Demi Syaqiqah – P15

Tun Maryamul Azra memandang Adib yang baru turun dari biliknya. Aneh, anaknya itu hari ini turun menggunakan tangga bukan lif seperti selalunya.

“Morning mommy” Adib menarik kerusi di meja makan. Melihat mommy selera bersarapan hari itu menyejukkan hatinya. Jika tidak, dialah yang terpaksa membawa sarapan yang dimasak Cik Zah naik ke bilik Tun Maryamul Azra.

“Morning sayang.. Tidur lepas subuh la ni.. Pukul sepuluh baru muncul” Tun Maryamul Azra mencedok laksa goreng ke dalam pinggan Adib.

Adib ketawa. Iyalah, mana mungkin dia boleh tidur malam tadi. Sibuk menyiapkan tugasannya hingga awal pagi. Mahu tidur matanya tidak mahu lelap pula. Semuanya gara-gara gadis yang dilihat dua minggu lalu.

Dia merasakan gadis itu seperti.. Adibah? Tapi tak mungkinlah. Dia sudah memohon bantuan untuk memeriksa nama pelajar di seluruh universiti, tiada yang bernama Adibah Syaqiqah Syamran.

Dia juga tidak tahu bagaimana harus memulakan pencarian walaupun dia yakin itu adalah Adibahnya. Dia sendiri kebuntuan untuk membuat pencarian.

“Dib busy lah mommy. Banyak sangat assignment. Semalam tu tak tidur menyiapkan assignmentlah..”

Tun Maryamul Azra mengangguk memahami. “Biasalah tu. Last year kan.. memang busynya lebih dari sebelum-sebelumnya”.

“Mommy…”

Tun Maryamul Azra memandang puteranya. Nada suaranya sudah berubah. Serius. Ada apa yang tidak kena?

“Dib rasa. Dib dah jumpa..” ayatnya mati. Bimbang pula dia. Andai gadis itu bukan Adibah, hancur pula harapan mommy untuk menemui Adibah.

“Kenapa?”

Adib menggeleng dengan senyuman. Langsung saja laksa goreng di dalam pinggan dimasukkan ke dalam mulut serakus mungkin. Sekeping roti disambar sambil dia menghirup kopi putih panas yang terhidang.

Tun Maryamul Azra mengerut dahi melihat kelakuan Adib yang tiba-tiba berubah.

Licin saja cawannya, Adib langsung mengangkat punggung. “Mommy, baru Dib ingat Dib nak keluar, ada hal. Dib naik mandi dulu”.

“Ya Allah budak ni. Nak ke mana cepat sangat? Tercekik nanti!” dan Adib hilang dari pandangan. Menyusup menaiki tangga seperti halilintar.

 

###########

 

Syaqiqah memejam matanya lama. Dan membukanya buat seketika lalu kelopak matanya ditutup kembali. Langkah itu diulang buat beberapa kali.

Kemudian jari menekan batang hidung untuk melegakan mata. Kerutan dahinya diratakan. Dan sebuah nafas dilepaskan.

Baru masuk tiga bulan dia belajar, sudah beberapa kali dia tertidur di dalam kelas. Dian sudah naik risau dengan keadaan dirinya. Saban hari dia diajak ke klinik oleh kakaknya itu

Tapi Syaqiqah tahu keadaan dirinya. Dia tahu dia sihat wal afiat. Dia tahu tidak ada masalah pada tubuh badannya. Cuma.. dia masih belum biasa dengan keadaan ini. Kata ibu, itu perkara biasa.

Liurnya ditelan. Air putih yang berada di sebelah komputer riba di hirup. Dipandang Dian yang sudah lena tidur di katil. Sekilas terpancar senyuman dari wajah Syaqiqah.

Walaupun apartment itu ada dua buah bilik, Dian bertegas mahu tinggal sebilik dengannya. Kata Dian, bilik yang kedua itu untuk Hannan jika dia punya kelapangan untuk ke Kuala Lumpur.

