DILARANG NIKAHI AKU – 30

Fah melangkah keluar dari kelas sambil membawa failnya di tangan. Jam tangan dipandang sekilas sebelum langkah diteruskan semula.
Dia harus menunaikan solat Zohor segera. Jam 2.30 petang dia akan punya kelas lagi. Langkah dipercepatkan menuju ke arah surau.
Kakinya kaku di muka pintu kelas. Terkejut melihat pemuda itu melambai ke arahnya.
“Hai”.
Fah masih diam membisu. Namun mata tidak lepas memandang. Ditambah dengan kerutan dahi membuatkan Syakir tersenyum.
“Assalamualaikum”.
Fah mengangguk. Salam Syakir dijawab. “Waalaikumussalam”.
“Terkejut ke nampak saya kat sini?” Syakir melangkah ke arah Fah, mendekatinya.
Fah mengangguk lagi. Syakir melebarkan senyum. “Ada kelas lagi?”
“Ada, pukul 2.30 nanti. Saya nak solat Zohor”.
Syakir mengangguk memahami. Dia membuntuti langkah Fah yang sudah menuju ke arah surau. “Awak seronok belajar kat sini?”
Langkah Fah terhenti. Syakir dipandang. “Mana awak tahu saya belajar kat sini?”
Syakir tidak menjawab sekadar tersenyum. Fah mengerut dahi. Teringat kata-kata abang yang jelas mengatakan abang tidak sukakan Syakir.
“Awak stalk saya ke?”
Kata-kata Fah membuatkan Syakir ketawa terbahak-bahak. “Saya bukan stalkerlah”.
Fah mengangguk tanda bersetuju. Syakir tidak kelihatan seperti orang jahat pada matanya.
“Kelas awak habis pukul 4.00 petang kan?”
Fah mengangguk. “Ya”.
“Lepas tu, awak nak pergi mana?”
“Abang saya datang ambil. Saya masuk dulu” Fah meminta diri dan terus meluru masuk ke dalam surau.
Syakir melepas nafas. Susah benar mahu memikat adik abang seorang ini.

#########

“Penatnya!”
Haikal memandang Beel yang sudah berbaring di atas katil. Hari ini dia membawa Beel memusing Bandar Kuwait.
Awalnya mahu memandu tapi Beel mengamuk mengatakan dia mahu berjalan. Jadi mereka menaiki bas, teksi dan berjalan kaki. Manalah tidak penat?
“Beel” Haikal memanggil.
Beel hanya mengeluarkan suara menandakan dia masih belum tidur. Haikal tersenyum melihat Beel. Langkah diatur menuju ke arah Beel.
“Beel” Haikal mengejut Beel. “Beel, Beel”.
Haikal menggeleng-geleng. Mengapalah tidak membersihkan diri dulu? Sedangkan dia yang seorang lelaki pun rimas jika tidur begitu. Inikan pula Beel yang merupakan seorang perempuan.
Haikal tersenyum melihat wajah Beel yang tenang dalam tidurnya. Selimut ditarik hingga menutupi separuh badan Beel.
Haikal melepas nafas. Kebelakangan ini dia selalu tersenyum melihat Beel. Apakah dia sudah mula sayangkan gadis itu?

###########

Hazan dan Humaira’ menguntum senyum pada En.Fahad yang baru masuk ke dalam rumah mereka. En.Fahad membawa briefcase dan sebuah beg bersamanya.
“Assalamualaikum”.
Hazan dan Humaira’ menjawab salam En.Fahad bersama. Humaira’ memandang suaminya. Ke mana pula perginya anak menantunya? Masih belum turun lagi.
“Jemput” Hazan menjemput En.Fahad masuk ke dalam.
En.Fahad tersenyum. Membuntuti langkah Hazan dan Humaira’ masuk ke dalam.

