DILARANG NIKAHI AKU – 73

‘Begini rasanya melakukan sesuatu yang tidak pernah kita lakukan. Tambahan pula, untuk orang yang disayangi’.
Haikal menarik nafas sedalam mungkin memandang keadaan dapur kecil yang sudah kelihatan macam tongkang pecah. Walau keadaan bersepah mana pun, dia masih tetap tersenyum. Kerana dia sendiri yang membuat permintaan untuk memasak sarapan buat isteri kesayangan.
Pagi ini Beel kurang bercakap. Hanya mengangguk, menggeleng atau sekadar memandang Haikal yang berkata-kata. Haikal telah mencuba sedaya upaya memastikan keadaan mereka tidak sekekok sekarang namun ianya tidak berjaya.
Saat Haikal ketawa gembira, Beel akan ‘menghancurkan’ kegembiraannya dengan berkata ‘Jangan lupa pergi Pejabat Agama lepas ni’.
Nasi goreng yang sudah siap dimasak dipandang dengan senyuman. Sesekali mata mencuri pandang pada Beel yang termenung sendiri di luar balkoni. Memastikan Beel tidak sesekali mencuri pandang ke arahnya.
Jus durian yang dibancuh sendiri dipegang. Kepala ditoleh sekali lagi memandang ke arah balkoni. Bagus, ‘line clear’. Tangan dimasukkan ke dalam poket seluarnya. Bungkusan kecil dikeluarkan dari poketnya.
Bungkusan kertas itu dibuka perlahan. Dan kelihatan serbuk putih di dalamnya. Haikal menarik nafas perlahan dan menuang serbuk putih itu ke dalam gelas yang terisi jus durian buat Beel. Haikal memandang gelas itu buat seketika.
‘Patut ke aku buat macam ni? Nampak macam lelaki jahat yang nak ambil kesempatan je’. Haikal melepas nafas. Dia terasa tidak sampai hati pula. Gelas diambil dan dia mendekati sinki.
Haikal menggelengkan kepala. Bukankah dia sudah tekad? Jika dia tidak melakukannya, jenuh juga mahu bergaduh dengan Beel soal Pejabat Agama nanti. Dia mengangguk. Baiklah, ini adalah satu-satunya cara untuk membuatkan Beel tidak mengganggu rencananya tapi membantu.

##########

Telefon bimbitnya dibaling ke dinding hingga ia jatuh ke lantai dan pecah berderai. Nafasnya turun naik menahan perasaan marah. Mata memandang kalendar yang tergantung.
Majlis tinggal tiga hari saja lagi. Tapi saat ini Haikal masih lagi belum memunculkan diri. Teringat pergaduhannya dengan Haikal semalam.
Apakah Haikal benar-benar akan melakukan seperti yang dikatakannya? Mata dipejam seketika menenangkan diri. Juga menenangkan perutnya yang sudah mula terasa tidak selesa.
Ini bukan masanya untuk beremosi. Ini bukan masanya untuk dia marah-marah bagai orang hilang akal. Apa cara sekali pun, dia akan memastikan perkahwinan antara dia dan Haikal berlaku. Tidak sesekali dia akan mengaku kalah pada Beel.

