DILARANG NIKAHI AKU – 45

Beel melepas nafas bila Fah siap meletak kereta. Bahu Fah disentuh, memanggil temannya itu. Fah memandang Beel yang sedang ‘melatih’ senyumnya agar opah tidak tahu dia punya masalah.
Fah menggeleng. “Semua tak jadi. Kau ingat opah tu baru hidup hari ni ke? Dia yang jaga kau dari kecil, setakat riak muka kau ni… dia boleh tahulah mana betul mana tak”.
Beel mengeluh. Dia cuba melatih tawanya pula. Fah menampar paha Beel kerana geram. “Aku kata tak jadi, tak jadilah”.
Beel menjeling. Lalu bagaimana? Apa yang harus dia katakan pada opah? Bagaimana dia mahu mengelak dari diberi soalan cepu emas? Sudahlah dia memang tidak boleh membohongi opah.
“Dahlah. Buat biasa je. Kalau opah tahu kau ada masalah, dia mesti akan berlagak biasa juga. Kau sekarang ni dah jadi isteri orang, bukan cucu dia yang suka main lari-lari tu” Fah membebel bagai nenek-nenek.
Ketawa kecil terlepas dari Beel. Terasa kelakar dengan kata-kata Fah. “Habis tu nak suruh aku jawab apa kalau opah tanya?”
Fah mengerut dahi. Ketawa ‘tidak ikhlas’ dilepaskan. “Jawab apa lagi. Rindu… macam yang selalu kau buatlah”.
Beel tersenyum. Tiba-tiba mood cerianya kembali pula. Tapi… bila difikirkan kembali, mengapa pula dia melarikan diri dari Haikal? Bukankah permintaan mak long adalah sesuatu yang munasabah? Dia sendiri juga telah menjangkakan hal itu.
“Kau dah kenapa? Jom turun!”
Beel tersedar dari lamunan seminitnya. Baru dia tahu Fah sudah pun membukakan pintu dan sedang menunggu dia turun.
“Jom!”

##########

“Puan sri, Cik Beel balik”.
Puan Sri Normah yang sedang memberi makan ikan-ikannya mengerut dahi mendengar kata-kata Irah. Namun kemudian bibirnya mengukir senyum bila mendengar jeritan gadis itu. Dia membasuh tangan di sinki yang berada di situ.
Dahi berkerut kembali melihat gaya Beel berlari ke arahnya. Dia perasan ada sesuatu yang tidak kena dengan kaki Beel. Bila Beel tiba di hadapannya, barulah dia dapat melihat balutan di kaki gadis tersebut.
Beel mendepakan tangan mahu memeluk opah yang sangat dirindui. Namun Puan Sri Normah memandang kakinya. “Kenapa dengan kaki Beel ni?”
Fah di belakangnya sudah membuat muka tidak mahu masuk campur. Dia tahu sangat bagaimana pun, opah pasti akan perasan ada sesuatu yang tidak kena.
“Beel, opah tanya ni”.
Beel diam seketika. Dia harus mencari jawapan terbaik agar tidak ada soalan rentetan. Senyum diberi buat opah. “Beel terpijak kaca pecah”.
Puan Sri Normah mengerutkan dahi. Bahu Beel ditarik dan gadis itu didudukkan di atas kerusi batu yang menjadi tempat duduk hariannya. Dia memerhati balutan yang membalut kaki Beel. Anggukan diberikan bersetuju dengan kata-kata Beel. Ertinya Beel tidak berbohong.
Fah maju melangkah ke depan. “Opah”. Tangan dihulur dan dia menciumi tangan opah. Oppah tersenyum memandang Fah yang sentiasa kelihatan anggun dan comel pada matanya.
“Fah sihat?”
Fah mengangguk. “Fah sihat. Abang kirim salam”.
“Waalaikumussalam. Beel datang dengan Fah ke?” Puan Sri Normah memandang cucunya.
Beel mengangguk. Puan Sri Normah dan Fah sama-sama mengambil tempat mengelilingi meja bulat itu.
“Ha’ah. Datang dengan Fah” Beel menjawab perlahan.
“Datang singgah ke…”
“Beel ingat nak stay dua tiga hari”.
“Haikal tahu tak?”
Beel diam memandang opahnya. Namun ketawa kecil dilepaskan. “Mestilah dia tahu, kan Fah?”
Fah mengangguk mengiakan kata-kata Beel. Gilalah kalau Haikal tidak tahu dia ke rumah opah. Sedangkan dialah yang mengejar Beel hingga ke depan pintu. Apalah masalah mereka berdua sebenarnya?
“Kenapa Beel tak ajak Haikal datang sekali?” Puan Sri Normah menyoal lagi. Rasa hatinya kuat mengatakan ada sesuatu yang tidak kena sebenarnya. Tapi ia seboleh mungkin dirahsiakan oleh Beel juga Fah.
Beel memandang Fah sekilas. Namun Fah mengangkat bahunya. Mana dia tahu apa jawapan yang harus diberikan.
“Opah, Beel lapar. Malam ni opah masak gulai tempoyak boleh?”
Puan Sri Normah melepas nafas namun masih mengukir senyum. Memang sahlah Beel punya masalah di rumah sana. Lagi beberapa hari pasti Haikal akan datang mencarinya di rumah.

