Tag Archives: GelapHitamCerahPutihKelabu

Gelap Hitam + Cerah Putih = Kelabu

Matanya terbuka luas memerhati langit. Langit? Iya, langit berwarna putih yang cerah secerah cerahnya. Dunia mereka hanya ada itu. Cerah, terang juga putih.

“Jeed”.

Kepalanya ditoleh saat mendengar namanya dipanggil. Rambutnya yang berwarna putih berkilat itu beralun mengikuti gerak badannya.

“Bonda..”

Maharani Araya melangkah masuk menuju pada puteri kesayangannya. Belum sempat dia sampai pada puterinya, Jeed terlebih dahulu mengepakkan sayap dan terbang laju memeluknya.

“Bonda” Jeed memeluk erat Maharani Araya yang merupakan bonda terbaik buatnya.

Maharani Araya memandang lama wajah Jeed. Pertabalan permaisuri yang bakal tiba beberapa bulan saja lagi membuatkan dia tidak senang duduk. Puterinya itu harus ditabalkan menjadi permaisuri Kerajaan Cerah Putih namun masih belum ada seorang putera yang menjadi pendampingnya, sekaligus membuatkan dia layak ditabalkan menjadi Permaisuri Kerajaan Cerah Putih.

“Apa yang bonda menungkan?”

“Ayahanda tanya.. Jeed dah ada pilihan hati?”

Jeed mengerut dahi buat beberapa ketika. Lupa pula dia akan pertabalan yang bakal menjelang. “Bonda tahu kan yang Jeed..”

“Baru habis belajar. Belum ada masa bercinta. Kan?”

Jeed ketawa senang hati. Sekaligus memperlihatkan kegembiraan yang jelas terpancar pada wajahnya. Rambut putihnya, berterbangan beralun bersama gaun putih yang tersarung pada tubuh. Sayap putihnya tidak kelihatan memandangkan Jeed tidak terbang dan ia tersembunyi di balik abdomen tubuh.

“Ayahanda nak carikan”.

Jeed terdiam. Wajah yang tadinya tersenyum kini bertukar cemberut. “Jeed nak cari teman hidup sendiri. Tapi mana Jeed nak cari?”

Maharani Araya memandang. “Ayahanda kata.. Jeed boleh keluar dari istana. Berjalan, melangkah, merantau dan merayau di seluruh kerajaan. Tapi hanya untuk tiga hari. Dan kalau belum jumpa, ayahanda akan carikan”.

Jeed memandang. Ya, dunia mereka. Teman hidup, mereka tidak perlu berbicara melalui kata-kata. Hanya hati yang menjadi perantara. Dan sejauh mana mereka terpisah, mereka masih boleh berbual dengan hati. Kerana itulah dari tadi bondanya berkata, ayahanda itu dan ayahanda ini. Kerana mereka sedang berbual walau bonda di biliknya dan ayahanda sedang membuat pertemuan dengan pembesar-pembesar kerajaan.

“Macam mana?”

Jeed mengangguk. Dia setuju. “Kalau macam tu, Jeed keluar sekarang. Jumpa lagi bonda” sayap dikepakkan. Sebuah ciuman di pipi dihadiahkan buat bonda tersayang. Misi mencari teman hidup bermula.

 

**gel4ph!t4mcer4hput!hkel4bu**

 

Dia ketawa melihat balingan yang dihantar Preuk padanya. Tubuhnya menunduk membuatkan balingan Preuk terkena tepat pada Got yang berada di belakang.

“Preuk!” Got memandang geram.

Preuk ketawa, begitu juga Fai. Tidak menyangka elakkannya membuatkan balingan Preuk terkena pada Got.

Got mengetap bibir. But hitam yang tersarung pada kaki sudah mula mengeluarkan telinga. Langsung saja keluar api kecil dari sebelah kaki kanan juga kirinya. Dan tubuhnya mula melayang sedikit demi sedikit.

Preuk lebih dahulu mendahului. Api yang keluar dari kakinya semakin membesar menandakan betapa laju dia berlari. Membuatkan Got yang baru ‘memanaskan badan’ tidak terkejar.

Fai yang menjadi pemerhati ketawa terbahak-bahak. Sudah lama rasanya mereka tidak bermain seperti ini. Memandangkan ketiga-tiganya sibuk dengan urusan kerja masing-masing.

“Abang!”

Fai menoleh memandang. Wajah terukir senyum saat melihat adik perempuan tunggalnya berlari anak menuju ke arahnya. Saat itu, tumpuan Preuk dan Got yang sedang bermain di awangan terhenti. Keduanya menoleh pada Nam yang memanggil Fai. Mengapa Nam memanggil Fai sedangkan dia jarang sekali memasuki ruang persendirian milik abangnya? Melainkan…

“Ye adik..” rambut Nam yang panjang dan hitam pekat itu diusap penuh kasih.

