Demi Syaqiqah – P30

“Kenapa adik tadi?”

Syaqiqah membetulkan pembaringan. Melihat kakaknya masuk ke dalam bilik, dia cuba untuk duduk. Pengepit rambut di sisi katil diambil dan rambutnya disimpul.

“Adik ok ke? Akak masakkan bubur ayam..” Dian tersenyum mesra menatang dulang yang terisi segelas air putih bersama semangkuk bubur ayam yang dimasak khas buat adik kesayangannya.

Syaqiqah menguntum senyum. -Adik pun tak tahu. Tiba-tiba je pening kepala…

Dian menganggukkan kepala. Memahami maksud kata-kata Syaqiqah. “Amy tu cantik kan?”

Syaqiqah mengangguk sambil menyambut suapan yang diberikan Dian. -Tunang Adib kan?

“Bukanlah.. Kawan dari kecil tu..” Dian membetulkan fakta.

Syaqiqah mengerutkan dahi. -Mana akak tahu?

“Adalah sumber yang boleh dipercayai…” Dian berpaling mencapai gelas jernih yang terisi air putih itu.

Dahi Dian berkerut seribu melihat wajah Syaqiqah yang tersenyum sendiri. “Ni apasal senyum-senyum ni princessa?”

-Mana ada adik senyum! Syaqiqah mencubit lengan Dian.

Dian mengangguk. Konon memahami. Hakikatnya dia sedar Syaqiqah tersenyum meraikan kegembiraan kerana berita yang baru dia maklumkan. Nampaknya adiknya itu sendiri tidak tahu dia jatuh cinta dengan tunang sendiri!

-Akak.. fasal gila tu?
Dian membulatkan mata. “Tu…”

-Siapa?

“Tengku Harraz Tengku Hafzan” ujar Dian. Menyambut huluran gelas dari Syaqiqah.

Mata Syaqiqah membulat. Harraz? Teman rapat Adib yang meminati kakaknya itu?

“Dia umum kat kantin tadi. I like you, I do care about you. Apa benda entah lagi dia merapu. Nasib baik kat tempat anak-anak bajet kaya tu. Tak de lah ramai yang dengar”.

-Laju!

“Apa yang laju?”

-Lajunya dia luahkan perasaan kat akak. Mata Syaqiqah membulat, langsung tak menyangkakan perkara itu.

“Maksudnya apa tu?” Dian mencuit pipi Syaqiqah.

-Yelah.. sejak kali pertama tengok dia, adik tahu yang dia suka akak.

“Tipu”.

Syaqiqah ketawa lagi. Makin galak ketawa melihat wajah cemberut Dian. Apakah memang kakaknya tidak sedar bahawa Harraz meminatinya? Atau.. kakaknya sedar tapi dia buat-buat tak nampak kerana status kasanova yang dipegang Harraz?

Dian menarik selimut dan menyelimuti hampir separuh tubuhnya. Dia duduk melunjur di sebelah Syaqiqah dan kepalanya melentok pada bahu Syaqiqah.

‘ Don’t you see it or you buat-buat tak nampak? ‘ Ayat terakhir dari Harraz tiba-tiba berulang main di kepalanya. Mungkinkah pengakuan Harraz itu benar?

-Tak nak letak pinggan kotor kat dapur ke? Syaqiqah menyoal. Selalunya kakaknya itu paling benci ada pinggan kotor yang tertinggal.

“Tak naklah. Nak manja-manja dengan adik dulu..”

##########

“Dian tu comel kan?”

Tersedak Adib mendengar kata-kata Amy di hadapannya. Jus kiwi di letakkan semula atas meja makan. Saat itu mereka sedang menikmati makan malam di restoran berdekatan rumah Amy.

“Kenapa dengan Adib ni?” Amy menyoal sambil tangan menghulur tisu pada Adib.

“Terkejutlah, apa lagi?”

