Demi Syaqiqah – P38

-Ibu….

Hannan menguntum senyum memandang Syaqiqah dari skrin komputer ribanya. “Hodohnya muka anak ibu.. Mata lebam macam panda. Menangis sejak bila ni?”

-Petang tadi?

“Lamanya.. ada benda nak share dengan ibu?” Hannan menyoal lembut.

-Adik tersuka laki orang… Syaqiqah masih lagi terhinjut-hinjut tubuh badannya.

“Laki orang tu.. suami orang ke?” Hannan mengerutkan dahi.

Syaqiqah menggeleng. -Tunang orang.

“Ish.. nak kena tunang orang ni. Dah tahu ada tunang kenapa nak kacau anak ibu lagi?” Hannan mencekak pinggang, membuat gaya marah.

Syaqiqah tergelak dengan gaya yang ditunjukkan ibunya. Menampakkan barisan giginya yang tersusun rapi.

“Kan cantik anak ibu senyum. Akak mana?”

-Kat luar.

“Adik tak kasi akak masuk bilik?”

-Tak.. Akak yang nak bagi adik ruang..

“Adik tak bagitahu akak ke..?” Hannan menjongket keningnya.

Syaqiqah menggeleng. -Kalau akak tahu, boleh mati laki tu akak kerjakan. Ibu macam tak kenal akak…

Kali ini giliran Hannan pula ketawa. “Adik.. biarkan je lelaki tu. Kalau memang ada jodoh adik dengan dia, adalah. Tapi buat masa sekarang.. adik fokus belajar, jangan fikir hal lain. Lepas tu balik sini, kerja kat sini.. duduk dengan ibu..” Hannan memberi kata-kata hikmat buat anak bongsunya.

Syaqiqah ketawa kecil. Dia baru belajar tahun pertama dan ibu sudah menyuruh dia tamat belajar segera… -Ibu cakap macam tu, terus rindu nak balik…

“Kalau tak cakap, tak rindu ibulah?”

Syaqiqah ketawa lagi. -Mana ada tak rindu. Setiap saat adik rindu ibu, adik doakan ibu dalam semua doa adik.

“Alhamdulillah. Bagus anak ibu..” Hannan membuat gaya thumbs-up. Skrin komputer riba disentuh bagai mengusap wajah Syaqiqah.
Syaqiqah ketawa kecil. -Lagi seminggu cuti. Adik nak peluk ibu sampai ibu rimas bila adik balik nanti…

Hannan ketawa. Dan dua beranak itu terus berbual dengan mesra tanpa menyedari Dian telah lama meninggalkan rumah pada malam itu.

#########

Usai membayar harga teksi, Dian turun dari kereta. Mata memandang villa yang terlebih mewah itu. Loceng segera ditekan.
“Cik Dian kan?”

“Assalamualaikum Kak Anum” Dian tersengih. Baru dia sedar tindakannya datang ke situ terlalu terburu-buru. Sudahlah jam pukul 10.00 malam. Dian.. Dian..

“Waalaikumussalam. Cik Dian nak jumpa Adib?”

Dian mengangguk. “Adib ada?”

“Ada. Jemput masuk Cik Dian”.

Dian tersenyum mengikut langkah Anum masuk ke dalam. Lama menanti di ruang tamu, Adib pun muncul dengan sengihannya.

“Kau cari aku?”

“Taklah. Aku cari Aunty Yam” Dian menyindir.

“Ok.. Ada apa?” Adib mengambil tempat di hadapan Dian, duduk di sofa berukir emas itu.

“Apa kau buat dengan Iqah?” Dian menyoal, nada suaranya serius.

“Maksud kau?”

“Aku tahu kau tak ambil kita orang sebab kau ada hal hari ni. Tapi terima kasihlah sebab kirim Abang Adam ambil kami. Aku ikutkan nak marah dalam telefon, tapi tak best. So aku nak jumpa kau face to face sebab nak marah..”

“Kejap. Apa hal ni?” Adib memotong kata-kata Dian yang keluar bagaikan peluru.

Dian diam seketika. Sepertinya Adib benar-benar tidak tahu. “Sejak balik petang tadi, Iqah nangis sampai sekarang”.

“Sebab?”

“Kalau aku tahu tak adalah aku tanya kau!” suara Dian meninggi.

Adib diam seketika. Berfikir kalau-kalau dia ada menyakitkan hati Syaqiqah, tapi.. sepertinya tiada. “Kau pasti ada kaitan dengan aku?”

“Dari awal aku dah warning. Jangan buat dia menangis sebab kau! Aku tak suka tengok adik aku menangis kau tahu tak?”

“Kau tak tanya dia?”

“Kan aku dah cakap, kalau aku tahu.. tak adalah aku tanya kau” Dian mula beremosi. Geram pula dia dengan mamat seorang ini.

Adib diam lagi. Sememangnya mengapa Adibahnya mengalirkan air mata? Apakah dia telah membuat gadis itu bersedih? Tapi bila? Bagaimana? Mengapa? Adib kebingungan.

