Demi Syaqiqah – P51

“Dia tipu I. Betul cakap you, Emily… You cakap betul.. Adib lain sejak kenal perempuan tu.. Syaqiqah perampas…!! Kau kata kau nak tinggalkan Adib, tapi kenapa kau datang balik?!” Amy memarahi Syaqiqah dalam tangisannya.

Emily di tempat pemandu melepas nafas perlahan. Terkejut dia mendapat panggilan dari Amy yang menangis tersedu sedan. Langsung saja Amy diambil dari villa mewah milik Adib. Dan hingga saat ini, Amy masih juga tidak berhenti menangis. “I dah banyak kali kasi warning. You yang tak nak percaya… Syaqiqah tu sama je macam kakak dia. Dua-dua gunting dalam lipatan. Bitch!” sengaja Emily menambah minyak pada api yang telah marak.

Amy menjerit melepaskan kemarahan. “Dasar perempuan tak guna!”

Emily tersenyum melihat Amy. Suka pula dia melihat Amy berkelakuan begitu. Padan muka! bisik hatinya. “Sabarlah Amy.. Bukan tak ada cara you nak kenakan perempuan bisu tu..”

“Sabar? I tunggu Adib dari dulu. Lepas tunang dia meninggal pun dia masih tak pandang I. Tapi sekarang, bila Adib dah mula pandang I, sesuka hati perempuan tu nak rampas Adib dari I. You boleh suruh I sabar lagi?”

“Chill-lah… Soal Syaqiqah, I akan tolong you. Tapi sekarang.. kita sejukkan hati dulu” Emily memandang keluar tingkap.

Amy mengerutkan dahi. Air matanya dikesat dan dia turut memandang apa yang dipandang Emily. “Night club?”

Emily mengangguk. “Have fun. I yakin, you akan lupa semua masalah you…”

Amy mengerutkan dahi. Tidak pernah terlintas di fikirannya untuk menjejakkan kaki di tempat sebegini. Wajah Emily dipandang.

“Tak berani ke?” Emily menyoal, sekaligus mencabar.

“Tapi…”

“Come on. Amy, you cantik. You kaya, you pandai. Kerja bagus, gaji tinggi, family kaya-raya. You boleh dapat apa yang you nak.. Tak petik jari pun boleh dapat. Setakat Adib Mubarak, small matter. Takkan masuk night club pun nak takut?”

Amy diam. Matanya memandang pintu kelab malam yang cermin kacanya jelas berwarna gelap. Wajah Emily dipandang lagi.

“Dahlah.. tak yah fikir lama-lama. Jom” Emily langsung menarik tangan Amy. Namun dia berhenti. Senyum diukir memandang tudung yang terletak elok di kepala Amy. “Ini kena buka.. Mana ada orang masuk club bertutup macam you…” perlahan sebatang demi sebatang jarum peniti ditanggalkan.

Amy bagai dipukau. Perbuatan Emily dibiarkan. Hingga akhirnya tudung itu dicampak Emily ke tempat duduk bahagian belakang keretanya. Dan sanggul Amy dibuka memperlihatkan rambut lurusnya yang separas pinggang. “Wow… cantiknya rambut you. Sayang you cover your hair…”

Amy menjauh tiba-tiba. Tangannya memegang rambut yang sudah pun terlepas. Memegang kepala yang tidak lagi bertutup.

“Why? Takut?”

Amy diam. Dia menyoal diri sendiri, apakah benar tindakannya ini? Apakah dia melakukan perkara yang betul?

“You pakai tudung sebab nak Adib pandang you sebagai perempuan yang baik kan? Mungkin dengan you buka tudung, Adib akan rasa bersalah sebab kecewakan you?” Emily menyatakan analisanya sendiri. Pun begitu dia yakin akan kebenarannya melihatkan Amy yang membisu.

Emily sudah tersenyum sinis. Topi di bahagian belakang dicapai dan diletakkan di kepala Amy. “Sama je.. tutup kepala juga. Jom!” Emily turun dari kereta dan menarik tangan Amy agar mengikutinya. Amy bagai lembu dicucuk hidung, mengikut sahaja.

 

##########

 

“Amboi.. adik kesayangan. Lambatnya balik…”

Syaqiqah memandang Dian yang muncul dari bilik. Dia tersengih-sengih memandang Dian yang melangkah ke arahnya. -Akak..

“Siapa hantar?”

-Pak Khai.

“Pak Khai seorang je?” Dian melipat kedua tangan sambil berdiri bersandar pada dinding.

Syaqiqah tersenyum menunduk. -Dengan Adib..

“Dengan Adib” sengaja Dian meninggikan suara.

