Tag Archives: HatiRumahSakit

HATI RUMAH SAKIT

Wajah pengarah syarikat aku pandang lama. Khusyuknya dia memberikan penerangan soal perancangan jualan bulanan kali ini. Nampaknya kerjaku sebagai pengurus pemasaran juga bakal bertambah berikutan rancangan pelbagai dari pengarah.
Bunyi telefon pintar mematikan suasan mesyuarat. Aku membebel dalam hati dengan sikap pekerja yang tidak tahu menghidupkan mod senyap di bilik mesyuarat.
Namun aku mendapati sepuluh manusia di bilik itu semua memandangku. Baru aku perasan telefon pintarku rupanya yang berbunyi. “Maaf, bos. Saya keluar kejap”.
“Silakan”.
Aku keluar dari bilik mesyuarat dan melihat nama pemanggil. Bayu Shamiha. Adik perempuan kembarku yang adik. Kakaknya bernama Bayu Shahila. “Assalamualaikum”.
“Along, Ila kena langgar motor”.
Wajahku berubah. “Kena langgar motor?”
“Along datanglah sini. Mia dah send location. Mia tak tahu nak buat apa ni…” Mia mula merengek.
Nafas ku lepas. Langsung saja aku meminta diri dari mesyuarat dan bergegas menuju ke lokasi. Geram benar dengan sikap dua adikku ini. Nama saja sudah lapan belas tahun, perangainya manja tak habis.
Rupanya Ila tidak boleh berdiri dek lututnya yang luka teruk. Bagaimana dilanggar tidak sempat pula aku menyoal. Memandangkan pemandu motosikal mempamerkan rasa tanggungjawab mahu menghantar ke hospital dan membayar ganti rugi, aku lepaskan saja. Mungkin dia mahu cepat ke mana-mana.
Sementara doktor memeriksa Ila dan ditemani Mia, aku berlegar-legar di sekitar hospital kerana kebosanan. Lagi pun, lukanya agak dalam. Pastilah memakan masa lama. Nampaknya malam ini, lamalah aku bersoal jawab dengan mama.
Sesekali aku ketawa melihat gelagat pesakit kanak-kanak yang menangis beria saat bergurau dengan ibu bapanya. Kerusi batu di taman hospital aku duduki.
Bibirku tersenyum melihat seorang gadis sedang duduk di tengah taman itu sambil dikelilingi kanak-kanak yang agak ramai. Dan aku lihat kanak-kanak itu ketawa bersama, lantas saat gadis itu bangun berdiri, semua kanak-kanak dikejarnya.
Senyumku melebar pula. Gadis ini, dia.. Aku yakin dialah orangnya. Gadis yang akan menjadi suri hidupku. Tangan ku genggam. Tak sangka begini rasanya jatuh cinta pandang pertama. Tapi… kelihatannya gadis ini memakai baju pesakit. Apakah dia…?
“Akak” jururawat yang kebetulah melewati sisi, aku tegur.
“Ya, encik?”
“Itu siapa?”
Jururawat itu memandang. Dan dia tersenyum melihat arah yang aku tunjukkan. “Itu? Tulah.. hati rumah sakit”.
Dahiku berkerut. “Hati rumah sakit?”
Jururawat itu mengangguk. “Nama dia Atikah, Atikah Nusairi”.
Aku tersenyum mengangguk. Atikah Nusairi… sedap namanya. Secantik orangnya, mungkin. Aku ketawa geli hati. Bagiku dia sangat cantik orangnya. Teramat cantik.
“Akak..” aku menoleh memandang jururawat tadi. Tiada orang. Sudah pergi. Keluhan ku lepaskan. Baru saja aku mahu menyoal lebih lagi tentang gadis itu. Tapi tak mengapa, masih ada banyak peluang lagi. Atikah Nusairi pasti akan ku kenali.
Malam itu, jenuh juga aku berdebat dengan mama soal kemalangan yang menimpa Ila. Mama menyatakan dia tidak suka mengetahui sesuatu perkara dengan lambat. Seharusnya, aku memberitahu mama bahawa aku punya mesyuarat dan tidak dapat mengambil adik-adikku dari sekolah.

Aku termenung sendiri di tempat meletak kenderaan hospital itu. Mengapa aku di sini? Bukannya tadi aku sekadar mahu memandu mencari tempat makan-makan?
Namun alang-alang sudah ke mari, apa kata turun dahulu. Andai nasibku baik, pasti aku dapat menemui hati rumah sakit yang ku rindu itu.
Langkah kaki sekadar mengikut arah yang ditunjuk hati. Namun akalku pantas berfikir. Jika benar Atikah sukakan kanak-kanak, pastinya dia berada di wad kanak-kanak. Laju saja aku berkunjung ke wad kanak-kanak. Cari sajalah mana-mana wad kanak-kanak yang ada. Andai bertemu, benarlah gadis itu jodohku. Aku berangan sendiri.
Aku tersenyum mendengar suara itu. Nampaknya aku langkah kanan. Suara itu.. hati rumah sakit. Langkah kakiku laju menuju ke arah wad kanak-kanak. Dan aku tersenyum lagi.
Kelihatannya Atikah sedang bercerita dan dikelilingi kanak-kanak beruniform pesakit semuanya, namun yang paling menarik adalah tikar yang dibentang untuk menjadi tempat duduk kanak-kanak itu.
“Siapa tahu gajah jumpa apa?” Atikah bersuara menyoal kanak-kanak itu.
Aku tersenyum saat beberapa orang kanak-kanak itu saling berebut untuk menjawab soalan yang diberikan Atikah. Haih… comel benar gadis bernama Atikah ini. Tapi sudah hampir dua minggu aku pulang sejak kemalangan yang menimpa Ila. Mengapa gadis itu masih lagi ditahan di hospital ini?
“Tikah ni comel betul.. patutlah doktor panggil dia hati rumah sakit” aku mendengar beberapa orang jururawat yang sedari tadi memerhati berbual sesama sendiri.
“Dia suka budak. Tapi bukan budak je.. kadang-kadang kita nampak dia kat wad pesakit kronik.. duduk dengan mak cik-mak cik, atuk-atuk…”
“Tapi kenapa hati rumah sakit?” aku yang mendengar tidak dapat menahan rasa ingin tahu langsung saja menyoal.
Ketiga-tiga jururawat itu menoleh memandangku. Aku tersengih. Kelihatannya ketiga-tiganya saling berbisik dan meninggalkanku menjadi pemerhati sendirian. Aduh… Bayu, apa yang kau buat ni?
Tapi rasa ingin tahuku masih juga belum mati. Mengapa dia dipanggil hati rumah sakit? Dan apa pula sakitnya hingga ditahan begitu lama di hospital? Terlalu banyak persoalan yang menjadi tanda tanya hingga aku tidak tahu bagaimana mahu menyoal.
Awalnya aku mahu berundur, mungkin mencari jawapan. Tapi kerana kecuaianku yang datang tak tepat masanya… aku terlanggar troli yang mengandungi bergunung-gunung fail di situ.
Semua kanak-kanak itu memandang. Aku tersengih sendiri. Melihat aku, Atikah langsung bangun dan berkejar membantu. “Encik tak apa-apa?”
Aku tersenyum mengangguk. Fail-fail yang berterabur di atas lantai aku pandang. Bagaimana mahu menyusun?
Aku mendengar bunyi ketawa kecil. “Kalau nak susun ikut tahun, ada kat tepi fail ni.. semua ada tahun” Atikah menerangkan padaku.
Aku melihat. Anggukan ku berikan. “Mana cik tahu?”
“Saya dah lama kat hospital ni…”
Fail yang berada di pegangan terlepas. Apakah mungkin dia memiliki penyakit kronik hingga membuatkan dia ‘tinggal’ di hospital ini?
“Ok dah siap!” Atikah tersenyum lebar memandangku.
Aku pandang fail yang telah siap bersusun di tempatnya semula. “Terima kasih Cik…”
Gadis bertudung itu menguntum senyum manis. “Atikah. Tak payah cik.. panggil Atikah je..”
Aku mengangguk dengan senyuman. Manalah wajah ini tidak manis, pemurah dengan senyuman benar. “Saya Bayu. Panggil Bayu”.
Atikah tergelak mendengar namaku. “Bayu?”
Aku mengangguk. Sudah biasa dengan gelagat manusia yang akan hairan mendengar namaku. “Nama penuh Bayu Merlimau”.
Atikah senyum menampakkan barisan giginya. “Comel nama awak, Bayu”.
Aku mengangguk. “Nama penuh awak?”
“Pun comel juga. Atikah Nusairi.. Atikah Nusairi binti Najman. Comel tak?”
Aku ketawa mendengar kata-katanya. Nampaknya dia adalah spesies gadis yang sentiasa gembira dan bahagia. Bayangkanlah betapa dari tadi dia tidak berhenti mengukir senyum.
“Kakak hati, sambunglah cerita” seorang kanak-kanak lelaki menarik baju Atikah dari belakang.
Atikah mencuit pipi kanak-kanak lelaki itu sebelum meminta diri dariku. Alahai.. comel, cantik.. sopan pula tu. “Kejap”.
Dia menjongket kening memandangku. “Ya Bayu?”
“Sekarang, kita kawan kan?”
Dia tersenyum dalam anggukan. Aku hanya memerhati dia memulakan penceritaan dengan kanak-kanak itu. Beberapa orang jururawat masuk ke dalam wad tidak lama kemudian. Mujurlah Atikah mengajariku cara menyusun fail itu, jika tidak…
Jam dinding aku pandang. Alamak, habislah.. Sudah jam 6.00 petang. Aku harus mengambil Mia dan Ila dari kelas tambahan mereka. Saat itu juga, telefon pintarku menjerit minta diangkat.
“Assalamualaikum. Along dah sampai ke?”
Aku melepas nafas. Mialah Mia. “Belum. Along dalam perjalanan ni..”
“Cepat sikit tau. Along dah janji nak bawa Mia dengan Ila pergi makan tom yam Thailand” kedengaran suara ketawa Mia dan Ila.
Iyalah… aku layankan saja. Maklumlah mereka berdua sajalah adik yang aku punya. Mengada macam mana pun, manja macam mana pun.. tetaplah adik yang aku paling sayang. Dalam hati, aku menyimpan niat mahu ke hospital ini lagi.

