Demi Syaqiqah – P37

Dia tersengih melipat tangan memandang pasangan itu. Amboi, tiba-tiba saja mahu memberi adiknya hadiah. Ada apa-apakah ini?

“Untuk Iqah”.

Syaqiqah tidak menyambut sebaliknya memandang kotak kecil itu tak bererti. -Untuk apa?

Adib menggaru kepala yang tidak gatal. “Saya belum belajar bahasa isyarat”.

Syaqiqah senyum kecil. Pantas telefon pintar dikeluarkan dan dia membuka ruangan nota. Kemudian ia ditunjukkan pada Adib. -Kenapa bagi saya hadiah?

“Sebab terasa nak bagi”.

Syaqiqah mengerutkan dahi. Nafas dilepas. -Kalau macam tu saya tolak boleh?

Kali ini Adib pula tersenyum. Mahu menolak pun meminta izin? “Tak boleh. Terimalah hadiah ni. Ini sebagai tanda Iqah adalah gadis pertama dan terakhir yang berjaya masuk dalam hati saya” Adib jujur.

Syaqiqah menelan liur. Dia mencuri pandang kakaknya yang membelakangkan mereka. Sah! Kakaknya memang merestui Adib! Atau mereka ada perjanjian?

“Terima ea?”

-Kalau saya terima, maknanya saya terima awak ke?

Adib tergelak kecil membaca ayat itu. “Tak.. kalau awak terima maknanya, saya ada harapan”.

Pipi Syaqiqah terus saja memerah mendengar kata-kata Adib. Jantung yang berdegup kencang ditahan. Dia tidak mahu hilang imbangan di hadapan Adib pula.

“Saya suka Iqah, sayang Iqah sejak dulu tak pernah berubah” kali ini Adib memandang anak mata itu.

Syaqiqah terpana. Tubuhnya diam membeku. Wajahnya pucat lesi mendengar pengakuan Adib yang tiba-tiba. Memang selama ini, dia terasa begitu. Tapi dia langsung tidak menyangka sebegini cepat Adib meluahkan rasa hatinya!

“Terima?”

Syaqiqah memandang sesaat. Kotak kecil itu diambil dan dia terus melangkah pada Dian. Tangan kakak kesayangannya itu ditarik menaiki rumah mereka.

Adib hanya tergelak dengan gelengan kepala. Dibah, Dibah.. Sama je macam dulu. Bilalah agaknya ingatan dan suara gadis itu akan kembali?

##########

“Untunglah orang tu. Buah hati bagi hadiah…” jerit Dian sambil berlari pada Syaqiqah yang sedang duduk di atas katil.

Syaqiqah mengetap bibir. Tangannya mencubit peha Dian sepuas hati. Hingga kakaknya itu mengaduh dengan sengihan.

“Apa?”

Syaqiqah menggeleng sebagai tanda tidak tahu. Kotak kecil itu dibuka. Dia menguntum senyum melihat seutas rantai perak yang berada di dalamnya.

“Wow.. cantik!” puji Dian sambil memaut bahu Syaqiqah.

Syaqiqah masih tersenyum. Rantai leher itu diambil dan dia melihat loketnya. Loket berbentuk hati yang didepannya terukir huruf ‘A’ dan di belakangnya juga terukir huruf ‘A’.

“Untunglah orang kaya, siap boleh tempah-tempah lagi” Dian melepaskan nafasnya.

Syaqiqah memandang kebingungan. -Akak..

“Ya, sayang?”

-A ni untuk apa? Nama adik kan S?

Dian diam. Adib dan Adibah! Jawapannya mudah. Tapi adiknya itu masih tidak mengingat apa-apa. Bagaimana ya?

-Akak tahu?

“Alah.. dia nak suruh adik rindu dia banyak-banyaklah tu. Sebab tulah dua-dua A, nama dia kan Adib. Gedik pula si Adib ni…”

Syaqiqah tergelak kecil. Kata-kata Dian ada benarnya. Tapi harga rantai ini pasti mahal. Langsung tidak sesuai dengan dia yang tiada apa-apa.

Dian melepas nafas lega. Mujur jawapannya boleh diterima Syaqiqah. Jika tidak, payah juga mahu menerangkan. Adib juga satu! Mengapa memilih nama Adibah? Tidak sabar sangatkah mahu memanggil Syaqiqah dengan nama Adibah?
-Akak…

“Ya?” Dian memandang Syaqiqah yang sedang meletakkan kembali rantai itu dalam kotaknya.