##########

Haikal melangkah ke arah meja makan dan duduk di tempatnya. Dahi berkerut melihat hidangan yang disediakan untuk dirinya seorang.
“Kak Nia! Kak Nia!”
Terkocoh-kocoh Nia berlari ke arah ruang makan bila Haikal menjerit begit. “Ya En.Haikal”.
“Kenapa siapkan hidangan untuk seorang je? Tak siapkan untuk Beel sekali?”
Nia terdiam mendengar pertanyaan tuan mudanya. Haikal meraup wajah memandang Nia. Menyesal pula mengganggu Nia membuat kerja.
“Beel tak de kan?” Haikal sengih memandang Nia. Lupa pula dia gadis itu membawa diri. Dia pula harus menunggu untuk memujuk. Jika tidak, pasti opah akan mengesyaki sesuatu.
“En.Haikal” Nia menyebut nama Haikal. Simpati pula dia dengan Haikal. Pasti merindui isterinya.
“Tak pelah. Kak Nia pergilah sambung kerja. Maaflah sebab jerit-jerit panggil Kak Nia tadi” Haikal mengukir senyuman.
Nia menunduk dan melangkah ke dapur semula. Haikal melepas nafas. ‘Sabarlah, Kal. Dua hari je lagi’.
Roti bakar yang telah disapu mentega dimasukkan ke dalam mulut. Sejak bila dia jadi kemaruk begini? Apakah sebegini besar Beel memberi kesan dalam hidupnya? Yang terpenting, apakah Beel merasakan perkara yang sama dengannya?