Syaqiqah juga lebih suka tinggal sebilik dengan Dian. Dia rasa selamat. Dia rasa disayangi. Dia rasa dikasihi oleh kakak terbaik di dunia.

Wajahnya diraup. Entah kenapa, wajah Adib Mubarak tiba-tiba terbayang pada mata. Syaqiqah menggelengkan kepala berkali-kali. ‘Kenapa dengan aku ni?’

Syaqiqah melepas nafas. Sudah sebulan berlalu. Tapi bayangan hari itu masih tidak dapat dia lupakan. Walhal dalam ingatannya wajah Adib Mubarak pun samar-samar.

Dian sudah berkali memberi pesanan. Jangan ambil tahu tentang Adib Mubarak. Jangan pernah ingin tahu segala hal yang berkaitan dengan Adib Mubarak. Kerana jika dia sudah terkait dengan Adib Mubarak, hidupnya tidak akan pernah tenang.

Dian cuma mahu mereka belajar hingga selesai. Dan jika Hannan izinkan, mereka mahu bekerja di Melaka andai Hannan tidak mahu pindah ke Kuala Lumpur. Jika ada Adib Mubarak dalam jadual hidup mereka, Dian yakin mereka tidak akan dapat belajar dengan tenang.

Iyalah. Adib pelajar lelaki paling popular di universiti. Memang dia punya ramai peminat terutama dari kalangan wanita. Yang membenci juga tak kurang hebat. Mungkin sakit hati dengan tuah hidupnya yang dilahirkan dari keluarga kaya raya.

Mereka membenci Adib tapi tidak boleh menyentuh Adib. Jika ada apa-apa yang berlaku, pastinya semua pensyarah akan menyebelahi Adib. Jika seorang Tun Adib Nasir menarik diri dari persatuan ibu bapa di universiti, boleh hancur universiti mereka kerana pengaruh Tun Adib Nasir.

Itulah pesanan Dian. Diulang berkali-kali kerana Dian paling faham dirinya. Syaqiqah juga tidak tahu apa yang tak kena dengan dirinya. Bukannya dia sukakan Adib Mubarak, tapi.. dia merasakan ada sesuatu pada Adib Mubarak.

 

##########

 

Dian menguntum senyum melihat Syaqiqah melangkah ke bilik komputer. Syaqiqah mahu mencari maklumat untuk tugasannya yang baru diberikan tadi.

Mee goreng di dalam pinggan disuap ke mulutnya. Dilicinkan segera kerana mahu menyertai Syaqiqah di bilik komputer.

 

#########

 

Kasutnya dipandang dengan keluhan nafas. Adib duduk memakai kasut dengan tangan ligat mengikat tali kasut.

Penatnya dia menghadap komputer riba dari pagi. Perutnya tiba-tiba berkeroncong menandakan dia sedang kelaparan. Lantas Adib berdiri dan membuka langkah menujub kekantin.

 

#########

 

Fail yang berada di tangan ditekap ke dada. Syaqiqah memperlahankan langkah bila menyedari ada seseorang menuju dari arah bertentangan. Barangkali mahu ke kantin menjamah makanan.

Adib melajukan langkah dan dia berselisihan dengan satu-satunya gadis yang berada diruang itu.

Selangkah.. Dua langkah.. Dan langkahnya mati.

Adib terhenti.

Syaqiqah berhenti. Perasaan Syaqiqah tiba-tiba menjadi aneh. Fail yang tertekap didada dipeluk erat. Syaqiqah berpaling.

Perlahan Adib memusingkan tubuh. Matanya membulat memandang wajah itu. Nafas yang tadinya tenang kini bertukar menjadi ribut taufan. Wajah itu.. Wajah itu.. Persis wajah umi!

Adibah mendiamkan diri. Lelaki di hadapannya ini.. Bukankah ini Adib Mubarak? Matanya tertumpu pada wajah yang jelas memperlihatkan riak terkejut.

Adib menenangkan diri. Dia tahu, dia tahu itu Adibahnya. Dia tahu itu Adibahnya. Automatik kakinya berlari anak menuju pada gadis itu. Tubuh itu dipeluk erat. Erat seerat-eratnya.