Hampir pukul empat pagi, namun mata ini tetap juga tidak mahu lelap. Tetaplah ia terbuka luas membuatkan kepalaku yang mengantuk begitu pening kerana mata tidak mahu berkerjasama.
Manakan tidak, baru empat hari tidak bertemu Cik Hati Rumah Sakit, wajahnya bagai menghantui siang malamku. Keluhan ku lepaskan.
Bukannya aku tak mahu ke hospital, tapi kerja yang menimbun di pejabat membuatkan aku sukar sekali mencuri sedikit masa untuk ke hospital. Jam dinding aku pandang.
Empat setengah pagi. Nafas ku lepas. Kalau tak boleh tidur, adalah baik aku bangun bermunajat pada yang Maha Esa. Memohon petunjuk atas semua masalah yang sedang berlaku dan yang akan datang.
Aku ke pejabat tepat jam tujuh setengah pagi setelah selesai menghantar Ila dan Mia ke sekolah. Itupun Mia yang banyak cakapnya sudah membebel itu ini. Maklumlah keduanya pengawas sekolah. Ada adalah saja pertemuan itu dan ini.
Aku tersenyum saat pengarah syarikat memberitahuku bahawa minggu ini aku mendapat cuti. Semuanya kerana pihak atasan mahu aku sebagai ketua unit pemasaran membuka pasaran baru di Thailand dua minggu lagi.
Walaupun aku tidak akan berada di Malaysia mungkin selama enam bulan atau lebih, tapi cuti seminggu ini akan aku benar-benar manfaatkan.
Hati rumah sakit, aku datang!! Sejurus mengambil surat cuti di pejabat, aku bergegas menuju ke hospital. Bunga dan anak patung beruang di sisi kiriku dipandang. Harap-haraplah Atikah sukakannya.
Enjin yang aku matikan dengan penuh semangat tadi ku hidupkan semula. Bunga dan anak patung beruang di dakapan aku pandang. Tidakkah nampak pelik jika aku tiba-tiba muncul di depannya?
Nafas ku lepaskan. Aduh, Bayu.. parahlah kau ni. Aku memarahi diri sendiri. Aku mengangguk menguatkan semangat. Bukannya aku punya banyak masa. Hanya ada masa seminggu untuk aku benar-benar meluangkan masa dengannya. Seminggu sebelum ke Thailand aku bakal sibuk dengan segala persiapan bagai.
Aku akhirnya nekad masuk ke ruangan utama hospital. Kalau dahulu aku mencarinya di wad kanak-kanak, kini aku bagai bingung mahu mencari gadis itu di mana.
‘Bukan budak je.. kadang-kadang kita nampak dia kat wad pesakit kronik.. duduk dengan mak cik-mak cik, atuk-atuk…’ Ayat itu tiba-tiba terngiang-ngiang di kepala.
Senyum ku ukir. Oh Atikah.. aku mula tersengih-sengih. Aku menyoal beberapa orang jururawat tentang wad pesakit kronik, mungkin orang-orang tua yang tidak punya saudara. Aku berbohong mengatakan mahu mencari nenekku tapi tidak tahu di mana dia berada. Mujur saja jururawat itu bersedia membantuku.
Aku terintai-intai melihat wad yang pertama ku lihat. Senyum ku ukir saat Atikah melangkah keluar dari wad itu. Di tangannya ada sebuah mangkuk besar berisi tuala direndam air.
“Bayu?”
Aku tersenyum. “Assalamualaikum”.
Atikah ketawa membuatkan aku cair. Ketawa ikhlas itu, siapa yang melihat pasti saja akan cair habis. “Waalaikumussalam. Awak datang melawat?”
Aku mengangguk. Dan Atikah tersenyum. “Saya nak ke bilik air ” dan dia berlalu dengan senyuman manis.
Aku masuk ke dalam wad. Dalam wad yang menempatkan sepuluh orang pesakit itu, hanya tiga orang yang sedarkan diri. Dan tujuh orang lagi memejamkan mata, tidak tahu koma ataupun tidur.
Hadiah di tangan aku pandang. Bagaimana caranya aku mahu memberi ini semua pada Atikah, sang hati rumah sakit itu? Adoi… Bayulah, Bayu.
“Mana satu saudara awak?”
Aku terkejut disapa begitu. Lantas menoleh, Atikah menguntum senyum manisnya. “Jadi, mana satu saudara awak?”
Soalan yang tidak ku siapkan jawapannya itu membuatkan aku langsung menghulur hadiah itu padanya. “Awak”.
Perlahan aku membuka mata. Pemandangan pertama yang ku lihat adalah.. kerutan dahi Atikah. “Untuk saya?”
Aku mengangguk, mengiakan pertanyaan Atikah. “Saya beli untuk awak. Hadiah”.
Atikah ketawa ikhlas. Terhibur aku melihatnya. Lantas hadiahku diambilnya. “Tapi sebab apa?”
Aku diam seketika. Idea.. muncullah! “Salam perkenalan?”
Dan Atikah ketawa lagi. “Salam perkenalan ye?”
Aku senyum, malu sendiri. Bunyi suara seseorang memanggil Atikah lantas mematikan tawa kami berdua. “Hati!”
Atikah memandang ke belakangku dan aku turut menoleh. Seorang jururawat bertudung, lingkungan 30-an tersenyum pada kami. “Kak Nad.. kenapa?” Atikah mendekati jururawat itu.
Nampaknya Atikah benar-benar penghuni hospital ini. Jika tidak pasti dia memanggil jururawat ‘nurse’ seperti kebiasaan pesakit.
“Aliff datang. Dari tadi tunggu kat bilik”.
Atikah sengih. “Tikah lupa. Aliff ada cakap semalam nak datang..”
Jururawat yang Atikah panggil Kak Nad itu melepas nafas. “Pergilah jumpa dia. Merayap je budak ni.. tak penat ke hati?”
Atikah ketawa. Tidak aku tahu kenapa. Barangkali mungkin kerana panggilan hati di hujung ayat Kak Nad. “Panggil Tikah lah, Kak Nad”.
Kak Nad mencebik. “Doktor kesayangan awak yang bagi nama hati rumah sakit tu.. tak suka ke?”
Dan Atikah ketawa lagi. “Oklah Kak Nad. Tikah pergi jumpa Aliff dulu, nanti membebel pak cik tua tu..”
Kak Nad mengangguk dan melangkah maju. Ku lihat dia kemudiannya sibuk mengambil rekod kesihatan pesakit wad itu. Atikah ku pandang. Kuat saja keinginan untuk bertanya siapa Aliff, apakah Atikah sudah berpunya? Tapi takut pula gadis itu menyangka yang bukan-bukan.
“Saya balik bilik dulu. Terima kasih tau, Bayu!” Atikah berlari anak keluar dari wad.
Aku melepas nafas. Atikah sudah pergi, tapi.. aku perlu tahu siapa Aliff.! Pantas saja langkah kakiku mengekori jejak gadis itu.
Sakit pula hati ini melihat Atikah berpelukan dengan pemuda yang dipanggil Aliff itu. Pakaiannya kemas, baru pulang kerja barangkali kerana wajahnya kepenatan.
Kemudian Aliff membawa Atikah ke katil. Atikah didudukkan sambil Aliff memegang-megang wajahnya. Nafas ku lepas. Mungkinkah lelaki bernama Aliff ini memegang status sebagai suami Atikah?
Aku menutup pintu bilik Atikah perlahan. Itulah.. siapa suruh melanggar perbatasan? Pandai pula mengintai orang lain. Kan kecewa sendiri? Aku memarahi diri sendiri.
Enjin kereta ku hidupkan dan laju aku memandu keluar dari perkarangan hospital. Apakah benar Atikah sudah berpunya? Mungkinkah Aliff itu bukan suami atau tunangnya?
Malam itu, aku berkurung di dalam bilik. Mia dan Ila yang sememangnya rajin melepak di bilik aku pun aku halau. Hatiku masih sakit mengenang kemesraan Aliff dan Atikah. Jauh di sudut hati sangat kecewa dan sedih sebenarnya.