Amy senyun sekilas. “Mesti Adib pelik macam mana Amy boleh kenal Dian kan?”

Adib mengangguk laju. “Of course! Surprise, very much. Firstly, sebab Amy kenal Dian and secondly, sebab tiba-tiba cakap fasal Dian”.

“Amy terlanggar dia dalam dua tiga hari lepas. Waktu Amy lambat jumpa Adib kat U hari tu?”

Adib mengangguk memahami. “Mana tahu dia Dian?”

“Dia kenalkan dirilah. Suka tengok dia, comel. Muka pun nampak ayu je.. Pakai shawl yang ada batu-batu tu.. Cute!” Amy tidak habis memuji sambil sibuk menghabiskan chiffon cake yang dipesan.

Adib ketawa kecil mendengar pujian Amy yang melambung. Suka betul dia dengan Dian. Tidak hairanlah, dia juga begitu sebelum mengenali sikap keras kepala Dian yang melampau. Tapi bila dah kenal sikap kepala batunya…

“Adib fikir apa?”

“Alang-alang Amy jumpa Dian, tak jumpa adik dia sekali?” Adib langsung menyoal.
Amy menganggukkan kepalanya. “Ada sekali hari tu.. Tapi dia diam je…”

“Amy tak rasa macam kenal dia ke?” Adib menyoal mahu melihat reaksi Amy.

Amy diam seketika. Berfikir-fikir sesuatu. Seminit, dua minit hingga lima minit… “Tak. Kenapa?” ringkas jawapannya walaupun tempoh berfikir memakan masa tiga ratus saat.

“Betul tak?” Adib mencari kepastian.

“Tak” Amy meyakinkan.

Adib diam seketika. Jadi benarlah Amy tidak cam Adibah? Ertinya dia benar-benar telah membuang jauh Adibah dan keluarganya dari ingatan. Jika tidak, paling kurang pasti dia mengingat wajah yang mirip Afiqah itu.

“Kenapa?” Amy menyoal sambil menghirup macchiato kesukaannya.

“Adik dia tak comel?”

“Amy cakap fasal Dian, bukan adik dia..” Amy membulatkan mata memandang Adib.

Adib ketawa sendiri. Dia tidak tahu apakah dia sedih atau gembira dengan berita bahawa Amy tidak dapat mengecam Adibah.

#########

Dia mematikan panggilan yang baru diterima dari mommy. Mommy memberitahu bahawa dia telah pun tiba di universiti bersama pemandu keluarga mereka. Turut berada dalam kereta adalah Cik Zah sebagai penemannya.

Langkah teratur rapi menuju pada kereta yang terletak di luar pintu pagar. Adib masuk dan mengambil tempat di sisi Tun Maryamul Azra kerana Cik Zah duduk di sisi suaminya yang memandu kereta.

“Mommy..”

Tun Maryamul Azra menguntum senyum. “Mommy kena turun ke?”

“Nope. Adib tahu mommy tak larat” Adib memegang tangan Tun Maryamul Azra. “Pak Khai” Adib memanggil sang pemandu.
Pak Khai memandang melalui cermin belakang. “Ya?”

“Pak Khai masuk dalam ye. Kita pergi kantin utama” Adib memberi arahan. Dia telah memeriksa jadual Syaqiqah dan Dian hari ini. Kelas Syaqiqah baru saja berakhir manakala kelas Dian baru saja bermula. Ini ertinya mereka tidak bersama.

Adib memang tidak mahu mommynya melihat Dian dan Syaqiqah bersama. Bimbang Tun Maryamul Azra banyak pula soalannya.
Kereta berhenti sebaik Adib memberi arahan. “Mommy, tengok tu..”

