JULIA – BAB 48

Diam. Sunyi sepi. Tidak ada yang tahu apa yang harus diucapkan. Baik Pak Tua dan Mak Tua mahupun Luqman juga Julia sekalipun.
Kata-kata Pak Tua tadi adalah penyebab tercetus suasana ganjil itu. Julia sedari tadi menunduk. Kalaulah satu-satunya jalan keluar hanya dia dan Luqman disatukan .. apa yang harus dilakukan?
Luqman meraup wajah. Sudah keluar dari hutan dengan selamat. Malah sudah punya tempat bersembunyi buat sementara malah ini yang terjadi.
Julia dipandang. Gadis itu masih tunduk memandang lantai. Mak Tua di sisinya hanya menjadi pemerhati setia. Pak Tua sendiri kelihatan memikirkan sesuatu.
“Pak Tua tinggalkan anak berdua ya. Fikirlah apa yang patut dilakukan. Jika sudah ada jalan penyelesaian bersama, esok dibincangkan” Pak Tua akhirnya membuka suara.
Mak Tua mengangguk dan mengikut langkah suaminya. Tinggallah Luqman dan Julia di tengah ruang tamu itu. Pasti Pak Tua mahu memberi ruang untuk mereka berdua berbincang.
Julia mengangkat wajah. Nafasnya dilepas. Jarinya bersilang antara satu sama lain. Abang Hakim dipandang.
“Lia nak masuk tidur” akhirnya itu yang diucapkan.
Luqman memandang Julia yang sudah mengangkat kaki. “Lia”.
Langkah Julia terhenti namun dia tidak menoleh pada Luqman. Masih menghadap dinding.
“Lia..Lia sudi jadi pasangan hidup saya?”
Julia membulatkan mata. Langsung dia menoleh memandang Luqman. Ternyata Luqman juga memandangnya. Pandangan bertaut, hanya seketika.
Julia mengambil tempatnya semula,” Apa yang abang Hakim cakap tadi?”
“Sudi tak Lia jadi pasangan hidup saya?” Luqman menyoal lagi.
Kali ini Julia kematian kata. Fikirnya tadi dia tersalah dengar tapi sekarang dia tahu pendengarannya tak salah. Memang itu yang diucapkan abang Hakim.
Luqman mengangkat wajah memandang wajah gadis kesayangannya itu. Dia tahu Julia perlukan ruang dan masa. Dan dia bukanlah mahu mengambil kesempatan. Cuma tidak mungkin untuk mereka meninggalkan kampung ini sekarang.
“Abang Hakim cakap macam tu sebab situasi sekarang ke?” Julia menyoal meminta kepastian. Untuk apa dia menerima lamaran abang Hakim seandainya abang Hakim melamarnya hanya kerana situasi gawat yang mereka alami?
Luqman menggeleng dan menguntum senyum. “Mungkin itu adalah penyebab kenapa saya melamar Lia sekarang. Tapi seandainya peristiwa ni tak terjadi, saya tetap akan melamar Lia lepas saya habis belajar. Lia ingat lagi saya minta Lia tunggu?”
Julia mengangguk perlahan. Masakan dia lupa akan pesanan yang dititip abang Hakim pada Has itu. Tunggu.
“Lia faham kan? Yang saya memang berniat dari awal untuk menikahi Lia?”
Julia mengangguk lagi. Namun wajahnya tak diangkat. Sedari tadi tunduk memamdang lantai kayu itu.
“Saya minta maaf kalau Lia rasa saya ambil kesempatan. Dalam situasi sekarang kita tak boleh tinggalkan kampung ni. Tapi tu cuma penyebab kenapa berlaku sekarang. Kalau Lia tak diculik dari awal, mungkin saat ni Lia dah jadi isteri saya yang sah dari segi syari’at mahupun undang-undang” Luqman mengeluarkan ayat yang dikarang dalam otaknya. Pun begitu tetap dirasakan ‘karangannya’ tunggang-terbalik.
Julia menarik nafas sedalamnya. “Abang Hakim yakin yang ini keputusan terbaik?”
Luqman mengerut dahi mendengar pertanyaan yang dilontarkan Julia. Apakah itu petanda Julia tidak menerima lamarannya?
“Maksud Lia?”
Julia diam. Entah mengapa air matanya turun lagi. Mudah benar dia menangis. Apa yang menyebabkan dia terasa hiba dia juga tidak tahu.
Dia bukannya tidak menerima lamaran abang Hakim. Tapi dalam situasi ini kelihatannya abang Hakim seperti mengambil kesempatan. Lagi pula banyak yang harus mereka hadapi tika pulang ke Kuala Lumpur nanti.
Apa yang harus dijelaskan pada umi dan abi? Bagaimana pula dengan Cik Norman dan Cik Mariah? Pada Has yang pasti kebingungan dengan apa yang berlaku?
Dan pada masyarakat sekeliling yang sangat suka mengambil tahu kisah kehidupan Dato’ Norman yang dikenali sana-sini itu?
Luqman memandang Julia,” Lia rasa saya ambil kesempatan atas situasi sekarang?”
Julia menggeleng. Dia tidak punya niat untuk menyalah faham abang Hakim begitu. Dia tahu setiap keputusan yang diambil abang Hakim adalah untuk kebaikan mereka bersama.
Luqman diam. Mungkin memang benar ini bukanlah penyelesaian terbaik. Dan mungkin masih belum tiba masanya untuk dia dan Julia disatukan.
“Tak pe lah” Luqman mengukir senyuman semanis mungkin,” Kalau macam tu Lia boleh masuk tidur. Esok mesti Pak Tua akan keluar awal untuk hantar kita ke pekan”.
“Lia setuju” ucap Julia perlahan.
Luqman yang baru mengangkat punggungnya dari kerusi duduk kembali.
“Lia setuju. Lia setuju” Julia mengulang kata-katanya. Air matanya jatuh berderaian membasahi pipi.
Luqman mengetap bibir dan mengukir senyum. Alhamdulillah. Semoga keputusan yang mereka berdua capai ini akan memudahkan segalanya.
“Lia sudi jadi pasangan hidup saya?”
“Sudi”.
“Alhamdulillah”.