“Kau memang tak tahu?” nada suara Dian mula menurun saat melihat wajah bingung Adib.

“Tak tahu Dian. Kenapa kau yakin sangat yang hal ni ada kaitan dengan aku?”

“Sebab kalau hal lain dah lama dia bagitahu aku. Ini tak.. Tak ada apalah, adik ok.. Menyampah!” Dian menyuarakan ketidak puasan hatinya.

“Sorrylah Dian.. Aku memang tak tahu. Kalau aku tahu, tak de nya aku biar adik kau menangis sebab aku!” bersungguh Adib meyakinkan. Matilah dia jika Dian mahu menarik diri dari perancangan mereka.

Dian melepas nafas. Nampaknya Adib benar-benar tidak tahu. Sia-sia saja dia datang ke villa mewah itu malam begini.

“Aku memang tak tahu. Kau nak aku cuba pujuk dia?”

“Kalau dengan aku pun dia tak nak kongsi, kau ingat dia nak kongsi dengan kau?”

Adib sengih. “Dia tak bagitahu mak kau?”

“Ibu dengan Iqah suka berpakat. Kalau Iqah tak nak share dengan aku, ibu takkan share dengan aku apa yang Iqah cerita” Dian melepaskan sebuah keluhan.

Matanya melilau melihat sekeliling. Sudah pukul 11.30 malam! Mengapa dia tidak sedar masa yang berjalan? Adoi.. dia harus pulang sekarang. Payah mahu memberi penjelasan buat Syaqiqah nanti. “Aku nak balik. Dah lewat ni”.

“Kau datang dengan apa?”

“Teksi” Dian mengeluarkan telefon pintarnya. Mahu menghubungi nombor pemandu teksi.

“Tak pe, aku minta Pak Khai hantarkan kau balik”.

Dian mengangkat wajah. “Pak Khai?”

“Aku minta Cik Zah temankan kau. Kejap” dan Adib berlalu masuk ke dalam. Memanggil Pak Khai dan Cik Zah untuk menghantar Dian pulang.

#########

Dia menutup langsir ruangan saat melihat gadis itu memasuki kereta. Nafas dilepas perlahan dan langsir diselak kembali. Saat Toyota Alphard itu berlalu pergi, barulah Harraz menutup langsir sepenuhnya.

“Kau nak hantar dia ke?”

Harraz menoleh. Senyum kosong dihadiahkan buat sang teman. “Dia ok?”

“Aku tahu kau tengok dia sejak dia melangkah masuk tadi, Raz”.

Harraz gelak palsu. “Dia makin cantik, kan?”

“Pada mata kaulah tu. Dah berapa lama kau mengelak dari dia ni?”

Harraz mengangkat bahu. Empat ke lima bulan mungkin. Tapi nampak sangat Dian bahagia tanpanya. Jika tidak, paling kurang pun pasti dia akan menyoal tentang Harraz pada Adib.

“Sampai bila?” Adib menyoal sambil matanya kembali memandang majalah yang berteraburan di atas meja. Asalnya tadi dia sedang berbual dengan Harraz yang kebetulan ingin tidur di rumahnya malam ini. Terkejut bila diberitahu Anum bahawa Dian datang menemuinya membuatkan majalah yang asalnya tersusun rapi terus berterabur.

Harraz melepaskan sebuah keluhan berat. Dian.. gadis pertama dan mungkin juga terakhir yang membuatkan dia boleh jadi gila sebegini. Tapi di saat dia menemukan seseorang yang dirasakan tepat buatnya, mengapa gadis itu dengan mudahnya menolak?

“Raz, kau ok tak ni?”

“Ok… Apa khabar Dian?”

Adib diam seketika. Dan kemudian tersenyum senget. “Macam yang kau nampak tu lah. Dian tu bukan tak fikir fasal kau, dia cuma tak tunjuk je.. Jelas-jelasnya Dian tu lagi matang dari kau”.

Harraz terdiam. Dia sudah ada kemajuan. Kini dia sudah mula tahu pergerakan dalam solat walaupun dia belum lancar sepenuhnya tentang bacaan. Tapi bagi Harraz, ia satu kemajuan yang tinggi. Benar-benar tidak menyangka dia akan gigih seperti ini.

Ya, mungkin Dian penyebab dia menjadi seperti ini. Namun sekurangnya, kerana Dian dia cuba untuk menjadi seorang umat Islam yang lebih baik. Biar pun Dian nanti tidak menerimanya, Harraz yakin keputusannya untuk belajar agama bukanlah keputusan yang salah.

###########

Mereka sama-sama melangkah masuk ke dalam Toyota Alphard yang sudah pun menunggu. Awalnya Syaqiqah mahu pergi sendiri, tapi setelah difikirkan dia ikutkan Dian saja. Tidak mahu kakaknya itu mengesyaki apa-apa.

Adib menguntum senyum manisnya melihat wajah Dian dan Syaqiqah. Tapi sepertinya Dian agak sibuk kerana matanya menatap skrin telefon pintar sedari awal tadi.

