DILARANG NIKAHI AKU – 43

Haikal meletakkan sejadah yang telah dilipat di dalam almari. Dia mengambil tempat di sofa. Jam dinding dipandang. Ke mana pula perginya Beel? Sudah pukul 8.00 malam masih belum masuk ke bilik.
Bunyi pintu dibuka dari luar menarik perhatian Haikal. Beel melangkah masuk dengan tuala yang membaluti tubuhnya. Rambutnya yang tadinya basah kuyup sudah kelihatan kering kerana lama terbiar.
Haikal bangun dari duduknya. Mahu melangkah ke arah Beel namun langkahnya mati bila kehadirannya tidak dipedulikan gadis itu.
Beel mencapai tuala yang tersangkut di sisi pintu bilik air. Langkah diatur ke almari baju mencari baju tidurnya. Dia mahu mandi dan masuk tidur. Sudah tidak punya daya untuk bergaduh dengan Haikal lagi.
“Awak” Haikal memanggil.
Beel mendiamkan diri. Namun telinga memberi perhatian pada apa yang mahu Haikal perkatakan.
“Wan dengan Fah dah balik ke?”
“Dah” Beel menjawab perlahan.
Haikal melangkah mendekati Beel. Memasuki kawasan gadis itu. Langkah dihentikan bila dia benar-benar berada di belakang Beel.
Beel memaling tubuhnya sesudah mengambil baju tidur. Terkejut mendapati Haikal berada di belakangnya. Kini mereka berhadapan. Jarak yang terlalu rapat membuatkan Beel sedikit tidak selesa.
“Awak nak apa?” Beel menyoal sambil melangkah menjauhkan diri dari Haikal.
“Fasal tadi…”
Beel mengangkat wajah memandang Haikal. “Fasal tadi?”
Haikal melepas nafas. Kata-kata Beel yang bernada rendah merisaukannya. Dia tahu pasti Beel masih terkesan soal ‘penolakannya’ tadi. “Saya minta maaf. Betul-betul minta maaf”.
Beel memandang. “Kenapa nak minta maaf? Macam awak dah tahu yang saya akan jatuh dalam kolam tu”.
Haikal diam. “Awak…”
“Dahlah. Benda dah jadi. Yang penting saya selamat. Awak jangan risau, saya ni bukannya mudah sakit. Setakat lemas macam tadi, saya ok je. Awak tak payah susahkan diri nak bawa pergi hospital-lah, itulah. Awak nak cakap apa-apa lagi tak?”
Haikal menggeleng perlahan. Beel mengangguk dan melangkah masuk ke dalam bilik air. Haikal melepas nafas. Rasa bersalah semakin menghantui diri. Apakah sikap cemburunya sudah keterlaluan?