Api yang keluar dari but hitam mereka langsung terpadam sebaik kaki memijak lantai hitam itu. Keduanya melangkah laju menuju pada Fai dan Nam yang sedang bergurau senda.

Nam mendepakan tangan meminta didukung. Fai ketawa kecil dengan kemanjaan adiknya. Dia yang baru saja hendak mengangkat Nam membatalkan niat melihat wajah mencuka Got. Lupa pula dia, bukankah Got merupakan tunangan Nam?

Preuk sudah tergelak kecil. Lengan Got disiku. “Kau ni biar betul. Cemburu dengan abang dia sendiri”.

Got mengetap bibir. Dia tahulah Fai abang kepada Nam. Yang dia tidak suka melihat betapa manjanya Nam terhadap abangnya.

Sejurus ditunangkan, pasangan yang telah pun ditunangkan tidak boleh bersentuhan. Bila mereka sah bertunangan, rambut mereka akan berubah menjadi hitam pekat sepekat pekatnya. Dan jika mereka bersentuhan sekaligus melanggar pantang larang pasangan bertunang, rambut mereka akan berubah menjadi hitam cair dan mula mengalami keguguran dari masa ke semasa.

Dan ia hanya akan kembali normal jika masing-masing telah pun menemui pasangan lainnya. Itupun hanya mereka yang bertuah saja akan mendapat peluang kedua. Selalunya mereka yang melanggar pantang yang tidak sepatutnya dilanggar tidak akan dipandang. Umumnya mereka akan dipulaukan di Negara Gelap Hitam.

Nam yang tidak memahami hanya memandang. Tangan Fai ditarik dan dia mendepakan tangannya. Meminta didukung lagi. Fai sudah tersengih melihat wajah geram Got. “Minta izin ye, bakal adik ipar”.

“Kenapa adik cari abang?”

“Bapa panggil”.

Fai diam. Got diam. Preuk juga diam. Mengapa pula Ketua Negara panggil menghadap sedangkan dia berada di balai pertemuan dengan pegawai negara? Apakah punya sesuatu hal penting yang mahu dibicarakan?

Got yang lebih lambat proses akalnya langsung saja memandang Fai. “Kau ada buat apa-apa ke?”

Preuk geram. Kepala Got diketuk menggunakan tangannya. “Tak de pendamping. Tak boleh naik takhta”.

Got membulatkan mata. Benar, Fai akan menaiki takhta lagi beberapa bulan saja lagi. Dan Fai telah memenuhi semua syarat kelayakan, kecuali.. dia tidak punya seseorang yang menjadi pendamping hidup.

Fai melepas nafas. Teringat pesan ibu beberapa bulan lepas. Cari pendamping hidup sebelum abah yang carikan. Kalau tak menyesal kemudian hari.

Saat Fai dan Nam melangkah masuk ke dalam balai, semua mata jelasnya menumpukan perhatian ke arah mereka. Masakan tidak, bukan mudah dapat bertemu putera dan puteri Ketua Negara yang terkenal dengan kecantikan juga kebijaksanaan mereka.

“Abah..” Fai memanggil.

Ketua Negara menguntum senyum. Nam berlari anak ke arahnya, memberi ciuman sekilas di pipi sebelum dia duduk di sisi ibunya.

“Anakku Fai..” Ketua Negara tersenyum lagi. Memandang putera kesayangan yang merupakan satu-satunya putera yang dia miliki.

“Ya, Ketua Negara” Fai langsung saja duduk berlutut menyedari dia dipanggil kerana hal negara, bukan hal keluarga.

Ketua Negara menguntum senyum. “Fai akan naik takhta. Lagi beberapa bulan lagi.. Aku dah jumpa calon yang sesuai untuk menjadi pendamping kau”.

Mata Fai membulat. “Tapi Ketua Negara..”

“Ada yang tak kena?”

Fai terdiam. Para pembesar negara semua memandangnya. Lalu bagaimana dia mahu mengutarakan ketidaksetujuannya terhadap perkara itu?

Ketua Negara memerhati. Rambut Fai yang tiba-tiba beralun jelas membuktikan puteranya itu tidak bersetuju dengan cadangannya.

Fai yang menyedari abahnya memandang langsung menarik hud baju yang tersarung pada tubuh. Ah, dunia mereka. Sudahlah segalanya gelap hitam.. Segala tumbesaran dan perubahan yang berlaku dapat pula dilihat oleh Ketua Negara yang merupakan ketua negara.

Semua pembesar negara mula meninggalkan dewan itu sebaik diarah Ketua Negara. Sebaik dewan itu hanya tinggal mereka sekeluarga, Ketua Negara langsung saja berdiri dan mengangkat tangan. Menghantar angin pada Fai sekaligus membuatkan hudnya terbuka.

