari teman lama saya secara sah di sisi syari’at dan undang-undang. Jika tidak, seluruh harta saya tidak akan turun padanya tetapi akan diberikan kepada badan-badan kebajikan yang bernaung di bawah Keluarga Sdn. Bhd.
Saya berharap anak dan menantu saya dapat menunaikan wasiat ini secara rela hati dan tanpa menggunakan kekerasan terhadap cucu saya”.
Suasana sunyi setelah En.Fahad membacakan wasiat itu. En.Fahad memasukkan semula dokumen bersaiz A4 itu ke dalam sampul surat. Tiga wajah di hadapannya dipandang.
“Siapa cucu kawan baik atok tu?”
Hazan memandang puteranya yang menyoal. Kemudian wajah isterinya pula ditatap. Humaira’ hanya menguntum senyum.
“Kita kena balik Malaysia” Hazan memandang Haikal.
Haikal mengerut dahi. “Balik Malaysia?”
Hazan mengangguk. Haikal bersandar pada sofa. Sudah hampir 17 tahun dia tinggal di negara ini, dia sendiri tidak tahu bagaimana rupa Malaysia sekarang. Apakah masih sama dengan Malaysia 17 tahun dahulu?
“Ok. Kalau tak de apa-apa, saya nak minta izin ke airport. Flight saya pukul satu tengah hari” En.Fahad menutup briefcasenya.
Hazan mengangguk dan tersenyum. “Silakan En.Fahad. Rejab dah tunggu”.
Humaira’ memandang puteranya. Langkah diatur ke arah Haikal. Dan dia duduk di sisi anaknya.
“Mama” Haikal tersenyum memandang Humaira’. Dia dan papa tinggal di Kuwait kerana mama merupakan warga negara ini. Papa jatuh cinta dengan mama ketika belajar dan mereka berkahwin. Setelah itu, dia pun lahir ke dunia. Awalnya, mereka sering berulang-alik dari Malaysia ke Kuwait namun ia tidak lagi dilakukan setelah umurnya 13 tahun.
“Haikal tak setuju dengan wasiat datuk?” Humaira’ yang sememangnya kurang fasih berbahasa melayu menyoal.
Haikal menggeleng. Dia memang tak suka disusun begitu. Tapi dia sudah tiada keinginan untuk mencari calon isteri. Umurnya juga sudah mencecah 30-an. Siapa tahu kalau wanita yang dicalonkan atok adalah wanita yang sesuai buatnya?
Humaira’ melepas nafas. Bahu putera manjanya itu diusap. Dan Haikal melentokkan bahu dalam pelukan Humaira’. Siapalah gadis itu agaknya?

#########

Kuala Lumpur, Malaysia – 6.00 p.m

Turun saja dari Alphard putih itu, dia langsung berlari menuju ke arah taman bunga di belakang villa.
Langkah perlahan menuju pada seorang wanita tua yang sedang melihat ikan-ikan di kolam. Dia langsung menjerit,”Opah!!”
“Ya Allah! Terkejut opah dibuatnya!”
Nabilah atau lebih mesra dipanggil Beel tersenyum. Tubuh opahnya, Puan Sri Normah dipeluk erat. Dan bibir mengucap kata rindu.
Puan Sri Normah menolak perlahan tubuh kecil Beel. Wajah cucu kesayangan dipandang. “Pergi mana?”
Beel sengih. Wajahnya dibuat bermacam-macam gaya agar dia tidak dimarahi. Puan Sri Normah menarik nafas.
“Kata kelas tambahan habis pukul 4 petang. Ni dah pukul 6 petang. Beel pergi mana?”
Beel mencebik. “Beel pergi shopping complex. Tapi Beel jalan-jalan je. Beel tak beli apa-apa pun”.
Puan Sri Normah menggeleng-geleng. Tangan cucunya dicapai dan digenggam. “Opah tak marah Beel nak pergi mana-mana. Kenapa Beel tak telefon? Tahu tak opah risau? Ni…dah solat Asar belum?”
Beel sengih dan mengangguk. Tahu marah opah padanya tidak lama. Maklumlah, dia kan cucu kesayangan. Lantas lengan opah dipaut. “Beel laparlah”.
Puan Sri Normah mengangguk. Langkah diatur menuju ke pintu masuk villa. “Beel naik mandi dulu. Lepas maghrib, boleh makan malam. Kesiannya cucu opah”.
Beel tersenyum. Kepala sengaja dilentokkan pada bahu Puan Sri Normah walau opahnya itu lebih rendah darinya. Langkah mereka terhenti tika sebuah Honda City meluncur masuk ke pintu pagar.
Seorang gadis yang memakai sut kerja keluar dari kereta itu. Bersama beg tangan dan beberapa fail di tangannya.
“Kak Su dah balik” Beel berbisik pada opahnya.
Puan Sri Normah mengangguk. Itulah Suraya, kakak sepupu Beel. Suraya merupakan anak tunggal dari anak sulungnya, manakala Beel merupakan anak dari anak bongsunya.
Suraya tersenyum memandang opahnya. Tangan dihulur menyalami opah. Beel langsung menarik tubuh Puan Sri Normah.
“Opah nak hantar Beel pergi bilik kan? Jomlah. Beel rasa badan dah melekit ni”.
Puan Sri Normah mengangguk. Lantas tangannya ditarik selepas disalam Suraya. Dan dia memimpin tangan Beel menaiki tangga.
Suraya memandang. Bibirnya dicebik pada adik sepupu yang memang tidak berapa disukai itu. “Mengada!”