Aku tidak sedar bila aku memandu ke sini. Aku tidak sedar juga bila saatnya aku menaiki lif menuju ke wad ini. Yang aku tahu, sekarang saat ini aku terpacak di hadapan bilik Atikah Nusairi.
Pintu bilik dibuka dari dalam dan aku terpaku bila Aliff memandang. Dia tersenyum memandangku. “Kawan along ke?”
Aku mengerut dahi. “Saya kawan Atikah, Bayu”.
Dia ketawa kecil. “Saya adik Atikah, Aliff” dia membalas huluran tanganku.
Saat itu tawaku terlepas. Adik rupanya.. heh! Sia-sia saja aku menahan kecemburuan berhari-hari. “Adik…”
Dia tersenyum. “Abang nak tengok along ke? Along tengah rehat lagi”.
“Rehat?” aku menyoal hairan. Pagi-pagi begini? Bukankah gadis itu selalu saja ceria dan aktif ke sana ke mari?
Aliff mengangguk. Dia memandangku lama. “Abang ni Bayu yang bagi teddy bear tu ke?”
Aku mengangguk dan Aliff menguntum senyum. “Apa kata kita pergi minum-minum? Abang mesti nak tahu along sakit apa”.
Malam itu, aku termenung sendiri memikirkan perbualan pagi bersama Aliff tadi. Ternyata gadis itu memiliki kegagalan jantung sejak lahir. Untung saja dia masih hidup hingga saat ini. Jika tidak, tak dapatlah aku menemuinya.
Kegagalan jantung ya… Kata Aliff, masalah itu lambat diketahui. Awalnya mereka semua menyangka kakaknya sudah sihat, namun siapa sangka penyakit itu muncul kembali. Tambahan pula dengan sikap kakaknya yang riang ria sentiasa.
Pintu diketuk dari luar dan ia tentunya menarik perhatianku. “Masuklah” aku menjerit perlahan. Serasaku ianya tidak lain dan tidak bukan pasti dua adik kembar perempuan kesayanganku.
“Along!” Mia sengih sambil duduk di sisi katil. Ila mengikut dengan senyuman menampakkan barisan gigi. Ila..Ila.. nama saja kakak, tapi gerak gayanya mengikut saja Mia yang ‘queen control’.
“Nak apa?” aku memandang kedua gadis itu. Mia yang bertocang satu sementara Ila lebih selesa melepas rambut dan membuat ia kemas dengan cekak yang terletak cantik pada kepalanya.
“Esok along free kan?” Ila menyoal.
“Esok kan cuti. Along tak de ambil O.T.. ada apa ni…” aku memandang Ila.
Ila sengih lebih. “Nak jumpa ni…” dia menunjuk skrin iPhonenya padaku.
Aku membulatkan mata. Atikah? “Ila!”
Dia ketawa kecil. Mungkin juga takut dimarahiku. “Hari tu.. Ila nak pinjam headphone. Tapi along kat bawah.. Ila nampak fon along atas meja, Ila tengok sekilas je.. sebab along buat wallpaper..”
“Ila nak ambil headphone. Tapi Ila tengok fon along. Ila curi gambar tu?”
Ila mengangguk perlahan sambil menguis hujung bantal. “Along…”
Mia mencuitku. “Along.. memanglah Ila salah sebab curi gambar tu. Minta maaf…! Tapi kalau tak, sampai bila-bila kami tak tahu abang kesayangan kami ni tengah dilamun cinta…” Mia memainkan jari telunjuknya.
Aku melepas nafas. Mia memang pandai membuat kemarahanku bertukar arah. Ila sudah menukar duduknya, di sisi Ila. “Ila tak sengaja.. Ila minta maaf”.
“Along maafkanlah.. Mia nak jumpa kakak tu.. nampak comel je along punya wallpaper..” Mia sengih sendiri.
Aku melepas nafas. “Kau orang ni.. memanglah”.
“Memanglah kami adik along..” Mia dan Ila mengucap serentak.
Aku diam. Memang rancanganku mahu menemuinya esok kerana hajatku hari ini tidak kesampaian. Ila dan Mia aku pandang. “Esok, pukul 8.00 pagi. Siapa lambat along tinggal”.
Jam 7.30 pagi aku keluar dari bilik, Mia dan Ila telah pun bersiap dan sedang bersarapan di ruang makan. Takut juga kena tinggal rupanya. Semangat benar mahu menemui Atikah. Selalunya usai solat subuh, keduanya terbongkang di atas katil bila cuti sekolah.
Keduanya menyengih padaku bila aku bertanya mengapa awal benar siapnya.
Banyak benar soalan dua adikku itu apabila keretaku memasuki perkarangan hospital. Pasti mereka tidak menyangka gadis yang berjaya menjadi pencuri hatiku adalah seorang pesakit.
Pintu bilik Atikah aku buka dan terlihatlah Atikah yang sedang tersenyum berbual dengan seorang wanita lingkungan 40-an, ibunya mungkin. “Assalamualaikum”.
Atikah dan wanita itu memandang. Atikah seraya menjawab salamku dan dua orang adikku. “Bayu”.
Aku maju ke depan. “Kenalkan ni adik saya, Mia.. Ila. Ini Kak Tikah” aku menunjuk.
Mia dan Ila maju menyalami tangan Atikah dan wanita berumur itu. Atikah ketawa kecil melihat mereka berdua. “Kembar seiras?”
Mia tersenyum, begitu juga Ila. Aku melepas nafas lega. Nampaknya Atikah disukai kedua adikku. Baguslah..
“Ni ibu saya. Boleh panggil Cik Rifa” Atikah mengenalkan.
“Assalamualaikum Cik Rifa” aku menunduk memberi tanda hormat.
“Waalaikumussalam. Jadi kamulah Bayu Merlimau?” Cik Rifa tersenyum mesra padaku.
Aku mengangguk. “Dah lama Cik Rifa sampai?” aku menyoal, berbasa basi.
“Lama dah..” dia menjawab. “Mak cik nak balik dah ni. Aliff dah sampai.. Bayu dah kenal Aliff kan?”
Aku mengangguk, mengiakan pertanyaannya. Cik Rifah mengambil beg tangannya dan meminta diri. Aku melihat dia membelai Atikah penuh kasih. Pastinya Atikah dibesarkan ibu yang sangat penyayang. Dia juga berjanji akan datang membawa makanan kegemaran Atikah esok hari.
“Jadi mana satu Ila, mana satu Mia?” Atikah menyoal mesra.
Kelakar pula melihat dua adikku jadi ‘ayu mayu” tiba-tiba. Barangkali masih terkejut dipertemukan di hospital.
“Jawablah” aku sengaja mengusik.
Atikah tersenyum. “Mana satu?”
Mia maju ke depan. Duduk di sisi kanan Atikah. “Saya Mia, adik. Yang tu Ila, kakak”.
Atikah mengangguk. “Tapi sama sangat mukanya. Kak Tikah mesti tertukar orang nanti” dan dia tersengih.
Aku melihat. “Tak susah pun. Mia ni banyak cakap dari kakak dia” aku memberitahu.
Mia langsung saja bangun mencuitku. Marahlah tu kononnya.. “Awak dah ok?”
Atikah mengangguk. “Dah, alhamdulillah. Sebenarnya rasa nak merayau hari ni, tapi doktor tak bagi keluar bilik. Dia ingat badan saya lemah sangat ke..?”
Aku tersenyum. Pasti kanak-kanak di wad semua merindukan Kak Hati mereka. Oh ya, sampai saat ini aku masih lagi tidak tahu mengapa dia dipanggil hati rumah sakit.
“Bila-bila nanti, kita keluar sekali eh Kak Tikah?” Mia menyoal, pasti tidak selesa di hospital.
“Tak suka hospital ke?”
“Akak suka hospital?” Ila akhirnya bersuara. Aku hanya memerhati ketiga gadis itu berbual.