Syaqiqah kaku di dalam pelukan. Buat pertama kalinya dia dipeluk seorang lelaki tak dikenali. Dia mahu melepaskan diri tapi entah mengapa, tubuhnya bagai disihir agar tetap diam di dalam pelukan Adib.

Air mata yang muka bertakung dikesat sebelum dia melepaskan pelukan. Wajah yang agak ketakutan itu dipandang lama. “Dibah.. abang rindu… Sangat-sangat..” dan air matanya perlahan mengalir.

Syaqiqah kembali ke dunia nyata. Wajah yang menangis di hadapannya dipandang. Menyedari tangannya berada di dalam genggaman lelaki itu, Syaqiqah meronta minta dilepaskan.

“Dibah.. abang ni. Dibah tak kenal abang ke?” air mata Adib makin galak mengalir.

Syaqiqah menggeleng-gelengkan kepala. Apa yang Adib Mubarak bicarakan? Siapa Dibah? Siapa abang? Air matanya mula menitis ketakutan.

“Dibah…” Adib menguatkan genggaman.

Syaqiqah cuba menolak tubuh Adib Mubarak. Tapi tenaga lelaki itu jelasnya dua tiga kali ganda lebih kuat darinya. ‘Akak..’ Syaqiqah mula menangis.

 

###########

 

Dian berlari ke bilik komputer. Perasaannya jelas mengatakan Syaqiqah dalam kesusahan. Apa agaknya kesusahan yang menimpa adiknya itu?

Dia berlari selaju mungkin. Langkahnya terhenti melihat Syaqiqah yang sedang menangis. Wajahnya pucat, adiknya itu ketakutan.

“Woi!” Dian menjerkah.

Genggaman Adib terlepas. Dia menoleh ke belakang. Matanya memandang gadis yang menjerkahnya tadi.

Syaqiqah langsung saja bersembunyi di belakang Dian. Takut benar dia dengan reaksi Adib tadi. Tubuhnya terhinjut-hinjut menahan tangis.

“Kau buat apa kat adik aku?” Dian menyoal kasar. Sambil tangannya mengusap kepala Syaqiqah, cuba menenangkan.

Adib mengerutkan dahi. Mujur air matanya sudah dikesat tadi, jika tidak malulah dia. “Ni adik kau?”

“Ini adik aku. Kau buat apa kat dia?” Dian menjeling.

“Tak mungkin. Dibah tak de kakak. Dia mungkin ada adik, tapi Dibah tak mungkin ada kakak” Adib menggelengkan kepala.

Dian mendengus. Entah apa yang dikatakan Adib, dia sendiri tidak mengerti. “Iqah ok tak?” Dian memandang wajah Syaqiqah yang memerah.

Syaqiqah mengetap bibir. Dia masih tidak berani menatap wajah Adib. Dian melepas nafas. Tahu adiknya itu mahu segera pulang. “Jom kita balik ye sayang..”

“Kejap” Adib menahan langkah dua beradik itu.

“Kau nak apa lagi?!” Dian menyinga. Pantang betul dia dengan lelaki yang mengganggu adik kesayangannya.

“Kau Dian, budak tahun 3 kan?” Adib mencari kepastian.

“Gila!” Dian menjeling dan langsung memaut tubuh Syaqiqah berlalu dari situ. Menyampah dia dengan Adib ini. Dia fikir dia popular, dia boleh sesuka hati mengganggu Syaqiqah?

Adib melepaskan nafasnya. Dia sudah menemui Adibah. Tapi banyak hal yang perlu dia pastikan. Dan buat masa ini kuncinya hanya satu. Dian.

 

##########

 

Selesai memberikan bayaran teksi kepada pemandu, Dian memimpin Syaqiqah keluar dari teksi. Tubuhnya masih terhenjut-henjut menahan tangis. Ditambah dengan sedu-sedan yang pastinya membuatkan Dian sakit hati bila teringatkan kejadian tadi.

