Demi Syaqiqah – P32

“Assalamualaikum”.

Syaqiqah berhenti. Agak terkejut dengan kehadiran Adib yang agak tiba-tiba. Dia menjawab salam dalam hati.

“Iqah ada kelas lagi lepas ni?” Adib menyoal lembut. Seronok bukan main bila Dian memberi ‘green light’ untuk dia cuba memikat semula tunangannya itu.

Syaqiqah mengangguk. Jarinya dibuka menunjukkan kelas seterusnya adalah pukul 2.00 petang.

Adib mengangguk. Dia melihat jam tangannya. Sekarang baru pukul 12.00 tengah hari. “Iqah nak ke mana?”

Syaqiqah memandang. Tangan dibawa ke mulut, memberitahu dia ingin menjamah makan tengah harinya.

Adib ketawa kecil. “Nak pergi kantin ke?”

Syaqiqah mengangguk. Namun wajahnya masih kekal tidak beriak. -Ada apa-apa yang boleh saya bantu?

Adib menggaru kepala yang tidak gatal. Langsung tidak memahami bahasa isyarat yang Syaqiqah gunakan. Nampaknya dia harus mengambil kelas sampingan agar mudah berbual dengan Syaqiqah.

Syaqiqah mengeluarkan telefon pintarnya. Ruang nota dibuka dan dia mula menaip sesuatu. Lantas skrinnya dihala pada Adib.

“Tak. Saya pun nak makan juga. Kita makan sama?”

Syaqiqah mengerutkan dahi. Selalunya sebelum ini, jika Adib dekat dengannya laju saja Dian muncul. Tapi kali ini.. ke mana pula kakaknya itu?

“Awak tak nak makan dengan saya?”

Syaqiqah hanya menguntum senyum. Langkah diatur menuju ke kantin dan Adib berlari anak hingga dia berjalan seiring Syaqiqah. Dalam hati, hanya Tuhan yang tahu betapa bahagianya dia.

##########

“Isn’t that Syaqiqah?”

Dia memandang arah yang ditunjuk temannya. Anggukan diberikan mengiakan kata-kata temannya.

“I thought Dian is the girl?”

Emily diam. Jadi Adib sudah beralih pada Syaqiqah. Bukankah lelaki itu sedang berusaha memenangi hati Dian? Tapi yang sedang makan bersama Adib saat ini adalah Syaqiqah.

Dan senyum jahatnya terukir. Ini lebih mudah! Lantas telefon pintarnya dikeluarkan dan ikon kamera disentuh. Nampaknya ada sesuatu yang harus dia laporkan.

“Like older like younger!”

##########

“Dian…”

Dian memandang Lainah di sebelah. Dahi berkerut dengan panggilan Lainah yang meliang-lentok. “Dah kenapa?”

“Hari ni kau balik dengan siapa?”
Dian diam berfikir. Menurut perjanjian, kalau boleh.. Adib mahu menghantar dia dan Syaqiqah pulang setiap hari. Jejaka itu sudah berjanji untuk menggunakan khidmat Pak Khai agar dia dan Syaqiqah selesa.

“Dian…”

“Adib kut?”

“Adib memang tengah tackle kau ke?”

“Nope! Dia tackle Iqah lah” Dian menjawab selamba sambil tangan ligat meng’highlight’ isi penting untuk tugasannya.

Mata Lainah membulat. “Aku tak tahu Adib suka Iqah”.

“Shuuut..” Dian membulatkan mata, bimbang kata-kata Lainah didengari. Dia tidak mahu adiknya ditimpa susah.
“Sekarang kau dah tahu..”

“Ala.. kau baliklah dengan aku” Lainah sengih menayangkan gigi.

“Habis kau nak suruh aku tinggalkan Iqah dengan Adib? Memang taklah.. dibuatnya Adib bawa lari adik aku tu. Kau nak aku jawab apa dengan ibu aku?”

“Bolehlah Dian..” Lainah terus memujuk.

Dian menutup buku. Lainah dipandang. “Ada apa-apa ke ni?”

“Abang aku baru dapat gaji. Dia nak belanja makan”.

“Kenapa aku?”

“Kan kau kawan rapat aku kat U ni?”

“Kenapa tak cakap awal-awal..? Aku dah janji dengan Adib. Esok boleh?”

“Betul?” anak mata Lainah tiba-tiba ‘bersinar’.

“Iye…” Dian sengih sambil menggeleng kepalanya. Dan kerjanya disambung semula.

#########

Enjin kereta dimatikan dan dia membitbit dua beg galas itu keluar dari kereta. Setelah kereta dikunci, Amy melangkah perlahan memasuki villa mewah itu. Saat terpandang Chevrolet Camaro milik Adib, Amy tersenyum.

“Assalamualaikum, aunty” Amy tersenyum menyalami Tun Maryamul Azra yang menyambutnya bersama Enon.
“Waalaikumussalam. Amy sihat?”

