Demi Syaqiqah – P65

Tun Adib Nasir melepaskan sebuah nafas. Lega rasanya dapat pulang ke rumah sendiri. Esok dia harus berangkat ke Melaka pula, menyertai isteri serta anaknya. Pasti persiapan majlis hampir siap sepenuhnya.
Cik Zah melangkah keluar dari belakang. Menghampiri Tun Adib Nasir yang sedang berehat di atas sofa. “Tun..”
Saat itu, Pak Khai masuk membawa sebuah bagasi kecil yang dikeluarkan dari kereta. Melihat Cik Zah yang hendak memberitahu sesuatu pada Tun Adib Nasir, Pak Khai menyertai mereka.
“Kenapa ni?” Tun Adib Nasir menyoal, hairan dengan perilaku suami isteri itu.
Cik Zah memandang Pak Khai dan suaminya itu memandangnya kembali. Bagaimana harus mereka menyampaikan amanat Tun Maryamul Azra tadi? Tidak sanggup rasanya bila melihat wajah penat Tun Adib Nasir.
“Zah, Khai.. Cakap dengan saya, ada apa?”
Pak Khai menarik nafas dalam. Wajah isteri dipandang sesaat dan dia menatap wajah majikannya. “Tun, tadi Adib ada call.. katanya Dibah hilang. Tak lama lepas tu Tun Yam bagitahu.. Dibah kena culik”.
“Allah!” Tun Adib Nasir memandang wajah pemandu dan pembantu rumahnya. “Kenapa baru cakap sekarang? Cepat, kita ke Melaka sekarang juga”. Tun Adib Nasir segera menyarung semula kotnya, manakala Cik Zah bergegas mengambil beg bajunya di bilik. Pak Khai segera memasukkan semula bagasi kecil milik Tun Adib Nasir ke dalam kereta. Enjin dihidupkan dan perjalanan ke Melaka Bandar Bersejarah dimulakan.

##########

Rekod kemalangan yang menimpa Syamran dan Afiqah disemak semula, untuk kali yang entah ke berapa malam ini. DSP.Ghazali melepas nafas perlahan.
Dia yakin itu adalah sebuah kemalangan yang dirancang untuk membunuh Tun Adib Nasir sekeluarga, tapi mengapa tiada sebarang bukti untuk mencari dalang sebenar?
Ianya mudah. Pembunuh memotong wayar brek kereta dan melarikan diri. Tapi tiada sebarang petunjuk yang menuju kepada penjenayahnya. Apatah lagi, kejadian itu sudah berbelas tahun dahulu.
Bukan saja dia yakin ianya sebuah pembunuhan, malah hasil siasatan juga membuktikan ianya memang sebuah pembunuhan tapi mengapa tiada sebarang petunjuk?
Semasa dia menjadi inspektor dahulu, dia sudah pun memeriksa segalanya. Kamera tertutup di hadapan rumah Tun Adib Nasir pun tidak dapat memberi petunjuk. Pandai benar penjenayah itu bersembunyi dari kamera.
Dia sudah menyiasat semua yang disyaki Tun Adib Nasir namun sebarang jawapan masih belum ditemukan. Keluarga Syamran pula semuanya maut di dalam kemalangan itu. Kalaulah ada saksi yang boleh membantu…
Telefon yang berdering mengalih perhatiannya. Segera panggilan itu dijawab dengan kata-kata salam. “Ya?”
“Maaf, tuan. Ini Adib Nasir” suara di talian memperkenalkan diri.
DSP.Ghazali diam sejenak. “Ya saya. Ada apa yang saya boleh bantu, Tun?”
“Saya nak minta tuan tolong carikan bakal isteri anak saya”.
“Adib?”
“Ya tuan. Sepatutnya lusa majlis nikah, tapi pengantin perempuan tak dapat dikesan”.
“Baiklah, saya akan cuba yang terbaik. Di mana kita boleh jumpa?” DSP.Ghazali menyoal, manalah tahu kes kali ini boleh membawa petunjuk.
“Maaf tuan, saya dalam perjalanan ke Melaka sebab..”
“Kalau macam tu saya akan ke sana. Tuan tolong send location ye.. Assalamualaikum”.
DSP.Ghazali mematikan talian. Hasratnya untuk berjaga di pejabat sepanjang malam terbatal bila mendapat panggilan itu. Segera dia mengemas mejanya yang bersepah dan memandu pulang menemui anak isteri sebelum memulakan pemanduan ke Melaka.

