DILARANG NIKAHI AKU – 66

Dia menguntum senyum dan memberi anggukan. “Tapi jangan lama sangat tau”.
Safwan membuat gaya ‘ok’ menggunakan jemarinya. Menatap wajah gadis kesayangannya beberapa ketika. ‘Abang Wan minta maaf. Abang Wan buat semua ni sebab nak Beel bahagia’. Dan dia keluar dari keretanya, meninggalkan Beel sendirian.

##########

Haikal memandang jam tangan buat entah ke berapa kalinya. Janji Safwan mahu berjumpa pukul 5.00 petang, sekarang baru 4.55 petang. Lagi lima minit saja lagi.
Sejak pukul 3.00 petang, dia sudah menunggu di stesen minyak itu. Entah mengapa, terasa begitu teruja mahu menemui wajah yang teramat di rindukan pagi petang siang malam.
“Haikal” seseorang menepuk bahunya dari belakang.
Haikal menoleh. Dan menguntum senyum pada pemuda itu. Dan mereka berjabat tangan.
“Kau sihat?” Haikal menyoal, memulakan perbualan.
Safwan menguntum senyum. Tidak menyoal kembali. Pada pandangan mata kasarnya, tengok pun sudah tahu bahawa suami Beel itu ‘tidak sihat’.
“Beel ada dalam kereta”.
Haikal mengangguk. Kunci keretanya diserahkan pada Safwan. “Kau tak de benda nak jelaskan?”
“Kita tak de masa. Aku takut nanti Beel pelik aku pergi tandas lama sangat”.
Haikal diam. Sebenarnya dia separuh mati mahu tahu apa yang terjadi. Bagaimana Beel boleh ada dengan Safwan? Dan mengapa pula dia memulangkan Beel sedangkan dia juga sangat mencintai Beel? Bahkan dia mencintai Beel lebih dahulu dari Haikal.
Langkah dibuka mahu meninggalkan Safwan bersama keretanya. Namun langkah dihentikan bila Safwan menahan.
“Satu je aku nak pesan. Walaupun aku dah pesan hari tu, aku tetap nak ulang. Kalau lepas ni, benda macam ni berulang balik.. Aku takkan teragak-agak bawa Beel keluar dari Malaysia. Sekali lagi kau buat dia sedih macam ni, kau jangan harap dapat jumpa Beel lepas ni”.