##########

Suraya menguntum senyum bila pintu biliknya terbuka dari luar. Namun senyumnya mengendur bila Sakinah yang melangkah masuk.
Sakinah tersenyum memandang Suraya. Dahi puterinya itu dicium menghadiahkan ‘morning kiss’. “Pagi sayang”.
“Pagi mama” Suraya membalas perlahan.
Sakinah mengerut dahi melihat Suraya yang tidak ceria. “Kenapa dengan anak mama hari ni?”
Suraya diam tidak membalas pertanyaan Sakinah. Wajahnya kembali ceria bila pintu biliknya dibuka dari luar. Dan ia mengendur kembali bila jururawat yang melangkah masuk untuk melakukan pemeriksaan harian.
Sakinah menggeleng-geleng melihat Suraya yang mahu tidak mahu mengikut kata jururawat. Namun ucapan terima kasih tetap Sakinah ucapkan pada jururawat yang menjalankan tugasnya.
“Kenapa ni?” Sakinah mengusap pipi Suraya penuh kasih.
Suraya menggeleng perlahan. “Tak de apa-apa”.
Sakinah melepas nafasnya. Dia melangkah ke arah sofa dan mengambil tempat. Sepertinya Suraya tidak punya ‘mood’ hari ini.
Bila kedengaran bunyi pintu dibuka dari luar, Sakinah memandang Suraya. Wajah Suraya kembali tersenyum bila melihat pintu. Namun ia mengendur kembali bila mendapati Zamri melangkah masuk membawa buah tangan buat puterinya.
“Papa”.
Zamri menguntum senyum buat puteri tercinta. “Apa khabar puteri papa hari ni?”
Suraya meninjau-ninjau sekiranya ada yang masuk selepas papa. Zamri mengerutkan dahi. “Cari siapa?”
“Haikal tak datang sekali?”
Sakinah bangun dari duduknya dan mengemas barang-barang dan makanan yang dibawa Zamri. Soalan Suraya membuatkan dia mengerti mengapa Suraya kelihatan suram hari ini. Menunggu kedatangan Haikal rupanya.
“Papa, Haikal tak datang sekali ke?” Suraya menyoal buat kali kedua.
Zamri mengeluh mendengar soalan Suraya. Sebelum bergerak ke Negeri Sembilan dia sudah menghubungi Haikal menyoal apakah Haikal akan ke Negeri Sembilan atau tidak. Dan jawapan yang Haikal berikan adalah dia sibuk dan tidak punya masa.
Dia sendiri tahu Haikal berat untuk meninggalkan Beel sendirian setelah peristiwa dua hari lalu. Sebenarnya dia ataupun Puan Sri Normah keduanya tidak mengetahui apa sebenarnya yang berlaku. Yang mereka tahu hanyalah Beel lemas di kolam renang rumah Haikal.
Beel sendiri tidak pernah membuka cerita apa-apa. Baik kepada Zamri mahupun opahnya sendiri. Hal ini juga diketahui dari Fah. Itu pun kata Fah, yang penting Beel selamat. Dia juga menutup mulut tidak mahu bercerita.
Zamri tidak kisah bila Haikal mahu menjaga Beel 24 jam sehari. Sememangnya itu merupakan tanggungjawab Haikal sebagai seorang suami. Walaupun Beel mempunyai ketahanan badan yang kuat dan tidak mudah diserang penyakit, merisauinya adalah perkara biasa. Kerana bagaimana pun Beel tetaplah seorang manusia.
“Papa, papa” Suraya memanggil bila papanya leka seketika.
Zamri menjongket kening memandang Suraya. Kepala puterinya itu diusap penuh kasih.
“Papa dengar tak apa Su tanya?”
“Apa?”
“Papa ni…” Suraya mencebik. Nampak sangat papa tidak memberi perhatian padanya.
“Sorry sayang. Apa Su tanya tadi?”
“Haikal datang tak?” Suraya memberi soalan yang sama, entah ke berapa kalinya.
Zamri menggeleng perlahan. “Papa pun tak tahu. Kalau dia tak datang. Mungkin dia sibuk kut”.
“Sibuk dengan apa?” Suraya membuat nada merajuk.
“Kerjalah. Tak nak macam ni” Zamri memujuk Suraya yang bermasam muka.
Sakinah mengerut dahi mendengar kata-kata Zamri. Pasti ketidakdatangan Haikal kali ini berkaitan dengan Beel. Atau jangan-jangan Beel menghalang Haikal datang melawat Suraya?
Penumbuknya digenggam kerana geram. Sudahlah dia cuma pengganti Suraya, beraninya dia menghalang Haikal ke mari. Nampaknya ada sesuatu yang harus dia lakukan.