Tun Maryamul Azra memandang ke arah kanannya. Ke arah yang ditunjuk Adib. Cermin kereta yang gelap membuatkan Syaqiqah tidak menyedari dia diperhati.
Dia melihat seorang gadis mengambil tempat duduk. Benar-benar menghadap kereta. Sangat dekat namun Tun Maryamul Azra tidak boleh keluar meluru memeluk anak itu. “Dibah…”

Saat itu Adib sudah menggenggam jari-jemari Tun Maryamul Azra. Dia tahu benar pasti mommynya akan mengalirkan air mata. Tangan kirinya mengusap tubuh Tun Maryamul Azra yang sudah mula terhenjut-henjut.

Tangan kiri dalam genggaman Adib manakala tangan kanan melekap pada cermin bagai mengusap Adibah. Dia benar-benar rindukan arwah teman rapatnya. Wajah Adibah yang mirip Afiqah membuatkan air matanya makin galak mengalir.

Gaya Adibah makan, dan sesekali mengukirkan senyuman saat disapa rakan-rakannya. Tun Maryamul Azra benar-benar rindukan itu semua. Afiqah, Syamran dan Adibah.

“Dibah.. mommy rindu” Tun Maryamul Azra merintih perlahan.

Cik Zah yang turut memandang pun sudah ikut mengalirkan air mata. Dia tambah terkejut dengan apa yang dilihat. Langsung dia tidak menyangka Adibahnya masih lagi hidup di muka bumi ini. Wajahnya yang mirip sekali dengan Puan Afiqah membuatkan Cik Zah juga teresak-esak.

“Mommy… Ok tak ni? Nak balik?” Adib menyoal risau. Bimbang melihat air mata Tun Maryamul Azra yang makin galak mengalir.

Tun Maryamul Azra menggeleng. “Belum lagi..” Pandangan terus melekat pada gadis itu. Adibah membesar menjadi seorang gadis yang sangat cantik. Dia akui itu.

Cantik, ayu, sopan dan kejujuran jelas terpamer pada wajahnya. Gayanya… tidak terlalu ikutkan fesyen terkini yang pelbagai namun masih tetap bergaya yang ringkas. Juga pemakaian dress yang menampakkan sisi manis gadis itu.

Makannya juga sedikit tidak banyak. Yang penting, dia makan menggunakan tangan. Pasti mewarisi Afiqah yang memang tidak sukakan makan menggunakan sudu dan garfu. Tidak ikut sunnah Nabi katanya.

“Ya Allah.. Dibah” Tun Maryamul Azra mengetap bibir dan memejam mata. Membiarkan air mata yang bertakung mengalir membasahi pipi.

“Mommy…” Adib menenangkan.

“Mommy ok. Pandai keluarga angkat Dibah jaga dia.. Cantik, macam Fika. Lembut macam Fika..” Tun Maryamul Azra tidak lepas-lepas memandang.

Syaqiqah bangun dari duduk setelah pinggannya licin. Pinggan dan gelasnya dibawa dan dihulurkan pada penjaga kaunter makanan dengan senyuman. Setelah itu dia membasuh tangan di sinki. Tisu diambil untuk mengelap tangan yang basah dan setelah itu, tisu itu terus dibuang ke dalam tong sampah.

Dan langkah diatur kembali ke meja. Beg sandangnya dipakai dan dia mengambil failnya. Setelah itu dia melangkah keluar dari kawasan itu. Menuju ke kelas keduanya.

Tun Maryamul Azra mengalih pandangan. Anak lelaki tunggalnya dipandang. “Adib kena buat dia ingat kita ya?”

Adib mengangguk. “Promise, mommy”.

Tun Maryamul Azra menguntum senyum lemah. Tisu diambil dari beg dan dia mengelap sisa air matanya. “Dibah belajar kursus apa?”

“Interior design”.

Tun Maryamul Azra mengangguk. Jadi Adibah memilih seni reka dalaman sebagai bidangnya. Ertinya anak itu seorang yang berseni dan sukakakn seni. “Khai, jom balik. Adib ada kelas lagi kan lepas ni?”