##########

“Cepatlah sikit!” Haikal mencekak pinggang memandang Beel yang baru melangkah keluar dari bilik air.
“Tahulah” Beel mendengus.
“En.Fahad dah ada kat bawah tu” Haikal mula membuat gaya bagai emak tiri.
“Ya…” Beel sudah membuat muka menyampah. Haikal dipandang. “Tunggulah kat luar”.
“Tak nak. Kalau saya tunggu kat luar, awak lagi lambat”.
Beel merungut sendirian. Penampilannya dilihat. Lupa pula mahu menukar baju di bilik air. Biarlah, siapa suruh Haikal tidak mahu menunggu di luar?
Beel mencapai sikat dan menyikat rambutnya sekali lalu. “Jom”.
Haikal mengerut dahi. “Macam tu je?”
Beel memandang. “Apa?”
“T-shir dengan seluar panjang?”
Beel mengangguk. Melihat dirinya. Apa yang tidak kena? Memang selalunya dia berpakaian begini.
“Tak nak tukar ke? Ada tetamu kat luar tu”.
Beel memandang. “Saya suruh awak tunggu kat luar tak nak”.
Haikal ketawa kecil. “Tukar jelah. Apa masalahnya kalau saya kat dalam ni pun?”
Beel menjeling. “Lelaki! Dah lupa Kak Su ke?”
Haikal terdiam mendengar Beel menyebut nama itu. Nama yang sudah berapa lama tidak terlintas di fikirannya. Dia bagai disumpah menjadi batu buat beberapa ketika.
Beel memandang sekilas. Kepalanya digeleng-geleng melihat reaksi Haikal. Apa lagi masalahnya? Sikat diletakkan dan dia melangkah keluar dari bilik.
Haikal tersedar dari lamunan bila terdengar bunyi pintu bilik tertutup. Menyedari Beel sudah tiada, Haikal berlari keluar mengejar Beel.
“Tinggalkan saya ke?” sengaja pinggang Beel dicuit.
Beel melonjak kegelian. Haikal dipandang dengan muka sakit hati. “Jangan kacai saya boleh tak?”
Haikal menjelir lidah. Wajah Beel dipegang menggunakan kedua belah tangan. “Sehari tak buat awak marah tak tenanglah hidup saya”.
Suara orang ketawa mematikan pergerakan Beel dan Haikal. Ada yang melihat merekakah?
Hazan tersenyum selepas tawanya. “Papa ingatkan belum baik lagi. Mesra betul”.
Beel mengerutkan dahi. Tangan Haikal di wajahnya ditepis dan dia menjauhkan diri dari Haikal. “Takkan sampai bila-bila papa”.
Hazan tersenyum nipis. Haikal membuat muka kelat. “Kenapa papa datang bilik kami?”
“Bilik awak bukan bilik kita” Beel menyampuk, membulatkan matanya.
“Nak panggillah. En.Fahad dah setengah jam sampai”.
“Tulah saya dah cakap tadi” Haikal memandang Beel.
“Saya suruh awak keluar, awak keluarlah”.
“Kata bilik saya, kenapa saya yang kena keluar?”
Beel mengangguk. “Ok. Kalau macam tu, saya pindah keluar. Saya duduk bilik tamu. Nanti lepas En.Fahad balik, saya minta pembantu rumah pindahkan barang saya”.
Haikal mengurut kepala menandakan kepeningannya. Terasa bagai menjaga anak berumur 12 tahun. Sedangkan itu adalah isterinya. ISTERI.
Hazan ketawa melihat pergaduhan manja itu. “Stop. Apa-apa pun, kena jumpa En.Fahad dulu. Siapa nak duduk bilik mana, bincang lepas ni. Boleh Haikal?”
Haikal mencebik memandang Beel dan memberikan anggukan buat papanya. Beel menjeling dan meluru ke ruang tamu. Tiada hati untuk memandang Haikal lagi.

##########

Mak Jah mengetuk pintu bilik utama itu. Setelah mendengar jawapan dari dalam, pintu dibuka.
“Puan sri”.
Puan Sri Normah tersenyum memandang Mak Jah. Album gambar Beel diletak di tepi. Memberikan ruang pada Mak Jah meletak makan petang di hadapannya.
“Puan sri rindukan Cik Beel?” Mak Jah menyoal sambil menuang air kopi ‘o’ panas ke dalam cawan.
Puan Sri Normah menguntum senyum. “Mahu tak rindu? Cucu kesayangan saya tu Jah”.
Mak Jah menguntum senyum. Duduk bersimpuh di atas lantai. “Saya rasa puan sri terlalu risaukan Cik Beel”.
“Saya tahu. Tapi tak de sehari pun yang saya lalui tanpa risaukan Beel. Macam manalah dia dekat Kuwait tu?”
Mak Jah hanya berdiam diri. Memang maklum bahawa Puan Sri Normah sentiasa memikirkan Beel dalam semua hal.
Puan Sri Normah meneguk airnya. Masih memikirkan cucunya yang bernama Nabilah Anisah. Bagaimanalah agaknya Beel melayan Haikal? Seperti suami? Ataupun kawan? Atau sekadar teman serumah? Entah-entah, kawan bermain?
Bagaimana pula jika satu hari nanti Hazan tiba-tiba menghubunginya mengatakan Beel membuat masalah di Kuwait? Keluhan dilepaskan. Beellah yang selalu menimbulkan kerisauannya.
Suraya juga. Sudah berapa lama terlentang di hospital. Masih juga tidak pulih-pulih. Kata Sakinah, makin hari makin sihat. Tapi tetap juga tak kenal orang.
Awal dahulu, dia menunjukkan perubahan positif bila Haikal melawat. Namun kini, dia mendiam kembali. Cuma tidaklah meracau seperti dulu. Itupun, kadang-kala terjerit-jerit juga.
Suraya nampaknya punya ikatan hati kuat kepada Haikal. Apa yang akan terjadi bila Suraya kembali sihat? Puan Sri Normah kenal sikap Suraya. Mustahil Suraya akan berdiam melihat Beel menjadi isteri Haikal.
Ketika itu, dia harus berlaku adil. Antara Suraya dan Beel, pastinya Haikal akan memilih Suraya. Mustahil Haikal akan memilih Beel yang hanya tahu menyusahkan orang itu.
Puan Sri Normah tersenyum. Selepas itu, semuanya akan kembali normal. Beel akan pulang ke pangkuannya manakala Suraya akan hidup bersama Haikal.