##########

Dahinya berkerut melihat Haikal menghidang makanan di atas meja. Haikal pula hanya tersenyum ke arahnya sambil berkata, “Jom makan”.
Beel mengambil tempat. Sedikit kehairanan dengan tingkah laku Haikal kebelakangan ini. Apa yang tidak kena dengan lelaki itu?
Haikal mencedok nasi ke dalam pinggan Beel. Lauk ayam masak kicap dan sayur kangkung masak belacan turut diletak bersama nasi itu. Dia tersenyum memandang Beel. “Makanlah”.
Beel menghulur tangan pada Haikal yang sudah memegang jag air basuh tangan. Seterusnya Haikal membaca doa makan dan dia mula menjamah nasi yang dihidangkan lelaki itu.
Haikal makan dengan senyuman. Sudah beberapa hari dia setia menemani Beel di rumah. Kerja-kerja di pejabat Syakir yang selesaikan. Sekiranya ada urusan mustahak pun, Syakir akan singgah di rumah. Yang kelakarnya, dia rasa gembira melakukan itu semua. Dia suka dengan apa yang dia lakukan sekarang.
Beel memandang Haikal yang berselera. “Kak Nia mana?”
“Ada. Dia tengah rehat. Saya yang suruh dia rehat. Awak nak apa-apa ke?”
Beel menggeleng. “Saya nak tanya”.
Haikal memandang dengan kerutan dahi. Dan dia menguntum senyum. “Tanyalah”.
“Awak tak masuk office ke?” Beel menyoal perlahan.
Haikal senyum lagi. “Saya nak jaga isteri saya. Tak boleh ke?”
Beel menelan liur. Nafas dilepas. Dan dia memandang Haikal serius. “Kenapa awak buat semua ni? Kalau awak masuk office pun, takkan ada apa-apa berlakulah. Kalau awak tak masuk office jadi suri rumah macam ni sebab risaukan saya, saya boleh cakap yang saya sihat wal afiat. Tapi awak yang tak sihat. Kak Nia ada, dia boleh jaga saya. Sekarang awak dah rampas semua kerja dia. Dah buang tabiat ke?”
Haikal mendiamkan diri bila Beel melepaskan semua rasa hati. Beel mengeluh berat. “Dahlah Haikal. Kenapa awak macam tak betul kebelakangan ni? Awak baliklah macam dulu. Kalau awak macam ni, saya yang rasa tak selesa. Lagi satu, awak tak ingat ke? Kalau bukan sebab awak yang tolak saya, saya takkan lemas hari tu. Itu pun dah cukup untuk membuktikan yang lebih baik awak dengan saya hidup asing-asing”.
Beel melepas nafas. Tangan dibasuh dan pinggannya yang masih terisi separuh nasi diangkat. Dia sudah tiada selera makan. Meninggalkan Haikal sendirian di ruang makan.

##########

“Ini kali terakhir saya datang sini. Sebab urusan saya dah selesai”.
Fah memandang Syakir di sebelahnya. Anggukan diberikan tanda memahami. “Baguslah macam tu”.
Syakir tersenyum bila Fah memberi respon. “Tapi… Kalau awak nak saya datang, bila-bila je saya boleh muncul depan awak”.
Fah tersenyum nipis. Membuatkan Syakir semakin terpesona dengan kecantikan gadis itu.
“Saya nak tanya sikit”.
“My pleasure”.
Fah diam seketika memikirkan ayat yang harus diperkatakan. Bagaimana ya? “Fasal hari tu kan..”
Syakir mengerut dahi. Hari tu? Hari mana? Bila? Fah menghentikan langkah. Kali ini dia berhadapan dengan Syakir. “Awak tahu tak apa perasaan…”
Syakir menanti kata-kata Fah. Fah kelihatan teragak-agak untuk meneruskan butir bicaranya. “Perasaan abang saya pada Beel”.
Syakir ketawa kecil. “Suka. Cinta. Macam saya rasa pada awaklah. Saya boleh jamin dengan mata kepala saya sendiri yang Wan sayangkan Beel lebih dari seorang adik”.
Fah melepas nafas. Jadi benarlah kata orang. Seorang lelaki dapat meneka perasaan lelaki lain dan begitu juga sebaliknya. Apa yang harus dia lakukan?
“Kenapa awak tiba-tiba tanya?”
Fah menggeleng kepalanya. Kata-kata abang tempoh hari tiba-tiba terngiang di telinga. ‘Memang dia isteri orang. Tapi Fah sendiri nampak macam mana Haikal layan Beel. Fah nak abang mengalah pada lelaki macam tu? Lelaki yang langsung tak pandai hargai Beel. Siap boleh marah-marah Beel depan kita lagi. Fah rasa lelaki macam tu layak ke untuk Beel?’
“Kenapa awak tanya? Wan ada cakap apa-apa ke?” Syakir menyoal lagi.
Fah menggeleng lagi. Menguntum senyum lemahnya. Dia memang tidak mahu abangnya menjadi orang ketiga dalam perkahwinan orang lain. Tapi abang tetap benar. Mana mungkin kita boleh berdiam diri jika orang tersayang dilayan sebegitu rupa?
“Terima kasih sebab bagitahu. Jom, saya belanja awak makan”.
Syakir tersenyum lebar mendengar kata-kata Fah. Matanya mempamerkan cahaya kebahagiaan. “Betul ni?”
Fah mengangguk mengiakan pertanyaan Syakir. Syakir menari-nari kegembiraan. Langkah diatur menuju ke kantin dengan perasaan gembira yang amat. Sekali-sekala memandang Fah dan menari-nari lagi. Fah menggeleng-geleng kepala melihat sikap keanak-anakan Syakir.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s