DILARANG NIKAHI AKU – 11

Syakir menguntum senyum lebar bila Fah menutup pintu kereta. Susah juga mahu memujuk Fah menaiki keretanya. Tapi bila dia meyakinkan Fah bahawa dia hanya akan menghantar Fah pulang, Fah setuju juga.
Syakir mengambil tempat di sebelah Haikal dan Haikal meneruskan pemanduan. Fah diam di tempatnya. Sambil tangan rancak menaip mesej, berbual dengan Beel yang mengatakan pak longnya telah pun berlepas tadi.
“Fah” Syakir di hadapan memanggil.
Fah mengangkat wajah, memandang Syakir. Syakir menguntum senyum sebelum meneruskan kata-kata, “Rumah awak kat mana?”
Fah diam. Telefon bimbit bergetar menandakan ada mesej masuk dari Beel. Fah membaca mesej itu. Beel memintanya turun saja di villa opah. Pertama, Beel tidak percayakan Syakir kerana dia adalah teman Haikal. Kedua, Beel mahu tidur di rumah Fah malam ini. Jadi mereka boleh ke sana bersama saja.
“Fah” Syakir memanggil bila Fah berdiam.
Fah diam seketika. “Saya turun kat rumah Beel je”.
Syakir mengerut dahi. “Rumah Beel?”
Fah mengangguk. Syakir mengambil tempatnya semula. Bibir muncung. Fikirnya mahu tahu di mana Fah tinggal, rupanya Fah punya perancangan lain.
Haikal ketawa kecil melihat reaksi Syakir. Dia tiba-tiba teringat peristiwa malam itu. Dia benar-benar pasti telinganya mendengar opah memanggil Beel dengan panggilan Nab.
“Fah” Haikal memanggil namun mata masih menumpu pada pemanduannya.
Syakir memandang Haikal di sebelahnya. Fah diam menanti kata-kata Haikal. Tidak menjawab panggilannya.
“Memang opah panggil Beel dengan nama Nab ke?”
Fah diam. “Mana abang Haikal dengar nama tu?”
“Malam Beel lari?”
Fah mengimbas semula peristiwa malam itu. Terangguk-angguk dia mengiakan kata-kata Haikal. “Nama Nab tu dulu selalu opah guna tapi Beel tak suka sangat nama tu. Bila dah besar ni opah pun dah jarang guna. Cuma kadang-kadang tu adalah opah panggil dia Nab juga”.
Haikal mengangguk memahami. “Ooh”.
“Kenapa abang Haikal tanya?”
“Tak de apa-apalah” Haikal menguntum senyum dan Fah kembali menyambung perbualannya dengan Beel.
Syakir di sebelah Haikal yang sedari tadi memasang telinga memandang. Nampaknya Haikal memang belum melupakan gadis itu. Sampai bila agaknya? Bukankah dia sudah membuat keputusan untuk menikahi Suraya?
Jika Suraya benar-benar kuat cemburu seperti yang diperkatakan, masalah pasti akan timbul suatu hari nanti.

###########

Langkah diatur menuruni tangga perlahan. Seterusnya menuju pada ruang tamu. Dahi berkerut saat terlihat seseorang berada di ruang depan. Dan langkahnya maju.
“Tunggu siapa?”
Dia menoleh ke belakang bila mendengar suara Beel. Wajah mengukir senyum, menghadiahkan senyuman buat gadis yang dipanggi Beel itu.
Beel mencebik. Salah orang pula. Mengapalah dia tidak dapat mengenali Haikal dengan sekali imbas? “Buat apa kat sini?”
Haikal sengih, “Jemput kakak awaklah. Kalau awak nak ikut sekali, boleh juga”.
Beel mencebik. “Kak Su tu tak waras. Tu yang dia suka awak. Muka macam longkang, ada hati nak ajak orang keluar”.
Haikal mengetap bibir. Amboi, sesuka hatinya menyamakan muka orang dengan longkang. “Habis kau ingat kau tu lawa sangat?”
Beel ketawa mengekek bila Haikal menggunakan gelaran kau-aku yang kasar padanya. “Lawa tu tak tahulah, tapi comel tu memang ada”.
Haikal mengeluh. Penat mahu melayan tetapi dia memang suka bertikam lidah dengan gadis itu.
“Ehem …”
Suara Suraya berdehem mematikan perbalahan mereka. Dia melangkah menuju ke arah Haikal dan memaut lengan Haikal. Wajah Haikal berubah bila Suraya tiba-tiba bertindak begitu.
Beel ketawa geli hati. Suka melihat perubahan wajah Haikal. Suraya dipandang dengan senyum kambingnya. “Jangan risaulah Kak Su. Beel tak ingin pun dengan lelaki ni. Abang Wan tu 24 hours ada untuk Beel. Baik Beel pilih dia”.
Lidah dijelir dan dia berlari menuju ke dapur. Mencari Mak Jah bagi melihat kalau ada apa-apa yang boleh dimakan.
Suraya melepaskan pautan tangan membuat gaya mahu mengejar Beel. “Budak ni!”
Haikal menggeleng-geleng. Pasti Suraya selalu bergaduh dengan Beel. Iyalah, sikap yang berbeza bagai langit dan bumi antara mereka pasti membuatkan mereka tidak serasi.
“Su” dia memanggil.
Suraya menoleh, melemparkan senyum manisnya buat tatapan Haikal. “Ya”.
“Jom” Haikal menghulur tangannya. Suraya mengangguk dan menyambut huluran Haikal. Langkah diatur menuju pada Porsche yang sudah tersedia.

