DILARANG NIKAHI AKU – 104

Kakinya melangkah lemah turun dari kereta. Mengekori langkah Haikal yang menuju ke kubur Suraya. Haikal berhenti tepat di tengah-tengah tanah perkuburan itu. Memandang Beel sambil menunjuk pada kubur di sisinya.
Beel mendekat. Air matanya merembes keluar saat membaca nama yang tertera pada batu nisan. Dia duduk kemas di sisi kubur arwah Suraya. Tangan diangkat membacakan doa sebelum Suratul Fatihah dibaca.
“Kak Su, Beel minta maaf” Beel mencium lembut batu nisan yang berada tepat di hadapannya.
Haikal memandang Beel yang tidak berhenti mengalirkan air mata sedari tadi. Dia yang awalnya duduk di sisi isteri bangun berdiri bila kehadirannya tidak diendahkan Beel. Jam di tangan dipandang. Sudah hampir pukul 7.00 malam. Apakah Beel tidak mahu pulang?
“Sayang..”
Beel memejam mata lama. Dia bagai tidak percaya dia hidup di dalam sebuah pembohongan selama bertahun lamanya. Dia setiap hari memikirkan Kak Sunya yang rupanya sudah pun tiada lagi di dunia ini. Sampainya hati Haikal merahsiakan segalanya!
“Kenapa awak rahsiakan dari saya?” Beel menyoal perlahan, namun masih dalam nada yang didengari Haikal.
“Sayang, opah yang minta saya rahsiakan” Haikal menerangkan kedudukan perkara sebenar.
“Habis tu, awak ikut je apa opah minta?”
“Opah yang besarkan sayang, opah yang jaga sayang dari kecil. Jadi saya yakin semua keputusan opah mesti yang terbaik untuk sayang”.
“Terbaik? Awak rahsiakan hal kematian Kak Su dari saya, awak kata terbaik?” Beel bangun berdiri. Memandang wajah lelaki yang paling disayanginya itu. Tapi perasaannya sekarang, adalah kecewa yang teramat sangat.
“Sayang..” Haikal cuba memujuk. Tangannya memegang pipi milik Beel.
Beel mengalih wajah. Mengelak dari disentuh Haikal. Dia kembali menghadap kubur. Membiarkan air mata mengalir semahunya. Dia tahu masa tidak boleh berundur kembali. Namun Beel tidak dapat menerima hakikat bahawa dia dibohongi Haikal selama ini.
Haikal melangkah ke kereta bila Beel tidak mengendahkannya. Namun wajah yang dilihat baru melangkah masuk ke tanah perkuburan itu adalah..
“Fah?”
Fah menguntum senyum, terus melangkah menuju pada Haikal. “Abang Haikal”.
Haikal mengangguk namun kerutan dahi masih jelas pada wajah. “Fah buat apa kat sini?”
Fah membuat muka kelat. “Beel minta Fah ambil”.
Haikal mengerutkan dahi. “Minta Fah ambil?”
Fah mengangguk perlahan. Dia berdiri tegak di tempatnya sementara Haikal melangkah menuju pada Beel semula.
“Sayang, dah gelap ni..” Haikal memanggil.
Beel melepas nafas perlahan. Dia berdiri dan menghadap wajah suaminya. Nafas dilepas lagi sebelum dia memandang Fah yang berada tidak jauh dari mereka. “Saya nak duduk dengan Fah kejap”.
“Apa sayang cakap ni?” Haikal maju ke hadapan, lebih dekat pada Beel namun isterinya itu mengelak. Dia melangkah ke hadapan agar jauh dari Haikal. “Sayang..” Haikal mengeluarkan suara sayu.
“Saya rasa kita kena berjauhan sekejap. Saya perlukan masa” Beel mengangkat wajah, mata memandang Haikal.
“Sayang..”
“Saya tahu saya bukannya budak lagi. Boleh nak lari rumah sesuka hati. Jadi saya minta sangat dengan awak, izinkan saya duduk rumah Fah”.
“Sayang nak tinggalkan saya?” Haikal membulatkan matanya.