Syaqiqah dipandang. “Iqah..” Dian memanggil lembut.

“Iqah ok tak ni?”

Syaqiqah melentokkan kepala kedalam pelukan Dian. Dia terasa benar-benar letih. Kini yang berada didalam fikirannya hanya ibu. Semata-mata ibu.

Dian mengusap kepala Syaqiqah penuh kasih. Segera adiknya itu dibimbing naik ke rumah mereka.

 

###########

 

Kereta yang dipandu tiba-tiba terhenti apabila Adib menekan brek. Bunyi hon bertalu-talu dari belakang menyedarkan Adib bahawa dia berada di tengah jalan raya. Signal kekiri diberikan dan Adib memandu ketepi.

Sesudah lampu kecemasan dihidupkan Adib mencapai telefon pintarnya. Tapi bila skrin telefon pintarnya dihidupkan, Adib buntu. Mengapa telefon pintarnya diambil? Pada siapa dia harus bertanya? Pada siapa dia mahu bertanya?

Adib melepaskan sebuah keluhan berat. Dia benar-benar pasti gadis yang dipanggil Iqah tadi adalah Adibahnya. Tapi bagaimana dia harus mencari kepastian? Adib menunduk hingga kepalanya mengenai stereng kereta. Tanpa sedar hon ditekan. Melepaskan seribu satu keserabutan yang terkumpul di kepala.

Jika benar gadis tadi adalah Adibah. Mengapa gadis itu sama sekali tidak mengenalinya? Katakanlah masa telah berlalu dan mereka berdua pun sudah menginjak dewasa. Tapi takkanlah Adibah langsung tidak mengenalinya? Lagipula dia sudah memperkenalkan diri.

Lagi satu, sejak bila pula Adibah memiliki seorang kakak? ” Aaaaaaaaahhh….!!!!! ” Adib menjerit. “Peningnya kepala otakkkk…!!!! ”

Adib menarik nafas sedalamnya. Dalam sedalam-dalamnya. Sekarang yang terpenting adalah dia harus pulang ke rumah. Esok dia akan kembali ke universiti dengan satu semangat baru. Dia harus menemui Dian untuk mengetahui apa yang sebenarnya telah berlaku.

 

############

 

Senyum dikuntum melihat Syaqiqah melangkah perlahan menuju ke meja makan.

– Wah sedapnya akak masak malam ni.

“Macam nilah adik akak. Tak delah nak berkurung lama-lama dalam bilik tu” Dian mengambil tempatnya di meja makan.

Syaqiqah mencebik -Adik sihat lagilah…

Tangan diangkat membaca doa dan mereka mula makan. Dian memandang Syaqiqah yang berlagak biasa. Semuanya nampak normal sahaja tapi Dian tahu ada yang Syaqiqah sembunyikan.

Syaqiqah mengangkat wajah memandang Dian. Tahu sangat kakaknya itu punya seribu satu soalan mahu diaju padanya.

“Bolehke akak tanya ni?”

Syaqiqah mengangguk. Dia juga tidak punya apa yang mahu disembunyikan dari pengetahuan kakaknya.

Dian menarik nafas. “Adik kenal ke Adib tu? Kenapa dia macam kenal adik je?”

– Tak. Adik tak kenal. Adik pun tak tahu kenapa dengan dia.

“Tapi cara Adib tu….”

– Akak tak percaya adik ke?

“Tak. Bukan akak tak percaya adik. Akak cuma nak kepastian je.

– Akak jangan risau. Adik takkan buat perkara yang akak tak suka. Adik janji.

Dian menguntum senyum manis. Dia mempercayai kata-kata Syaqiqah. Dia juga tidak mahu mereka punya kaitan dengan lelaki bernama Adib Mubarak.

 

###########

 

Lama dia menghadap cermin. Meneliti wajahnya yang rata-rata dikatakan orang ‘cantik’.