Atikah ketawa. “Hospital ni dah jadi rumah kedua akak. Kalau tak suka, tak bolehlah balik”.
Mia dan Ila terdiam dan memandangku. Aku hanya mengangguk. Tahu sangat di kepala mereka terlalu banyak persoalan, lebih-lebih lagi Mia.
Atikah bagai memahami. “Tanyalah apa nak tanya. Sebab Ila dengan Mia adik Bayu, akak akan cuba jawab semua soalan” kedua bahu adikku Atikah paut.
Tapi aku dapat lihat wajah Ila dan Mia yang dipenuhi raut rasa bersalah. Apalah agaknya yang mereka fikirkan?
Mia mengangkat tangan bagai mahu menyoal guru yang sedang mengajar di dalam kelas.”Mia dulu boleh?”
“Silakan Mia”.
“Akak sakit apa? Kronik ke?”
“Heart failure.. tapi alhamdulillah Allah masih bagi pinjam nyawa sampai dua puluh empat tahun” Atikah ketawa kecil di hujung ayatnya.
Mendengar kata-kata Atikah yang jujur tapi dibuat gurauan, Mia langsung terdiam. Wajahku dipandang. Matanya masih mahu menyoal tapi mulut sudah tidak boleh berkata-kata nampaknya. Perkataan ‘heart failure’ itu saja sudah cukup untuk membuatkan dia tergamam.
“Janganlah macam ni. Ila tak ada soalan?” Atikah mengusap kepala Ila yang berbalut tudung.
Ila memandangku. “Walaupun akak sakit, tapi Ila happy sebab along pilih akak”.
Aku membulatkan mata mendengar

kata-kata Ila. Atikah mengerutkan dahi mendengarnya. Tidak tahulah aku dia mendengar dengan jelas atau tidak, namun aku sangat berharap dia tidak mendengarnya. Tidak mahu aku jika dia menganggapku yang bukan-bukan.
“Macam mana akak kenal along?” Ila menyoal, mengalih perhatian Atikah dari kata-katanya tadi.
Atikah ketawa. Pasti teringat kejadian fail jatuh beberapa bulan lalu. Aku juga ikut tersenyum mengingatnya. Kejadian salam perkenalan.
Aku melihat jam dinding sambil mendengar perbualan mereka. Khusyuk dan rancak pula perbualan mereka bila Ila menukar berbagai topik. Nampaknya Ila betul-betul ngam dengan Atikah. Mia pun sudah pulih dari kejutannya. Baguslah jika mereka bertiga selesa antara satu sama lain
Dalam kereta sewaktu perjalanan pulang dari hospital, habis semua soalan keluar dari mulut keduanya. Nampaknya keduanya sangat terkejut dengan fakta Atikah memiliki penyakit jantung. Penat pula aku mahu menjawab soalan kedua gadis itu.
Di meja makan malam itu, Mia tidak habis-habis menyebut nama Atikah.
“Kak Tikah yang cantik”.
“Kak Tikah yang manis”.
“Kak Tikah yang ayu”.
Ku fikir Ila tidak, rupanya sama saja. Keduanya teruja dengan Atikah. Mama dan papa tersengih memandangku. “Jangan lupa bawa bakal menantu mama datang rumah nanti”.
Ya, hasratku pun begitu. Aku mahu disatukan dengannya, tapi apakah aku akan punya kesempatan. Kata Aliff, keadaan Atikah hampir masuk tahap akhir. Pun begitu, kerana semangat gadis manis itu membuatkan dia tidaklah terbaring lemah di atas katil. Itu juga salah satu sebab doktor memintanya tinggal di hospital. Menurut Aliff, dia telah pun tinggal di hospital tiga tahun lamanya.
“Along” Ila memanggilku, menarik perhatian semuanya.
Aku memandang. Adik yang aneh ini… “Apa?”
“Along tahu tak kenapa orang kat hospital tu panggil Kak Tikah hati rumah sakit?”
Mataku membulat. Takkanlah pada pertemuan pertama Ila dan Atikah, dia sudah tahu lebih dari aku? Nampaknya ‘kamcing’ betul mereka berdua. “Ila tahu ke?”
Ila menjongket kening. Ceh, berlagak betul. “Kalau nak tahu, kena bayar”.

Aku membuat muka. Siapa yang pandai mengambil hati siapa? Apakah Atikah yang pandai mengambil hati Ila atau Ila yang pandai mengambil hati Atikah hingga semua perkara diluahkan? “nak upah apa?”
Saat itu Mia menyampuk,

“Kak Tikah suka Ila kan? Jealous Mia”.
Aku memandang Mia. Ila memandang Mia. Mama dan papa turut memandang Mia. Ayat yang baru diperkatakan kedengaran.. kelakar.
Lama Ila berdolak dalih akhirnya dia pun memberitahu mengapa Atikah dipanggil hati rumah sakit. “Kak Tikah tu…” dia berhenti. Sengaja membuat aku menanti.
“Dia sakit dari kecil. Masa mula-mula tu dapat doktor lain-lain. Sampailah jumpa Dr.Rina, doktor Kak Tikah sekarang. Dialah yang kasi gelaran hati rumah sakit tu. Sebab Dr.Rina kata, Kak Tikah dah jadi kesayangan hospital. Tapi kalau sebut hati hospital kan kelakar, jadi Dr.Rina bagilah nama ‘hati rumah sakit’. Comel kan?”
Aku mengangguk memahami. Ertinya pasti Atikah sudah menjadi pesakiy tetap Dr.Rina. Dari cerita Ila, rasanya Dr.Rina sangat sayangkan Atikah. Iya.. dia mudah disayangi. Contohnya aku.. yang baru mengenalinya beberapa bulan lalu.. sudah sayang padanya. Aku ketawa sendiri.
“Along gelak apa?” Mia pantas saja menangkap wajahku.
Aku sekadar mengangkat bahu. “Thanks for the story Ila. Sebagai ganjaran, nanti along bawa Kak Tikah datang rumah”.
Ila membulatkan mata. Begitu juga dengan Mia. Nampaknya kedua-dua adikku bakal jadi monyet melompat-lompat tiga saat kemudian.
Satu.. dua.. tiga.. dan tekaanku benar. Keduanya bangun dari kerusi dan melompat sambil memeluk antara satu sama lain. Hingga akhirnya papa bersuara meminta kami menyudahkan makan malam.