##########

Bibir mengukir senyum melihat wajah isteri yang lena tidur di sisinya. Nampaknya dos ubat tidur yang diberikan Haikal memang secukupnya untuk membuatkan mereka tiba di negeri Pulau Mutiara ini.
Tapi memandu hampir seharian dari Johor ke Pulau Pinang memang memenatkan. Mujur dia ada berhenti solat dan menjamah sedikit makanan tadi.
Apa agaknya respon Beel bila membuka matanya? Haikal mencapai tangan kanan Beel dan meramasnya. “Saya minta maaf. Tapi buat masa ni, inilah satu-satunya jalan keluar yang saya dapat fikir”.
“Beel… Beel… Beel…” Haikal mengejutkan.
Pipi Beel disentuh lembut. “Beel.. Sayang, bangun”.
Beel mula menggeliat dan perlahan mata dibuka. Wajah diraup sekilas dan dia memandang Haikal di sisi. “Dah sampai ke?”
Haikal menganggukkan kepala. Beel meninjau keadaan sekeliling dari cermin kereta. Mereka berada di tempat parkir kereta. Jadi yang dilihat hanyalah kereta-kereta yang bersusun. Kemudian mata menangkap sesuatu.
Mengapa lampu dibuka pada waktu siang? Haikal dipandang sekilas dan dia memandang ke luar tingkap kembali. Baru terperasan keadaan yang sudah gelap di luar sana. “Awak..”
Dan mata membulat melihat jam kereta yang menunjukkan pukul 8.00 malam. Haikal dipandang tajam. “Kita kat mana ni?” Beel menyoal serius.
“Penang”.
“Penang?” bertambah membulat mata Beel mendengar jawapan yang diberikan Haikal.
Haikal mengukirkan senyum kerang busuknya. “Saya drive sampai Penang?”
Beel menahan nafas sekaligus menahan marah. “Memanglah awak yang drive. Macam mana boleh sampai Penang?!” suaranya meninggi membuatkan Haikal menutup telinga kerana bergema seisi kereta.
“Habis, kalau tak awak kecoh nak pergi Pejabat Agama. Awak rasa saya nak ke ceraikan awak? Dah tentu-tentulah awak tu dah jadi milik saya sepenuhnya” Haikal memberi penerangan sebangga yang mungkin dengan tangannya mencapai kedua belah tangan Beel, dibelai penuh kasih.
Beel menarik tangannya dari pegangan Haikal. “Kalau awak tak nak terangkan apa yang awak tengah buat sekarang ni, saya call abang Wan suruh ambil”..
Haikal ketawa kecil, “Fon awak kat sini”. Tangan yang memegang telefon bimbit milik Beel ditunjuk. Saat Beel cuba mencapai, Haikal langsung mengambil kesempatan dengan mencium pipi isterinya itu.
“Awak ni…” Beel mencubit Haikal sekuat hati hingga Haikal mengaduh. Beel tiba-tiba teringat sesuatu. Tangannya bergerak sendiri tanda kepalanya yang ligat berfikir.
Dahi berkerut. Melihat jam yang sudah menunjukkan pukul 8.30 malam. “Kenapa saya tak sedar langsung? Kalau betul kita kat Penang sekarang, kenapa saya tak sedar langsung dalam perjalanan tadi? Dari Johor ke Penang bukannya dekat tau!”
Haikal sengih lagi. “Kalau saya bagitahu awak marah tak?”
“Bagitahu cepat!!”
“Saya letak ubat tidur dalam jus durian awak”.
Beel memejam mata buat seketika. Jadi, dia tidur sepanjang setengah hari perjalanan dari Johor ke Pulau Pinang? Tidur di dalam kereta sepanjang perjalanan dari Johor ke Pulau Pinang?
“Kenapa awak buat macam ni? Kenapa nak buat benda macam ni? Dah lah tak solat lagi. Zohor, Asar, Maghrib.. Jap lagi dah nak masuk Isya’.. Kenapa tak bawa saya pergi Pejabat Agama je? Awak ceraikan saya, kahwin dengan Kak Su. Semua pihak win-win. Kak Su ada suami, nak Kak Su ada bapa. Saya boleh hidup macam dulu balik. Sambung belajar..” Beel mengomel sendiri. Menunjukkan bahawa dia sudah penat dengan segala masalah yang timbul.
Haikal membetulkan duduk. Kali ini tidak lagi menghadap Beel tetap menghadap cermin hadapan. Memandang stereng kereta. “Awak fikir win-win awak dengan Su je. Saya awak ada fikir ke?”
“Nak fikir apa lagi? Kan memang asal duduk perkara sebenar awak tu sepatutnya kahwin dengan Kak Su. Awak lupa ke? Sepatutnya masa dari awal dulu saya tak setuju dengan opah nak kahwin dengan awak. Tengoklah sekarang apa yang jadi…” Beel terasa bagai mahu menangis saja. Kepalanya sudah menunduk membuatkan rambut separas bahunya menutupi wajah.
“Sebab awak tak fikirlah awak tak tahu. Kalau betul dalam win-win yang awak fikir tu ada saya, mesti awak sedar yang saya sayangkan isteri saya. Saya cintakan awak. Haikal cintakan Beel. Habis, kalau saya ceraikan awak… mana win-winnya?” Haikal membuat nada merajuk.
“Ok” Beel menarik nafas sedalam mungkin. “Tapi saya nak cerai. Anak yang Kak Su kandung tu perlukan bapa. Takkanlah saya sebagai mak saudara dia nak bagi dia lahir tak de bapa?”
“Boleh tak awak ketepikan soal Su buat masa ni? Saya drive dari Johor ke Penang ni bukannya nak gaduh dengan awak fasal Su. Awak sayang saya tak?” Haikal memandang Beel yang sudah berubah kedudukan memandangnya.
Diam. Suasana sunyi. Wajah Beel sudah berubah kemerahan mendengar pertanyaan Haikal. Bibir mengomel-ngomel sendiri. ‘Kalaulah dia tidak punya perasaan terhadap Haikal, sejak malam tadi dia sudah melarikan diri’.
Haikal ketawa sendiri melihat reaksi Beel. “Diam tu tanda ya kan?”
Beel mencebik. “Dah lah. Nak masuk dalam. Nak solat” dan Beel membuka pintu kereta.
Haikal menggelengkan kepala dengan senyuman sambil menutup enjin kereta. Hidup baru bakal menanti mereka berdua. Hidup baru sebagai suami isteri yang sebenar.

