JULIA – BAB 65

Nizam memandang kesemua bentuk cincin yang berada di balik kaca itu. Seorang gadis berusia sekitar pertengahan 20-an datang menyambut dia yang sedang memerhati.
“Ya encik. Ada apa yang boleh saya tolong?”
Nizam memandang. Tag nama pada seragam gadis itu dibaca. Atikah.
“Encik” gadis bernama Atikah itu memanggil.
Nizam menguntum senyum. Cincin kertas pemberian Nafisah dihulurkan. Atikah memandang kebingungan. Apa yang harus dia lakukan dengan cincin kertas itu?
Nizam menghulur tangannya semula. Atikah menjongket kening. Hairan dengan tingkah laku pelanggannya.
“Aku nak tengok … Nak tengok semua cincin perak yang sama saiz dengan cincin ni” dan cincin kertas itu dihulur kembali.
Atikah menyambut dengan senyum lebar. Pasti pemuda di hadapannya ini ingin menempah cincin untuk melamar wanita kesayangan, kerana itulah gayanya seperti orang tak keruan.
Nizam menanti Atikah menjalankan tugasnya. Kira-kira ada dua puluh bentuk cincin yang setiap satunya berada di dalam kotak masing-masing.
“Yang ni je?”
Atikah menggeleng. “Ada lagi yang lain, kalau encik tak puas hati..”
“Tak pe. Biar aku tengok dulu” Nizam memotong kata-kata Atikah.
Atikah menanti sendiri. Nizam memerhati semua bentuk cincin di hadapannya. Cincin kertas milik Julia diambil dan diperhati.
Dia sendiri tidak pernah berbual dengan Julia tentang Has. Apa yang Has suka dan tidak suka pun dia kurang tahu. Lalu bagaimana dia mahu memilih cincin yang sepadan buat Has?
Wajah Atikah dipandang lama. Termenung memikirkan apakah yang paling menonjol pada Has. Ceria, manja dan..
“Atikah kan?”
Atikah mengangguk mengiakan. Wajah pelanggan dipandang. Nizam mengangguk-angguk.
Dia diam seketika. Kemudiannya menyoal,”Orang perempuan suka apa?”
Atikah mengerutkan dahi. Pelanggannya mahu memilih cincin tapi tidak tahu apa yang disukai orang kesayangannya?
“Aku tak tahu nak pilih yang mana”.
Atikah diam sebentar. “Boleh saya tahu dia orangnya macam mana?”
Nizam mengetap bibir. Has orangnya bagaimana? “Manja, ceria, tegas…” dan ayatnya mati di situ. Tidak tahu apa lagi yang harus diperkatakan.
Atikah memerhati cincin-cincin yang diperlihat pada Nizam. Tiga antaranya didepankan agar lebih dekat dengan Nizam. “Saya rasa antara semua tiga ni paling sesuai”.
Nizam memandang ketiga bentuk cincin itu. Satu darinya yang mempunyai berlian di tengah ditolak. “Rasanya dia tak suka benda macam ni. Dia bertudung”.
Atikah menguntum senyum. “Kejap ye”.
Nizam hanya memerhati tingkah Atikah. Dia berlari anak ke almari kaca di sebelah kiri paling hujung dan datang membawa dua buah kotak cincin perak lainnya.
Senyum dikuntum buat Atikah. Sementara Nizam memerhati dua bentuk cincin yang baru diberi Atikah, Atikah menyimpan cincin lainnya.
Nizam memerhati cincin di tangannya. Sama cantik dan sama padan dengan Has. Wajah Has dibayang, agaknya mana satu yang akan menjadi kesukaan gadis itu?
Akhirnya cincin di tangan kanannya dihulur pada Atikah yang setia menanti. “Aku nak ni”.
Atikah mengangguk. Cincin lainnya diambil dan disimpan di tempatnya semula. Huluran Nizam disambut. Baru kakinya ingin melangkah ke belakang untuk membungkus, Nizam memanggilnya.
“Orang perempuan suka ukir kan?”
Atikah mengerut dahi. Dia kurang tahu. Memang dia perempuan, tapi kata orang perempuan yang sedang punya cinta lain pandangannya. Namun akhirnya dia mengangguk juga.
Nizam senyum. “Kalau macam tu, aku nak ukir N love M boleh?”
“Boleh. Bila encik nak?”
“Dalam tiga hari lagi aku ambil”.
Atikah tersenyum dan mengangguk. Nizam beredar setelah membayar wang pendahuluan. Keluar saja dari kedai itu, langkahnya terhenti.
Nizam mengerut dahi. Mengapa dia melakukan semua ini?

*…………..*

“Mesti awak marahkan saya?”
Julia menggeleng. Sudah beberapa hari ini, Has asyik memberi soalan yang sama. Dan tiap kali itulah juga jawapannya.
“Betul tak marah?”
“Awak tanya saya marah tak awak suka Nizam. Kenapa saya nak marah? Sedangkan awak sendiri pun tak rancang benda tu kan?” Julia cuba menenangkan sahabatnya.
Has mencebik. Entah kenapa, sejak dia menceritakan semua pada Julia dia merasakan Julia tak senang dengannya. Walaupun sudah berkali Julia menegaskan dia langsung tak kisah, Has tetap juga berterusan menyoal.
“Habis sekarang awak nak buat apa?”
Has memandang Julia. Senyum diukir. “Sekarang, saya nak call abang lah. Dia kata nak datang, tapi tak sampai-sampai lagi”.
“Has” Julia memanggil, dia tahu Has sengaja mengalih topik.
Has duduk kembali. Telefon bimbitnya diletak di atas katil. Julia menjongket kening.
“Nak buat apa? Bukan boleh buat apa-apa. Dia sendiri takkan tinggalkan dunia dia. Awak pun tahu kan?” Julia dipandang Has.
Julia mengangguk dalam senyum hambarnya. Kasihan sahabatnya seorang ini.
“Takkan saya nak masuk dalam dunia tu pula. Sia-sialah didikan agama yang papa dengan mama bagi selama ni”.
Has melentokkan kepalanya atas katil. Julia diam. Kepala Has yang bertudung diusap. Tiada apa juga yang boleh dia lakukan.
“Awak sayang abang?” Has tiba-tiba mengangkat wajahnya.
Julia mengerut dahi. Apa pula kaitannya dengan masalah Has?
Has melepas nafas. Sudah dia tahu jawapannya, mengapa dia menyoal lagi. Dia juga tahu sikap Julia. Mustahil Julia akan menjawab soalannya.
“Agaknya memang sampai bila-bila macam ni ke?”