##########

Dia menoleh ke belakang bila terasa namanya dipanggil. Namun ruang menonton televisyen itu kosong. Hanya dia sendirian menonton drama yang dia sendiri tidak tahu tajuknya.
Beel melepas nafas. Kepala digeleng-geleng menghilangkan bayangan suara lelaki itu. “Apa dah kena dengan aku ni?” Beel menjerit sendiri.
Televisyen ditutup dan dia beredar dari ruang itu. Lebih baik dia mencari sesuatu yang boleh dilakukan. Dia menaiki tangga dan menuju ke bilik opah.
“Opah”.
Puan Sri Normah yang sedang membaca memandang Beel. Senyuman diberikan sambil dia menanggalkan cermin mata yang dipakainya. “Sayang…”
Beel memeluk opahnya sepuas mungkin. Dalam diam, melepaskan semua ‘bebanan’ yang dirasakan. Puan Sri Normah menolak tubuh Beel perlahan. “Kenapa ni?”
Beel menggeleng. “Opah tengah baca apa?”
“Bukulah”.
Beel ketawa paksa. Puan Sri Normah melepas nafas. Beel yang sudah duduk di sebelah kerusinya dipandang. Seperti biasa, Beel menongkat dagunya di ribaan Puan Sri Normah.
“Beel ada masalah ke?”
Beel memandang opah yang kini memandangnya. Buku yang tadinya dibaca sudah pun ditutup. “Tak delah”.
“Opah tahu Beel ada masalah. Kalau Beel tak nak cerita, tak pe. Tapi Beel kena ingat, dalam kehidupan berumah tangga ni.. apapun yang kita hadapi, kena ada tolak ansurnya. Susah senang sama-sama hadapi. Tak boleh seorang ke utara, seorang ke selatan” Puan Sri Normah mengusap kepala Beel lembut.
“Opah, Beel nak tanya sikit”.
Puan Sri Normah mengangguk. “Apa?”
“Waktu opah suruh Beel nikah Haikal dulu, opah fikir tak kalau Kak Su balik, apa yang akan jadi?” Beel menggenggam jemari opahnya menanti jawapan.
Puan Sri Normah melepas nafas. “Apa yang Beel tanya ni? Kenapa kita kena fikir benda yang belum berlaku? Soal masa depan tu kita tak tahu. Tak tahu apa-apa. Tu semua kerja Tuhan. Kita sebagai hamba kena terima je..”
“Habis, sekarang ni?”
“Beel fikir benda yang tak perlu. Haikal sendiri tak cakap yang dia nak lepaskan Beel kan?”
Beel mengangguk perlahan. Puan Sri Normah menyentuh pipi cucunya itu. “Masalah takkan datang kalau bukan kita yang cari. Kenapa kena fikir benda yang tak pasti berlaku?”
Beel memejam mata. Kata-kata opah benar. Tapi jika dia tidak berfikir tentangnya, apa yang akan terjadi? Dia tidak mahu Kak Su menjadi mangsa keadaan. Bagaimana agaknya bila Kak Su mengetahui perkara sebenar?

###########

Langkahnya terhenti melihat papa melangkah masuk bersama Pak Abu yang membawa beg.
“Papa” Haikal menegur. Tangan papa dicapai dan dicium.
“Nak pergi jemput Beel balik ke?” Hazan menyoal memandang anak terunanya.
Haikal mengerut dahi. Bagaimana papa boleh tahu Beel tiada di rumah?
“Haikal”.
Haikal mengangguk. “Mana papa tahu?”
“Nia bagitahulah. Bergaduh fasal apa sampai Beel lari?”
“Ada masalah sikit. Kenapa papa tak cakap papa nak datang? Boleh Haikal jemput kat airport”.
“Papa tak nak menyusahkan kamu. Mama kirim salam. Dia memang nak ikut, tapi banyak pula kerja kat sana. Papa ni pun, lagi dua tiga hari nak ke Brunei”.
Haikal mengangguk memahami. Dia tahu papa sentiasa sibuk menguruskan perniagaan yang semakin berkembang dari hari ke hari. Mujur kesibukan papa tidak menghalangnya menjadi papa yang baik.
Hazan menepuk bahu Haikal perlahan. “Mesti bawa balik Beel tau. Papa doakan”.
“Terima kasih papa” Haikal memeluk Hazan dan melangkah keluar dari rumah. Menaiki kereta Syakir yang sudah pun menanti di luar.