Jambak bunga matahari di tangan aku pandang. Sekilas, senyuman ku ukir pada bibir. Tidak sabar rasanya mahu menemui Atikah dan memberitahu bahawa papa dan mama sangat ingin berjumpa dengannya. Sedalam nafas aku tarik sebelum membuka pintu bilik Atikah.
Namun rasa terujaku menurun melihat bilik itu kosong tidak berpenghuni. Pun begitu baju Atikah masih lagi menghuni almari. Aku tinggalkan jambak bunga matahari di atas katil lalu keluar dari bilik mencari sesiapa yang boleh menjawab persoalanku di saat ini.
“Nurse” Aku memanggil jururawat yang kebetulan melalui bilik itu. “Mana Atikah?”
Jururawat itu menguntum senyum. “Encik cari Cik Hati? Cik Hati.. masuk ICU pagi tadi. Jantung dia ada komplikasi. Dr.Rina sendiri tengah rawat dia sekarang”.
Aku beristighfar berulang kali. Ya Allah, lindungilah hati rumah sakit itu.. hatiku juga, lindungilah Atikah. Aku berlari menuju ke ICU. Benar benar berharap agar gadis itu selamat..
“Abang” itu perkataan pertama yang aku dengar sebaik tiba di perkarangan.
“Tikah macam mana?” aku menyoal Aliff yang menyambut. Sekilas aku memandang ibu ayah Atikah yang sedang duduk menunggu. Aku menyalami ayah Atikah yang diperkenalkan sebagai Pak Cik Najman.
“Pagi tadi along tiba-tiba sesak nafas. Dr.Rina terus masukkan dalam wad, sampai sekarang tak keluar lagi”.
Aku menepuk bahu Aliff. “Abang percaya Tikah akan ok..”
Nafas ku lepas melihat Aliff melepas keluhan berat. Masa sudah hampit tidak ada buat kami. Apakah Atikah akan selamat atau tidak? Aku juga tidak tahu. Bagaimana jika kami tidak sempat disatukan.? Walaupun di saat akhir, aku mahu gadis itu digelar isteriku. Aku nekad.
Aku mendekati Pak Cik Najman dan Cik Rifah. Spontan aku duduk melutut di hadapan mereka. “Pak cik, mak cik..”
Aliff mengerut dahi memandangku. Aku tahu dia pastinya hairan dengan tindakanku. Tapi aku nekad, aku bimbang masa tidak mencukupi atau mungkin langsung tiada.
“Saya nak melamar puteri pak cik untuk dijadikan isteri”.
Mendengar kata-kataku, Pak Cik Najman terdiam. Manakala Cik Rifah merembes air matanya. Rasanya wanita ini pasti hidup dengan air mata mengenangkan puterinya.
“Abang..” Aliff menegur.
“Abang tahu apa abang buat. Abang fikir nak ambil masa untuk berkenal, tapi nampaknya masa Tikah tak banyak. Saya merayu pak cik, mak cik.. walau untuk beberapa ketika, saya betul-betul nak jadikan Tikah isteri saya” aku memandang kedua pasangan itu.
Cik Rifah memejam mata. “Bayu…”
“Saya janji, saya akan buat yang terbaik untuk Atikah. Jaga dia macam mana mak cik jaga dan sayang dia macam mana mak cik sayang.. Tolonglah, izinkan saya peristerikan Atikah”.
Pak Cik Najman menguntum senyum. “Kamu betul-betul sayangkan anak pak cik?”
Aku mengangguk tanpa menunggu walau sesaat. aku benar-benar mencintai gadis itu.
Bunyi lampu terpadam mengalih perhatian kami. Pak Cik Najman dan Cik Rifah saling berpandangan. Kami berempat sama-sama menanti di hadapan pintu.
Seorang doktor wanita keluar bersama seorang jururawat wanita di sisinya. “Kak Rifah..”
“Tikah macam mana doktor?”
Dr.Rina melepas nafasnya. “Alhamdulillah, Hati selamat buat masa ni. Tapi saya tak tahu berapa lama dia dapat bertahan. Dia perlukan jantung baru secepat mungkin.. tapi pihak hospital masih tak dapat sebarang maklum balas sampai sekarang..”
Cik Rifah melepas tangisnya. Dr.Rina memeluk wanita itu. Dia memandangku. “Awak Bayu?”
Aku mengangguk. Dr.Rina mengangguk. “Hati ada cerita fasal awak. Buatlah apa yang awak rasa nak buat secepat mungkin, sebab mungkin Atikah tak dapat bertahan lebih dari sebulan. Dan kalau dalam masa sebulan kami masih tak dapat penderma…”
Aku meminta diri dari hospital. Mahu segera menemui papa dan mama yang kebetulannya ada di rumah. Kereta ku pandu selaju yang boleh kerana mengejar waktu. Aku benar-benar bimbang masa tidak memberiku peluang.
“Papa! Mama!” aku bertukar menjadi Mia dan Ila yang sering menjerit sebaik tiba di rumah.
Dan akhirnya aku menemui mereka sedang menikmati makan petang bersama adik-adik kembarku di laman. Mudahlah jika semua ada bersama.
“Kenapa along jerit-jerit ni?” Mia memandang sambil menghirup teh hijau buatan mama.
“Mama, papa..” aku duduk melutut di hadapan mereka, di atas rerumput itu.
Mia dan Ila terdiam. Mereka tahu aku sangat serius saat ini. “Along ada benda nak minta”.
Mama memandang papa dengan kerutan dahi. Dan papa mengangguk. Aku melepas nafas dan mengambil nafas buat beberapa saat. “Along nak kahwin dengan Atikah”.
Mama memandangku. “Along tahu kan apa yang along cakap ni?”
Aku menganggukkan kepala. Wajah papa aku pandang. “Along suka Atikah sejak kali pertama tengok dia. Along fikir along nak ambil masa untuk saling berkenalan.. tapi masa Atikah dah tak banyak, pa. Doktor kata mungkin tak lebih dari sebulan…”
Papa memandangku. Tangannya memegang kepalaku. “Anak papa dah besar kan?”
Aku mengangguk, penuh yakin.
“Anak papa dah boleh fikir, dah boleh bertindak sendiri. Along tahu kan apa yang along buat?”
Aku mengangguk lagi. Dan papa tersenyum. “Papa izinkan. Mama?”
“Along yakin ini yang along nak?”
Aku memandang mama. Tangannya aku capai dan genggam erat. “Mama, along yakin. Walau sekadar dua tiga hari, along nak Atikah jadi isteri along.. Along tahu dan yakin, apa yang along buat ni benda betul..”
Mama mengangguk dengan air mata. Kepalaku dirangkul penuh kasih. Saat itu aku terpandang wajah Ila dan Mia yang keduanya mengukir senyum. Alhamdulillah…