############

Beel melangkah menuruni tangga. Usai menunaikan solat Isya’, dia tertidur pula. Nampaknya tubuhnya benar-benar letih hari ini. Senyum dikuntum buat Mak Jah yang sedang mengemas dapur.
“Cik Beel nak makan?”
Beel mengangguk. Perutnya disentuh. “Laparlah Mak Jah. Ada apa?”
“Macam-macam ada” Mak Jah tersenyum dan menutup paip sinki. Langkah diatur ke arah meja dapur. Tudung saji dibuka.
Beel membulatkan mata. “Wah … ada gulai tempoyak ikan patin”.
Mak Jah senyum sambil menyenduk nasi untuk Beel. Gadis ini memang sentiasa ceria walau apa jua keadaan. Pastinya, siapa yang berada di sekelilingnya akan gembira.
Beel sengih menyambut nasi yang telah diletakkan di dalam pinggan. Lauk disenduk dan wajah Mak Jah dipandang. “Opah mana?”
“Ada dalam bilik”.
Beel mengangguk. Pinggan nasi dibawa semula menaiki tangga. Dia mahu disuap opah. Selalunya memang opah menyuapnya makan, tapi hari ini dia terlewat pula.
“Dah kenapa ni?” Suraya yang menuruni tangga menyoal melihat Beel menatang pinggannya.
Beel senyum. “Nak minta opah suapkan”.
Suraya mencebik. Menyampah dengan sikap mengada-ngada Beel. Manja mengalahkan budak berumur 10 tahun. “Dah tak de mulut ke?”
Beel menoleh semula sebelum meneruskan langkah. “Tahulah Kak Su dengki opah tak suka suap Kak Su. Nak buat macam mana, Beel kan cucu kesayangan”.
Suraya menjeling. Langkah diatur pada Sakinah yang sedang menonton televisyen di ruang tamu. “Mama”.
Sakinah tersenyum melihat puterinya. Sofa ditepuk tanda mengajak Suraya duduk bersama. “Mama dengar Su bergaduh dengan Beel tadi”.
Suraya mengangguk. “Mengada sangat. Dah 18 tahun terhegeh-hegeh nak minta opah suapkan. Opah pun satu, layan je budak tu”.
Sakinah menggeleng-geleng. Suraya memang tidak berapa mesra dengan Beel. Dulu hanya Suraya yang tinggal bersama opahnya. Jadi dialah segalanya buat opah.
Zahid yang merupakan adik iparnya berpindah keluar dari rumah setelah kematian isterinya ketika melahirkan Beel. Katanya, tidak boleh tinggal di villa itu kerana asyik teringat pada arwah isterinya.
Dan setelah kematian Zahid, Beel diambil semula oleh Puan Sri Normah. Dia yang menjaga dan membesarkan Beel. Waktunya dihabiskan semuanya hanya untuk Beel. Segala kemahuan Beel diturutkan sebagai tanda kasih.
Sakinah tahu Puan Sri Normah melebihkan Beel dalam segala hal kerana kehidupan Beel berbeza dengan Suraya. Suraya masih punya ibu bapa sedangkan Beel tiada siapa-siapa.
Dia sendiri tidak berapa menyukai Beel kerana sikapnya yang tidak dewasa-dewasa. Masih berlari-lari dan terloncat sini sana bagai anak kecil. Tambah lagi, suaminya juga asyik melebihkan Beel yang merupakan satu-satunya anak saudara.
Hal itu membuatkan Suraya sangat mencemburui gadis itu. Walau pada mata kasar kelihatan Suraya punya segalanya dari Beel, namun hakikatnya Beel yang merampas segalanya dari Suraya.

###########

“Nanti bila-bila kalau ada keluarga Hussin datang meminang cucu kita, awak terimalah. Memang saya ingat nak tunangkan cucu kita dengan Haikal tu. Sekarang kita cuma ada Suraya, nanti kalau kita ada cucu lain awak pilihlah mana yang sesuai untuk Haikal. Kalau bukan sebab Hussin, sekarang kita tak hidup senang macam ni”.
Nafas ditarik. Kebelakangan ini dia makin selalu teringat pesanan arwah suaminya itu. Entah apa yang tidak kena, dia sendiri tidak tahu. Ia bagaikan petanda.
Pintu yang terbuka tiba-tiba mengalih perhatiannya. Wajah Beel tersembul di pintu. Senyumnya lebar menampakkan barisan gigi.
“Opah!”
Puan Sri Normah tersenyum. Melihat Beel mendekatinya dan duduk di atas karpet, di sisinya. Pinggan di tangan dihulur pada Puan Sri Normah.
“Lapar. Tapi tak de orang nak suap”.
Puan Sri Normah melepas nafas. Pipi Beel diusap. “Dah umur berapa ni? Nak minta opah suap lagi”.
“18 tahun. Belum 20 tahun lagi, opah suapkan ye?” Beel menongkat dagu pada ribaan opahnya.
Wajah itu ditatap Puan Sri Normah. Beel masih kecil. 18 tahun, terlalu muda untuk mendirikan rumah tangga. Sedangkan Suraya sudah berumur 24 tahun, umurnya cukup sesuai untuk mendirikan rumah tangga. Lagi pun, Suraya juga sudah punya pendapatan hidup yang stabil. Tentulah dia yang sesuai buat Haikal.
“Opah fikir apa?”
Puan Sri Normah menggeleng kepalanya. Senyum manisnya dikuntum. Lantas sudu dicapai dan dia mula menyuap nasi ke dalam mulut Beel.