“Abah..”

Ketua Negara melepas nafas. “Kau dah punya pilihan sendiri?”

Fai menggeleng. Hudnya ditarik semula, tidak mahu abahnya terus terusan melihat rambutnya yang masih belum berhenti beralun.

“Apa yang tidak kau setujui?”

“Abah, aku mahu mencari pendamping hidup sendiri..!” berani Fai bersuara.

Tangannya diangkat lagi. Kali ini angin yang dihantar lebih kuat membuatkan Fai sedikit terpelanting ke belakang.

Wanita Ketua Negara, ibu Fai.. sudah siap-siao menidurkan Nam agar dia tidak melihat kejadian ini. Dia tahu pastinya Fai akan membantah rencana Ketua Negara. Anak muda masa kini, mana ada yang mahu menikahi pendampingnya tanpa cinta.

Fai bangkit dari jatuhnya. “Siapa pun calon yang abah tunjukkan, Fai tak nak..!” dia bertegas. Mana mungkin dia sepenuh hati menyerahkan soal pendamping hidup pada abahnya? Yang akan menjalani sepanjang hidup bersama gadis itu adalah dia, bukan abahnya.

“Fai!” Ketua Negara meninggi suara.

Tatkala itu, Wanita Ketua Negara bangkit dan menghampiri Ketua Negara. Tangannya mengusap-usap belakang Ketua Negara agar kemarahannya reda. “Ketua, itu anak kita..”

“Tapi dia tidak mendengar kataku..!”

Fai membekukan diri. Permintaaan ibunya agar dia memohon maaf diendahkan. Baginya, dia tidak salah!

“Keluar dari dewan ini. Aku tidak mahu melihat wajahmu!”

Fai mengangkat wajah memandang abahnya. Kata-kata tadi.. Apakah dia sedang dihalau? Apakah dia telah dihalau?

Wanita Ketua Negara menghampiri Fai. “Anakku, keluar dahulu. Biar ibu cakap dengan abah..”

“Maafkan Fai. Abah, ibu. Fai minta izin untuj keluar istana hari ni”.

 

**gel4ph!t4mcer4hput!hkel4bu**

 

Dia berlegar-legar di ruang taman tema utama dunia mereka. Segalanya putih bercahaya. Ada papan gelongsor, ada buaian dan ada juga jongkang jongket.

Yang paling menggembirakan Jeed adalah kanak-kanak yang bermain dengan riang. Yang telah matang sayapnya sibuk berterbangan sini sana. Yang masih belum matang sibuk pula berlari sini sana.

Terpandangkan seekor kelinci dari atas, Jeed langsung saja turun. Sayapnya terlipat rapi tersembunyi di balik rambutnya yang panjang mengurai.

Kelinci tadi dicari. Dan dia mengejarnya. Entah bagaimana Jeed akhirnya kehilang kelinci tadi dan tersesat di dalam hutan. Melihat hutan yang tidak berapa cerah itu, Jeed mengepakkan sayapnya.

Tapi rasa ingin tahu di hati lebih kuat. Sayap yang telah dikepak akhirnya disimpan kembali. Dia tidak jadi mahu terbang. Tapi sebaliknya mahu terus meneroka hutan tebal itu.

 

**gel4ph!t4mcer4hput!hkel4bu**

 

Api yang agak marak di but dimatikan. Fai mendarat di hutan kegemarannya. Sebelum ini dia masuk hutan hanya seketika. Tapi hari ini dia merencana mahu meneroka seluruh hutan itu. Biarlah walau berapa lama, dia tidak peduli. Masih terasa hatinya dengan sikap abah tadi.

Tangannya menepis tumbuh-tumbuhan hitam yang menjalar. Tumbuhan hidup itu bagai mengusik dirinya agar tidak melangkah lebih dalam. Fai tahu mereka jelas mengenalinya yang merupakan anak Ketua Negara.

Namun Fai terus melangkah dengan rasa ingin tahu. Kali ini tumbuhan besar-besar semuanya meninggi. Tidak memberi laluan buat Fai. Fai tidak peduli. Tindakan tumbuh-tumbuhan itu membuatkan dia lebih ingin tahu apa yang berada di balik sana.

Dia satu-satunya jejaka yang mewarisi kuasa Ketua Negara. Walaupun kuasa itu masih belum matang, tapi Fai telah lama berlatih menggunakannya secara diam-diam. Jadi tidak susah untuk dia mengalahkan tumbuh-tumbuhan itu.

Langkahnya terhenti bila berhadapan dengan hujung hutan yang menyambungkan dunianya dengan dunia lain? Fai termangu sendiri. Ada dunia lain? Dia fikir dunia ini hanya ada mereka. Gelap hitam.