##########

“Cik”.
Dia terjaga dari tidur. Satu-satunya manusia yang memanggilnya begitu adalah Im, tercari-cari Syaqiqah akan kelibatnya.
“Cik” suara itu memanggil lagi. “Sini” Im rupanya berada jauh di sisi kirinya.
Di sebelah Im berdiri seorang lelaki berparut di wajahnya. Dahi Syaqiqah berkerut melihat wajah itu.
“Ni bos kami” Im memperkenalkan.
“Keluar” Pisau memberi arahan pada Im. Rimas dia melihat Im yang dipenuhi rasa selamat itu. Patutlah Syaqiqah tenang saja walaupun diculik.
Im keluar, tidak berani melawan. Tidak sanggup rasanya nyawa melayang. Dia pernah terdengar mereka berbual tentang perilaku bos yg tidak ada hati perasaan kecuali pada tuan.
Dahinya berkerut melihat wajah berparut itu. Dia merasakan seperti…
“Adibah Syaqiqah…” Pisau tersenyum sinis sambil mengelilingi Syaqiqah.
Kepala Syaqiqah tiba-tiba terasa berpusing. Matanya berpinar-pinar. Dia memejam mata berulang kali melegakan sakit kepala yang datang tiba-tiba.
“Kau tahu kenapa kau kena tangkap?” Pisau tersenyum. Telefon pintarnya dikeluarkan dan gambar gadis itu ditangkap. Mahu dihantar pada Jalal, barangkali ia dapat menggembirakan bosnya yang asyik saja moody kebelakangan ini.
Syaqiqah tambah pening saat Pisau mengajukan soalan. Entah gambaran apa yang asyik bermain di kepalanya. Matanya dipejam rapat namun pusing kepalanya tak juga hilang. Imej yang tidak jelas berputar dalam fikiran.
“Aku tanya ni!” Pisau naik marah melihat Syaqiqah menunduk begitu.
Syaqiqah terkejut. Wajah itu dipandang. Dahinya berkerut melihat wajah itu. Mengapa… mengapa?
“Kau tahu tak kenapa kau kena tangkap?”
Laju Syaqiqah menggeleng. Tidak sanggup rasanya ditengking lagi. Tidak mampu kepalanya menanggung kesakitan akibat ditengking dan disergah sebegitu.
Pisau menguntum senyum. Dia ketawa melihat gelengan Syaqiqah. Asyik pula rasanya dia memadanmukakan gadis yang dibenci bosnya itu.
“Aku kenal kau” Syaqiqah akhirnya bersuara memandang lelaki itu.
Pisau terdiam. Gadis ini mengenalinya?

#########

Gambar gadis kesayangan pada telefon pintarnya ditatap lama. Entah bagaimana keadaan gadis itu saat ini, tiada khabar dan beritanya.
Sudahlah lokasi tak dapat dikesan. Signal yang datang dari telefon pintar yang menghantar video padanya pun tidak tahu sumbernya dari mana. Bagaimanalah dia boleh hidup dengan normal seperti ini?
Adib meraup wajah. Dian memberitahu Hannan tidak berhenti menangis kerana terlalu risaukan Syaqiqah. Ya, Adib mengerti. Bahkan Tun Maryamul Azra yang sudah semakin sihat itu pun kesihatannya menurun kembali sejak kehilangan Syaqiqah hingga Adib sendiri naik risau.
Lalu bagaimana? Daddynya pasti sedang mencuba sehabis baik untuk mengesan lokasi Syaqiqah bersama DSP.Ghazali. Tapi ia bukanlah mudah, apatah lagi segala teknologi yang boleh digunakan ditutup oleh pihak penculik dari sana.
“Iqah.. Iqah kat mana ni…” Adib merintih sendirian. Esok adalah hari sepatutnya mereka bernikah. Namun semuanya sudah dibatalkan. Kerugian bukanlah diambil kira berbanding kerisauan mereka sekeluarga atas kehilangan Syaqiqah.
Mujur tetamu jemputan tidaklah terlalu ramai. Mereka juga telah dimaklumkan akan pernikahan yang tidak akan terjadi itu. Bukan tidak akan terjadi tapi ditangguhkan. Siapalah yang menculik bakal isterinya dan mengapa dia melakukan hal sebegini jika tidak mahu meminta wang tebusan?
Bunyi mesej masuk mengalih perhatiannya. Dia baru berkira-kira mahu menunaikan solat Tahajjud andai matanya tetap tidak mahu lelap. Telefon pintar dicapai dan dahinya berkerut melihat nombor tidak dikenali tertera pada nama sang penghantar mesej.
Jantungnya mula berdegup kencang. Cemas dan takut bagai bersatu dalam rasa. Gambar yang dihantar adalah gambar Syaqiqah! Gadis itu sedang tidur namun tubuhnya masih juga terikat pada kerusi dan pemakaiannya masih kelihatan kemas seperti video beberapa hari lalu.
Nombor itu segera dihubungi namun tidak diangkat. Dan tidak lama kemudian ianya sudah tiada di dalam perkhidmatan. Adib menghantar mesej balas namun ia tidak terhantar.
Adib memejam mata. Ini pun dia tidak mengerti. Syaqiqah tidak diusik walau sedikit apatah lagi diseksa atau didera. Lalu mengapa dia diculik? Takkanlah hanya kerana mahu membatalkan majlis pernikahan mereka?
Adib membulatkan mata. Atau benar? Penculiknya mahu melihat majlis pernikahannya batal? Kerana itu ia diculik saat majlis hampir tiba namun wang tebusan tidak diminta walau satu sen!
Harraz yang lena di sebelah dipandang. Nafas ditarik. Dia mahu segera menunaikan solat Tahajjud dan mengajak Harraz ke Kuala Lumpur. Hanya ada seseorang yang mahu melihat pernikahannya dibatalkan. Amy!

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s