##########

Beel menguntum senyum bila pintu kereta belah pemandu dibuka dari luar. Namun dia yang sibuk membetulkan tali kasut tidak memandang. “Lama juga abang Wan pergi tandas kan?”
Diam. Beel menyelesaikan ikatan tali kasutnya. Ketika itu, kereta sudah bergerak meninggalkan stesen minyak.
“Kenapa abang Wan tak jawab?” Beel menyoal sambil menoleh ke arah pemandu.
Sepi. Beel bagai terpaku melihat pemandu kereta yang sudah bertukar. Haikal menguntum senyum nipis. Hatinya sedikit lega kerana Beel tidak mengamuk seperti selalu.
Beel mengerut dahi. Apakah kerana dia terlalu rindukan Haikal, dia membayangkan abang Wan adalah Haikal? Beel memejam mata berulang kali sambil tangannya mencubit paha.
Sakit. Memang sah dia tidak berimaginasi. Haikal benar-benar di sebelahnya. “Berhenti. Berhenti. Saya kata berhenti awak dengar tak?!”
Haikal cuba menumpukan perhatian pada pemanduan. Ternyata Beel bukan tidak mengamuk, tapi dia terlambat mengamuk.
Beel mengetuk-ngetuk dashboard kereta. Dan tangan mengganggu stereng kereta. “Berhentilah! Saya cakap berhenti! Berhenti sekarang!”
Bunyi hon yang bertalu dari kereta belakang membuatkan Haikal memberhentikan kereta di tepi jalan. “Apa awak buat ni?”
Beel tidak menunggu lama bila kereta berhenti. Langsung saja kunci pintunya dibuka dan dia turun dari kereta. Haikal keluar dari kereta bila menyedari Beel sudah pun turun. “Beel! Beel!”
Beel berlari melarikan diri dari Haikal. Namun lariannya tetaplah dapat dikalahkan Haikal. Haikal menarik tangan Beel hingga gadis itu tidak dapat bergerak kerana tersekat di dalam pelukan Haikal.
“Lepaslah!” Beel menjerit sekuat hati.
“Tak nak. Kalau saya lepas, nanti awak lari!”
“Lepaslah. Rimas!”
“Tak nak!”
“Saya cakap lepas, lepaslah!” Beel menjerit lagi.
“Tak nak!” Haikal langsung mendukung gadis itu dan berjalan ke kereta semula. Beel meronta-ronta minta dilepaskan namun tidak dipedulikan Haikal.
“Duduk diam-diam!” Haikal mendudukkan Beel di tempatnya semula. Mujur saja dia baru pulang dari kerja. Tali lehernya ditanggalkan dan dia mengikat kedua belah tangan Beel agar gadis itu berdiam.
Beel merengus. Saat Haikal berpusing memasuki kereta, tali leher Haikal ditanggalkan menggunakan mulutnya. Sebaik saja selesai, pintu kereta dibuka. Ketika itu, Haikal masuk ke dalam kereta.
“Keluarlah. Kalau awak keluar sekarang, saya telefon opah bagitahu semuanya!” Haikal memandang dengan wajah serius.
Beel yang kakinya sebelah di luar dan sebelah di dalam membetulkan duduknya. Kaki kirinya dimasukkan dan pintu kereta ditutup.
Haikal melepas nafas lega. Buat beberapa ketika, nafas diambil menahan kepenatan bermain ‘kejar-kejar’ dengan Beel.
“Awak nak apa?” Beel menyoal setelah beberapa ketika berdiam diri.
“Minta maaf?” Haikal memandangnya.
Beel diam. Dia menoleh pandang ke luar tingkap. Hakikatnya, dia sendiri bingung dengan situasi yang sedang berlaku.
“Ok. Macam nilah, saya minta maaf fasal hari tu. Minta maaf sebab tuduh awak yang bukan-bukan. Saya tak de niat langsung nak tuduh awak curang dengan Wan. Sumpah, tu bukan niat saya”.
Beel mengerut dahi. Memandang wajah Haikal. “Awak ingat saya lari sebab awak tuduh saya curang dengan abang Wan?”
“Bukan ke?”
Beel menahan marah. “Awak tak faham lagi ke? Saya tak bahagia dengan awak. Saya tak bahagia!”
“Beel, please…” Haikal memujuk.
“Tolong apa? Saya dah cakap banyak kali, saya nak cerai. Saya nak cerai. Saya rasa tekak saya ni nak tercabut dah, saya cakap saya nak cerai. Awak nak saya ulang berapa kali?”
“Beel, awak ingat kahwin cerai ni benda main-main ke? Boleh kahwin cerai sesuka hati?” Haikal memandang wajah itu.
Beel memejam mata. Ikutkan hati mahu saja dia lari turun dari kereta, namun memikirkan ugutan Haikal dia membatalkan niat. Risau jika opah dapat tahu hal sebenar, pastinya opah akan kenapa-napa.
“Awak balik? Balik rumah kita? Boleh kan?”