 

**gel4ph!t4mcer4hput!hkel4bu**

 

Langkah Jeed mati. Matanya membulat melihat jejaka itu. Gaya mereka jelasnya berlainan. Jejaka itu, rambutnya hitam berbeza dengannya yang berambut putih.

Sayapnya dikepakkan. Jeed tidak mahu terus melangkah. Dia sudah mula ketakutan.

“Tunggu!” jejaka itu memanggil.

Jeed mendiamkan diri. Saat matanya bertemu mata sang jejaka, dirasakan bagai ada aliran eletrik yang mengalir pada tubuh. Menusuk masuk ke dalam hati.

“Kau.. siapa?” jejaka itu menyoal.

Jeed hanya menggelengkan kepala. Dia cuba untuk tidak berbual dengan jejaka itu. Dia tidak mengenali siapa jejaka itu, dan yang jelasnya. Mereka berlainan.

“Kau dari mana?”

“Kau tak boleh bercakap?”

“Aku Fai”.

Jeed terus terusan berdiam. Dia hanya menunggu masa untuk terbang pulang. Tubuhnya mula terbang di awangan perlahan-lahan.

“Kau tahu aku tak boleh masuk sana kan?” Fai terus cuba menarik perhatian Jeed agar bercakap dengannya.

Kali ini Jeed mengangguk. Kakinya kembali mendarat pada tanah. “Saya Jeed”.

Fai tersenyum manis mendengar kata-kata Jeed. Suara itu, suara itu benar-benar merdu pada pendengarannya. “Boleh kita jumpa lagi?” Fai menyoal saat Jeed sudah mula terbang.

Jeed menoleh sekilas dan menghadiahkan sebuah senyuman termanis pernah dilihat Fai. Dan sebaik Jeed hilang dari pandangan, Fai langsung berbaring di atas tanah. Dia tersenyum sendiri mengingat wajah Jeed tadi.

Apakah perasaannya pada Jeed saat ini sama dengan perasaan yang dirasakan Got pada Nam? Apakah ini yang dinamakan c i n t a?

 

**gel4ph!t4mcer4hput!hkel4bu**

 

Maharani Araya menanti cemas di gerbang istana. Dia merasakannya. Di dunia mereka, semua ibu boleh merasakan perasaan yang putera puteri mereka rasakan. Itulah kelebihan mereka sebagai para ibu.

Dia merasakan apa yang baru Jeed rasakan. Dia dapat melihat siapa lelaki itu. Lelaki yang diinginkan Jeed sebagai teman hidupnya.

Wajah Jeed yang baru tiba dipandang. “Jeed..”

“Bonda.. bonda tunggu Jeed balik?”

“Jeed…” air mata Maharani Araya mula menitis.

Jeed mengerutkan dahinya. Air mata bondanya yang mengalir dikesat. “Jeed tak faham… Kenapa bonda menangis?”

Maharani Araya mengetap bibir. Wajah Jeed dibelai penuh kasih. Dia langsung tidak menyangka ini akan berlaku. Dia takut memikirkan masa depan. Dia tidak boleh membayangkan apa yang akan terjadi nanti.

Bagaimana Jeed boleh jatuh cinta dengan putera dari Dunia Gelap Hitam? Kerajaan Cerah Putih dan Dunia Gelap Hitam, bermusuhan sejak berabad lamanya. Apakah yang akan berlaku jika pemimpin dua negara ini mengetahui apa yang telah berlaku?

 

**gel4ph!t4mcer4hput!hkel4bu**

 

“Kau buat apa kat sini? Kau tak balik istana?”

Fai sengih. Got dipeluk. “Aku dah jumpa!”

Got mengerutkan dahi. Dia langsung tidak memahami kata-kata Fai. Tubuh Fai yang memeluknya ditolak perlahan dan dia membuka pintu rumahnya. “Masuklah. Ibu abah aku tak de. Pergi hantar Gilyra balik sekolah”.

Fai mengangguk dengan kening diangkat sedikit. Dia langsung saja berbaring pada katil air yang terdapat di ruang tetamu itu.

Got datang dari dapur dengan membawa segelas air. “Minum”.

Fai menggeleng. “Aku dah jumpa..”

“Dari tadi kau geleng. Apa yang kau dah jumpa ni?”

“Calon pendamping hidup aku”.

Got mengerutkan dahi. “Bukan Nam cakap Ketua Negara dah ada calon sendiri?”

“Kau memang dah sayang Nam sejak dia lahir. Bila kau bertunang dengan dia, kau suka dia pun suka. Aku pun macam tu, Got. Nak seseorang yang aku sayang..”

Got mengangguk memahami. “Memanglah…” dia mengangguk lagi. Dan matanya membulat tiba-tiba,”Maknanya kau tolak calon Ketua Negara?!”