Atikah tersenyum memandangku. Wajahnya kelihatan lebih pucat dari kebiasaan. “Assalamualaikum”.
“Waalaikumussalam..” gadis itu menjawab lemah.
Bunga matahari di tangan aku serahkan padanya. Dia menyambutnya dengan senyuman lalu memandang bunga matahari yang terletak kemas di dalam balang kaca di sisinya. “Itu tak layu lagi” dia bersuara perlahan.
“Atikah.. saya nak..”
Dia memandangku. Menanti kata-kata seterusnya dariku. Aku melepas nafas. “Sudi tak awak jadi sayap kiri saya?”
Atikah memandangku. Wajahnya jelas kebingungan. Tidak pasti samada tidak memahami ataupun terkejut dengan soalan.
Lama dia berdiam. Dan akhirnya memandangku dengan wajah selamba. “Sayap kiri tu… Kalau tukar jadi tulang rusuk boleh?”
Aku tersenyum. Nafas lega ku lepas. Langsung saja cincin perak yang baru dibeli semalam aku keluarkan dari poket bersama kotaknya. “Untuk awak”.
Dia menyambut dan membuka.Teruja namun tak bersuara. Aku yakin dia tidak bermaya untuk mempamerkan rasa terujanya lagi. Cincin itu disarung ke jari manisnya dan ditunjukkan padaku. “Muatlah”.
Aku tersenyum dan Atikah ikut tersenyum walau lemah. “Ibu ada cerita.. awak minta izin dari ayah..”
Aku ketawa perlahan. “Saya akan selesaikan semuanya secepat mungkin. Saya janji dalam masa tiga hari.. kita akan ijab kabul”.
Atikah mengangguk. “Terima kasih.. untuk semuanya”.
Aku tersenyum, bahagiaku melihat dia bahagia. Atikah berehat tak lama kemudian. Aku langsung pulang, mengajak Mia dan Ila membantuku mencari baju dan tudung buat Atikah. Papa berjanji akan membantuku soal tok kadi, wali dan saksi. Dia juga akan menjamu orang masjid walau mereka tidak dijemput ke hospital.
Pak Cik Najman dan Aliff juga turut membantu mana yang boleh. Aku benar-benar berharap semuanya berjalan dengan baik.

“Aku nikahkan dikau, Bayu Merlimau bin Bayu Mahadi dengan puteriku, Atikah Nusairi binti Najman dengan mas kahwin yang bernilai RM500.00 tunai”.
“Aku terima nikahnya Atikah Nusairi binti Najman dengan mas kahwin yang bernilai RM 500.00 tunai”.
“Sah?”
“Sah..”
Aku menguntum senyum memandang Atikah yang terbaring lemah di atas katil. Pun begitu, wajahnya tidak lagi pucat setelah disolek rakan baik mama. Selesai membaca doa selamat, aku menyarungkan cincin pada jari manis wanita yang telah bergelar isteriku.
Lama Atikah mencium tanganku dan lama juga aku mencium dahinya. Benar-benar aku berharap dapat melihat Atikah menuju usia tua bersamaku. Surat nikah ditanda tangani tak lama kemudian. Dapat aku lihat jelas air mata Atikah yang jatuh menitis.
“Kak long..” Ila dan Mia memeluk Atikah erat. Wanita itu.. hati rumah sakit itu.. telah sah menjadi isteriku.
“Kak long.. jaga anak mama elok-elok. Mama nak kak long jaga anak mama sampai bila-bila. Boleh?”
Atikah mengangguk mendengar soalan mama. Aku di sisinya mengesat air mata yang mengalir. Permintaan mama.. Mama juga pastinya ikut menangis dengan kata-katanya sendiri.
Malam itu aku ditinggalkan bersama Atikah, menjaganya sementara dia masih ada. Termenung aku menatap pemandangan dari balik tingkap kaca biliknya.
“Awak menyesal?”
Aku memandang, ternyata gadis yang sudah sah menjadi sayap kiri ku itu sudah pun terjaga. “Menyesal sebab?”
“Kahwin dengan saya mungkin?” Atikah mempamerkan senyum.
Aku menggeleng dengan senyuman. Aku mengambil tempat di sisinya dan membantunya menegakkan badan. “Takkan pernah saya menyesal buat benda yang saya nak”.
Dia tersenyum, dan air matanya menitis lagi. Sensitif benar isteriku sejak dua menjak ini, aku perasankan itu. “Kenapa menangis ni..?” aku menyoal lembut sambil tangan mengesat air matanya. Kemudian kedua tanganku melekap pada pipinya.
Atikah menggeleng. “Tak sangka… terima kasih”.
“Tak sangka untuk?” aku menyoal, sedikit bingung dengan ayat tergantungnya.
“Tak sangka saya akan dapat pengalaman macam ni. Ada suami.. ada jodoh” dia ketawa dalam tangisnya, meski tawanya lemah sekali namun aku tahu dia benar-benar ketawa.

“Sayang..” aku memberanikan diri menggunakan gelaran itu. Dan nampaknya Atikah tidak menolak. Tangannya ku raih. “Sebenarnya saya yang kena ucap terima kasih. Terima kasih sebab sudi jadi isteri saya, sudi jadi sayap kiri saya.. sudi jadi tulang rusuk saya..” aku bergurau.
Atikah ketawa kecil mendengar kata-kataku. “Sindir saya ke ni?”
Aku menggeleng kepala. Pipinya ku sentuh. “Saya janji saya akn cuba buat semuanya untuk awak. Saya tak boleh jamin, tak boleh janji yang bila awak jadi isteri saya.. umur awak akan panjang.. Jodoh, ajal, maut tu semua pada Tuhan. Tapi.. saya akan cuba jadi yang terbaik dalam yang terbaik untuk awak..”
Dan air mata wanitanya mengalir lagi. Aku mengesatnya. “Sejak bila isteri saya ni cengeng sangat?”
“Sejak kenal awaklah. Selalu sangat buat saya cengeng..” dia ketawa dalam tangisnya.
Ya Allah, Kau kekalkanlah perkahwinan ini hingga ke akhirnya. Aku benar-benar berharap Atikah akan mendapatkan penderma sesegera mungkin. Sebelum keadaannya lebih lemah dan sebelum semuanya terlambat.. Ya Allah..!