*……………*

Langkah diatur ke sel pertemuan. Wajah Dr.Hassan terlihat di balik pagar besi. Salim menguntum senyum buat pak sunya.
“Apa khabar? Sihat?”
Salim mengangguk. “Pak su datang seorang ke?”
Dr.Hassan mengangguk. Wajah Salim dipandang. En.Karim memaklumkan padanya perbicaraan akan diadakan tiga hari lagi. Mujurlah dia lapang waktu itu, bolehlah dia datang ke perbicaraan.
“Perbicaraan tiga hari lagi?”
Salim mengangguk. “Nanti pak su minta Nizam dengan Zakuan datang sekali”.
Dr.Hassan diam seketika. Teringat cerita Julia beberapa hari lalu. Patutkah dia memberitahu Salim bahawa Julia dan Luqman telah diijab kabulkan?
“Julia dah sihat ke?” Salim memandang.
Dr.Hassan mengangguk. “Dah ok sikit dari awal-awal dulu. Lagi berapa hari boleh balik”.
Salim senyum sendiri. Pasti tembakan yang dilepaskan Zakuan tidak setepat mana. Jika tidak, semestinya Julia masih terbaring di wad.
“Lim”.
Salim mengangkat wajah. Mengapa nada suara Dr.Hassan berubah? Apa yang tidak kena?
“Ju dengan Luqman …”
Salim menjongket keningnya. “Kenapa?”
Dr.Hassan memandang. “Lim masih sayangkan Ju?”
Salim diam. Sesaat dua, kemudian anggukan diberikan. “Kenapa?”
Dr.Hassan menggeleng. Dia tersenyum memandang Salim dan mula bercerita tentang lawatannya ke Sa-Nu dua hari lalu. Niatnya untuk memberitahu soal Julia dan Luqman dibatalkan.
Lebih baik dia jangan memberitahu Salim sekarang. Dengan berjalannya masa, suatu hari nanti Salim akan tahu juga.

*…………..*

Dia terjaga dari tidur. Mimpi yang sama lagi. Nafas ditarik. Apa sebenarnya masalah dirinya ini? Mengapa akhir-akhir ini dia kerap bermimpikan lelaki itu?
Wajah mama yang melangkah ke arahnya dipandang. “Bangun dah?”
Has mengangguk. “Mama baru balik?”
Datin Mariah mengangguk. “Papa dah pergi Hakim Legacy. Mukrimah kenapa tidur kat ruang tamu? Selalu masuk bilik terus”.
Has mendudukkan diri. Dia pun tidak sedar bila dia tertidur di sofa itu. Maklumlah, hari ini universiti mengadakan acara luar kawasan jadi letihnya berganda dari selalu.
“Ju kirim salam” Datin Mariah mengambil tempat di hadapan Has.
Has mengangguk. Mulutnya terkumat-kamit menjawab salam Julia. “Mama”.
Datin Mariah memandang. Has menggeleng. Hasratnya ingin menyoal soal mimpi tadi dibatalkan.
Has tidak mengerti. Sudah beberapa kali dia bermimpikan perkara sama. Nizam jatuh dari bangunan tingkat 9. Apa sebenarnya yang cuba disampaikan padanya?
Dia sudah tidak lagi menemukan Nizam sejak pertemuan mereka di taman tempoh hari. Nizam juga mengotakan janji, jika Has memberi jawapan yang sebenar-benarnya dia akan berhenti mengganggu Has.
Namun mimpi ini kerap mengganggunya. Dia tidak mengerti apa sebenarnya yang terjadi. Apa maksud mimpi ini sebenarnya. Apakah ini petanda bahawa Nizam dalam bahaya?
Atau..Nizam bakal mengakhiri riwayat hidupnya…??

*…………..*

Luqman mengambil buku riwayat hidup Siti Fatimah puteri baginda Rasulullah S.A.W di dalam almari kecil itu. Ia dihulurkan pada Julia yang memandang.
“Kalau terasa bosan, bacalah buku ni” Luqman tersenyum, menduduki kerusi yang berada di sisi katil.
Julia tersenyum dan mengangguk. Buku itu diselak helaian demi helaian. Luqman tersenyum meneliti wajah Julia.
Wajah itu nampak anggun walau tanpa sebarang bedak atau alat solek tercalit pada wajahnya. Lebih anggun dengan tudung bawal berwarna putih yang disarung. Sekalipun mengenakan pakaian pesakit, Julia tidak kelihatan terlalu pucat.
Julia mengangkat wajah bila terasa perasaan aneh menyelubungi. Pandangan mata abang Hakim membuatkan dia kaku. Seketika mata mereka bertaut.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s