Fai mengangguk. Dan dia tersengih. Bukan sengih kerana menolak calon abahnya tapi sengih teringat gadis yang ditemui di ‘sempadan’ tadi.

“Kau cari fasal Fai. Mampus aku kalau Ketua Negara tahu kau ada kat sini..”

“Aku dah jumpa calon aku Got!” Fai bangun dari katil dan memeluk Got lagi.

Got menolak tubuh Fai. Kali ini lebih kuat hingga temannya itu terbaring kembali. “Kau memang dah angau betul ke?”

“Dia memang…” dan Fai memeluk bantal erat. Dia tersenyum sambil tangan erat memeluk bantal. Esok dia mahu ke sana lagi. Jika nasibnya baik pasti dia dapat menemui Jeed.

 

**gel4ph!t4mcer4hput!hkel4bu**

 

Terasa lama pula dia menanti. Memandang ke atas kerana dia tahu Jeed akan tiba dari atas. Matanya sudah galak menanti. Bilakah Jeed akan tiba?

Fai terus menanti dengan sabar. Hingga akhirnya dia tertidur berikutan angin yang terus menderu sepoi-sepoi bahasa.

 

**gel4ph!t4mcer4hput!hkel4bu**

 

Got mengerut dahi melihat wajah Fai. Semalam datang dengan wajah ceria habis. Hari ini pula datang dengan wajah masam mencuka. “Kau ok tak ni?”

Fai mengangkat wajah memandang Got. Anggukan diberikan buat bakal adik iparnya itu. Dia.. kecewa. Bangun dari tidur ternyata waktu sudah lewat namun Jeed tiada. Bukan orangnya malah tanda juga tiada.

Apakah Jeed tidak sudi menemuinya? Atau.. apa? Sangkanya dapat menemui Jeed hari ini. Ternyata…

“Kau ok ke tak ni?” Got menyoal, risau pula dia dengan keadaan Fai dua hari ini.

“Dia tak datang Got. Aku dah cakap nak jumpa lagi hari ni tapi dia tak datang”.

Got melepas nafasnya. “Dia ada cakap nak jumpa kau ke?”

Fai memandang. Iya juga. Pertanyaan Got benar. Mana ada Jeed mengangguk semalam. Dia hanya memberi sebuah senyuman.

“Tak delah tu kan?” Got menebak.

Fai sengih. Got mengetuk kepala Fai perlahan. “Apa susah? Esok kau pergilah lagi, mana tahu esok dia datang. Esok tak datang, lusa ada. Kau tunggulah sampai dia datang”.

Kali ini Fai mengukir senyum. Kata-kata Got ada benarnya. Langsung temannya itu dipeluk erat.

“Eh! Kau ambil serius ke apa aku cakap?” Got bagai terpinga.

Fai mengangguk penuh semangat. Mestilah!

“Kau nak tunggu sampai perempuan tu muncul? Kalau tak muncul..?”

“Tunggulah sampai dia muncul!”

Got menggeleng kepala. Lantak kau lah Fai!

 

**gel4ph!t4mcer4hput!hkel4bu**

 

Jeed memandang cermin di hadapannya. Masuk hari ini sudah tiga hari berlalu. Dia masih ingat permintaan lelaki aneh itu untuk menemuinya .

‘Patutkah aku pergi?’

Pintu kamar yang terbuka mengalih perhatian. Mata melihat langkah Maharani Araya yang melangkah menuju ke arahnya. “Bonda..”

“Jeed, jangan pergi”.

Jeed mengerutkan dahi. Dia tahu ibunya dapat membaca fikiran dan perasaannya. Tapi dia tidak mengerti, mengapa dia dihalang?

Maharani Araya memeluk erat tubuh puteri tunggalnya. “Jangan pergi sayang..”

“Jeed tak faham..”

“Bonda tak boleh terangkan semuanya tetapi.. dengar cakap bonda. Dia bukan lelaki yang baik untuk Jeed..”

Jeed bertambah bingung. ‘Bukan lelaki yang baik untuk Jeed?’ “Tapi bonda, Jeed dengan dia bukan..”

Maharani Araya melepaskan pelukan. Benarlah, anak gadisnya itu masih belum dewasa. Masih belum memahami perasaan sendiri. Masih belum mengerti apa yang sedang berlaku pada diri.

“Jeed nak pergi?”

Jeed duduk di kerusi yang berada di anjung kamarnya. “Jeed nak pergi boleh?”

Maharani Araya diam. Dia tidak tahu apa yang harus dikatakan. Apakah dia perlu menghalang atau membenarkan?

 

**gelaphitamcerahputihkelabu**

 

“Awak.”

“Kau datang?”

