DILARANG NIKAHI AKU – 69

“Macam mana dengan anak saya?” Sakinah menyoal kerisauan. Sedang Zamri di sisi setia mencuba menenangkan isteri.
Doktor yang diupah Zamri menguntum senyum. “Tahniah pada En.Zamri dan Puan Sakinah. Tak lama lagi dah nak jadi atuk nenek. Puan Suraya mengandung lapan minggu”.
Rebah Sakinah di hujung katil. Zamri yang mendengar memandang doktor wanita yang rambutnya diikat tocang kuda itu. “Apa yang doktor cakap tadi?”
Sang doktor menguntum senyum dan mengulang ayatnya semula. “Puan Suraya mengandung lapan minggu”.
Beel dan Haikal yang baru melangkah masuk terhenti di muka pintu. Dulang yang menatang air untuk dihidangkan pada sang doktor terlepas dari tangannya. Bunyi kaca pecah kedengaran. ‘Kak Su mengandung?’
Zamri dan Sakinah menoleh ke arah pintu. Keduanya terkejut melihat Haikal dan Beel. Dan Sakinah kembali memandang sang doktor dengan senyuman. Dia sudah punya rencana untuk membela puterinya.

##########

“Beel”.
Beel mengesat air mata yang mengalir. Mujur dia berada di kawasan gelap, jika tidak pasti Haikal melihat air matanya yang masih tersisa.
“Jom balik rumah kita”.
Beel diam. “Tu rumah awak. Saya dah cakap dengan opah nak tidur sini malam ni. Kalau awak nak balik, awak baliklah”. Beel memandang sekilas dan membuka langkah untuk berlalu pergi.
“Awak marah ke?” Haikal menyoal, bingung dengan layanan Beel terhadapnya.
Beel menggeleng. Menarik tangannya dari pegangan Haikal. “Kenapa saya nak marah pula?”
“Fasal Su…”
Beel melepas nafas. Dia sendiri bingung mendengar kata-kata doktor yang diupah pak longnya itu. Katanya Kak Su mengandung. Kalau benar Kak Su mengandung, takkanlah bayi itu milik Haikal?
Dia tidak merasakan anak yang dikandung Kak Su berbapakan Haikal. Hampir setahun pernikahan mereka, walaupun dia tidak sukakan Haikal tapi Beel yakin Haikal tahu membezakan hal yang haram dan halal. Jika tidak, mustahillah Haikal selalu membuat permintaan untuk menjadi imam solatnya.
“Anak tu bukan anak saya” ujar Haikal lambat dan perlahan tetapi tegas.
Beel menguntum senyum. “Kak Su pun belum sedar lagi. Semuanya masih belum pasti. Cuma satu saya nak minta. Awak boleh tunaikan?”
Haikal mengerut dahi. “Apa?”
“Tak kisahlah siapa bapa anak tu. Yang penting, kalau Kak Su nak awak bertanggungjawab, awak boleh buat” dan Beel berlari masuk ke dalam rumah tanpa menunggu jawapan dari Haikal.