Aku ketawa kecil melihat Atikah di sisi yang kelihatannya sangat bahagia dapat keluar dari hospital. Ini pun setelah aku jenuh memujuk Dr.Rina agar membenarkan aku membawa isteriku itu keluar berjalan-jalan.
Syaratnya ada juga. Aku tidak boleh membiarkan Atikah terlalu lama terdedah pada angin luar dan harus pulang sebelum jam lapan malam. Angin malam terlalu merbahaya untuk tubuh Atikah yang sememangnya masih belum kuat.
“Seronoknya..”
“Mestilah.. Dah lama terperuk dalam bilik tau. Nasib baik awak pandai pujuk Cik Rina, kalau tak.. tak dapatlah saya keluar” Atikah berkata bahagia sambik sesekali memandangku yang sedang memandu memasuki taman perumahanku.
“Rumah papa?”
Aku mengangguk. Enjin kereta ku matikan. Pintu kereta ku buka untuk isteriku. Dan bersama kami melangkah masuk ke dalam rumah.
Ternyata Mia dan Ila telah menanti penuh keterujaan di hadapan pintu. Sambut kakak ipar katanya. Maklumlah kata mama dan papa sambut menantu, kedua adikku pun ikutlah juga.
“Amboi, sambut kakak ipar sampai terlupa abang sendiri” aku yang membawa barang belian tadi menjeling pada Ila dan Mia yang memapah Atikah duduk di ruang tamu.
“Eh, ada orang jealous lah..!” Mia bertempik sambil ketawa terbahak.
“Mestilah cemburu, korang curi isteri along tau..” aku melangkah ke ruang tamu lantas memaut bahu Atikah dari belakang.
“Dah lah along, nak muntah Ila tengok. Nak sweet-sweet pergi masuk bilik. Kat bawah, kak long kami punya..” Ila mengalih tanganku dari leher Atikah.
Atikah ketawa kecil. Suka betul dia nampaknya. Alhamdulillah, semoga semuanya berjalan lancar hari ini.
Suasana makan tengah hari itu meriah dengan gelak tawa dua adikku. Ditambah dengan suara ceria mama yang seronok menantunya datang berkunjung. Atikah juga agak bising, mungkin tenaganya sudah kembali memandangkan dia sudah lama tidak bertenaga.
Kami meminta diri tepat sebelum masuk waktu asar. Kerana mengejar masa mahu ke rumah ibu pula. Rencananya mahu makan malam.. tapi dikeranakan harus pulang sebelum jam lapan, maka di rumah ibu hanya makan petang sajalah.
“Kak long jaga diri tau. Esok mama bawa Ila dengan Mia tengok kak long..” beria pula mama berucap sewaktu bersalaman dengan Atikah.
“Mama.. along tengokkan isteri along.. mama jangan risau..” aku cuba menenangkan mama yang beria benar berdrama.
“Tikah pun.. nak minta mama jagakan suami Tikah bila Tikah dah tak ada..” air matanya langsung mengalir.
Ini yang paling tidak aku suka. Sudahlah usia perkahwinan kami baru tiga hari. Aku memandang Atikah di sisi. Tanganku yang terpaut pada bahunya aku turunkan. “Sayang…”
Mama mengangguk dan mereka berpelukan. Aku terasa tak sedap hati pula. Apakah masanya sudah tiba? Aku seupaya cuba menyedapkan hati.
Aliff menyambut kami dengan ceria di pintu rumah. Ibu masih sibuk di dapur membuat itu ini. Beria benar walaupun Atikah telah memaklumkan kami tidaklah lapar.
Ayah pula khusyuk membaca akhbar di laman rumah mereka yang tidak besar mana. Di hadapannya telah pun terhidang air dan beberapa jenis gorengan.
Ibu seronok bercerita itu dan ini pada Atikah. Aku pula lebih selesa berbual dengan Aliff dan ayah. Isu-isu semasa dan negara menjadi topik perbualan kami.
Sempat juga aku menjeling memandang isteri dan ibu mertuaku. Sesekali aku lihat ibu memegang pipi Atikah dengan linangan air mata. Bertambah pula rasa tidak sedap hatiku melihat adegan itu.
Tepat jam 6.00 petang kami beransur pulang. Ku lihat ibu dan ayah seperti keberatan mahu membenarkan Atikah pulang. Namun aku memaniskan wajah memberitahu masih ada esok dan esok lagi. Tidak mahu kedua mertuaku menangkap kerisauanku yang tidak habis-habis.
“Baru pukul 6.30.. saya nak pergi taman jap boleh?” Atikah menyoal padaku yang sedang memandu.
Aku memandang. “Tapi perjalanan dah setengah jam. Sampai lambat nanti Dr.Rina marah..”
Atikah ketawa kecil. “Tapi saya nak pergi taman.. Pergi yang dekat dengan hospital pun boleh.. tapi tak naklah taman hospital…”
“Tapi…”
“Please… Tikah nak pergi taman. Bolehlah…” isteriku cuba juga memujuk.
Aku akhirnya mengalah. Aku memasuki perumahan berdekatan hospital dan mujur ada taman permainan di situ. Aku membawa Atikah dan dia memintaku menolaknya menaiki buaian. Aku layankan saja memandangkan ini memang kesukaannya dahulu.
“Awak…”
“Ya sayang..”
Atikah menoleh padaku yang menolak dari belakang. “Nyanyi?”
Aku mengerut dahi. Apakah Atikah meminta aku bernyanyi? Dia mengerdipkan mata. “Nyanyi lagu ‘Buai laju-laju’…”
“Sayang… awak ok tak? Pelik je permintaan hari ni. Nak maghrib dah ni…”
“Please.. Kejap je..”
Aku menguntum senyum dan mula bernyanyi. “Buai laju-laju.. Sampai ke pokok sena… Apa dalam baju.. Sekuntum bunga cina…”
“Suara awak sedap. Macam kumpulan boria…” Atikah ketawa kecil.
Aku terus saja menyanyi hingga akhirnya Atikah bangun dari buaian. Kami singgah di surau berdekatan untuk solat Maghrib memandangkan Atikah bertegas tidak mahu solat di hospital.
Senyum ku melihat Atikah yang sudah lena di sisi. Pastilah keletihan setelah seharian keluar berjalan. Kereta ku hentikan di hadapan hospital kerana Dr.Rina memberitahu dia telah meminta seorang jururawat menyambut Atikah sementara aku memarkir kereta.
“Sayang…” aku mengejutkan Atikah. “Bangun.. kita dah sampai ni..” aku menggerakkan tubuhnya.
“Sayang…” aku menggoncang kuat lagi.
Kepalanya yang jatuh terlentok membuatkan aku naik risau. “Tikah.. Hati” semua nama gelarannya ku panggil.
“Maaf encik.. boleh saya tengok Hati?” jururawat di belakangku meminta laluan.
Aku ke tepi. Dan jururawat itu memeriksa Atikah. “Encik, kena bawa dia pergi emergency sekarang!” jururawat itu berlari masuk ke dalam. Dan beberapa saat kemudian, ada tiga orang jururawat bersamanya bersama Dr.Rina berlari keluar menolak sebuah katil.
“Bayu! Angkat Tikah letak atas katil cepat!”
Aku yang masih kebingungan hanya mengikut namun bler jelas terpancar dari wajahku agaknya. Aku memandang wajah Dr.Rina meminta penjelasan.
“Awak tahu tak angin malam ni bahaya macam mana?!” suara Dr.Rina agak tinggi saat itu.
Usai meletakkan kereta, aku berlari ke wad kecemasan. Dan mereka memberitahu Atikah sudah dibawa ke bilik pembedahan. Aku sedikit bingung waktu itu. Mengapa ke bilik bedah?
Ternyata ibu dan ayah sudah menanti di hadapan bilik bersama Aliff. Kata mereka, Dr.Rina yang meminta jururawat menelefon mereka. Aku menuju pada ibu yang sudah merah dan bengkak matanya. “Ibu…”
Ibu menggelengkan kepala. Barang kali tidak mahu mendengar apa-apa. Dia hanya membelai pipiku sekilas dan menoleh ke arah lain.
Aliff memaut tubuhku. “Abang long…”
“Kenapa bilik bedah?”
“Waktu kat bilik kecemasan tadi.. ada pesakit meninggal dan pesakit tu daftar untuk jadi penderma. Keluarga dia benarkan jadi Dr Rina terus bawa along masuk bilik bedah. Tapi dah lama ni…”
Aku melepas nafas. Kerana itulah ada ibu dan ayah. Untuk tanda tangan.. namun otak fikiranku tidak terlalu memikirkan itu. Aku lebih memikirkan bagaimana keadaan isteriku. Apakah selamat atau…
Isya’ berlalu dan malam itu aku bermalam di hospital. Hospital yang telah menjadi rumah keduaku sejak aku berkenalan dengan hati rumah sakit itu. Subuh pun datang, kemudian Zohor pula namun Atikah masih juga belum keluar. Risau aku bertambah melihat ibu yang tiba-tiba meronta dan menjerit ‘Tidak! Tidak!!’
Lampu bilik terpadam tepat jam 3.30 petang itu. Dr.Rina keluar dengan wajah kelatnya. Jelasnya air mata telah memenuhi wajah. Barangkali peluh dan air mata telah pun bersatu.
“Mak cik… Rina tak dapat selamatkan…” dia memeluk ibu.
Ibu rebah serta merta. Membuatkan Dr.Rina merembes keluar air matanya. Aku menguatkan semangat memandang Dr.Rina. “Boleh doktor ulang lagi sekali?”
Dr.Rina memandangku dengan wajah hampa. Saat itu, topeng mukanya dibuka. Menampakkan wajahnya yabg kemerahan dan basah. “Bayu.. saya minta maaf. Tuhan lebih sayangkan dia..”
“Jantung?”
“Saya dah cuba sebaik mungkin.. Mula-muka nampak macam ok, tapi jantung tu tak sesuai…” Dr.Rina menggelengkan kepala.
Aku terduduk di atas lantai serta merta. Suasana sudah pun kelam kabut dengan ibu yang pengsan. Ayah yang sibuk menyedarkan ibu. Aliff yang menyepak kerusi-kerusi, barangkali terlalu sedih. Dengan Dr.Rina yang menangis tidak berhenti dari tadi dan aku… hati rumah sakitku kini tiada, telah tiada!
Bagaimana harus ku khabarkan pada mama? Yang menantunya telah meninggal dunia? Isteriku yang baru tiga hari usia perkahwinan kami telah tiada? Isteri yang aku sendiri pilih dan merayu agar kami diizinkan menikahi satu sama lain telah pun pulang menghadap Ilahi?
Aku bangun berdiri semula. Kalau aku tidak kuat siapa lagi? Ya, memang aku sayangkan isteriku. Memang terlalu sayang pada isteriku. Tapi mana mungkin dapat aku tandingi kasih sayang ibu yang mengandungkannya dan membesarkan Atikah hingga dia berusia 24 tahun? Mana mungkin dapat aku tandingi kasih sayang ayah yang telah mendidiknya dan menjaga makan minum pakainya sejak dia dilahirkan? Dan tak mungkinlah dapat aku tandingi kasih sayang Aliff pada kakak yang telah dilihatnya sejak hari pertama dia lahir ke bumi. Justeru, antara kami semua harus ada yang menjadi penguat untuk yang lain.
“Tak pe doktor, doktor dah buat yang terbaik. Selebihnya saya akan uruskan” aku berkata dalam sebak dan air mata yang telah pun mengalir lebat.
Dr.Rina memandangku. Dia melepas nafas. “Bayu.. takziah”.
Aku mengukir senyum. Sesungguhnya Dr.Rina lebih sakit dengan pemergian ini. Dr.Rina telah pun menjadi sebahagian dari hidup Atikah, dan pastilah Atikah telah menjadi sebahagian dari hidupnya. “Doktor pun.. takziah. Saya akan uruskan jenazah isteri saya dan kebumi esok pagi”.