##########

Dia ketawa mendengar cerita lawak yang diceritakan Safwan. “Abang Wan ni pandai buat lawak kan?”
Safwan ketawa kecil. “Oklah tu. Dapat buat Beel gelak”.
Beel ketawa lagi. Memandang Fah yang sedari tadi mendiamkan diri. Keropok udang yang dihidangkan Mak Jah tadi dimasukkan ke dalam mulut. “Kenapa kau diam je?”
Fah menggeleng dengan senyuman. Dia yang sedang membaca mesej memandang Beel. Kata Syakir, dia dan Haikal sedang dalam perjalanan ke rumah opah.
“Apa yang tak nya?” Beel menyoal lagi.
“Tak de apa-apa. Ni tengah fikir fasal assignment”.
Beel melepas nafas. “Bestnya belajar. Kalaulah aku boleh belajar…”
“Kenapa Beel tak belajar?” Safwan menyoal. Fah memandang abangnya. Tidak suka benar abangnya memberi soalan itu. Seolah sengaja mahu mencari salah Haikal.
“Abang” Fah menegur abangnya.
Beel mengeluh. “Memanglah Beel nak belajar tapi… Malaslah nak fikir. Serabut!”
Fah tergamam bila Beel mencapai telefon bimbitnya yang berada di atas meja. Mata dipejam rapat. Pasti Beel membaca mesej yang dihantar Syakir.
Beel meletak telefon bimbit Fah di tempatnya semula. Jadi itu assignment yang dikatakan Fah? Mahu membuatkan dia berbaik semula dengan Haikal?
“Abang Wan dengan Fah sembanglah. Beel nak ke bilik air kejap”. Beel terus bangun meninggalkan mereka.
Safwan mengangguk mendengar kata-kata Fah. Tidak mengesyaki apa-apa. Fah melepas nafas. Tidak lama kemudian, terdengar bunyi hon dari luar. Pak Lan berlari menekan butang membuka pagar.
Fah memandang Syakir dan Haikal yang datang mendekati. Safwan turut memandang ke arah mereka. Mereka bertiga bersalaman dan saling menanya khabar.
“Opah kat mana?” Haikal menyoal kedua beradik itu.
Fah menunjuk tangan ke arah laman belakang. “Ada kat belakang. Abang Haikal pergilah jumpa opah dulu”.
Haikal mengangguk dan beredar dari taman depan itu. Fah memandang Safwan dan Syakir bersilih ganti. Syakir kelihatan agak tidak selesai bila ada Safwan bersama. Manakala Safwan pula memandang bagai mahu makan Syakir.
“Duduklah” Fah menjemput Syakir duduk.
Syakir mengambil tempatnya. Safwan dan Fah duduk kembali. Fah meraup wajah. Risau pula dia dengan Beel? Mahukah dia pulang ke rumah Haikal semula?

###########

“Assalamualaikum”.
“Waalaikumussalam. Haikal”.
“Opah” Haikal melangkah maju ke arah opah yang sedang berduduk-duduk bersama Mak Jah di meja batunya.
“Sihat?” Puan Sri Normah menyoal bila Haikal menyalaminya.
Haikal tidak memberi jawapan. Hanya tersenyum sebagai jawapannya. “Papa kirim salam. Dia baru sampai dari Kuwait tadi”.
Puan Sri Normah mengangguk. “Nak ambil Beel kan?”
Haikal mengangguk. Puan Sri Normah melepas nafas. “Beel tak de kat depan? Opah rasa dia ada dengan Fah sekali kat depan”.
Haikal menggeleng. Puan Sri Normah mengangguk memahami. Pasti Beel sudah lari awal-awal. Ertinya dia tahu Haikal akan datang.
“Kejap. Irah! Irah!”
Irah berlari keluar dari pintu belakang menuju ke arah Puan Sri Normah. “Ya puan sri”.
“Tolong ambilkan kunci spare bilik Beel”.
Irah masuk ke dalam semula. Dan keluar tidak beberapa lama kemudian. Kunci diserahkan pada Puan Sri Normah dan Puan Sri Normah memberinya pada Haikal.
“Dia tak buka pintu kalau Haikal ketuk. Ambil kunci ni, pujuk Beel elok-elok. Apa-apa hal boleh dibawa berbincang” Puan Sri Normah memberi nasihatnya.
Haikal mengangguk dengan senyuman. “Terima kasih opah”.
“Irah, bawa Haikal pergi bilik Beel”.
“Silakan En.Haikal”.