Adib mengangguk. “Adib keluar dulu. Mommy… tolonglah jaga diri. Cik Zah tolong tengokkan mommy ye..”

“Ya, Adib”.

“Ok then. I’ll get going, love you mommy” Adib menghadiahkan sebuah kucupan di pipi Tun Maryamul Azra dan melihat kereta itu meluncur keluar dari perkarangan universitinya.

###########

“Aku dah cari maklumat fasal klinik Dr.Soleh. Bila kau free?”

“Kena tunggu aku free ke?” Dian menyoal sambil melihat sekeliling. Kalau mata lain melihat dia tidak kisah, yang dia bimbangkan kalau Syaqiqah melihatnya.

“Yelah. Kau kan kenal dia, mana tahu dia ingat kau. Jadi senang kita nak buat urusan. Mesti dia simpan lagi rekod kesihatan Iqah”.

Dian mengangguk. “Tengoklah, nanti aku free aku kasitau”.

“Baguslah kalau macam tu. Aku nak balik ni, nak tumpang?” Adib menawarkan.

“Gila! Nanti Iqah cakap apa kalau balik dengan kau?”

“Ok. Aku gerak dulu”.

Dian mengangguk dan memaling seluruh tubuh. Mahu bertemu Syaqiqah yang masih di bilik komputer.

“Dian” Adib tiba-tiba memanggil.

Dian menoleh kembali. “Apa?”

“Kau dengan Harraz ok?”

Dian mengerutkan dahi. Sejak kes luahan perasaan itu, dia sudah tidak bertemu Harraz. Atau lebih tepat lagi dia mengelak bertemu lelaki itu. “Ok, kenapa?”

“Taklah.. Ana cakap dengan aku yang..”

“Ana?”

Adib menganggukkan kepalanya. “Tengku Harana Tengku Hafzan, adik tunggal Harraz”.

“Oh.. Kenapa dengan Ana tu?”

“Ana cakap yang abang dia dah jadi balik macam dulu. Balik lewat malam mabuk-mabuk.. clubbing, bawa balik perempuan.. mom dia risau. Tak silap aku, sekarang ni dia selalu juga ponteng kelas. Kalau datang pun, tidur je.. Sedangkan lepas jumpa kau, Harraz dah berhenti buat semua benda tu sebab asyik fikir fasal kau je.. Waktu tu mom and dad happy betul” Adib menerangkan.

Dian terdiam. Sampai begitu sekali? Liurnya ditelan. Jika mabuk, ertinya dia meneguk ‘air kencing’ syaitan itu. Dan bawa balik perempuan ertinya.. berapa ramaikah wanita yang telah Harraz rosakkan?

“Kau terkejut ke?”

Dian mengangguk perlahan. Tidak dapat menipu dirinya sendiri. Langsung dia tidak menyangka Harraz seliar itu. Fikirnya lelaki itu hanya mempermainkan perasaan perempuan seperti yang dia dengar. Rupanya… Dia tiba-tiba jadi buntu. Apakah Harraz patut dijauhi.?

“Aku minta sangat kalau kau tahu apa problem dia, share dengan aku. Aku tak nak Harraz yang dulu dan aku pun tak tahu macam mana aku boleh rapat dengan dia. Aku yakin kau orang yang tepat buat Harraz sebab tanpa kau buat apa-apa pun.. dia boleh tinggalkan dunia gelap dia kerana kau” suara Adib kedengaran seperti merayu.

Dian diam. Tidak tahu respon apa yang harus diberikan. Separuh hatinya merasa berdosa kerana merasakan dialah penyebab Harraz kembali ke lembah dosa namun separuh lagi mengatakan lelaki itu patut dijauhi, sejauh-jauhnya.

“Oklah, assalamualaikum” Adib meninggalkan Dian yang masih kebingungan.

Dan Dian masih berfikir. Apa yang harus dia lakukan? Apakah tindakan tepat yang patut dia ambil? Ya Allah…

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s