##########

“Cantik kondo ni. Bila awak beli?” Beel menyoal sambil melipat telekungnya. Memandang Haikal yang sedang duduk di atas sofa, khusyuk memandangnya.
“Adalah dalam sebulan. Dekat dengan laut tau..” Haikal menguntum senyum bahagianya.
“Maksudnya dah lama jugalah awak plan nak bawa saya lari ni?”
Haikal ketawa kecil. “Janganlah cakap lari. Tak sedap nak dengar. Mula-mula tu plan nak bawa honeymoon je, tak beli kondo ni pun. Sewa je.. Tapi hal dah jadi macam ni, beli je la terus.”
Beel diam seketika. Langkah kaki perlahan menuju ke arah Haikal. Beel kemudian bersimpuh di atas lantai, di sisi Haikal. “Terima kasih sebab buat semua ni. Tapi…”
“Kenapa?” Haikal mengusap kepala isteri kesayangan.
Beel melepas nafas. Dalam hati ketawa besar bila dia tiba-tiba berkelakuan begini. Tapi dia diamkan saja. Mungkin sudah tiba masanya dia menjadi isteri yang baik buat lelaki bernama suami.
“Risau Su lah ni?”
Beel menganggukkan kepalanya perlahan. Haikal melepaskan nafas. “Saya takkan kahwin dengan dia. Saya kan dah ada awak..”
Beel menarik nafas sedalam mungkin. “Ok. Macam ni lah, awak tak yah ceraikan saya tapi… kahwinlah dengan Kak Su. Jaga air muka dia, air muka keluarga saya. Macam mana kalau orang tahu cucu sulung Puan Sri Normah mengandung anak luar nikah?”
“Kita dah berapa kali cakap fasal ni Beel”.
Beel membuat muka. Dia bangun dari duduknya, berdiri tegak memandang Haikal. Mulut mula membebel-bebel memprotes ketidaksetujuan Haikal. Kaki pula mula menghentak-hentak lantai.
Haikal melepas nafas. “Janganlah jadi budak-budak. Awak tahu tak apa yang awak tengah minta ni? Awak minta saya jadi pak sanggup tau..”
“Tu anak saudara saya. Anak kakak saya! Awak nak suruh saya buat bodoh je tengok kakak saya mengandung anak tak de bapa?!” suara Beel meninggi.
“Beel…” Haikal cuba memujuk.
Beel memejam mata. Dan air matanya mula menitis dan mengalir sederasnya. Dalam esakannya dia memandang Haikal. Teresak-esak dia mula berkata, “Awak anggap saya merayu boleh tak? Saya takkan gaduh-gaduh dengan awak dah. Eh.. Tak.. Saya tak tahulah nak cakap apa. Awak kahwin dengan Kak Su boleh? Bolehlah.. Tolonglah sangat-sangat. Awak tahukan saya sayang sangat dengan Kak Su saya. Bolehlah.. Tolonglah.. ” Beel mula berperilaku bagai budak-budak yang meminta gula-gula dari sang ibu. Tangan Haikal mula dihayun ke sana ke mari tanda merayu.
Haikal melepas nafas. Anggukan diberikan buat wanita bernama Nabilah Anisah.
“Betul ni?” tangisan Beel langsung terhenti.
“Esok lepas kita pergi daftar awak masuk U, saya gerak pergi KL” Haikal memandang.
“U? Universiti?”
“Awak kata nak sambung belajar kan?”
Beel langsung mengukir senyumnya. Haikal dipeluk sebagai tanda dia benar-benar gembira. “Terima kasih. Sayang awak!”
Haikal membalas pelukan Beel. Dia bahagia melihat Beel bahagia. Tapi apakah benar mengambil Suraya sebagai isteri kedua merupakan jalan terbaik? Rencananya mahu menetap bersama Beel di Pulau Pinang, tapi lain pula yang berlaku.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s