Senyuman dihadiahkan buat lelaki itu. Sayapnya disimpan di balik tubuh. Langkahnya perlahan mendekati pepagar bergigi itu.

“Awak sihat?”

Fai menguntum senyum. “Aku sihat” langkahnya maju ke hadapan.

Kini mereka berada dekat antara satu sama lain. Hanya dihalang pagar bergigi yang berlainan bentuk dan kejadiannya.

“Aku ingat kau tak sudi jumpa aku”.

“Saya minta maaf baru datang hari ni”.

Fai menguntum senyum. Dia mengeluarkan sesuatu dari poket seluar kulitnya. “Nah, aku bagi”.

Jeed mengerutkan dahi. Dia buntu bagaimana mahu mengambil pemberian Fai. “Macam mana..”

Fai memandang pagar bergigi itu. Kotak kecil itu dimasukkan melalui lubang-lubang kecil yang terdapat padanya. “Boleh kau ambil?”

Jeed menguntum senyum bila kotak kecil itu berada di tangannya. Kotak itu dipandang. Ia berlainan darinya. Jika ia dibawa pulang, pasti seisi istana mahupun seisi kerajaan akan perasan kotak itu.

“Bukalah”.

Jeed membuka perlahan. Dahi berkerut melihat sebentuk cincin cerah putih berada di dalamnya. Wajah diangkat memandang Fai.

Fai senyum. “Aku buat.. Tiga hari ni, aku buat tu sementara tunggu kau. Aku tahu kau tak boleh bawa kotak tu sebab dia gelap hitam. Tapi cincin tu kau boleh pakai kan? Aku buat guna isi pokok”.

Jeed mengangguk senyum. Dan senyumnya bertambah lebar saat melihat cincin itu benar-benar sesuai dengan jari manisnya.

“Aku suka kau”.

Kotak yang dipegang Jeed terjatuh mendengar kata-kata Fai. Terkejut, amat terkejut. Ini baru kali kedua mereka bertemu dan Fai sudah mengungkapkan perasaannya? Tidakkah ia terlalu awal?

“Aku nak kau jadi pendamping hidup aku, boleh?”

Mata Jeed membulat mendengar kata-kata Fai. “Saya tak boleh lama, saya balik dulu”.

“Kejap!” Fai menjerit perlahan.

Jeed yang sudah berpaling seluruh tubuhnya menoleh kembali. Fai melepas nafas. “Kau takut aku? Atau pun kau tak percaya aku?”

“Saya..”

“Kalau kau.. sama dengan aku, boleh kau sarung cincin tu?” Fai menyoal, merujuk pada cincin yang berada dalam genggaman Jeed.

Jeed memandang ‘penumbuk’nya. Perlahan ia dibuka dan matanya memandang cincin kayu putih itu. Seminit, dua minit bertukar menjadi sepuluh minit. Fai setia menanti. Hanya melihat Jeed memandang cincin pemberiannya.

Dan perlahan Jeed menyarung cincin itu pada jari manisnya. “Awak… sudi jadi teman hidup saya?”

Fai senyum. Matanya galak memandang pipi Jeed yang sudah kemerahan. “Jaga diri kau. Jumpa lagi”.

Jeed mengangguk perlahan dan sayapnya dibuka. Dia memandang Fai sekilas sebelum sayapnya dikepakkan, terbang meninggalkan Fai yang tersenyum sendirian.

 

#########

 

“Kau tak nak balik istana ke?”

“Dia sudi jadi pendamping hidup aku!” Fai langsung saja memeluk Got yang membuka pintu.

“Fai..”

Fai mengangkat wajah. Dia tersenyum pada Preuk yang berada di ruang tetamu. “Kau ada juga?”

“Fai, kau baliklah. Kau tahu tak Ketua Negara risaukan kau?” Preuk berdiri memandang Fai.

Fai melepaskan pelukannya. Dia berjalan menuju ke arah Preuk. Got menutup pintu rumah dan ikut masuk ke dalam.

“Kau datang sebab Ketua Negara?” Fai menyoal, duduk pada sofa yang berhadapan dengan Preuk.

Got memandang Fai. “Aku pun rasa macan tu. Dah seminggu kau kat rumah aku, aku risaukan Nam”.

Fai memandang. “Kau risaukan Nam, kau risaukan abah! Siapa yang risaukan aku? Siapa yang fikir aku?”

Got dan Preuk saling berpandangan. “Fai.” keduanya bersuara serentak. “Kau jangan macam ni Fai. Baliklah..” Preuk terusan memujuk. Dan dia menyambung lagi, “Ketua Negara tak salah. Dia cuma jalankan tanggungjawab untuk cari pendamping hidup kau”.

Fai melepas nafas, melepaskan keluhan. Kali ini dia bersuara tenang sedikit. “Aku akan balik. Tapi tunggu dulu, aku nak bawa dia jumpa abah”.