Jemaah yang hadir mula beransur pergi. Aku meminta ayah membawa ibu pulang kerana keadaan emosinya yang masih tidak stabil. Mata ibu kemerahan saja sejak malam tadi. Manakala Aliff ikut pulang memandu kereta untuk ibu dan ayah.
Aku mencium lembut batu yang dipacak sementara batu nisan belum ku tempah. Membayangkan itu kepala sang isteri. “Sayang, saya redha dengan pemergian awak. Awak adalah isteri yang terbaik buat saya.. dunia akhirat”.
“Along..”
Aku memandang kiri dan kanan. Dua adikku ku peluk erat. Ila mengusap belakangku. “Along ok kan? Kak long dah tenang tu…”
Aku mengangguk. “Along ok.. Ila dengan Mia jangan risau”.
Mia mengangguk. Dia memandang kubur Atikah dan ku lihat air matanya jatuh menitis. Mama dan papa datang padaku kemudiannya dan memberiku nasihat dan kata-kata semangat. Hingga akhirnya mereka turut pulang meninggalkan aku sendirian di tanah perkuburan.
Kala itulah aku menangis meronta semahunya. Mata ku pejam rapat tidak mahu air mata yang galak mengalir makin banyak. Atikah.. sayang…
Kini genap usia tiga tahun Atikah meninggalkanku. Aku masih tinggal di rumah mama seperti selalunya walaupun sudah bergelar duda. Ya, aku dan Atikah tidak sempat memiliki rumah sendiri.
Jadualku juga tidak banyak berubah. Aku pergi kerja dan pulang kerja. Berkunjung ke rumah ibu dan ayah pada setiap hujung minggu. Alhamdulillah, ibu telah pun dapat menerima takdir. Dan Aliff… yang kini sudah pun tahun keempatnya berada di luar negara, dengar khabar sudah punya pilihan hati. Tapi bila aku menyoal, katanya buah hatinya adalah buku-buku yang menimbun di bilik.
Mia dan Ila pula.. belajar di universiti. Papa meminta mereka melanjutkan pelajaran ke luar negara namun ditolak mentah-mentah. Katanya tidak mahu buat papa dan mama susah hati jika mereka berjauhan. Nampaknya Ila dan Mia yang keanakan telah bertukar menjadi Ila dan Mia yang bersopan.. walaupun Mia agak kasar berbanding kakaknya.
Dan aku.. Bayu Merlimau. Masih sama. Aku telah pun naik pangkat dari pengurus menjadi pengurus besar. Naik pangkat maka kerja pun bertambah. Kerja bertambah maka bertambahlah gajiku. Tapi bila bahagian pemasaran bermasalah, akulah orang pertama yang harus menghadapi kemarahan bos.
Ibu dan mama.. selalu saja membawa aku menemui gadis-gadis yang menjadi pilihan mereka. Namun bagiku, masih belum masanya aku menemui pengganti Atikah.
Masih tiada gadis yang dapat memancing perhatianku sejak pertama kali terlihat seperti Atikah. Bak kata orang, jumpa sekali terus ‘Ping!’. Tapi sejujurnya aku masih belum bersedia untuk itu.
Seperti biasa, hari Jumaat aku akan berkunjung ke kubur Atikah. Kata ibu, Jumaat adalah hari yang baik, penghulu segala hari. Jadi waktu cuti tengah hari seketika itu aku akan berkunjung juga ke kubur arwah isteri walau apa pun terjadi.
Kuburnya sudah cantik dan terjaga pastinya. Sedikit pun aku tidak akan membiarkan kubur isteriku mempunyai cacat cela. Tahlil dan menghadiahkan Surah Al Fatihah dan Yaa Siin semestinya. Berbual, bercakap menyatakan rindu, sayang dan sebagainya. Bagiku, Atikah masih kekal di hati.
Aku beransur saat melihat jam hampir masuk 3 petang. Sudah tiba masa pulang ke pejabat. Setengah jam kemudian, aku punya mesyuarat pula.
Aku memandang objek yang berada di jalan itu. Telefon pintar? Siapa pula tuannya? Setahu aku, sejak dari tadi tiada yang mengunjungi tanah perkuburan ini. Aku melihat sekeliling dan ya.. tiada orang.
Punat tengah aku tekan. Kalau ada apa-apa menjadi petunjuk. Dan mataku membulat melihat wajah yang menjadi wallpaper telefon pintar itu. “Tikah…” wajah itu saling tak tumpah seperti arwah isteriku. Memang ada perbezaannya tapi mirip… terlalu mirip.
“Encik”.
Aku mengangkat wajah. Terkejut melihat empunya telefon pintar berada di hadapanku. Bila di depan mata, wajahnya memang mirip dengan arwah isteriku tetapi Atikah lebih kurus dan lebih gelap.
“Telefon tu.. kakak saya punya..” gadis itu menunjum telefon pintar di tanganku.
“Kakak?” aku melihat sekeliling. Baru aku perasan ada sebuah Nissan Sentra berwarna hijau pekat. Dan pemandunya adalah wanita.
“Kakak saya memang suka letak gambar saya.. Kami dua beradik je..” ramah pula gadis itu bercerita. Barangkali memahami maksud wajahku yang kebingungan.
Aku mengangguk dan telefon pintar itu bertukar tangan. “Terima kasih ye..” gadis itu menguntum senyum dan memaling tubuh.
“Cik?”
“Ya?”
“Nama cik?”
Dia tersenyum mendengar soalanku. “Ikhwaniah. Saya pergi dulu, jumpa lagi InsyaAllah kalau ada jodoh” dan dia berlari anak masuk ke dalam kereta.
Aku tersenyum. Gadis itu sudah ku temui. Pengganti tempat arwah isteriku. Hati rumah sakit… terima kasih. Sekilas aku menjeling kubur isteri, tersenyum dan bergegas pulang..

********H.A.T.I.-.R.U.M.A.H.-.S.A.K.I.T.-T.A.M.A.T********