DILARANG NIKAHI AKU – 42

“Beel!”
Beel membuat muka mendengar suara itu. Safwan, Fah dan Syakir semuanya menghentikan suapan mereka. Sama-sama menoleh ke belakang, arah suara itu datang.
Haikal berdiri tegak di tempatnya. Sakit benar hati melihat mereka bersenang-lenang berkelah di tepi kolam renangnya. Beel melepas nafas. Wajah Safwan dipandang. “Kejap tau”.
Dia melangkah ke arah Haikal. Wajah itu dipandang dengan kerutan dahi. “Kenapa dengan awak ni? Panggil elok-elok tak boleh ke?”
Haikal mengetap bibir. “Berapa kali saya nak cakap dengan awak. Jangan bawa Wan masuk rumah!”
Beel mendengus. “Mana ada awak pernah cakap. Awak cakap awak tak suka. Bila masa awak cakap jangan bawa?”
“Awak ni kan!”
Beel membulatkan mata. Serius wajahnya memandang Haikal. Tidak suka benar dia bila Haikal marah-marah begitu.
Fah mula tidak sedap hati bila Beel dan Haikal mula bergaduh. Walaupun butir bicara mereka tidak dapat didengari satu-persatu, tapi wajah tegang keduanya menunjukkan mereka sedang bertikam lidah.
“Abang, jom baliklah” Fah berbisik pada Safwan.
Safwan menggeleng. Matanya masih memandang ke arah Beel. Dia tidak suka Haikal memarahi Beel begitu. Tidak suka.
“Abang!” Fah menjerit separuh berbisik.
Safwan memandang adiknya. “Abang takkan pergi selagi Beel tak suruh abang pergi”.
Fah melepas nafas. Mengapalah abang mahu mencari fasal ketika ini? “Jomlah ..”
Safwan membuat badan batunya. Berkeras tidak mahu ke mana-mana. Fah cuba memujuk lagi namun tidak berjaya. Mengapalah abang mahu mengeruhkan lagi keadaan?