 

##########

 

Suasana di ruang santapan meriah dengan dayang-dayang istana yang sibuk menyiapkan santapan malam buat mereka sekeluarga.

Seperti biasa, Jeed mengambil tempatnya di meja makan. Maharani Araya duduk di hadapan puterinya. Dan tentunya Maharaja Visaruth mengambil tempat di antara kedua wanita tercintanya.

Makan malam mereka berjalan seperti biasa. Dayang mengambil makanan buat setiap seorang dari mereka. Namun, Jeed terasa bagai mahukan kek yang berada di hadapan bondanya. Lantas tangan kanannya disua.

“Jeed” Maharaja Visaruth tiba-tiba bersuara.

Jeed memandang. Begitu juga Maharani Araya. Sedang tangannya masih lagi tersua.

Jemari Jeed dicapai. “Dari mana kamu dapatkan perhiasan ini?”

Jeed lantas menarik tangannya dari genggaman Maharaja Visaruth. “Jeed..”

“Jawab soalan ayahanda!” Maharaja Visaruth mula berubah serius.

“Ayahanda..”

“Kanda” Maharani Araya cuba mencampur tangan. Bagaimanalah dia tidak boleh perasan cincin itu sewaktu menunggu Jeed pulang tadi?

“Ayahanda kenal tumbuhan ini. Ia tiada di kerajaan kita. Dari mana Jeed dapatkan?”

Jeed diam. Dia sendiri tidak tahu bagaimana harus menjelaskan. Dia tidak sangka ayahandanya akan perasan kehadiran cincin itu. Jeed lupa, hatta sekecil perkarap pun akan sampai ke pengetahuan ayahandanya. Kerana dia maharaja.

“Jeed berhubungan dengan Dunia Gelap Hitam?”

Jeed mengangkat wajah. Maharani Araya sudah tidak senang duduk. Bimbang Maharaja Visaruth mengorek apa yang dia tahu.

Maharaja Visaruth memandang maharaninya. “Araya..”

“Jeed, balik ke kamar” Maharani Araya perlahan bersuara.

“Dinda tahukan apa hukumnya bersekutu dengan musuh kerajaan?” Maharaja Visaruth terus menyoal sang isteri.

Maharani Araya memandang Jeed. “Jeed, kembali ke kamar” kali ini suaranya meninggi.

“Araya!” Maharaja Visaruth menengking.

Jeed bangun berdiri. Hasratnya mahu kembali ke kamar terbatal bila melihat semua santapan di atas meja mula berterbangan dan berlaga sesama sendiri. Ayahandanya sudah murka.

“Jeed tak salah. Jeed tidak mengetahui asal usul lelaki itu”.

“Araya, kamu yang tahu sepatutnya memberi amaran. Dunia Gelap Hitam dan Kerajaan Cerah Putih tidak mungkin bersatu kembali. Kamu sebagai bonda harus menerangkan. Bukan membiarkan mereka bertemu begini. Jika Ketua Negara Dunia Gelap Hitam tahu hal ini, apa kamu fikir mereka akan berdiam? Atau Araya mahu perang tercetus sekali lagi?” Maharaja Visaruth bersuara penuh emosi.

Jeed yang telah pun berada di pintu berpatah balik. Tidak sanggup melihat bondanya menelan satu persatu kemarahan ayahandanya. Kerusi yang diduduki bonda sudah mula terapung namun bonda masih berdiam diri.

“Ayahanda, Jeed nak jadikan lelaki ini teman hidup Jeed..”

Semua benda terapung terjatuh serta merta. Maharaja Visaruth memandang dengan mata bulatnya. Maharani Araya sudah menunduk. Mengetahui apa yang bakal terjadi.

“Anakanda ayahanda hukum. Dan hukuman bermula sekarang…”

“Kanda, Jeed tak salah!”

“Jeed..!”

Hanya itu yang dapat Jeed dengar dari bondanya. Dan selepas itu, dia juga tidak tahu apa yang terjadi. Dunianya gelap. Jeed pengsan tidak sedarkan diri.

 

##########

 

Dia bangun awal hari itu. Mengambil angin di kawasan rumah Got. Suasana yang sangat tenang pastinya. Atau mungkin saja kerana kegembiraan yang dia alami membuatkan dunia turut gembira bersama.

Langkah diteruskan masuk ke Hutan Larangan. Harapannya hari ini mahu menghabiskan masa seharian suntuk bersama gadis tercintanya itu.

Fai sudah terintai-intai dari balik pagar. Mana Jeed? Mengapa masih belum tiba? Atau barangkali dia yang terlalu awal?

Fai menanti lagi. Dari sesaat berubah ke seminit. Dari seminit berubah menjadi sepuluh minit. Sepuluh minit, dua puluh minit, tiga puluh minit dan berubah menjadi sejam.