###########

Suraya mengukir senyum buat pelanggan yang menghidangkan kek chiffon kegemarannya. Sudu di atas meja dicapai dan dia mula menjamah kek.
“Sedap” Haikal dipandang.
Haikal mengangguk dengan senyuman. Suraya meneruskan suapannya. Dahi berkerut saat terlihat sesuatu berada di dalam kek.
Menggunakan sudu di tangannya, Suraya mengorek kek hingga terserlah sesuatu yang dilihat tadi. Haikal dipandang dengan kerutan dahi.
Haikal mengangguk dan menguntum senyum manisnya. Dia melangkah ke arah Suraya dan melutut di sisi Suraya. Kain putih yang berada di atas meja digunakan untuk membersihkan cincin itu.
Suraya memandang Haikal berkedip-kedip. Tidak memahami tindakan Haikal. Tidak faham dengan apa yang Haikal lakukan.
“Suraya Hanisah bt Zamri” Haikal menyebut nama penuh gadis itu.
Suraya menanti dengan wajah bingung. Cincin perak bertatah berlian yang berada di tangan Haikal dipandang.
“Sudi tak awak jadi pendamping hidup saya? Ibu pada anak-anak saya yang akan lahir nanti?”
Suraya diam. Dia tergamam sendiri dengan pertanyaan Haikal. Air matanya mula menitis tanpa disedari.
Haikal tersenyum menanti. Mempamerkan wajah penuh mengharap. Suraya mengesat air matanya. Perlahan anggukan diberikan buat Haikal.
“Sudi” ucapnya perlahan.
Haikal melepas nafas kelegaan. Senyum lebarnya dipamerkan dan keduanya sama-sama menguntum senyum.
Pipi Suraya diusap seketika. Cincin perak bertatah berlian itu disarung ke jari manis Suraya. Dan kedua-duanya mengukirkan senyum.
Satu misinya sudah selesai. Tidak lama lagi dia akan mengetahui apa yang terkandung dalam kotak rahsia yang ditinggalkan atok buatnya setelah bergelar suami pada cucu kawan baik atok.