##########

“I tak setuju”.
“Apa you cakap ni, Zam?”
“You jangan buat I marah. I tak setuju. Ada ke patut you nak suruh Haikal bertanggungjawab?” wajah Zamri tegang memandang isterinya.
Sakinah menjeling. “Yang you marah sangat ni kenapa? Kan Haikal tu bakal suami dia. Tak salah kalau kita minta Haikal percepatkan perkahwinan kan?”
Zamri melepas nafas. Mata dipejam buat beberapa ketika. “Apa yang you mengarut ni? You dengan Su yang beria-ria plan nak buat majlis. You pasti ke Haikal tu nak kahwin dengan anak kita? You jangan buat-buat tak tahu, jangan buat-buat tak nampak. Semua orang kat villa ni tahu yang Haikal tu dah jatuh sayang dengan Beel”.
“I tak kira. Macam mana pun, Haikal kena bertanggungjawab!”
“You nak semua orang tahu yang anak kita mengandung anak haram ke?”
“Zam!!” Sakinah meninggi suara. Tidak suka mendengar kata-kata sang suami.
“I tak izinkan you dengan Su buli Beel lagi. Cukup-cukuplah atas semua yang you dah buat pada anak saudara kita tu. Kalau you tak nak stop, I ni lah yang akan jadi orang yang bagitahu kat satu dunia, yang anak kita kena rogol dengan lelaki yang dah tak de kat dunia ni!”
“Papa!”
Sakinah yang baru ingin membidas terdiam. Memandang Suraya yang sudah terduduk di atas katil. Baru dia sedar, mereka masih berada di bilik Suraya. Jadi semua pergaduhan mereka….
“Sayang..” Sakinah meluru ke arah Suraya. Zamri mengikut langkah Sakinah. Mendekati puterinya.
Suraya memandang kedua orang tua yang berada di sisinya. “Su mengandung ke?”
Sakinah diam. Begitu juga Zamri. Suraya memandang mama dan papa yang mengelak dari menjawab soalannya. “Mama, papa.. Su tanya ni, Su mengandung ke?”
Zamri memandang wajah puterinya. Dia mahu memberitahu semuanya pada Suraya tapi dia tidak sampai hati. Dan dia memandang Sakinah yang hanya menangis di sisi Suraya.
“Papa… Betul ke?”
“Sayang..” ucap Zamri lembut.
Suraya sudah memejam matanya. Mendengar ucapan ‘sayang’ dari mulut papa saja dia sudah tahu semuanya adalah benar. Bukan mudah papa mahu memanggilnya ‘sayang’. Selalunya papa lebih menggunakan panggilan ‘Su’.
Air mata Suraya merembes keluar. Tidak lama kemudian tubuhnya mula terhenjut-henjut menangis semahunya. Akhirnya… perkara yang dia takuti telah pun berlaku.
“Su…” Sakinah memaut kepala anaknya.
Sunyi seketika. Namun tak lama. Suraya mula mengamuk tidak tentu hala. Mengapa semua ini terjadi padanya? Dia mula menjerit-jerit mengatakan ‘Semuanya tidak benar! Mengapa? Kenapa?’
“Su..” Zamri dan Sakinah cuba menenangkan puteri mereka. Dalam hati keduanya bimbang andai Suraya mengingati peristiwa hitam itu. Benar-benar bimbang dan risau.
Suraya menarik nafas sedalamnya. Memandang papa dan mama bersilih ganti. “Su nak bersendirian”.
Sakinah memandang Zamri dan Zamri memandang Sakinah. “Tapi sayang…” Sakinah mengusap pipi Suraya penuh kasih sayang.
Suraya mendiamkan diri. Dia tidak punya ‘mood’ untuk berbual dengan siapa pun. Dia cuma mahu bersendirian saat ini.
Zamri melangkah ke arah Sakinah perlahan. Bahu Sakinah dipaut hingga Sakinah memandangnya. “Su perlukan masa. Jom”.
Sakinah membuat muka tidak mahu meninggalkan puteri mereka. Bukan Sakinah tidak tahu sikap Suraya bagaimana. Jika ditinggalkan sendirian, mahu-mahunya esok pagi mereka hanya menemui Suraya yang tergantung tubuhnya.
Zamri menggeleng-geleng kepalanya. Tubuh Sakinah ditarik perlahan menjauhi Suraya. Suraya langsung berbaring membelakangi kedua orang tuanya. Dan dia mula menangis teresak-esak menangisi betapa sedihnya nasib diri.

#########

Beel berdiri tegak di hadapan bilik opah. Nafasnya ditarik perlahan naik dan turun. Dia mahu masuk tapi semuanya harus tenang dahulu. Jika opah menangkap riak wajahnya yang tidak senang, pasti susah untuk membohongi opahnya.
“Tak nak”.
Beel kaku di posisi. Tangan Haikal yang tiba-tiba memaut jemarinya membuatkan dia terkejut sendiri. Juga sepatah ayat yang keluar dari mulut lelaki bernama Haikan Hadzim itu. ‘Tak nak?’
“Saya takkan bertanggungjawab terhadap bayi tu. Anak tu bukan anak saya, Beel.”
Beel mendiamkan diri. Dia tahu itu bukan anak Haikal. Lalu apa? Lalu bagaimana? Takkanlah dia mahu membiarkan anak saudaranya lahir tidak berbapa? Takkanlah dia mahu Kak Sunya menanggung malu akibat melahirkan bayi tanpa bapa? Atau bahasa kasarnya anak haram?
“Beel, tolonglah. Cakap sesuatu. Anak tu bukan anak saya!” Haikal meninggikan suara namun masih terkawal. Dia sedar mereka berada di hadapan bilik opah.
Pintu terbuka dari dalam dengan tiba-tiba. Mak Jah keluar menatang dulang terisi gelas. “Cik Beel. En.Haikal”.
Beel menguntum senyum. Tangannya ditarik dari genggaman Haikal. “Opah dah tidur ke?”
“Dah nak masuk tidur. Cik Beel nak balik ke?”
Beel menggeleng. “Malam ni Beel tidur sini. Beel dah cakap dengan opah tadi”.
Mak Jah menguntum senyumnya. Anggukan diberikan buat cik muda kesayangan. Beel membuka langkah mahu memasuki bilik opahnya. Namun langkah terhenti bila Mak Jah menahan. “En.Haikal macam mana?”
Beel menoleh memandang Haikal. Namun tiada soalan yang keluar dari mulutnya. Hanya memandang tanpa riak wajah. Haikal melepaskan keluhan. “Tak pelah Mak Jah. Saya nak balik”.
“Mak Jah bawakan Haikal pergi bilik Beel. Awak boleh tidur bilik saya kalau awak nak” ucap Beel perlahan dan terus memasuki bilik Puan Sri Normah.
Mak Jah ketawa kecil melihat gelagat pasangan itu. Haikal memandang Mak Jah dengan kerutan dahi. Seribu satu tanda tanya bermain di kepala melihat Mak Jah ketawa.
“Kenapa Mak Jah gelak?”
Mak Jah menggeleng-geleng kepalanya. “En.Haikal dengan Cik Beel dah dekat setahun kahwin. Tapi gaya masih macam pengantin baru”.
Haikal senyum sendiri. “Tengah belajar lagi Mak Jah”.
“En.Haikal nak balik atau pun nak tidur sini?” Mak Jah menyoal dengan senyuman.
Haikal ikut menguntum senyumnya. “Takkanlah saya nak biar ratu hati saya seorang kat sini?”
Dan Mak Jah menganggukkan kepalanya. “Jom. Mak Jah tunjukkan bilik Cik Beel”.