Amy mengangguk. “Alhamdulillah. Mama ada kirim apam gula hangus yang mama buat. Lagi satu ni, Amy belikan aunty mafela waktu pergi Brunei hari tu”. Enon menyambut huluran Amy.

“Buat susah-susah je Amnah ni. Nanti ucap terima kasih kat mama ye.. duduk dulu, Amy. Kak Anum tengah buatkan air” Tun Maryamul Azra menjemput.

Amy ikut menguntum senyum. Wanita di hadapannya ini memangnya pemurah dengan senyuman dari dulu. Tun Maryamul Azra ikut menyertai Amy dengan kerusi rodanya.

“Kaki aunty tak ok lagi?”

Tun Maryamul Azra ketawa kecil. “Ikutkan dah elok ni.. tapi Amy faham-fahamlah Uncle Omar tu macam mana. Dia kata kalau dia yakin aunty dah kuat, baru aunty boleh jalan macam biasa. Kena gunalah kerusi roda. Kalau tak, dia nak admit aunty kat hospital” cerita Tun Maryamul Azra sambil tersenyum mengingati doktor keluarga mereka merangkap teman rapat suaminya itu.

“Biasalah aunty.. doktor kan?” Amy melihat-lihat sekeliling. “Aunty, Adib ada ke?”

“Tak ada. Dia ada kelas. Amy nampak ada kereta ea?”

Amy mengangguk. Fikirnya Adib ada tadi. Lalu dia ke kelas menaiki apa?

“Dia minta Pak Khai hantar tadi. Balik nanti pun, dia nak Pak Khai yang ambil. Entah apa kena dengan Adib tu. Nasib baik Uncle Nasir oversea. Kalau tak jenuh Pak Khai nak berkejar…”

Amy mengangguk dengan senyuman. Saat itu telefon pintarnya tiba-tiba berbunyi menandakan mesej masuk. Skrin disentuh dan aplikasi ‘Whats App’nya dibuka. Mesej dari Emily?

Amy melihat gambar yang dihantar Emily. Gambar Adib makan bersama seseorang. Dahinya berkerut sambil gambar itu di’zoom’. Dia cuba mengingat wajah itu. Bukankah itu adik Dian? Gadis pendiam tempoh hari?

Mungkin mereka hanya kebetulan makan semeja. Biarlah. Malas pula Amy mahu melayan Emily yang kelihatannya sengaja mahu dia berbalah dengan Adib. Orang sebegini jika dilayan makin menjadi.

##########

-Akak, kita tunggu siapa?

Dian memandang Syaqiqah di sisi. “Adik tak larat berdiri ke?”

Syaqiqah menggeleng. Dia bukan letih, dia cuma hairan. Selalunya mereka terus pulang, tapi kakaknya seperti menunggu seseorang. Apakah mereka menunggu Lainah dan abangnya?

Sebuah Toyota Alphard berhenti tepat di hadapan mereka. Dan pintu terbuka automatik. Syaqiqah memandang Dian. Dian senyum, tangan Syaqiqah ditarik. “Jom”.

Adib tersenyum memandang dua beradik itu. Dia tambah tersenyum melihat wajah Syaqiqah yang kemerahan.

Dian berdehem, matanya membulat memandang Adib. Tidak suka adiknya dipandang begitu.

Adib sengih. Mulut mengeluarkan perkataan ‘Sorry’ tanpa suara. Garang benar kakak Syaqiqah yang seorang ini.

Duduknya dibetulkan. Namun hakikatnya mata masih lagi mencuri pandang Syaqiqah melalui cermin penghadang cahaya matahari.

“Esok aku tak balik dengan kau” ucap Dian setelah Syaqiqah turun dari kereta.

“Kenapa? Kau tak nak bagi aku hantar Iqah ke?”

Dian melepas nafas. “Taklah.. Esok aku balik dengan Lainah. Takkan aku nak biar Iqah balik dengan kau”.

Adib mengangguk. Lainah teman sekelas Dian. Adib tahu itu. “Ok. Lusa aku hantar”.

“Ye, setiap hari kau hantar. Hantar sampai aku nak termuntah tengok muka kau!” Dian mencebik.

“Kau muntah tak pe. Jangan Iqah yang muntah..sedih aku kalau dia muntah. Lagipun Dian tak muntah tengok muka Harraz je..” Adib menjelir lidah, seronok mengusik Dian.

Dian langsung turun dari kereta. Usikan Adib membuatkan dia terasa.. janggal.

##########

Adib yang bert-shirt lengan pendek bersama seluar separas betis berlari anak keluar dari lif. Menghampiri Tun Maryamul Azra yang leka melayani drama slot ‘Samarinda’ di Tv3.

“Mommy..” tangannya melingkar pada leher Tun Maryamul Azra dan sebuah ciuman dihadiahkan buat mommy kesayangannya itu.

“Adib.. dah besar panjang buat perangai macam budak kecil”.

Adib sengih lantas berbaring berbantalkan peha momnynya yang sedang duduk di sofa. “Mommy tengok apa?”