###########

Langkahnya ke depan ke belakang. Berjalan terus dan berpatah balik. Kemudian mengambil nafas, duduk di atas katilnya.
Bunyi pintu dibuka mengerutkan dahi. Bukankah dia sudah mengunci pintu? Bagaimana ia dapat dibuka dari luar? Ini pasti opah yang memberi kunci pendua biliknya.
“Awak”.
Beel mengangkat wajah memandang sang empunya suara. Nafas dilepas bila Haikal menutup pintu biliknya kembali.
“Kenapa awak datang sini?” Beel menyoal.
“Jom balik rumah kita” Haikal mendekati Beel yang berada di katilnya.
“Itu rumah awak. Bukan rumah saya, bukan rumah kita”.
Haikal mendekat lagi. Kerusi di meja diambil dan diletak di hadapan Beel. Kemudian dia duduk di kerusi itu. “Awak marah kan saya ke?”
“Sebab apa nak marah?” Beel memandang Haikal dengan wajah bengangnya.
“Habis kenapa awak lari?”
Beel diam seketika. “Entah, rasa macam nak lari kut”.
“Beel…” Haikal cuba memujuk.
“Awak baliklah. Saya tak nak balik sana. Saya nak duduk sini. Duduk rumah saya”.
“Awak isteri saya. Jadi tempat saya adalah tempat awak. Ini bukan rumah awak dah”.
“Saya tak nak balik. Awak faham tak?”
“Beel” Haikal melepas nafasnya. “Awak marah fasal apa yang saya sembang dengan Syakir hari tu kan? Saya tak pernah terfikir pun nak lepaskan awak. Walau apa pun yang berlaku, saya takkan lepaskan awak”.
Beel mengerut dahi. “Awak ingat saya kisah? Suka hati awaklah nak lepaskan saya ke tak. Yang penting, saya tak nak Kak Su kecewa sebab saya”.
“Awak memang tak kisah ke kalau kita bercerai?” Haikal mula meninggi suara bila Beel mengeluarkan kata-kata sebegitu.
“Tak!” Beel bangun dari katil, berdiri membelakangkan Haikal.
Haikal terdiam mendengar jawapan yakin Beel. Beel menyambung ayatnya semula, “Awak baliklah. Tempat awak di sisi Kak Su. Bukan kat sini. Sepatutnya awak kena teman dia kat Negeri Sembilan, sampai dia sembuh. Bukan datang sini, jumpa saya”.
“Awak pernah tanya tak saya nak ke tak jumpa Su?”
Beel menoleh semula mendengar kata-kata Haikal. “Habis selama ni awak kena paksa? Awak pergi Negeri Sembilan tu sebab kena paksa ke? Kalau awak tak nak awak tak pergi”.
“Beel, saya pergi ada sebab. Saya mesti lawat Su. Awak ingat saya ni tak de belas kasihan ke?”
“Awak nak cakap yang perasaan awak pada Kak Su tu belas kasihan ke? Sampai hati awak! Awak tahu tak yang Kak Su sayang sangat dengan awak?”
“Awak tahu tak siapa yang saya sayang?” Haikal menyoal Beel kembali.
Beel melepas nafas. Rambutnya dibetulkan dan dia memandang Haikal. “Siapa pun yang awak sayang, awak tetap dengan Kak Su akhirnya. Awak lupa ke yang saya ni cuma gantikan Kak Su? Kalau Kak Su balik nanti, dia akan ambil tempat dia semula. Dia bakal isteri awak. Bukan saya”.
“Beel, tak nak cakap fasal ni. Benda tak berlaku lagi. Selagi awak masih jadi isteri saya, tempat awak dengan saya. Bukan kat sini”.
Beel menggeleng-geleng tidak mahu mendengar kata-kata Haikal. Dia melangkah ke arah pintu mahu keluar dari bilik.
“Beel, Beel”.
Beel melajukan langkahnya. Dia tidak mahu mendengar apa pun yang dikatakan Haikal. Yang penting, dia tidak mahu pulang ke rumah itu. Dia tidak mahu pulang!!

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s