Syaqiqah mengangkat wajah. Saat matanya bersatu dengan pandangan Adib melalui cermin, wajahnya langsung beralih ke luar. Wajah kasihan Amy langsung terbayang pada matanya.

Adib mengerutkan dahi. Apakah Syaqiqah sedang cuba mengelak pandangannya? Namun mengapa? Ertinya atas sebab apa? Atau kata-kata Dian benar?

Syaqiqah membuang pandang ke luar tingkap. Nafasnya turun naik menahan debaran. ‘ Saya bukan nak halang kebahagiaan awak, tapi saya minta awak jangan halang kebahagiaan saya.. tak senang untuk saya dapatkan hati Adib ‘.

Ayat itu bagai berulang dalam kepala dan pendengarannya. Ya Syaqiqah tahu dia akan mengotakan kata-katanya. Dia dan Adib tiada apa-apa hubungan!

‘ Adik.. biarkan je lelaki tu. Kalau memang ada jodoh adik dengan dia, adalah. Tapi buat masa sekarang.. adik fokus belajar, jangan fikir hal lain. ‘ Kini pesanan ibu diulang-ulang. Ya , untuk masa ini dia hanya perku fokus belajar. Hanya belajar.

#########

Dian menggeleng kepala melihat langkah lemah Syaqiqah. Melihat gaya adiknya pagi itu, dia benar-benar yakin tangisan Syaqiqah semalan adalah kerana Adib. Tapi kelihatannya Adib memang tidak mengetahui apa-apa. Agaknya apa yang berlaku semalam?

“Dian”.

Dian memandang. Senyum dihadiahkan buat Lainah yang baru tiba di kelas.

“Assalamualaikum” Dian memberi salam sambil ketawa kecil melihat sejambak bunga yang dipegang Lainah.

“Waalaikumussalam sayang..”

“Buah hati bagi?” Dian mengusik.

“Buah hatilah sangat. Untuk kau” Lainah menghulur.

Dian mengerutkan dahi. Walau pun begitu, huluran itu tetap disambut. “Dari?”

“Manalah aku tahu. Ada kad tu” Lainah menunjuk sambil tersengih memandang Dian.

Dian mengambil kad itu dan membacanya. “Thanks for helping my angah. Love you”.

“Angah mana ni?” Lainah yang mendengar menyoal.

Dian menggelengkan kepala. Hakikatnya angah yang dikenali hanya seorang. Angah Harraz? Atau yang menghantar benar-benar Ana?

“Siapa?”

“Tak tahu. Siapa hantar?”

“Budak penghantar bungalah cinta oi..”

“Oh..” Dian tersenyum seketika. Tapi setelah Ana menemuinya, mana ada dia berjumpa Harraz. Batang hidung pun tak nampak. Tambahan lagi saat ini Harraz sudah tiada kelas. Hanya menanti majlis konvokesyennya.

“Dian, kau kata nak ganti dinner yang rosak tu?” Lainah tiba-tiba menyoal.

Dian memandang. Ya juga. Dia juga tidak teringat langsung akan hal itu. “Boleh. Bila?”

“Betul kan ni?” Lainah menyoal.

“Iyalah. Kan aku dah cakap banyak kali, Cik Lainah”.

“Ok. Aku tanya abang aku, kalau dia free.. bolehlah..” Lainah sudah tersengih sendiri. Seronok benar dia bila Dian menyetujui saja. Tidaklah dia melihat abangnya bersedih lagi. Jenuh juga dia mahu menerangkan soal Harraz pada Ubadah pada malam itu.

Dian hanya menguntum senyum. Dia tahu Lainah cuba ‘menyatukan’ dia dan Ubadah sebenarnya. Tapi Dian layankan saja. Lagi pula, dia juga tidak berfikir apa-apa terhadap Ubadah.

Dan Dian yakin, sampai masanya nanti dia tetap akan jumpa dengan lelaki yang menjadi pemilik tulang rusuknya. Kalau dah jodoh tak ke mana bukan?

Telefon pintarnya tiba-tiba berdering menandakan ada panggilan masuk. Dian mengerutkan dahi pabila melihat nama ibu muncul sebagai pemanggil. “Assalamualaikum ibu”.

“Waalaikumussalam. Ibu kacau akak ke?”

“Taklah. Ada apa ibu call akak pagi-pagi ni?” Dian menyoal, bimbang tidak dapat berkata-kata kerana pensyarahnya bakal masuk.

“Akak tengah belajar kan? Maaf. Ibu nak cakap, akak jagalah adik elok-elok. Ibu risau..”

Dian tersenyum. “Mesti dia meleleh depan ibu kan?”

“Tak baik cakap macam tu. Adik tu dah cukup susah hati” Hannan menegur.

“Ok ibu, kalau ibu tak suruh pun akak jaga adik elok-elok. Itu je lah adik yang akak ada. Mestilah akak jaga ibu..”

“Lega ibu dengar.. Ni balik nanti macam mana? Nak ibu ambil?”

Dian ketawa. “Naik bas je ibu. Nanti ibu ambil kat stesen. Lusa jumpa ibu! Assalamualaikum..” dan Dian mematikan panggilan.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s