Amy melepas nafas perlahan. Jika dia benar-benar cantik mengapa sampai sekarang Adib masih tidak tertarik padanya? Amy tahu rupa paras luaran bukanlah perkara penting buat Adib. Tapi bukankah dia sudah bersikap sebaik-baiknya demi lelaki itu?

Apa lagi yang harus dia lakukan supaya Adib sedar dia sentiasa berada di sisi Adib. Mengapa fikiran dan hati Adib sentiasa dipenuhi dengan Adibah, Adibah dan Adibah…?

Sedangkan gadis itu telah lama meninggal dunia. Gadis bernama Adibah Syaqiqah itu tidak lagi wujud di muka bumi ini..!! Apa istimewanya Adibah berbanding dirinya. Sedari kecil Amy selalu merasa kalah dengan anak itu.

Adibah hanyalah anak seorang pemandu. Sedangkan dia anak pegawai kanan bahkan papanya merupakan pekerja yang paling lama berkhidmat dengan Tun Adib Nasir. Lalu apa lebihnya Adibah?

Hampir menitis air mata Amy memikirkan hal itu. Terasa kerdilnya berlawan dengan orang yang telah tiada. Terasa hinanya berlawan dengan orang yang telah mati.

Laungan azan menandakan masuknya waktu subuh mematikan lamunan Amy. Segera dia bangun dari duduk dan melangkah masuk ke dalam bilik air. Mengambil wudhu untuk menunaikan solat subuh.

 

###########

.

Jam tangan dipandang. Katanya kelas Dian akan berakhir jam 2.30 petang. Lagi lima minit sebelun tiba waktunya.

Segera Adib menutup buku yang sedang dibacanya di perpustakaan. Dia meminta diri dari Harraz yang menemaninya di perpustakaan tadi. Harraz juga ternyata mahu keluar dari perpustakaan. Katanya ada ‘date’ dengan teman wanita.

Sesaat dua dia menantu di depan pintu kelas Dian, akhirnya pelajar di kelas itu mulai beransur keluar. Hasrat hati Adib mahu saja masuk menemui Dian tapi dia bimbang ada mata yang memerhati pula.

Berbicara di luar juga tidak kurang yang memerhati, tapi sekurangnya mungkin Dian lebih selesa jika mereka berbual di luar.

“Dian” Adib langsung saja menahan langkah gadis itu sebaik Dian melangkah keluar. Mujur ada temannya yang memberitahu kesukaan Dian keluar kelas melalui pintu belakang, jika tidak .. hancur harapannya untuk menemui gadis itu.

“Kau nak apa?” Dian memandang dengan wajah sakit hati.

“Kau marah lagi fasal semalam?”

“Aku kenal kau ke nak marah kau?” selamba Dian menjawab. Langkah diatur meninggalkan Adib. Dia tidak punya masa untuk melayan lelaki ini.

“Dian” Adib menarik tangan Dian, dia tidak punya cara lain untuk membuat gadis itu berhenti.

Dian menarik tangannya dari cengkaman Adib. “Sejak bila aku ada hubungan dengan kau ni?” Dian menengking.

Adib melepas nafas. Dia melihat sekeliling. Banyak pula mata yang melihat. Pasti sedari tadi mereka menonton drama ini. “Aku ada hal penting nak cakap dengan kau”.

“Aku tak de masa” Dian melihat sekeliling dan muka memasang langkah beransur pergi.

“Adik kau..”

Dian menoleh kembali. Jari telunjuknya dihalakan pada wajah Adib dengan matanya yang membulat. “Jangan sesekali kau sentuh adik aku!”

Belum sempat Adib menahan, Dian sudah hilang dari pandangan. Adib melepas nafas. Keras sungguh hati gadis bernama Dian ini. Kalaulah gadis lain di universiti itu, pasti sudah menggedik kegembiraan jika dia mahu menemui mereka.

Ikutkan hati mahu saja dia terus menemui Adibah, tapi dia tidak tahu Adibah pelajar kursus apa. Juga dengan wajah ketakutan Adibah semalam, mahukah Adibah menemuinya?

 

 

 

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s