*……………..*

Salim melepas tembakan. Tepat masuk ke dalam hutan hilang dari pandangan mata. Entah ke mana tujuan sang peluru tidak diketahui.
Apa yang tak kena dengan dirinya hari ini? Mood kacau. Terasa bagai nak marah sentiasa. Kalau boleh semua orang mahu ditembak. Kaca yang sudah berteraburan di dapur menjadi penambah kerja mak cik Nafisah.
Nizam memandang dari tempatnya. Perlahan mengatur langkah menuju ke arah Salim. Pasti Faruk dan Kamil yang setia menjadi pengawal berdebar melihat mood bos hari ini.
“Bos” Nizam memanggil.
Salim diam. Wajahnya ditoleh memandang pembantunya itu. Pistol di tangan masih dalam pegangan.
“Kau nak apa?”
Nizam diam. Sudah lama dia tidak melihat mata bos semerah itu. Pasti bos sudah lama tak semarah itu.
“Bos .. Kenapa bos marah sangat ni?” Nizam cuba untuk menenangkan.
Salim mengeluh. Sudah penat menahan kemarahannya. Dia kembali memandang ke arah hutan di hadapan. Pistol di tangan diacu.
Dan tembakan dilepaskan bertubi-tubi. Hinggalah pistol kehabisan pelurunya, Salim mengeluh lagi.
Nizam di belakang mengerutkan dahi. Apa yang tak kena dengan bos sebenarnya? Bagai orang hilang jiwa lagaknya. Atau bos telah mendapat khabar tentang Julia kecintaannya itu?
“Zam” Salim memanggil.
“Ya bos”.
Salim menarik nafas,” Kau rasa tak apa aku rasa ?”
Nizam mengerut dahi. Sikap bos yang lain dari selalu memang menimbulkan rasa hairan dalam hatinya. “Rasa apa?”
“Lembab!”
Nizam terdiam. Dia pula dimarahi? Bukankah pertanyaan bos memang tidak patut? Bagaimana dua orang yang berlainan boleh berkongsi perasaan yang sama? Lagipun mereka bukanlah kembar atau punya hubungan darah apa-apa. Tentu sekali bukan suami isteri yang punya perhubungan hati.
Salim mengeluh lagi. Rasanya masuk kali ini sudah beratus kali dia mengeluh. Apa yang menyebabkan dia punya perasaan begini? Apa..?

*……………..*

Ruang tamu rumah Pak Tua yang kecil itu penuh dengan kehadiran orang. Majlis akad nikah teruna dan dara yang baru tiba di Kampung Sentosa lebih kurang seminggu lalu.
Pun begitu orangnya tidaklah ramai. Cuma dikeranakan rumah yang kecil kelihatan seperti orangnya ramai. Yang datang hanya orang-orang kepercayaan Pak Tua.
Seperti Pak Mahbub yang merupakan tok imam surau bersama isteri. Juga Pak Zuhur yang merupakan tukang azan surau kampung itu. Dan beberapa penduduk kampung yang sangat menghormati Pak Tua.
Sekadar memenuhi syarat sesebuah pernikahan bersama empat orang saksi, seorang wali dan seorang tok kadi serta pasangan yang akan diakad nikahkan.
Cuaca masih gelap menandakan matahari masih belum naik. Namun Pijan telah ke pondok belajarnya kira-kira 30 minit lalu. Majlis itu diadakan secara rahsia seboleh mungkin.
Julia tersenyum di sisi Mak Tua. Mak Tua sedari tadi mengusap kepalanya. Julia sendiri tidak dapat menggambarkan perasaannya sekarang. Apa yang sepatutnya dirasakan seorang wanita tika telah sah statusnya sebagai isteri?
Pak Mahbub menjadi tok kadi menikahkan Luqman. Pak Tua sendiri menjadi wali hakimnya bersaksikan empat orang penduduk kampung. Para hadirin yang sedikit bersama isteri itu mengucap hamdalah tika telah sah lafaz akad dari Luqman.
Menitis air mata Julia. Siapa sangka dia akan berkahwin dengan situasi seperti ini. Sudahlah dalam keadaan terkelam-kabut. Ketiadaan umi dan abi sudah tentu merupakan satu kekurangan.
Air matanya diseka Mak Tua yang berada di sisi. Julia mengukirkan senyuman. Wajahnya diangkat tatkala namanya dipanggil suara itu.
“Lia”.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s