“Saya tak tinggalkan sesiapa. Saya cuma perlukan masa sendiri. Saya tak boleh nak duduk dengan awak, pandang muka awak setiap hari. Saya akan teringat apa yang awak buat..” Beel bersuara dengan suara letihnya. Sudah hampir seharian dia mengalirkan air mata, bagaimanalah dia tidak lelah?
“Saya minta maaf. Bukan niat saya nak rahsiakan. Kan saya dah cakap opah minta saya rahsiakan dari awak?”
“Izinkan saya pergi” Beel bersuara tegas.
“Sayang…” Haikal menyentuh pipi isterinya itu.
“Saya nak pisah dengan awak buat sementara. Sampai bila saya tak tahu. Tapi saya tak nak balik rumah tu, saya tak nak balik rumah opah! Jadi awak tolonglah, tolonglah izinkan saya tinggal dekat rumah Fah buat sementara”.
Haikal melepas nafas. Mata dipejam rapat memperlihatkan air matanya yang sudah mula bertakung. Dia tahu Beel marah benar padanya. Namun dia masih lagi bersyukur atas tindakan yang diambil Beel. Sekurangnya gadis itu tidaklah melarikan diri tanpa khabar berita seperti yang berlaku sebelum-sebelum ini.
“Awak nak duduk dengan Wan?” Haikal menyoal setelah beberapa minit berlalu.
Beel senyum sinis. “Saya masih sedar yang saya isteri orang. Abang Wan tak de, dia kerja kat Terengganu enam bulan. Fah tinggal seorang kat rumah tu..”
“Awak nak tinggalkan Suria..?” Haikal masih cuba memujuk agar Beel membatalkan niatnya.
“Dia anak saya, takkan saya nak tinggalkan dia kan?”
Haikal mengerut dahi. “Awak dah tahu?”
“Kak Su dah ceritakan semua dalam surat tu. Jelas, terang dan nyata. Bila awak rahsiakan dari saya hal kematian Kak Su, mesti awak sedar yang awak makin hari makin banyak cipta pembohongan kan?”
Haikal mengambil tangan Beel kedua-dua belah. Digenggam erat walau isterinya itu sehabis daya cuba melepaskan. “Sayang, saya minta maaf. Betul-betul minta maaf. Kalau sayang tak nak tengok muka saya, saya boleh keluar dari rumah. Tapi sayang jangan tinggalkan rumah tu, boleh?”
Beel mendiamkan diri beberapa saat. “Saya nak tinggal dengan Fah. Saya dah minta Fah ambil Suria dari rumah opah. Suria ada dalam kereta tu. Saya harap awak izinkan” dan tangannya ditarik perlahan bila genggaman Haikal sudah mulai longgar.
“Kalau saya tak nak izinkan?”
Beel mengangkat wajah memandang Haikal. “Awak yakin awak tak nak izinkan?”
“Sayang, balik rumah kita?” Haikal cuba memujuk lagi.
Beel memandang tanpa riak. Dia sudah tiada daya mahu tertarik dengan pujuk rayu Haikal. Apa yang terlintas di fikirannya saat ini hanyalah mahu menjauhkan diri dari Haikal. Hanya untuk sementara, bukan selamanya. Dia cuma mahu menenangkan emosi.
Haikal mencium kepala Beel di dalam kegelapan malam yang diterangi lampu-lampu jalan. “Saya izinkan” dia mengucap dan melangkah meninggalkan Beel.
Fah dipandang dengan air mata yang sudah mulai mengalir. “Abang Haikal harap Fah boleh jagakan Beel dan Suria untuk Abang Haikal”.
Fah menguntum senyum. “Fah minta maaf”.
Haikal tersenyum. Gadis ini, tunangan Syakir yang sememangnya punya sikap gadis melayu terakhir. Sopan santunnya memang mampu menarik hati sesiapa saja. Tidak hairanlah rakannya yang kasanova itu pun boleh terpikat dengan gadis polos ini. “Fah tak salah. Abang Haikal kenal Beel.. Kira oklah dia minta izin kan?”
Fah ketawa kecil. Memberi laluan buat Haikal dan melangkah menuju ke arah Beel. “Jom”.

