JULIA – BAB 47

Peta di atas meja kerjanya diperhati. Pen di tangan memainkan peranan menjadi penanda. Zakuan di hadapan yang turut sama memerhati peta itu dipandang.
“Sekarang mesti dia dah keluar dari hutan. Jadi aku nak kau kerah orang cari kat kawasan keliling kita” Salim melukiskan bulatan pada tempat-tempat yang disebutkan.
Zakuan mengangguk. Meneliti tempat-tempat yang ditanda bos.
“Rasanya paling tepat dia lari arah bertentangan pintu keluar, jadi…” Salim menanda pangkah menggunakan pen berwarna merah pada peta itu.
Zakuan mengerutkan dahi memandang tempat yang ditanda bos,”Bos rasa dia orang masih kat KL ?”
Salim diam sebentar,”Mula-mula cari KL dulu. Kalau tak de baru cari tempat lain”.
Zakuan mengangguk tanda memahami. Nampaknya bos sudah mula tenang. Pasti bos sudah tahu apa yang harus dilakukan bagi mencari cik muda.
Salim senyum kambing. Dia yakin Julia kesayangannya akan ditemukan. Bersama lelaki keparat itu, Luqman. Sebaik Julia berada dengannya Luqman akan dia kerjakan habis-habisan.

*………………*

Has duduk termenung di biliknya. Telefon bimbit milik Luqman digenggam kemas. Pandangannya memandang telefon bimbit itu.
Mengapa telefon bimbit ini ada padanya? Bukankah abang sangat sayang akan telefonnya? Lalu mengapa ia ditinggalkan?
Has menggaru kepala yang tidak gatal. Apa yang terjadi sebenarnya? Mustahil abang ke Pulau Pinang tanpa membawa telefon bimbit. Lagipun itulah satu-satunya telefon bimbit yang abang miliki.
Abang bukan jenis suka mengganti benda yang masih boleh digunakan. Lagipun telefon itu juga masih cantik seperti baru diguna dua tiga bulan lepas. Has sendiri maklum betapa abang pandai menjaga hak miliknya.
‘Kenapa abang tinggal fon dia?’ Has bermonolog sendirian cuba mencari jawapan. Namun jawapan tetap tak ditemukan.
Mengapa telefon itu ada padanya? Mengapa? Apa sebenarnya yang mahu abang sampaikan?

*……………….*

Suasana di ruang tamu sunyi sepi. Pak Tua duduk di kerusi yang menempatkan satu orang. Manakala Luqman di sebelah kiri dan Julia bersama Mak Tua bertentangan dengan kerusi Luqman.
Pijan sudah lama melelapkan mata. Kata Mak Tua esok dia punya tugasan pondok belajar. Jadi harus keluar seawal jam 5.00 pagi.
Julia mengusap tubuh yang kesejukan. Lapisan selimut yang diberi Mak Tua masih belum dapat menampung kesejukan tubuhnya. Tambah lagi dia memang jenis yang tidak tahan sejuk.
Pak Tua memandang wajah-wajah di hadapannya.
“Luqmanul Hakim dan Julia Aleeya. Benar?”
Luqman dan Julia mengangguk. Sepertinya Pak Tua ada hal penting yang mahu dibicarakan. Kalau tidak takkanlah meminta mereka berkumpul di ruang tamu tengah malam begini.
Pak Tua mengambil nafas. Walau bagaimana pun pasangan muda itu harus dimaklumkan tentang adat Kampung Sentosa. Lebih baik dia berjaga-jaga sebelum berlaku perkara yang tak diingini.
“Pak Tua terus terang ya. Luqmanul dan Julia benar bukan pasangan hidup?”
Keduanya mengangguk serentak. Mak Tua memegang kedua tangan Julia. Julia mengerut dahi. Apa yang bakal Pak Tua sampaikan?
“Ada penjelasan?”
Luqman diam. Begitu juga Julia. Sekilas mereka berpandangan. Luqman mengangguk dan Pak Tua menanti. Apa yang akan dijelaskan Luqman bakal menemui penyelesaiannya.
“Jika di kampung ini, tidak membenarkan teruna dan dara yang tiada tali ikatan tinggal bersama. Jadi … ” Pak Tua terhenti. Tidak tahu bagaimana harus meneruskan ayat.
Luqman mengerutkan dahi. Dia faham maksud Pak Tua. Jika adat kampung tidak membenarkan dua orang yang tidak muhrim tinggal bersama , ia adalah bagus. Pastinya ia menepati syari’at Islam. Lalu apa yang menjadi masalah?
Dia dan Julia boleh dipisahkan. Mereka tidaklah terlalu melekat hingga tak boleh dipisahkan. Dia sendiri sedar bahawa dia dan Julia masih tiada ikatan yang sah di sisi syari’at mahupun undang-undang.
“Saya dengan Lia boleh tinggal asing-asing” Luqman memandang Pak Tua. Dia sebolehnya tidak mahu menceritakan perkara sebenar pada pasangan suami isteri ini. Cuma ketika ini, dia dan Julia tidak boleh ke mana-mana sehingga dia yakin keadaan sudah selamat.
Pak Tua menggeleng,” Pak Tua bukan menghalau. Tapi Luqmanul dan Julia dijumpai orang kampung. Dalam keadaan sama-sama berpelukan. Itu sudah menimbulkan fahaman pada orang kampung bahawa Luqmanul dan Julia ada tali ikatan “.
Luqman diam. Nampaknya ia tak semudah yang disangka. “Saya boleh terangkan kat orang kampung yang kami tak de kaitan apa-apa”.
Julia mengangguk menyetujui. Pak Tua menguntum senyum lemah,” Luqman masih belum kenal orang kampung ini. Bukan semudah yang Luqman sangka. Sekarang Pak Tua mahu penjelasan. Kalau Luqmanul dan Julia bukan pasangan hidup, bagaimana boleh tersesat di sini bersama?”