Satu jam, dua jam, tiga jam dan empat jam. Masa terus berjalan hingga menjadi sehari suntuk. Fai melepas nafas perlahan. Hari sudah lewat dan dia harus pulang. Apakah Jeed sudah tidak sudi bertemunya?

 

##########

 

Got memandang Fai yang masih belum melelapkan mata. Nafas dilepas melihat Fai yang masib belum lelap walaupun hari sudah lewat.

Sudah beberapa hari Fai berkeadaan begitu. Keluar awal dan pulangnya lewat. Namun keadaannya tidak berubah-ubah. Wajahnya masam mencuka, katanya setelah dia bersetuju menjadi pendamping hidup Fai, gadis itu sudah tidak muncul-muncul.

“Fai..” Got menegur.

“Kau tidurlah. Aku ok”.

Got melepaskan sebuah keluhan. “Kalau macam tu, aku masuk bilik dulu”.

 

##########

 

Matanya terpejam rapat. Sudah lewat.. namun sekali lagi, Jeed tidak muncul-muncul. Apakah gadis itu sudah tidak sudi menemuinya? Atau.. mungkin ada sesuatu yang menimpa gadis itu?

Sehari bertukar menjadi dua hari. Dua hari bertukar menjadi seminggu dan berubah menjadi sebulan. Hinggalah akhirnya berubah menjadi sebulan. Namun masih sama. Jeed yang ditunggu tidak kunjung tiba. Dan tetap juga tidak kunjung tiba.

Fai mengeluh lagi. Dia sudah membuat keputusan. Ini adalah hari terakhir dia menanti dan menunggu. Esok, dia akan pulang ke istana. Masa untuk dia menaiki takhta juga makin berkurang.

Semakin dekat pada tarikh, tubuhnya harus berkuarantin. Jika dia terlalu terdedah pada angin luar, tubuhnya tidak akan dapat menerima proses pemindahan takhta yang bakal dijalankan.

Ya, Fai sudah memutuskan. Cerah Putih juga Jeed harus dilupakan.

 

**gelaphitamcerahputihkelabu**

 

Tubuhnya terasa lesu bagaikan segala tenaganya telah diserap habis. Perlahan dia mengangkat kelopak matanya yang bagai sudah tidak mahu terbuka.

“Sayang…”

Dia menarik dan melepas nafasnya. Menenangkan diri. Dipandang sisinya yang cerah putih semuanya. Dan wanita dengan wajah penuh kasih di hadapannya.

“Jeed dah sedar?” Maharani Araya mengusap pipi puterinya. Hampir dua bulan lamanya puterinya tidak sedarkan diri.

Dia mengerutkan dahi. “Siapa Jeed?”

Kali ini air putih berkilau mengalir dari mata Maharani Araya. Hukuman Maharaja Visaruth berjalan lancar nampaknya. Jeed telah lupa segala-galanya. Ingatannya telah diambil Maharaja Visaruth dan sama sekali tidak akan dipulangkan.

“Anda siapa?”

Tubuh kecil itu dirangkul Maharani Araya. Bonda minta maaf, sayang. Sayang kena kuat untuk teruskan hidup.. Dan air matanya terus mengalir.

 

**gelaphitamcerahputibkelabu**

 

Dia memandang jauh ke dalam hutan itu. Kuasa yang diperoleh dari abahnya membolehkan dia melihat sejauh mana pun sesuatu itu selagi ianya masih berada dalam dunianya.

Hutan itu masih sama. Persis seperti setahun lalu. Semuanya masih sama. Hanya tumbuhan yang makin galak menumbuh dan meliar sana sini.

Sudah setahun berlalu sejak peristiwa itu berlaku. Kisah antara dia dan Jeed, kisah antara dia dan gadis dari Kerajaan Cerah Putih. Kisah cinta dua dunia.

Sebaik menaiki takhta, dia mempelajari segalanya tentang ‘dunia’ yang sebenar. Tidak hanya ada mereka, ada juga Kerajaan Cerah Putih. Juga banyak lagi dunia yang lain. Namun Kerajaan Cerah Putih adalah musuh utama Dunia Gelap Hitam.

Fai tidak tahu bagaimana keadaan Jeed sekarang. Tapi dia, telah selamat menaiki takhta bersama gadis pilihan abahnya. Dia tidak berupaya menolak memikirkan jutaan nyawa yang harus dijaga.

Harapan Fai saat ini biarlah apa yang terjadi menjadi kenangan terindah buatnya. Gelap hitam dan cerah putih jika bersatu menjadi kelabu atau tidak, dia sendiri tidak tahu. Namun satu yang Fai tahu, nama Jeed akan kekal terpahat dalam hatinya buat selamanya.