Syaqiqah mengerutkan dahinya. Dian didekati. -Dah hilang pening kepala ke?

Dian ketawa besar. Bukan sikapnya terus berpura andai kepuraan awalnya sudah mempamerkan hasil terbaik. “Tadi tu berlakon tau adik.. Kalau tak, manalah adik kesayangan akak ni nak ikut si Adib tu.. Bahkan takkan pernah tahu yang Adib tu cinta mati kat dia…”

Syaqiqah ketawa kecil. Dian dicubit geram dengan helah Dian. -Tapi akak.. ada Amy tadi.

Dian mengerutkan dahi. “Amy?”

Syaqiqah menganggukkan kepalanya. -Adik takut…

Dian melepas nafas. Tangan Syaqiqah dicapai dan gadis itu dibawa ke kusyen. “Adik.. Adib tahu cara nak uruskan Amy. Adik janganlah rasa yang adik tu penyebab semua ni. Sebab kalau tak ada adik pun, Adib takkan anggap Amy lebih dari seorang adik”.

-Tapi akak.. Adik tak sampai hati tengok Amy menangis tadi. Adik ingat adik nak pergi minta maaf esok.

“No! Akak tak izinkan.. Akak tak nak adik jumpa dia. Hal dia dengan Adib, biar Adib selesaikan. Adik jangan masuk campur…”

Syaqiqah melepas sebuah keluhan berat. Wajah kecewa Amy masih jelas terbayang pada mata. Apakah kehadiran semulanya ke dalam hidup Adib telah mendatangkan kesusahan buat orang lain? Apakah ia satu kesalahan?

Dian memaut bahu Syaqiqah. Tahu benar adiknya itu bersusah hati. Kepala Syaqiqah diletakkan pada dadanya dan tubuh itu diusap. Menenangkan hati Syaqiqah yang gundah gulana.

 

#########

 

Harraz tersenyum sendiri melihat wajah Adib yang berseri-seri di dalam pejabat. Meja kerja Adib diketuk kuat agar temannya itu berhenti mengelamun.

“Raz! Bila kau sampai?”

“Sejak orang tu sengih sorang-sorang macam orang gila..”

Adib senyum senget. “Semalam aku bawa Iqah jumpa my parents”.

Mata Harraz membulat. “Apa? Serius?”

Adib mengangguk. “Kita orang dah discuss. Weekend ni nak hantar rombongan. Tunang enam bulan, lepas tu nikah..”

“Wow.. rapinya rancangan kau” Harraz mencebik.

Adib tersenyum manis. Saat ini dia benar-benar bahagia. Jika ingatan Adibahnya benar-benar tidak akan kembali pun tidak mengapa. Apa yang penting bukanlah masa lalu, tapi masa di mana kita berpijak sekarang. Dia akan mencipta memori baru buat Syaqiqah kesayangannya. Adibah Syaqiqah kesayangannya. Demi Adibahnya, demi Syaqiqahnya. Ya, demi Syaqiqah.

“Menyampah pula I tengok you senyum”.

Adib ketawa. Sudah lama rasanya tidak mendengar Harraz berbahasa I-You begitu. Pemuda itu sudah benar-benar berlainan dari Harraz yang dia kenali dulu. Contohnya sekarang, dia sudah lama tidak menemui Harraz kerana temannya itu baru pulang dari mengerjakan umrah di Tanah Suci.

“Kalau you menyampah, cepatlah tangkap bakal kakak ipar I, bro”.

Harraz mencebik. “Ayat tangkap kau guna? Sejak bila Dian jadi binatang ni?”

Adib ketawa lagi. “Cepatlah selesaikan salah faham korang. Dah lama sangat ni. Iqah bagitahu hari tu ada anak pak imam masuk meminang kakak dia”.

Harraz hanya mampu tersenyum. “Dia baik. Dia cantik. Dia beradab. Dia berakhlak. Dia sopan, dia santun. Tak hairanlah ramai orang suka”.

Adib menjulingkan matanya. “Ni rela ke pasrah?”

“Both maybe. Ada jodoh adalah. Kalau tak ada… aku cuma nak yang terbaik untuk Diana Nadia”.

Adib tersenyum lagi. “Lain kau sekarang..”

Harraz tersenyum walau dalam hatinya begitu sayu dan sebak mendengar khabar yang dimaklumkan Adib. Namun dia yakin, Dian adalah jodohnya. Dari mana dia mendapat keyakinan itu, sukar dia jelaskan. Tapi keyakinannya hampir seratus peratus. “Amy tak masuk lagi?” Harraz menjeling meja setiausaha yang berada di luar pejabat Adib.

“Dia tak masuk office hari ni”.