*………………*

“Jadi Luqmanul dan Julia dalam pelarian?”
Luqman dan Julia mengangguk. Pak Tua mengangguk-angguk. Wajah isteri dipandang. Rasa kasihan yang memang sudah ada bertambah-tambah mendengar cerita Luqman. Sememangnya tidak selamat untuk Luqman dan Julia meninggalkan kampung ketika ini.
Julia memandang wajah Mak Tua, mengharapkan belas kasihan. Dia tak mahu usaha abang Hakim menyelamatkannya menjadi sia-sia.
Pak Tua menarik nafas,” Orang kampung meletak Luqmanul dan Julia di rumah Pak Tua kerana Pak Tua kepala kampung. Pak Tua tahu anak berdua dalam kesusahan. Kerana itu Pak Tua membantu. Orang kampung tidak membenarkan teruna dan dara yang tidak ada tali ikatan tinggal bersama kerana dikhuatiri membawa bala. Itu memang sudah kepercayaan Kampung Sentosa sejak berabad lama “.
Luqman diam. Fikirnya soalan Pak Tua tadi kerana ajaran Islam yang diamalkan. Rupanya kerana ia kepercayaan dan adat kampung ini.
“Luqman dan Julia faham apa yang Pak Tua cuba sampaikan?”
Luqman mengangguk perlahan, begitu juga Julia. Walaupun tujuan sebenarnya masih samar-samar tetapi setakat ini apa yang disampaikan Pak Tua masih boleh difahami.
“Pak Tua mohon maaf kalau anak berdua terasa tak dialukan. Tapi kerana anak berdua tidak ada tali ikatan, sukar untuk anak berdua tinggal di kampung ini. Benarkan Pak Tua memohon anak berdua keluar dari kampung ini”.
Julia dan Luqman terdiam. Kata-kata Pak Tua membisukan mereka. Bagaimana mereka boleh keluar dari kampung ini dalam keadaan sekarang? Bagaimana kalau dijumpai Salim dan orang-orang Geng Helang Hitam?
“Tapi Pak Tua .. saya dah terangkan kat Pak Tua apa yang terjadi” Luqman membantah. Dia tidak mahu membahayakan nyawa Julia juga dirinya.
Pak Tua tersenyum,”Pak Tua faham. Tapi Luqman boleh fahamkan orang kampung? Pak Tua bimbang pergolakan terjadi kerana kedatangan anak berdua. Sebelum orang kampung dapat tahu anak berdua sudah sedarkan diri, lebih baik anak berdua tinggalkan kampung ini. Pak Tua boleh hantarkan ke pekan”.
Mak Tua memandang Julia. Wajahnya jelas mempamerkan rasa simpati. Tapi apa yang boleh dilakukan? Dia sendiri tidak menyangka teruna dan dara ini bukan pasangan hidup.
Luqman diam. Dia dan Julia dibawa sungai ke kampung ini. Kampung Sentosa. Dia sendiri tidak tahu mereka berada di negeri mana. Tapi lebih baik dia dan Julia tidak tahu. Mungkin itu dapat menjamin keselamatan mereka.
Kampung Sentosa punya kepercayaan dua orang yang tidak punya hubungan apa-apa atau dari segi syari’atnya dua lelaki dan perempuan yang tidak mahram tinggal bersama akan membawa bala.
Dia dan Julia tidak boleh dipisahkan kerana mereka dijumpai dalam keadaan berpelukan. Dan orang kampung sudah tersalah faham bahawa mereka adalah pasangan suami isteri.
Ternyata bukan dan dia sudah menerangkan apa yang terjadi. Pun begitu tak semua orang kampung seperti Pak Tua yang boleh menerima alasan benar ini. Kata Pak Tua pasti akan ada yang menyangka dia dan Julia mereka-reka cerita.
Tapi dia dan Julia tidak boleh meninggalkan kampung ini. Di waktu begini, mereka harus bersembunyi dari Salim dan orang-orangnya. Lokasi Kampung Sentosa yang berada di pedalaman dan jauh dari orang-orang adalah tempat yang sangat sesuai untuk mereka bersembunyi.
Lagipun kalau dia dan Julia keluar, dia bimbang mereka dijumpai. Bukan mereka tidak tahu bahawa orang Salim bersepah di sana sini. Seandainya mereka ditemukan Salim dan orangnya, usahanya menempuh hutan berhari-hari cuma sia-sia semata.
Wajah Pak Tua dipandang. Dia sudah tiada kata. Baik dia dan Pak Tua dua-dua membisu. Mak Tua memandang Julia yang sudah mula menitiskan air mata. Pasti dara sudah penat dengan apa yang menimpanya.
“Masih ada satu jalan penyelesaian” Mak Tua memandang suaminya.
Luqman dan Julia mengangkat wajah. Masih ada jalan keluar? Mereka akan cuba usahakan andai ia tak terlalu berat.
Pak Tua mengangguk,”Memang masih ada. Tapi Pak Tua tidak tahu Luqmanul dan Julia mahu lakukan atau tidak”.
“Apa?” Luqman dan Julia menyoal serentak.
“Luqmanul dan Julia harus disatukan”.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s