-Tak lama lagi cuti. Kita balik Melaka kan?
“Mestilah.. Adik rindu ibu kan? Akak pun rindu.. Melaka, here we come!”

########

Syaqiqah tersenyum memandang bihun goreng cina di dalam pinggannya. Biar pun dia makan sendirian kerana kelas Dian berakhir satu jam lagi, itu tidak mengganggu seleranya kerana Syaqiqah benar-benar lapar.

“Syaqiqah kan?”

Suapan pertamanya setelah membaca doa terbantut. Syaqiqah memandang wajah yang menegur. Dahi berkerut memandang wajah itu.

“Ingat saya lagi? Saya Amy”.

Syaqiqah menganggukkan kepala. Amy. Kawan Adib sedari kecil menurut kakaknya.

“Saya mengganggu ke?”

Syaqiqah memegang perutnya yang masih lagi lapar. Dan memandang bihun goreng yang langsung belum terluak. Memang mengganggu. Tapi… Dia menguntum senyum manis dan menghadiahkan sebuah gelengan.

“Baguslah. Boleh kita berbual?”

Syaqiqah mengangguk lagi. Mahu mempersilakan Amy duduk, sepertinya gadis itu tidak selesa. Pasti Amy mahu ruang peribadi untuk berbicara.

“Jom, dalam kereta saya kalau awak tak keberatan”.

Dan Syaqiqah mengangguk lagi. Entah mengapa dia hanya menjadi pak turut. Langkahnya membontoti Amy yang melangkah ke arah sebuah Porsche 911 berwarna kelabu pekat.

“Silakan”.

Syaqiqah masuk ke dalam kereta mewah itu dan Amy menghidupkan enjin. “Saya terus terang boleh?”

Syaqiqah mengangguk dengan senyuman. Sememangnya apa yang Amy mahu dengannya?

“Awak tahukan saya ada hubungan dengan Adib?”

Kali ini Syaqiqah terdiam. Jadi Amy mahu menemuinya kerana Adib? Apakah dia… merampas hak orang lain? Tapi dia dengan Adib tiada apa-apa! Mereka hanya sekadar..

“Syaqiqah” Amy memanggil. Dia kehairanan, mengapa gadis itu dari tadi tidak bersuara? Hanya membuat gaya itu dan ini?

Syaqiqah mengangguk. Telefon pintarnya dikeluarkan dari beg. Ruang nota dibuka. -Amy tunang Adib?

Amy menguntum senyum namun dahinya berkerut. “Awak.. tak boleh cakap?”

Syaqiqah mengangguk. Tangannya bergerak membuat bahasa isyarat. -Saya bisu.

Amy mengangguk perlahan. Jadi inilah sebabnya. Gadis manis ini tidak boleh bercakap, bisu mungkin. Tapi mengapa Adib masih juga tertarik padanya?

-Amy ok?

“Ok. Saya minta maaf. Tak sangka…”
Syaqiqah tersenyum. Dia tahu berita itu pasti mengejutkan Amy. -Boleh kita.. Saya ada kelas lagi lepas ni.

“Sorry. Saya dengan Adib belum bertunang tapi sedang ke arah tu. Jadi saya harap awak tak ganggu Adib lagi?”

Syaqiqah mengerutkan dahi. Adakah dia sudah terlibat dengan masalah percintaan tiga segi? -Saya dengan Adib tak ada apa-apa.

Amy memandang wajah itu. “Saya tahu awak akan cakap macam tu. Tapi.. awak tahu kan yang Adib…”

Syaqiqah mengangguk. Sedikit demi sedikit. Bagaimana dia boleh terlibat dengan ini semua..? Dia sudah jatuh cinta dengan lelaki yang ternyata adalah milik orang! Wajah polos Amy dipandang sayu. Apakah Adib juga punya sikap yang sama seperti Harraz? Suka mempermainkan perasaan wanita?

“Saya sayang Adib dari kecil lagi” Amy mula membuka cerita. Wajah gadis bernama Syaqiqah itu dipandang. “Tapi Adib sayangkan orang lain…”

-Dibah? Syaqiqah pantas teringat nama yang pernah disebut Adib suatu masa dahulu.

“Awak tahu?”

Syaqiqah mengangguk. Dia hanya meneka. Tapi siapa tahu dia bakal mengetahui tentang gadis bernama Dibah itu?

“Dibah tu anak driver keluarga Adib. Kami bertiga memang rapat dari kecil. Dan memang dari kecil nampak sangat yang Adib sayangkan Dibah lebih dari seorang adik. Sampailah satu hari tu… Dibah accident. Satu keluarga meninggal dalam kemalangan tu” Amy bercerita sambil mengimbau kembali peristiwa bertahun lalu itu.