###########

“Samalah tu! Bila saya cakap tak suka, maksudnya awak janganlah bawa dia masuk rumah ni!” Haikal membuat wajah serius.
Beel menjeling. “Perlahanlah sikit. Tak nampak abang Syakir pun ada sekali?”
Haikal memandang sekilas. Memang dia tahu ada Syakir bersama, tapi peduli apa? Lagi pula Syakir sudah terlebih masak dengan perangainya.
“Saya nak awak halau dia sekarang!”
“Tak nak”.
“Beel”.
Beel mengetap bibir. “Saya tak nak. Mana ada orang halau tetamu. Logiklah sikit!”
“Awak ..” Haikal mengangkat tangan menahan geram dan sakit hati. Namun ia diturunkan bila matanya bertemu mata Safwan. Langsung langkah kakinya diatur ke arah lelaki itu.
Beel mengeluh. ‘Mulalah tu’, detik hatinya. Dia berlari anak menyaingi Haikal. Tangan Haikal ditarik supaya Haikal berhenti. Namun Haikal yang marah menolak Beel sekuat hatinya.
“Beel!” Safwan, Fah dan Syakir menjerit serentak. Haikal mengerutkan dahi bila terdengar bunyi sesuatu jatuh ke dalam air. Baru dia perasan dia telah menolak Beel hingga gadis itu terjatuh ke dalam kolam.
Safwan tidak menunggu lama. Walaupun Beel pandai berenang, jika ditolak begitu pastilah dia akan lemas. Dia langsung terjun ke dalam kolam untuk menyelamatkan Beel.
Fah bangun dari kerusi dan melangkah ke pinggir kolam. Benar-benar berharap Beel dapat diselamatkan. Syakir pula sebaliknya. Dia memandang ke arah Haikal. Pasti temannya itu berserabut ketika ini.
Haikal terkedu bila Safwan terjun. Namun tidak lama. Langkahnya diatur dan dia turut terjun ke dalam air. Pastilah dia yang harus menyelamatkan isterinya sendiri.
Fah menanti dengan debaran di hati. Bagaimana agaknya keadaan Beel? Pasti Beel sudah tidak sedarkan diri di dalam air.
Syakir melepas nafas. ‘Haikal, Haikal’. Langkahnya diatur mendekati Fah. “Jangan risau. Mesti dia orang dapat selamatkan Beel”.
Safwan muncul di permukaan tidak lama kemudian. Terlihat Beel yang sudah tidak sedarkan diri berada dalam pelukannya. Dia langsung naik ke pinggir kolam.
Fah dan Syakir berlari ke arah Safwan. Safwan membaringkan Beel. Pipi gadis itu ditampar agar dia sedar. Namun Beel masih tidak sedarkan diri. Nampaknya banyak air yang telah masuk pada dirinya.
Syakir membuka kotnya dan menghulurkan ia pada Safwan. Fah di sisi Safwan memandang Syakir. Baru terlihat wajah risau lelaki itu. Baru dia lihat, Syakir bukanlah jenis lelaki yang hanya tahu bermain dan bergurau semata.
“Beel, bangun!” Safwan menekan-nekan perut Beel. Tubuh gadis itu telah ditutupi dengan kot yang diberikan Syakir.
“Beel” Safwan menekan-nekan lagi hinggan Beel tersedak dan memuntahkan air kolam renang.
Matanya terbuka perlahan memandang orang sekeliling. Safwan melepas nafas lega. Dia terduduk di atas lantai bila Beel benar-benar sedar. Mujurlah Beel sudah selamat.
Fah meluru memeluk Beel yang terbaring. Air mata yang ditahan akhirnya mengalir membasahi pipi. “Baguslah kau tak apa-apa. Baguslah …”
Syakir senyum kelegaan. Mujurlah gadis itu tidak apa-apa. Matanya melilau mencari kelibat Haikal. Baru dia perasan Haikal sedari tadi menjadi pemerhati dari seberang sana.
Haikal meraup wajahnya. Tangan mengusap rambut dan dia melangkah masuk ke dalam rumah. Kecewa rasanya bila bukan dia yang menyelamatkan Beel. Adakah ia kebetulan atau sememangnya membuktikan sesuatu?
Syakir mengejar Haikal yang melangkah pergi. Dia tahu perasaan Haikal saat ini. Kecewa, marah, sedih dan entah rasa apa lagi yang bercampur-baur. Tapi yang pasti Haikal tidak senang hati.
“Kal” Syakir menegur Haikal yang baru keluar dari biliknya. Di tangan kirinya memegang tualan manakal tangan kanannya memegang fail yang sepatutnya diserahkan pada Syakir.
“Kau ok ke?” Syakir menyambut huluran Haikal.
Haikal mengangguk perlahan. “Kau baliklah. Dah maghrib ni”.
Syakir memandang Haikal. Mencari kepastian apakah benar sahabatnya itu tidak apa-apa.
Haikal melepas nafas. “Aku oklah. Tak penting siapa yang selamatkan Beel, yang penting dia selamat. Aku… ataupun Wan yang selamatkan, sama je”.
Syakir melepas nafas. Bila Haikal berkata begitu, ertinya itulah yang menyusahkan hati Haikal. Haikal kecewa bila orang lain yang menyelamatkan isterinya. Dia sudah lama mengenali Haikal. Setakat hal ini, bagaimanalah dia tidak tahu?
Haikal memandang Syakir bila temannya itu kaku di tempatnya. “Kir. Kir, kau baliklah. Aku ok”.
Syakir mengangguk-angguk. Bahu Haikal ditepuk perlahan. “Jumpa kat office esok”.
Haikal duduk di atas kerusi kayu yang terdapat di hadapan biliknya. Tualan yang tadinya dipegang digunakan untuk mengelap rambutnya.
Ketika Beel jatuh tadi, yang terbayang di ruang mata hanyalah kemalangan yang menimpa Nab suatu ketika dulu. Dia benar-benar buntu soal apa yang harus dilakukan saat itu. Hingga semuanya menjadi terlambat.
Bila dia sedar. Nab sudah pun menghembuskan nafas terakhirnya. Jika saja ketika itu perkara pertama yang dia lakukan adalah menghubungi ambulans, mungkin saja dia sudah bergelar suami Nab saat ini.
Kejadiannya sama. Cuma ketika ini, ada orang lain yang menyelamatkan Beel. Sekalipun orang itu bukan dirinya, tapi dia tetap bersyukur Beel selamat. Memang dia kecewa yang teramat, tapi itu lebih baik dari dia harus menanggung kehilangan orang yang tercinta buat kali kedua.

##########

“Kau ok tak ni?”
Beel mengangguk perlahan. Tangan menggenggam cawan air panas yang disediakan Fah buatnya.
Fah melepas nafas. Tuala yang membaluti tubuh Beel dibetulkan dan dia duduk di sebelah Beel. “Kau tahu tak? Aku risau gila bila kau dengan abang tak keluar-keluar dari air. Rasa macam dah fikir bukan-bukan”.
Beel mengukir senyum lemah. Dia sendiri tidak menyangka apa yang akan berlaku. Semuanya berlaku sekelip mata. Tapi, yang penting dia selamat. Dan abang Wan juga selamat.
Fah memandang Beel. Beel masih lagi menghirup air panasnya. Baru Fah teringat soal Haikal. Haikal bersama mereka tadi. Ertinya Haikal melihat semua yang berlaku.
Nafas dilepas. Pasti Haikal kecewa kerana tidak dapat menyelamatkan Beel. Sekalipun Fah tidak tahu perasaan Haikal terhadap Beel, tapi mana ada suami yang tidak kecewa bila isteri sendiri diselamatkan oleh lelaki lain di hadapan matanya?
“Abang Wan mana?”
Fah membulatkan mata memandang Beel. “Apa kau tanya?”
“Abang Wan mana?”
“Kak Nia bawa dia pergi bilik tamu. Kena tukar baju”.
Beel mengangguk memahami. “Dah maghrib. Kau solatlah kat sini”.
Fah menggeleng. “Tak pelah. Lepas abang siap, kita orang gerak terus. Kau pun dah penat. Nak rehatkan?”
Beel diam mendengar kata-kata Fah. Nampaknya Fah sendiri tidak selesa dengan apa yang berlaku.