“Tengok TVlah sayang. Adib nampak mommy tengok langit ke?” Tun Maryamul Azra menyoal namun mata tidak lekang dari melihat kaca televisyen.

Adib ketawa mendengar jawapan mommynya. “Mommy…”

“Ya, sayang..?”

“Adib ada benda nak tunjuk” Adib berkata sambil tangan ligat membuka galeri gambar pada telefon bimbitnya.

Tun Maryamul Azra menyambut huluran Adib. Skrin telefon pintar milik Adib dipandang dan dia mengukir senyum. “Curi gambar Dibah. Tapi.. dekatnya gambar ni”.

“Mommy perasan?”

“Mestilah…” Tun Maryamul Azra senyum sekilas memandang Adib dan kembali memandang kaca televisyen.

“Actually mommy.. hari ni Dib lunch dengan Dibah”.

Tun Maryamul Azra memandang. Hilang sudah tumpuannya terhadap drama yang sedang ditonton. “Really?”

Adib mengangguk. “Mommy tahu.. cara dia sama macam umi. Dia tak suka makan guna sudu, sama dengan umi.” Dan Adib melepaskan sebuah nafas berpuas hati.

“Adib rindu Dibah ke rindu umi ni?” sengaja Tun Maryamul Azra memberi soalan sebegitu.

“Umi dengan abi memanglah rindu.. tapi dengan Dibah lagi-lagi rindu.. Adib harap ingatan dia boleh kembali..”

Tun Maryamul Azra senyum sambil tangan mengusap kepala Adib penuh kasih. Dia juga punya harapan yang sama dengan anak tunggalnya itu.

“Mommy, kalau Dibah dah ingat nanti, laju-laju Adib nak masuk meminang tau!”

“Amboi!” wajah Tun Maryamul Azra menunjukkan riak terkejut.

“Yelah mommy.. bertahun Adib tunggu Dibah tau. Adib tak nak hilang Dibah lagi. Adib pun dah nak habis study.. tak salahkan?”

Tun Maryamul Azra tersenyum. Anaknya ini.. dari dulu, Adibahlah satu-satunya gadis yang berada di hati juga ingatannya. Dia sendiri terkadang hairan, bagaimana puteranya itu boleh sesetia ini?

#########

Tiga gadis bertudung itu berjalan beriringan menuju ke tempat parkir kereta. Gembira rasanya hati Lainah kerana Dian sudi mengikutnya. Penat dia dirayu abangnya yang ingin sekali membawa Dian keluar makan.

“Abang..” Lainah mengetuk cermin tingkap kereta abangnya.

“Assalamualaikum..” Ubadah turun dari kereta, tersenyum memandang dua beradik yang sama cantik manis itu.

“Waalaikumussalam” Dian menjawab dan Syaqiqah menguntum senyum.

“Terima kasihlah sebab sudi terima ajakan saya”.

Dian ketawa kecil. Begitu juga Ubadah. Dan juga Syaqiqah. Mujur kakaknya memberitahu mereka pulang dengan Lainah kerana abangnya ingin membawa mereka keluar makan, baru menerima gaji kenaikan pangkat katanya.

Tapi Syaqiqah tahu lelaki itu sukakan kakaknya. Cuma Dian yang tidak sedar. Lihat cara lelaki itu memandang kakaknya pun, Syaqiqah sudah tahu.

“Saya dengan adik sayalah yang kena ucap terima kasih. Sudi nak belanja kita orang makan..”

“Dah..” Lainah memandang Ubadah yang tidak habis tersenyum. “Asyik senyum je, bila dapat makan ni? Jom”.

Ubadah senyum diikuti Dian dan Syaqiqah. Dan Ubadah membuka pintu kereta buat Dian juga Syaqiqah. Lainah mencebik dalam senyuman melihat tindakan abangnya.

Bunyi hon bertalu-talu menarik perhatian mereka berempat. Sebuah Bentley Mulsanne meluncur laju bersama hon yang sengaja ditekan pemandunya.

Syaqiqah sudah tersenyum-senyum. Ada orang cemburu! Lainah mendekati Dian. “Tu kereta Harraz kan?” dia menyoal berbisik.

Dian mengangguk. Dalam hati berdebar kerana bunyi hon itu. Apalah yang cuba dilakukan Harraz? Tiba-tiba peristiwa luahan perasaan yang sudah berlalu lebih tiga bulan itu masuk dalam ingatannya.

“Awak kenal kereta tadi?” Ubadah menoleh menyoal Dian.

Dian menggeleng. “Biarlah dia. Gila kut.. jom”. Dian membuka pintu kereta.

Ubadah masuk ke dalam kereta dengan senyuman. Begitu juga Lainah yang mengambil tempat di sebelah pemandu.

Syaqiqah menarik tangan Dian yang baru hendak masuk. -Harraz cemburu tu…

Dian mengetap bibir. “Merapulah adik ni. Masuk cepat..”

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s