##########

“Ini merupakan wasiat terakhir saya, Hussin bin Hasnol kepada cucu saya, Haikal Hadzim bin Hazan. Wasiat ini hendaklah dibacakan oleh peguam saya, En.Fahad setelah usia perkahwinan cucu saya yang telah melepasi umur 30 tahun, mencecah 30 hari. Iaitu bersamaan dengan sebulan.
Wasiat ini hendaklah dibacakan kepada cucu saya dengan bersaksikan anak dan menantu saya iaitu Hazan bin Hussin dan Humaira’ binti Jamil. Berserta gadis yang telah sah menjadi isteri cucu saya iaitu cucu kepada Tan Sri Hamid bin Yusuf.
Terima kasih saya ucapkan kerana menunaikan permintaan saya untuk berkeluarga dengan keluarga Tan Sri Hamid meskipun ketika wasiat ini dibacakan, berkemungkinan besar saya sudah tiada lagi di muka bumi ini.
Sebagai mengucapkan terima kasih kerana menunaikan harapan dan impian saya, saya menyerahkan semua harta tersembunyi saya kepada cucu saya, Haikal Hadzim bin Hazan dan isterinya.
Ia merupakan sebuah villa dan sebuah banglo yang terletak di tanah tinggi Genting Highlands. Keduanya jika dicampur mempunyai nilai lebih RM2 juta. Seterusnya adalah 100 ekar tanah yang bertempat di Kuching, Sarawak. Bersama tiga biji kereta yang disimpan khas di Pulau Langkawi.
Bagaimana pun, kereta-kereta ini adalah kereta lama dan boleh ditukar kepada kereta baru mengikut prosuder yang ditetapkan. Sekiranya cucu saya ingin menukar kereta-kereta ini kepada kereta kesukaannya, bolehlah berurusan dengan En.Fahad.
Sementara syarikat saya, Keluarga Sdn. Bhd. masih lagi menjadi milik anak dan menantu saya sepenuhnya. Hinggalah ia diturunkan kepada cucu saya ketika anak dan menantu saya sudah tiada.
Bersama ini, saya sertakan geran tanah dan juga kunci-kunci yang berkenaan. Turut disertakan peta untuk mencari lokasi yang saya katakan.
Setakat ini saja wasiat saya. Saya berharap anak dan menantu saya dapat membantu cucu saya dan isterinya untuk menemui semua ‘harta karun’ ini”.
Beel memandang Haikal. Haikal juga kelihatan terkejut dengan wasiat yang dibacakan En.Fahad. Sebenarnya kekayaan atuk memang melimpah-ruah lebih dari yang dia bayangkan.
En.Fahad menghulurkan beg yang dibawanya kepada Haikal. “Ada sesiapa nak tanya apa-apa atau membantah apa-apa?”
Hazan dan Humaira’ menggeleng. Haikal turut memberi anggukan. Saat itu, Beel tiba-tiba berdehem. “Beel nak tanya sikit”.
Haikal memandang dengan kerutan dahi. Mulalah itu, mahu menyoal yang bukan-bukan. Hazan dan Humaira’ turut memandang. Apa yang menjadi kemusykilan Beel?
“Katakanlah .. Beel bercerai dengan Haikal. Apa jadi kat harta-harta tu?”
En.Fahad mengerutkan dahi. Dia menoleh memandang Hazan dan Humaira’. Haikal turut memandang Beel. Mengapa Beel menyoal sedemikian rupa?
Suasana sunyi buat beberapa ketika. En.Fahad menarik dan melepas nafas. Soalan tetap menunggu jawapannya. “Kalau Pn.Nabilah dan En.Haikal bercerai sebelum siap urusan penamaan semula, automatik semua harta tu akan diagih-agihkan pada badan kebajikan. Tapi kalau Pn.Nabila dan En.Haikal bercerai selepas siap urusan penamaan semula, semua harta tu akan dibahagi pada En.Haikal dan Pn.Nabila sekiranya masih belum ada anak. Tapi kalau Pn.Nabilah dan En.Haikal dah ada anak, maka harta tu akan diberikan pada anak Pn.Nabilah dan En.Haikal sepenuhnya”.
Beel mengangguk memahami. “Berapa lama urusan tu boleh siap?”
“Paling sekejap tiga tahun”.
“Tiga tahun?” Beel menyoal meminta kepastian.
En.Fahad mengangguk. Haikal memandang Beel. Geram benar dia dengan gadis itu. Mengapa perlu membangkitkan isu perceraian?
Hazan berdehem. Menyedari Haikal sudah mula berubah angin. Humaira’ memandang Beel lama. Apakah menantunya itu langsung tidak sayangkan Haikal? Jika tidak sayang, mengapa mereka boleh menjadi suami isteri?
“Ada apa-apa lagi?”
Kesemuanya menggeleng. Haikal sedari tadi menggenggam penumbuknya. Menahan rasa marah di dada. Memang dia akan ‘membelasah’ Beel secukupnya selepas ini.
“Ok. Kalau macam tu, semua boleh turunkan tanda tangan” En.Fahad pun mengeluarkan dokumen saksi dari briefcasenya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s