###############

“Kau ok tak ni?” Fah menyoal risau.
Beel ketawa kecil mendengar soalan Fah. “Kalau aku ok, aku nak tidur rumah kau tak? Dahlah tak bawa barang apa-apa”.
Fah diam sambil membuka pintu kereta memasuki tempat pemandu. Beel membuka pintu kereta bahagian belakang sementara Fah menghidupkan lampu. Memperlihatkan Suria yang lena tidur terbaring.
“Comelkan?” Fah menyoal, mahu melihat reaksi teman baiknya itu.
Beel menguntum senyum dan kembali menutup pintu kereta. Dia segera memasuki tempatnya di sebelah Fah. “Muka dia memang sama dengan aku kan?”
“Tahu pun. Tu yang selalu Abang Haikal cakap. Opah pun cakap macam tu. Uncle Zamri dengan Aunty Sakinah pun cakap benda yang sama” Fah menyokong kata-kata Beel. Sambil kakinya mula menekan minyak, kereta bergerak meninggalkan kawasan tanah perkuburan.

#############

“Kenapa panggil saya keluar? En.Haikal tak nak masuk ke?”
Haikal menggeleng mendengar soalan Putih. Dia tidak punya niat untuk pulang ke villa pun sebenarnya. Dia hanya ingin bertemu Putih untuk mendapatkan kepastian soal sesuatu.
“En.Haikal ada apa-apa ke?”
“Putih, saya nak tanya”.
“Ya?”
“Tadi siapa yang ambil Suria?”
“Fah. Dia kata Beel suruh ambil. Fah minta semua barang keperluan Suria, dan pakaian dia”.
“Baju sekolah?”
Putih mengangguk.
“Baju harian?”
Putih mengangguk lagi.
“Baju keluar jalan?”
Dan Putih mengangguk lagi. Haikal melepas nafasnya. Bererti sampai bila marah Beel padanya akan reda?
“Kenapa, En.Haikal?”
“Tak de apa-apalah. Terima kasih Putih. Cakap dengan opah, minta maaf tak bagitahu sebelum balik”.
Putih mengangguk. “Mana Beel?”
Haikal menguntum senyum pahit. “Dia dah tahu saya rahsiakan fasal arwah Su”.
“Beel dah tahu?”
“Dia tahu dari surat yang Su tinggalkan. Saya tak sempat nak bagi penjelasan”.
Putih mengangguk kecil. “Jadi Beel marah, bawa Suria lari?”
Haikal ketawa kecil. “Dia tak lari. Dia bawa Suria tinggal dengan dia kat rumah Fah. Dia nak berjauhan kejap. Untuk beberapa ketika..”
Putih tersenyum. “Sekurangnya dia bagitahu kan? En.Haikal tahu nak cari dia kat mana..”
Haikal mengangkat bahu. “Tak tahulah Putih. Memang bagus sebab dia bagitahu. Tapi kalau saya pergi rumah Fah pun, macamlah dia nak jumpa”.
Putih menguntum senyum. Dia kenal benar adik angkatnya itu. Nampaknya agak susahlah mahu meredakan kemarahan dan kekecewaan Beel kali ini. Bukan dia tidak tahu betapa Beel menyayangi Suraya.
“Putih jangan bagitahu opah ea”.
Putih mengangguk. “En.Haikal jangan risau. Rahsia ni selamat dengan saya..”
Haikal mengangguk. “Saya balik dulu. Kalau Beel balik sini, bagitahu saya”.
“Baik”.

#############

“Jom tidur sayang..”
Suria yang sedang menonton Upin Ipin kegemarannya menguntum senyum bila Beel menghulurkan tangan.
Fah yang berada di dapur dipanggil. “Fah, aku nak tidur ni!”
“Ok!” Fah menjawab dari dapur.
Suria dan Beel beriringan masuk ke bilik tetamu yang berada di tingkat bawah. Tubuh Suria dibaringkan dan selimut ditarik menutupi separuh badan.
“Tidur ye..” Beel tersenyum sambil tangan mengusap kepala Suria. Malam pertama dia tidur bersama ‘anak’nya itu.
Suria menghadap Beel dan tubuh Beel dipeluk. Membiarkan Beel menepuk-nepuk tubuhnya. Membuatkan matanya semakin lama semakin berat.
Beel melepas nafas dalam senyuman. Apakah betul tindakan yang dia ambil? Berpisah buat sementara? Sementara itu sampai bila? Sampai bila-bila?
“Mama, papa mana?” Suria tiba-tiba membuka matanya dan memberi soalan cepu emas.
Beel terdiam. “Kenapa Suria tanya?”
“Selalu papa tidur dengan Suria”.
“Selalu?” Beel mengerutkan dahi.
Suria mengangguk. Beel tersenyum pahit. “Malam ni Suria tidur dengan mama. Mama seorang je.. Suka tak?”
“Suka. Tapi papa tak de ke?”
Beel melepas nafas. Benarlah seorang kanak-kanak memang tidak mudah faham bahasa. Dia menguntum senyum dan memeluk Suria hingga matanya terpejam. Dia tidak tahu sampai bila keadaan ini akan berterusan. Yang dia tahu, buat masa ini dia mahu berjauhan.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s