“Saya nak cerai. Saya nak pisah. Saya nak bebas. Awak faham tak?” kali ini suara Beel berubah lembut. Menjatuhkan seluruh ego, merayu pada lelaki bernama Haikal Hadzim.
Haikal melepas nafas. Matanya terpejam dan dia berkata, “Awak tahu saya takkan ceraikan awak kan?” Haikal mengikut rentak Beel, melembutkan suaranya.
“Kenapa? Kenapa awak tak nak ceraikan saya? Sedangkan antara kita tak de apa-apa?” suara Beel seolah memendam 1001 satu rasa. Yang paling terserlah, sayu.
“Beel tolonglah. Berhenti cakap fasal cerai ni”.
“Kalau awak nak saya berhenti, ceraikan saya. Tu je jalannya”.
Haikal diam. Beel juga diam. Kalau beginilah keadaannya, perbalahan mereka tidak akan tamat sampai bila-bila. Haikal menarik nafas sedalam mungkin. “Kalau saya kata, saya dah boleh terima awak sebagai isteri?”
Beel terdiam. Membisu. Kali ini, dia memandang mata Haikal. Dan buat beberapa ketika, mata mereka bertentang. Beel mencari kejujuran di balik pandangan itu. Tapi hatinya yang makin berdebar-debar. Beel langsung memaling wajah bila terasa tidak selesa.
“Kenapa… awak nak cerai sangat? Kenapa awak nak sangat bercerai dengan saya sebenarnya? Kenapa?”
“Kalau saya cakap sebab sebenar, awak setuju nak cerai?” Beel menyoal, merasakan ada harapan Haikal bakal bersetuju dengannya.
“Boleh dipertimbangkan” Haikal mengangkat bahunya.
Beel menarik nafas sedalam mungkin. “Saya tak bahagia. Saya belum bersedia nak kongsi hidup dengan orang lain. Saya nak bebas. Nak jadi remaja normal macam yang kat luar sana. Satu lagi, yang paling penting.. Kak Su. Saya nak Kak Su bahagia. Saya tahu dia sayang sangat dengan awak. Sayang sangat. Takkan saya nak rebut awak dari dia pula?”
Haikal mengangguk memahami. “Kalau macam tu, awak dengar sini. Saya… takkan ceraikan awak. Saya takkan sesekali berpisah dengan awak. Siapa kata awak tak bebas? Awak bebas, dengan pakej suami. Saya tak kurung awak dalam sangkar. Saya tak kurung awak dalam bilik. Awak bebas buat apa saja selagi ada keizinan saya. Apa yang membezakan awak dengan remaja normal kat luar sana? Sampai awak cakap nak jadi macam remaja normal kat luar sana tu? Awak kahwin awal? Atau awak kahwin paksa? Tapi tu je kan..? Yang paling penting, siapa yang Allah dah tetapkan sebagai isteri saya, yang dah ditetapkan sebagai isteri saya, suri hidup saya, orang tu akan tetap jadi isteri saya walau apa pun yang berlaku. Akan jadi ibu pada anak-anak saya. Akan jadi nenek pada cucu-cucu saya. Dah tertulis isteri saya Nabilah Anisah, Nabilah Anisah bt Zahid. Saya takkan tukar nama tu. Takkan, sampai bila-bila”.
Beel memandang Haikal buat beberapa ketika. Air mata yang bertakung di kolam mata ditahan agar tidak mengalir membasahi pipi. Perasaannya bercampur baur saat ini. Secara jujur, dia sendiri tidak tahu apa sebenarnya yang dia rasakan. Sedih atau gembira? Marah atau terharu?
“Kita balik?” Haikal menyoal lembut, selembut hatinya saat ini.
Beel mengetap bibir. Lama. Dan perlahan… dia mengukirkan senyum. Menghadiahkan senyumnya buat lelaki bernama suami. Yang pertama kalinya, Beel benar-benar menganggap lelaki itu suaminya.

############

Dia berlari anak menuju ke luar bila mendengar bunyi kereta masuk ke perkarangan rumah. Kakinya menuruni anak tangga, menyambut abang kesayangan.
“Macam mana?” Fah memegang kedua tangan Safwan.
Safwan menguntum senyum lemah. “Ok je. Semuanya lancar”.
Fah mengangguk. Membuat muka teragak-agak. “Habis tu, abang ok tak?”
Safwan mengangkat keningnya. “Fah rasa?”
“50-50?”
Safwan melepas nafas. Dia duduk di anak tangga. “Abang dah buat keputusan. Abang kenalah terima. Kan?”
Fah menguntum senyum. “Tak pe. Abang kan ada Fah. Fah selalu ada dengan abang”.
Safwan tersenyum membelai kepala adiknya yang diliputi selendang itu. Bagaimanalah agaknya keadaan Beel sekarang? Apakah Haikal berjaya memujuknya?

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s