##########

“Abang!”
Safwan melepas nafas. Dia yang baru saja mengorak langkah menaiki tangga berhenti. Badan berpaling memandang ke arah Fah di pintu.
“Kenapa abang buat macam tu?” Fah memandang Safwan dengan kerutan dahi.
“Buat apa?” Safwan menyoal kembali.
Fah diam sebentar. Nafas dilepas memandang abangnya. Safwan menjongket keningnya. “Fah tanya kenapa abang selamatkan Beel?”
Fah mengangguk. Safwan mengerutkan dahi. “Penting ke siapa yang selamatkan Beel? Yang penting Beel selamat”.
“Memang. Yang penting Beel selamat. Tapi abang ingat semuanya fikir macam tu ke? Akhirnya, orang mesti akan tanya siapa yang selamatkan. Beel ada suami. Dia ada suami, mestilah suami dia yang kena selamatkan dia” Fah meninggi suara.
Safwan memejam mata seketika. “Apa yang Fah fikir ni? Samada abang atau Haikal yang selamatkan Beel, ada beza ke?”
“Mestilah ada. Abang Haikal tu suami dia. Abang… cuma abang angkat. Abang tak rasa ke abang dah melampaui batas?”
“Fah. Abang selamatkan Beel sebab abang tak nak Beel apa-apa. Kalau Beel terbiar lama dalam air tadi..”
“Abang tahu tak abang Haikal pun terjun?” Fah memotong kata-kata abangnya.
Safwan terdiam. Dia langsung tidak menyedari hal itu. Fikirnya Haikal langsung tidak masuk ke dalam air.
“Abang tak tahu kan?” Fah menyoal, mencari kepastian.
“Yang penting, abang yang selamatkan Beel”.
“Tengok! Tadi abang yang cakap… yang penting Beel selamat. Tapi sekarang abang cakap yang penting abang yang selamatkan Beel. Abang pun sama macam orang lain. Bila Beel selamat, yang penting siapa yang selamatkan. Abang sendiri berfikir tak sama dengan apa yang abang cakap!” Fah seolah-olah memarahi Safwan.
Safwan melepas nafas mendengar kata-kata Fah. “Fah.. Tolonglah. Abang penat. Abang nak naik, nak solat Maghrib. Apa-apa kita bincang esok?”
Fah menggeleng. “Fah tak nak abang jadi orang ketiga dalam perkahwinan orang lain”.
Safwan mengerut dahi. “Apa yang Fah cakap ni?”
“Fah tahu abang sayangkan Beel lebih dari seorang adik. Dan Fah tahu sebab tu jugalah abang Haikal melenting setiap kali dia nampak abang dengan Beel”.
Suasana sunyi seketika. Safwan memejam mata, mencari ruang untuk berfikir. Jadi Fah sudah tahu apa yang dia rasakan terhadap Beel? Bagaimana adiknya itu boleh tahu?
“Abang.. Abang sayangkan Beel. Abang cintakan Beel kan?”
“Kalau betul pun, apa salahnya?”
Fah mengerut dahi. “Abang, Beel tu isteri orang”.
“Memang dia isteri orang. Tapi Fah sendiri nampak macam mana Haikal layan Beel. Fah nak abang mengalah pada lelaki macam tu? Lelaki yang langsung tak pandai hargai Beel. Siap boleh marah-marah Beel depan kita lagi. Fah rasa lelaki macam tu layak ke untuk Beel?”
Fah mendiamkan diri. Memang abang Haikal melayan Beel tidak baik. Itu kerana Beel juga tidak melayan abang Haikal dengan baik. Jadi, tidak ada sebab mengapa abangnya harus menjadi orang ketiga dalam perkahwinan mereka!
“Dahlah Fah. Abang naik dulu. Malam ni Fah tak payah masaklah. Abang tak nak makan” ucap Safwan perlahan dan dia terus menaiki tangga.
Fah terundur sedikit. Pening kepalanya dengan masalah ini. Abang cintakan Beel sedangkan Beel isteri abang Haikal. Apa sebenarnya yang sedang berlaku ini?

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s