‘Innalillahi wa inna ilaihi raji’un..’ Syaqiqah mengucap dalam hati. Jadi gadis pujaan hati Adib itu sudah meninggal dunia?

“Lama nak ambil masa untuk pujuk Adib waktu tu. Dia memang tak boleh terima hakikat yang.. Dibah dah tak de. Macam-macam cara saya buat untuk dia lepaskan Dibah.. sampailah dia jumpa awak.. ” Amy berhenti, memandang wajah suci itu.

“Awak ada persamaan dengan Dibah. Walaupun saya tak tahu apa tu.. tapi saya tahu Adib nampak awak sebagai pengganti Dibah. Saya bukan nak halang kebahagiaan awak, tapi saya minta awak jangan halang kebahagiaan saya.. tak senang untuk saya dapatkan hati Adib” dan air matanya mula menitis mengenangkan layanan dingin Adib terhadapnya kebelakangan ini.

Syaqiqah melepas nafasnya. Tahulah dia rasa sayangnya yang baru hendak berputik telah pun melukakan hati seorang wanita baik hati dengan begitu mendalam. Tangan Amy digenggam menenangkan gadis itu.

-Saya tak pernah sedetik pun terniat untuk rampas kebahagiaan sesiapa. Baik Amy atau saya sendiri. Saya minta maaf kalau-kalau hal ni dah retakkan hubungan Amy dengan Adib.

Amy menguntum senyum hambar. Genggaman Syaqiqah dibalas membaca nota yang ditulis gadis itu. Dia benar-benar berharap Syaqiqah memaksudkan dan mengotakannya. Dia tidak sanggup lagi makan hati berulam jantung sendiri.

##########

Nafas dilepas melihat Syaqiqah yang berbaring membelakanginya. Sejak pulang dari petang tadi, begitulah keadaan adik tunggalnya itu.

Memang tangisannya tidak terdengar kerana ‘kelebihan’nya yang tidak bersuara, namun Dian tahu sangat adiknya itu sedang menangis. Langkah diatur mendekati Syaqiqah.

“Adik.. kenapa ni? Adik tak nak cerita kat akak ke?”

Syaqiqah menggeleng. Dia tidak punya hati untuk berkongsi cerita sekarang. Dia hanya mahu melepaskan beban di hati yang tertanggung. Mengapa Adib berusaha memenangi hatinya jika dia sudah ada Amy? Atau Adib benar-benar menganggapnya sebagai pengganti Dibah? Hanya sekadar pengganti?

“Adik, jangan macam ni. Akak tak suka” Dian bersuara tegas. Dia mendudukkan tubuh Syaqiqah agar adiknya itu menghadapnya.

Syaqiqah menggeleng lagi. Rantai leher yang bersa di genggaman dibawa ke belakang tubuh. Tidak mahu Dian terperasan.

“Adik.. jangan macam ni. Adik ada masalah?”

Syaqiqah memandang kosong. Rantai leher telah selamat disorok bawah bantalnya. -Akak.. semua lelaki sama ke?

“Adik cakap apa ni?” nada suara Dian berubah. “Adib ada buat apa-apa kat adik?” Dian menyoal cemas. Dari awal lagi dia telah memberi amaran pada Adib agar tidak melukakan hati Syaqiqah. Adiknya itu terlalu mentah untuk mengenali erti menangis kerana lelaki.

Syaqiqah menggeleng. -Adik cuma tanya je..

“Tanya dengan air mata macam ni? Betul tak ada apa-apa?” Dian menyoal serius.

Syaqiqah mengangguk. Dia mahu ibu! Syaqiqah mahukan ibu! Dia mahu pulang ke Melaka…

“Adik tak nak share dengan akak?” kali ini suara Dian lebih lembut, memujuk.

-Tak ada apa-apa.. Syaqiqah mengukir senyum dalam tangisannya.

Dian melepas nafas. Jika begini, hanya ibu yang mampu menenangkan hati adik manjanya itu. Dan mengikut firasat hatinya, pasti ibu menghubungi Syaqiqah sebentar lagi. Kerana ibu selalu saja tidak senang hati andai dia ataupun Syaqiqah dilanda masalah.

“Adik rehatlah..” Dian meninggalkan Syaqiqah sendirian di bilik tidur. Dia harus membuat perhitungan dengan jejaka bernama Adib Mubarak itu!

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s