##########

Safwan mengerut dahi melihat Beel sedari tadi mundar-mandir di laman. Dia yang duduk di meja batu bersama Fah memandang adiknya itu.
“Fah”.
Fah diam. Mata masih menumpu pada soalan fizik yang tidak dapat diselesaikan.
“Fah” Safwan memanggil lagi.
“Apa?” Fah menjawab namun mata masih menumpu pada buku kerjanya.
“Kenapa dengan Beel tu?”
Fah mengerut dahi. Memandang Beel sekilas dan menggeleng-geleng sendiri. “Beel!” nama teman baiknya itu dipanggil.
Beel memandang dan Fah menepuk-nepuk kerusi menyuruh Beel duduk. Beel mengeluh.
Fah mendengus. “Duduk sini dulu!”
Safwan mengerut dahi. Apa yang tidak kena? Keduanya kelihatan beremosi hari ini. Dia memandang Beel yang mengambil tempat di kerusinya.
“Dah lah tu. Tak habis-habis!” Fah membebel sambil menyelak helaian bukunya.
Beel mencebik. Safwan memerhati wajah Beel yang resah gelisah dari tadi. “Kenapa ni?”
“Kak Su dengan Haikal nak bertunang” Fah menjawab bagi pihak Beel.
Safwan mengangguk memahami. “Habis kenapa Beel gelisah ni?”
Beel memandang Safwan. “Abang Wan suka Kak Su bertunang dengan Haikal?”
Safwan mengangkat bahu. “Dah jodoh dia kan?”
Beel mengeluh lagi. Fah menutup bukunya dan memandang Beel. “Kau dah kenapa? Suka hati dia oranglah nak bertunang ke apa. Yang kau resah gelisah tak kena tempat ni kenapa?”
Beel diam mendengar kata-kata Fah. Iya, kenapa dia rasa resah gelisah semacam? Wajah abang Wannya dipandang. “Abang Wan suka Kak Su kan?”
Safwan mengerut dahi. “Suka Su?”
Beel mengangguk. “Mestilah Beel rasa lain. Abang Wan kan suka Kak Su tapi Kak Su pilih pak cik gila tu”.
Safwan memandang Fah. Fah mengangkat bahunya. Entah apalah yang Beel mengarut. “Bila masa abang cakap dia suka Kak Su?”
Beel diam. Fikirnya Safwan menyukai Suraya. Jadi sangkaannya selama ini salah? Safwan tidak menyukai Suraya.
Kata Safwan, gadis itu sangat Beel kenali. Kalau bukan Suraya lalu siapa gadis misteri pemberi semangat yang selalu diceritakan Safwan?

##########

Irah mengetuk pintu bilik Cik Beelnya. Dari perlahan hingga kuat namun masih tiada jawapan. Pintu dibuka, ternyata ia tidak berkunci. Langkah diatur menuju ke katil Cik Beelnya.
“Cik Beel!”
Irah separuh menjerit bila mendapati Beel masih nyenyak dalam tidurnya. Langsung dia berlari anak mengejut Beel.
“Cik Beel, bangun! Cik Beel!” tubuh itu digoncang hingga Beel sedar.
“Apa?” Beel yang masih memejam mata menyoal.
Irah mengerut dahi. “Cik Beel tak siap lagi?”
“Nak pergi mana? Hari ni kan cuti, Beel nak tidur. Kak Irah janganlah kacau Beel”.
“Cik Beel” Irah memanggil dengan nada serius.
Beel diam. Hanya mengeluarkan suara menandakan Irah mengganggu tidurnya. Irah menggeleng-geleng. “Cik Beel, hari ni hari pertunangan Cik Su”.
Beel membuka mata. Hari pertunangan Kak Su? Langsung dia bangun dari pembaringan. Jam dinding dilihat. Sudah jam 9.00 pagi?
Wajahnya diraup. Inilah padahnya tidur selepas subuh. Wajah Irah dipandang. “Kenapa Kak Irah tak kejut saya awal-awal?”
Irah tersenyum. “Kak Irah fikir Cik Beel ingat”.
Beel mula merengek. Dengan penuh kemalasan dia bangun dari katil dan mencapai tualanya. Kalaulah opah melihat dia sekarang, pasti teruk dia dibebel.

##########

Puan Sri Normah tertinjau-tinjau ke arah tangga sedari tadi. Ke mana cucu bongsunya ini? Sudah pukul 9.00 masih belum turun lagi.
Irah yang menuruni anak tangga dipandang. “Mana Beel?”
“Cik Beel baru bangun tidur” Irah memandang Puan Sri Normah.
Puan Sri Normah melepas nafas. “Nab, Nab … Suka macam ni. Tak sayang Kak Su langsung ke?”
Sakinah berlari anak datang pada Puan Sri Normah. “Ibu, Haikal dah sampai”.
Puan Sri Normah mengangguk. Suasana tidaklah terlalu gawat kerana Puan Sri Normah hanya menjemput orang-orang terdekat. Bahkan hadirin tidak lebih dari 20 orang.
Sakinah memimpin ibunya keluar. Zamri masih belum pulang dari luar negara atas urusan syarikat. Namun, dia telah memberi keizinan untuk mengadakan majlis pertunangan tanpa keberadaannya.
Puan Sri Normah menarik nafas. Langkah diatur menyambut Hazan dan Haikal yang datang bersama sebuah kereta. Semoga majlis pertunangan hari ini berjalan lancar. Insya-Allah.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s