“Tak sihat ke?”

Adib melepas nafas. “Semalam, ada Amy sekali. Aku ikut nasihat kau.. kuatkan hati kalau tak nak dia terus salah faham. So…”

Harraz mengangguk memahami. “Kesian.. Moga Allah temukan jodoh yang lebih untuk Amy” Harraz menyatakan simpati sekaligus mendoakan.

 

########

 

Amnah menanti penuh gelisah di pintu masuk rumahnya. Tidak pernah puteri tunggalnya membuat perangai tidak pulang malam tanpa memberitahu begini. Risaunya tidak terkata.

Suaminya pula berada di luar negara atas urusan kerja. Ke manalah perginya Amy? Mengapa jam sudah jam sembilan pagi masih belum pulang?

Dahinya berkerut melihat seorang gadis melangkah masuk ke dalam pagar. Setelah diteliti, barulah dia mengenali gadis itu. Amy!

“Astaghfirullahal adzim” Amnah beristighfar melihat keadaan Amy.

“Mama..” Amy menyapa sebelum melangkah masuk ke dalam rumah.

“Amy”.

“Ya?” Amy menghentikan langkah.

“Mana tudung? Kenapa balik dengan rambut lepas macam ni? Pagi baru balik, malam tadi tidur mana? Pergi mana tak bagitahu mama? Keluar dengan siapa?” bertalu soalan Amnah.

Amy melepas nafas. “Mama… Amy tak nak pakai tudung dah. It’s so tired, so hot, so boring… Malam tadi tidur rumah kawan, pergi rumah kawan, keluar dengan kawan…”

“Astaghfirullahal adzim. Amy, sedar tak apa Amy cakap ni?”

“Mama, please.. Amy penat, Amy nak rehat, Amy nak tidur. Boleh kan?”

Amnah melepas nafas melihat Amy melangkah menaiki tangga. Pasti ada sesuatu yang berlaku pada puterinya membuatkan puterinya bersikal begitu. Takkanlah Amy benar-benar mahu membuka tudung yang dipakai sejak kecil? Apakah pakaiannya juga makin lama akan makin mendedahkan tubuh badan? Tapi pada siapa harus Amnah menyoal? Dia sendiri tidak tahu dengan siapa Amy keluar semalam.

 

##########

 

“Sudah-sudahlah senyum bermesej tu dik” Dian menjeling skrin telefon pintar milik Syaqiqah.

Syaqiqah yang berjalan beriringan dengan Dian hanya tersenyum nipis. Sekarang, dia sudah sah bergelar tunangan kepada Adib Mubarak. Majlis pertunangan mereka dua hari lepas nampaknya berjalan lancar.

Dan kini, mereka di universiti lagi. Meneruskan hidup seperti biasa. -Akak menyampah ke?

Dian ketawa dengan soalan Syaqiqah. “Bukan menyampah.. Tapi penat tengok adik senyum. Tahulah bahagia, tapi sampai setiap kali tengok fon tersenyum-senyum, parah tu…”

Syaqiqah senyum lagi. Lantas telefon pintar dimasukkan ke dalam beg dan tangan Dian dipaut. -Adik nak akak pun bahagia macam ni…

“Bahagia, bahagia juga. Jangan lupa yang kita ni student lagi ye…” dagu Syaqiqah dicuit.

Mereka terus melangkah ke kelas. Dian tiba-tiba terfikir. Syaqiqah sudah boleh bercakap, walau sedikit-sedikit kerana dia tidak berapa lancar berkata-kata. Lalu bagaimana dengan ingatan masa lalunya? Apakah ingatan itu sudah kembali? “Adik”.

Syaqiqah memandang. Panggilan Dian kali ini berbaur aneh. Dian mengecilkan kelopak mata. “Adik…”

Kening Syaqiqah terangkat. Mengapa kakaknya tiba-tiba bersuara nada begini? Wajah Dian dekat pada wajah Syaqiqah. “Adik memang tak ingat siapa Adib?”

Sesaat Syaqiqah tergamam dengan soalan Dian. Namun dia lebih cepat mengelak. Senyumnya dikuntum ketawa dengan soalan Dian. -Adib tunang adik… Sambil tangannya menunjukkan cincin perak yang tersarung kemas pada jari manis di tangan kiri.

Dian memandang. Dia merasakan Syaqiqah seperti berahsia dengannya. Bukan dia tidak kenal adiknya itu. Tapi…

-Kenapa? Syaqiqah lebih dulu menyoal, tidak mahu Dian terus curiga.

Dian menggeleng. “Tak ada apa… Saja tanya. Entah-entah adik dengan Adib dah bertunang sejak hayat lepas..”

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s