##########

“Opah dah tidur ke?” Beel menyoal separuh berbisik.
Puan Sri Normah yang baru memejamkan mata membuka matanya. Tersenyum mendapati Beel sudah berbaring di sisinya.
“Opah..” Beel sengih sendiri.
Puan Sri Normah ikut tersenyum melihat sengihan Beel. “Suraya macam mana? Doktor cakap apa?”
Beel diam. Bagaimana? Jawapan apa yang harus dia berikan? Apakah dia mahu berterus-terang atau.. Beel buntu berfikir sendiri.
“Nab..” Puan Sri Normah memanggil lembut. Apakah ada sesuatu yang telah berlaku? Sesuatu yang tidak dia tahu?
“Doktor cakap Kak Su terlalu stress”.
Puan Sri Normah mengangguk memahami. Iyalah, siapa yang tidak stress jika bakal pengantin lelakinya langsung tidak mengambil tahu soal pernikahan mereka? Tapi jika difikirkan kembali, semuanya salah Suraya juga.
Bukankah dia sendiri sudah maklum bahawa Haikal telah pun menikahi Beel dan menjadi suami Beel. Masih lagi mahu itu ini. Konon antara Haikal dan Beel semuanya satu kesilapan. Sedangkan Suraya sendiri maklum akan ketidakmahuan Haikal melepaskan Beel. Seharusnya dia menerima semuanya dengan hati terbuka.
Kalaulah tiba hari yang ditetapkan tapi Haikal tidak datang, apa agaknya yang akan berlaku? Puan Sri Normah jadi bimbang memikirkan hari itu.

##########

Sampai saja di rumah, Beel meluru masuk ke bilik dan langsung mengunci pintu. Sengaja tidak mahu Haikal masuk ke bilik. Dan dia langsung memakai fon kepala, mendengar lagu. Tidak mahu mendengar kata-kata Haikal yang ‘menyibukkan’ diri merayu.
Haikal melepas nafas. Beel langsung tidak mahu memberinya peluang untuk bercakap. Bagaimana semuanya boleh dijelaskan jika mereka tidak berbincang empat mata? Haikal mengeluh lagi buat kali entah ke berapa.
Beel langsung tidak tahu soal Suraya membuat perancangan pernikahan semula. Dia tahu dan dia sebolehnya tidak mahu Beel tahu. Dia juga hairan bagaimana kad jemputan perkahwinan yang dia sendiri tidak ada boleh ada pada Beel.
Sudahlah tarikhnya lagi seminggu bermula hari ini. Haikal terasa bagai mahu lari sejauh-jauhnya. Agar boleh keluar dari segala permasalahan yang berlaku. Namun dia tahu, itu bukanlah penyelesaian terbaik.
Tadi di dalam kereta, Beel membuka radio sekuat mungkin. Bila dia menutup radio, Beel membukanya kembali. Berulang hal itu berlaku hinggalah Haikal meminta peluang untuk bercakap. Memang Beel membiarkan, tapi bila Haikal menoleh ke arah Beel semula, gadis itu telah pun memejamkan mata. Erti kata lain, berpura-pura tidur.
“En.Haikal”.
Haikal menoleh ke belakang memandang pembantu rumahnya yang memanggil. “Ya, Kak Nia?”
“Ada tetamu datang”.
“Siapa?” Haikal menyoal. Serentak itu juga, pintu bilik terbuka dan Beel meluru keluar. Haikal dan Nia berpandangan sesama sendiri. Haikal mula merasakan sesuatu. “Siapa datang?”
“Cik Fah dengan En.Safwan” ucap Nia perlahan.
“Agak dah!” Dan Haikal berlari mengejar langkah kaki isterinya itu.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s